SEPULUH KESALAHAN DI DALAM MENDIDIK ANAK

Oleh
Muhammad bin Ibrahim Al-Hamd

Anak adalah amanah bagi kedua orang tuanya. Maka, kita sebagai orang tua bertanggung jawab terhadap amanah ini. Tidak sedikit kesalahan dan kelalaian dalam mendidik anak telah menjadi fenomena yang nyata. Sungguh merupakan malapetaka besar ; dan termasuk menghianati amanah Allah.

Adapun rumah, adalah sekolah pertama bagi anak. Kumpulan daripada beberapa rumah itu akan membentuk sebuah bangunan masyarakat. Bagi seorang anak, sebelum mendapatkan pendidikan di sekolah dan masyarakat, dia akan mendapatkan pendidikan di rumah dan keluarganya. Ia merupakan prototype kedua orang tuanya dalam berinteraksi sosial. Oleh kerana itu, disinilah peranan dan tanggung jawab orang tua, dituntut untuk tidak lalai di dalam mendidik anak-anak.

BAHAYA LALAI DALAM MENDIDIK ANAK
Orang tua memiliki hak yang wajib dilaksanakan oleh anak-anaknya. Demikian pula anak, juga mempunyai hak yang wajib dipikul oleh kedua orang tuanya. Disamping Allah memerintahkan kita untuk berbakti kepada kedua orang tua. Allah juga memerintahkan kita untuk berbuat baik (ihsan) kepada anak-anak serta bersungguh-sungguh di dalam mendidiknya. Demikian ini termasuk sebahagian daripada menunaikan amanah Allah. Sebaliknya, melalaikan hak-hak mereka termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah. Banyak nash-nash syar’i yang mengisyaratkannya. Allah berfirman.

“Ertinya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya” (An-Nisa : 58)

“Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhamamd) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan kepadamu, sedang kamu mengetahui” (Al-Anfal : 27)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Setiap kalian adalah pemimpin dan akan dipertanggung awabkan terhadap yang dipimpin. Maka, seorang imam adalah pemimpin dan bertanggung jawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan bertanggung jawab terhadap yang dipimpinnya” [Hadits Riwayat Al-Bukhari]

“Ertinya : Barangsiapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu dia mati (sedangkan pada) hari kematiannya di dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya” (Hadits Riwayat Al-Bukhari)

SEPULUH KESALAHAN DI DALAM MEDIDIK ANAK
Meskipun banyak orang tua yang mengetahui, bahawa mendidik anak merupakan tanggung jawab yang besar, tetapi masih ramai orang tua yang lalai dan menganggap remeh masalah ini. Sehingga mengabaikan masalah pendidikan anak ini, sedikitpun tidak menaruh perhatian terhadap perkembangan anak-anaknya.

Baru kemudian, ketika anak-anak berbuat derhaka, melawan orang tua, atau menyimpang dari aturan agama dan tatasusila sosial, ramai orang tua mulai kebakaran janggut atau justeru menyalahkan anaknya. Tragisnya, banyak yang tidak sedar, bahawa sebenarnya orang tuanyalah yang menjadi penyebab utama munculnya sikap derhaka itu.

Lalai atau salah di dalam mendidik anak itu bermacam-macam bentuknya ; yang tanpa kita sedari menjadi sebab munculnya sikap derhaka kepada orang tua, mahupun kenakalan remaja.

Berikut ini sepuluh bentuk kesalahan yang sering dilakukan oleh orang tua di dalam mendidik anak-anaknya.

(1). Menumbuhkan Rasa Takut Kepada Anak
Kadang-kala, ketika anak menangis, kita menakut-nakutkan mereka agar berhenti menangis. Kita takuti mereka dengan gambaran hantu, jin, suara angin dan lain-lain. Kesannya, anak akan tumbuh menjadi seorang penakut : Takut pada bayangannya sendiri, takut pada sesuatu yang sebenarnya tidak perlu ditakuti. Misalnya takut ke kamar mandi sendiri, takut tidur sendiri kerana seringnya mendengar cerita-cerita tentang hantu, jin dan lain-lain.

Dan yang paling parah tanpa disedari, kita telah menanamkan rasa takut kepada dirinya sendiri. Atau misalnya, kita khuatir ketika mereka jatuh dan ada darah di wajahnya, tangan atau lututnya. Padahal semestinya, kita bersikap tenang dan menampakkan senyuman menghadapi ketakutan anak tersebut. Bukannya menakut-nakutkannya, menampar wajahnya, atau memarahinya serta membesar-besarkan masalah. Akibatnya, anak-anak semakin keras tangisnya, dan akan terbiasa menjadi takut apabila melihat darah atau merasa sakit.

(2). Mendidiknya Menjadi Sombong, Panjang Lidah, BongkakTerhadap Orang Lain. Dan Itu Dianggap Sebagai Sikap Pemberani.
Kesalahan ini merupakan lawan kepada point pertama. Yang benar ialah bersikap tengah-tengah, tidak berlebihan dan tidak dikurang-kurangi. Berani tidak harus dengan bersikap sombong atau bongkak kepada orang lain. Tetapi, sikap berani yang selaras tempatnya dan rasa takut apabila memang sesuatu itu harus ditakuti. Misalnya : takut berbohong, kerana dia tahu, jika Allah tidak suka kepada anak yang suka berbohong, atau rasa takut kepada binatang buas yang membahayakan. Kita didik anak kita untuk berani dan tidak takut di dalam mengamalkan kebenaran.

(3). Membiasakan Anak-Anak Hidup Berfoya-foya, Bermewah-mewah Dan Sombong.
Dengan kebiasaan ini, si anak akan tumbuh menjadi anak yang suka kemewahan, suka bersenang-senang. Hanya mementingkan dirinya sendiri, tidak peduli terhadap keadaan orang lain. Mendidik anak seperti ini dapat merosakkan fitrah, membunuh sikap istiqomah dalam bersikap zuhud di dunia, membinasakah maruah (harga diri) dan kebenaran.

(4). Selalu Memenuhi Permintaan Anak
Sebahagian orang tua ada yang selalu memberi setiap yang diingini anaknya, tanpa memikirkan baik dan buruknya bagi anak. Padahal, tidak setiap yang diingini anaknya itu bermanfaat atau sesuai dengan usia dan keperluannya. Misalnya si anak minta beg baru yang sedang trend, padahal baru sebulan yang lalu orang tua membelikannya beg baru. Hal ini hanya akan membazirkan wang. Kalau anak terbiasa terpenuhi segala permintaanya, maka mereka akan tumbuh menjadi anak yang tidak peduli pada nilai wang dan beratnya mencari nafkah. Serta mereka akan menjadi orang yang tidak boleh membelanjakan wangnya dengan baik.

(5). Selalu Memenuhi Permintaan Anak, Ketika Menangis, Terutama Anak Yang Masih Kecil.
Sering terjadi, anak kita yang masih kecil minta sesuatu. Jika kita menolaknya kerana suatu alasan, dia akan memaksa atau mengeluarkan senjatanya, iaitu menangis. Akhirnya, orang tua akan segera memenuhi permintaannya kerana kasihan atau agar anak segera berhenti menangis. Hal ini dapat menyebabkan si anak menjadi lemah dan tidak mempunyai jati diri.

(6). Terlalu Keras Dan Kaku Dalam Menghadapi Mereka, Melebihi Batas Kewajaran.
Misalnya dengan memukul mereka hingga cedera, memarahinya dengan bentakan dan cacian, ataupun dengan cara-cara keras lainnya. Ini kadang-kala terjadi ketika si anak sengaja berbuat salah. Padahal dia (mungkin) baru sekali melakukannya.

(7). Terlalu Kedekut Pada Anak-Anak, Melebihi Batas Kewajaran
Ada juga orang tua yang terlalu kedekut kepada anak-anaknya, hingga anak-anaknya merasa kurang terpenuhi keperluannya. Pada akhirnya mendorong anak-anak itu untuk mencari wang sendiri dengan bebagai cara. Misalnya : dengan mencuri, meminta-minta pada orang lain, atau dengan cara lain. Yang lebih parah lagiada pula yang tega menjual anaknya, kerana merasa tidak mampu membiayai hidup. Naa’udzubillah mindzalik

(8). Tidak Mengasihi Dan Menyayangi Mereka, Sehingga Membuat Mereka Mencari Kasih Sayang Diluar Rumah Hingga Menemui Yang Dicarinya.
Fenomena demikian ini banyak terjadi. Telah menyebabkan anak-anak terjerumus ke dalam pergaulan bebas –waiyadzubillah-. Seorang anak perempuan misalnya, kerana tidak mendapat perhatian dari keluarganya dia mencari perhatian daripada lelaki di luar lingkungan keluarganya. Dia merasa senang mendapatkan perhatian dari lelaki itu, kerana sering memujinya, merayu dan sebagainya. Hingga dia rela menyerahkan kehormatannya demi cinta buta.

(9). Hanya Memperhatikan Keperluan Jasmaninya Sahaja.
Ramai orang tua yang mengira, bahawa mereka telah memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ramai orang tua merasa telah memberikan pendidikan yang baik, makanan dan minuman yang bergizi, pakaian yang bagus dan sekolah yang berkualiti. Sementara itu, tidak ada upaya untuk mendidik anak-anaknya agar beragama secara benar serta berakhlak mulia. Orang tua lupa, bahwa anak tidak cukup hanya diberi material sahaja. Anak-anak juga memerlukan perhatian dan kasih sayang. Bila kasih sayang tidak di dapatkan dirumahnya, maka dia akan mencarinya dari orang lain.

(10). Terlalu Berprasangka Baik Kepada Anak-Anaknya
Ada sebahagian orang tua yang selalu berprasangka baik kepada anak-anaknya. Menyangka, bila anak-anaknya baik-baik sahaja dan merasa tidak perlu ada yang dikhuatirkan, tidak pernah memeriksa keadaan anak-anaknya, tidak mengenal teman dekat anaknya, atau apa saja aktivitinya. Sangat percaya kepada anak-anaknya. Ketika tiba-tiba, mendapati anaknya terkena musibah atau gejala menyimpang barulah orang tua tersentak kaget. Berusaha menutup-nutupinya serta segera memaafkannya. Akhirnya yang tersisa hanyalan penyesalan tak berguna.

Demikianlah sepuluh kesalahan yang sering dilakukan orang tua. Yang mungkin kita juga tidak menyedari bila telah melakukannya. Untuk itu, marilah berusaha untuk terus menerus mencari ilmu, terutama berkaitan dengan pendidikan anak, agar kita terhindar dari kesalahan-kesalahan dalam mendidik anak, yang boleh menjadi fatal akibatnya bagi masa depan mereka. Kita selalu berdo’a, semoga anak-anak kita tumbuh menjadi generasi shalih dan shalihah serta berakhlak mulia. Wallahu a’lam bishshawab.

(Disadur oleh Ummu Shofia dari kitab At-Taqshir Fi Tarbiyatil Aulad, Al-Mazhahir Subulul Wiqayati Wal Ilaj, Muhammad bin Ibrahim Al-Hamd)

(Disalin dari majalah As-Sunnah Edisi 12/Tahun VII/1424H/20004M, Penerbit Yayasan Lajnah Istiqomah Surakarta. Jl Solo – Purwodadi Km 8 Selokaton, Gondangrejo – Solo)

http://almanhaj.or.id/index.php?action=more&article_id=2069&bagian=0

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s