Ustaz Yang Boleh Cari Barang Hilang?


Hidup ini penuh ujian. Ujian kesenangan atau kesusahan. Ada orang yang lulus ujian kesenangan tapi tidak lulus ujian kesusahan yang dihadapi begitulah juga sebaliknya. Hidup ini memang penuh dengan ujian. Adakah kita lulus ujian tersebut? Diri masing-masing lebih arif tentangnya.

Antara ujian dalam kehidupan ialah hilang harta berharga dan barang penting. Rasanya hampir semua insan pernah merasai pengalaman ini. Persoalannya, apakah perasaan awal yang dirasai ketika mengetahui barang telah hilang? Adakah dihadapi dengan kesabaran atau keluh kesah? Jika sabar maka luluslah ujian, jika keluh kesah maka masih lagi perlu keluarkan diri dari kepompong cinta dunia kepada lingkungan cinta akhirat. Nabi saw beritahu kita bahawa kesabaran yang sebenar adalah sifat yang tercetus ketika awal kejadian. Pengasas Bank Rajihi di Arab Saudi pernah diberitahu melalui telefon bahawa ladang ayamnya yang berjumlah jutaan Riyal Saudi terbakar maka keluarlah dari mulutnya puji-pujian kepada Allah swt.

Seterusnya, apakah tindakan yang diambil selepas mengetahui bahawa barang kesayangan benar-benar telah hilang? Adakah bermunajat kepada Allah memohon supaya Allah buat yang terbaik atau hanya duduk termenung atau meminta pertolongan dari makhluk? Makhluk yang diminta pertolongan pula adakah yang boleh cuba membantu seperti polis atau makhluk yang mendakwa boleh membantu seperti tukang tilik “Pak Belalang”?

Semua tindakan di atas dibenarkan oleh Islam. Semua? Ya, semuanya dibenarkan oleh Islam KECUALI yang terakhir iaitu bertanya kepada makhluk untuk mengetahui apa yang telah berlaku. Hanya bertanya pun telah dihukum salah oleh Islam, apatah lagi menjawabnya untuk meneruskan tilikan lebih-lebih lagi tidak dibenarkan oleh Islam.

Adakah hukum tersebut hanya dakwaan Noehas? Sudah pasti Noehas tidak berani mengeluarkan hukum jika tiada dalil dan hujah dari sumber al-Quran dan hadis nabawi. Di sini Noehas bawa secara ringkas dalil yang mengharamkan perbuatan menilik barang yang hilang samada dari pihak yang bertanya atau yang menilik.

Dalil pertama ialah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim di dalam kitabnya Sahih Muslim bahawa sebahagian isteri-isteri Nabi saw telah menyatakan bahawa Nabi saw telah bersabda:

(( من أتى عرّافاً فسأله عن شيء فصدّقه ، لم تقبل له صلاة أربعين يوماً )) .

Maksudnya: Sesiapa mendatangi / menghubungi ‘arraf lalu bertanya kepadanya sesuatu kemudian dia mempercayainya tidaklah diterima baginya solat selama 40 hari.

Al-Imam al-Baghawi seorang ulama hadis yang terkenal mensyarahkan maksud ‘arraf dengan katanya:

العراف : الذي يدّعي معرفة الأمور بمقدمات يستدل بها على المسروق ومكان الضالة  ونحو ذلك

Maksudnya: ‘Arraf ialah orang yang mendakwa ada pengetahuan perkara-perkara (ghaib) dengan perantaraan tanda-tanda tertentu yang digunakannya untuk mengetahui tentang barang yang dicuri, tempat hilang dan seumpamanya.

Dalil kedua ialah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud di dalam kitab Sunan beliau dan juga ulama lain di dalam kitab mereka dari Abu Hurairah bahawasanya Nabi saw telah bersabda:

(( من أتى عرّافا أو كاهناً فصدّقه بما يقول ، فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه وسلم ))

Maksudnya: Sesiapa mendatangi/menghubungi ‘arraf atau kahin lalu dia mempercayai dengan apa yang dikatakan oleh ‘arraf / kahin maka dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad saw.

Kahin ialah orang yang memberitahu tentang sesuatu yang ghaib yang akan berlaku pada masa akan datang adapun ‘arraf seperti yang telah diterangkan dia memberitahu perkara ghaib yang telah berlaku seperti kecurian dan kehilangan yang telah berlaku.

Selain dari dalil yang jelas dari hadis-hadis tersebut, al-Quran juga menyatakan bahawa tidak ada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah sahaja, firman Allah dalam surah Al-Naml ayat 65:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتِ وَٱلْأَرْضِ ٱلْغَيْبَ إِلَّا ٱللَّهُ

Maksudnya; Katakanlah (wahai Muhammad saw kepada umat kau)  tidak mengetahui sesiapa di langit dan bumi akan perkara ghaib kecuali Allah.

Ayat-ayat seumpama inilah yang dimaksudkan oleh hadis di atas iaitu sesiapa yang mempercayai ‘arraf atau kahin maka dia telah kufur atau menolak ayat-ayat Al-Quran tersebut yang jelas menafikan bahawa tiada sesiapa yang tahu perkara ghaib kecuali Allah.

Mungkin di kalangan pembaca budiman pernah ada pengalaman yang mengesahkan bahawa sebahagian manusia mampu menilik dengan tepat dan telah terbukti melalui pengalaman. Jawapan Noehas, apa yang dikatakan tepat tersebut hanyalah kebetulan (kebetulan di dalam ilmu manusia bukan di dalam ilmu Allah) dan mainan syaitan untuk merosakkan aqidah umat Islam. Jika benar sekalipun ada orang yang mampu menilik ghaib, adakah kita hendak percaya kata-kata mereka atau kita hendak meyakini firman-firman Allah swt? Jika benar sekalipun, hukumnya tetap haram sepertimana babi dan arak yang dikatakan lebih lazat dan enak berbanding makanan dan minuman lain namun babi dan arak tetap haram walaupun realitinya lazat.

Akhir kata, mohon semua umat Islam berhati-hati di dalam masalah ini. Pastikan lulus ujian barulah dijamin kejayaan di dunia dan akhirat. Jika telah terlanjur dan pernah melakukan kesalahan bertanya kepada ‘arraf atau kahin maka janganlah meneruskan kesalahan tersebut dan bertaubatlah kepada Allah yang Maha Menerima Taubat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s