Boleh memberi salam dan menjawab salam bukan mahram

MEMBERI SALAM KEPADA WANITA

Soalan:

Kami adalah mahasiswi-mahasiswi yang menuntut di salah sebuah universiti. Sudah menjadi kebiasaan kepada kami apabila para profesor datang, mereka akan memberi salam dan kami menjawabnya dengan sebaik-baiknya atau seperti yang diucapkan sebagaimana yang diperintahkan Allah s.w.t.

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). (Surah al-Nisa`: 86)

Kami mempercayai bahawa ayat di atas bukan khusus kepada kaum lelaki sahaja. Tetapi salah seorang profesor kami tidak mengikuti kebiasaan ini dan beliau tidak memberi salam kepada kami. Pernah sekali secara terang-terangan saya bertanya kepadanya: Mengapa tuan tidak memberi salam kepada kami? Lalu beliau menjawab, memberi salam kepada wanita tidak harus mengikut syara’ dan suara wanita adalah aurat! Bagaimanapun beliau sebagai pensyarah kami, bercakap-cakap dengan kami dan kami bercakap-cakap dengannya, beliau bertanya kami menjawab dan sebaliknya. Kami sering berbincang dalam banyak perkara tanpa beliau mempertikaikan perbincangan tersebut. Jadi mengapa pula memberi salam sahaja yang ditegah? Adakah benar suara perempuan itu aurat, walaupun untuk menjawab salam atau ucapan-ucapan baik yang lain dalam keadaan menjaga adab-adab yang dituntut pada wanita muslimah ketika berdialog dengan bukan mahram?

Kami ingin sekali mengetahui hukum syara’ dalam masalah ini, sama ada yang dibolehkan kepada kami atau yang ditegah. Tetapi yang paling penting ialah apakah dalil yang memuaskan dan melapangkan hati yang dapat menghilangkan sebarang pertikaian, sebagaimana yang menjadi komitmen tuan dalam memberi fatwa. Semoga Allah memberikan manfaat akan ilmu tuan kepada kaum muslimin.

Mahasiswi-mahasiswi Universiti Qatar.

Jawapan:

Sesiapa yang memerhatikan nas-nas umum yang menyuruh supaya menyebarkan salam akan mendapati ia tidak membezakan antara lelaki dan wanita seperti hadis yang menyeru supaya memberi makanan, menyebarkan salam, menghubungkan tali persaudaraan, sembahyang malam dalam keadaan orang lain sedang tidur. Dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Demi jiwaku di tangan-Nya kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang, mahukah aku beritahu kepada kamu sesuatu yang kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? sebarkanlah salam di kalangan kamu.

Di antara dalil yang umum itu, firman Allah s.w.t.:

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). (Surah al-Nisa`: 86)

Prinsip berkenaan dengan Khitab Syari’ (mesej Allah) ialah merangkumi lelaki dan wanita kecuali yang dikhususkan dengan dalil. Berdasarkan kepada nas al-Qur`an, sekiranya seorang lelaki muslim memberi salam kepada wanita muslimah maka menjadi kewajipan kepadanya untuk menjawab salam dengan cara yang lebih baik atau sekurang-kurang dengan cara yang sama. Begitu juga sekiranya seorang wanita muslimah memberi salam kepada lelaki muslim, maka menjadi kewajipan kepadanya untuk menjawab dengan cara yang lebih baik atau dengan cara yang sama selagi nas-nas itu umum dan tidak terdapat nas lain yang mengkhususkan dan membataskannya.

Bagaimana pun terdapat nas-nas yang menyokong dan menguatkan perbuatan perempuan memberi dan menjawab salam. Nas-nas khusus itu menjelaskan keharusan lelaki memberi salam kepada wanita dan wanita memberi salam kepada lelaki. Di dalam sahih al-Bukhari, diriwayatkan bahawa Ummu Hani` binti Abi Talib berkata: “Saya pergi menemui Rasulullah s.a.w. pada hari pembukaan Kota Mekah, saya dapati baginda sedang mandi dan anaknya, Fatimah menutupnya. Saya memberi salam kepada baginda dan baginda bertanya: “Siapa itu?” Saya menjawab Ummu Hani` binti Abi Talib. Baginda bersabda: “Selamat datang Ummu Hani`. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim.

Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah tajuk, Bab Lelaki Memberi Salam Kepada Wanita Dan Wanita Memberi Salam Kepada Lelaki.

Hafiz ibn Hajar berkata: “Dengan membuat tajuk ini, al-Bukhari mengisyaratkan bahawa beliau menolak riwayat yang dikeluarkan oleh Abdul Razzaq daripada Ma’mar daripada Yahya bin Abi Kathir, bahawa sampai kepada saya, dimakruhkan kepada lelaki memberi salam kepada perempuan dan perempuan memberi salam kepada lelaki”.

Imam al-Bukhari mengemukakan dua hadis dalam bab ini yang menunjukkan keharusannya.

Hadis pertama yang diriwayatkan oleh Sahl:

Abu Hazim menceritakan bahawa Sahl berkata: Kami sangat gembira dengan kedatangan hari Jumaat. Saya (Abu Hazim) bertanya: Kenapa? Dia menjawab: “Ada seorang wanita tua yang kami kenali selalu menghantar seseorang ke Budha’ah. Ibn Maslamah mengatakan Budha’ah adalah sebuah kebun tamar di Madinah. Dia mengambil akar-akar sejenis sayur silq lalu memasukkannya ke dalam periuk dan mengisar bijiran barli. Apabila kami selesai sembahyang Jumaat kami beredar (menuju ke rumahnya) dan memberi salam kepadanya dan dia menghidangkan kepada kami makanan itu.

Hadis kedua:

Daripada ‘Aishah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai ‘Aishah, ini Jibril mengucapkan salam kepada kamu. ‘Aishah berkata, saya menjawab salamnya, Wa ‘alaihissalam wa rahmatullah”.

Kata Hafiz Ibn Hajar: “Berhubung dengan perkara ini, terdapat sebuah hadis yang tidak menepati syarat al-Bukhari iaitu hadis Asma` binti Zaid, Rasulullah s.a.w. lalu dekat kami dalam sekumpulan wanita dan baginda memberi salam kepada kami. Imam al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan dan memadai dengan syaratnya walaupun tidak menepati syarat al-Bukhari.

Hadis ini mempunyai syahid (sokongan) daripada hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat: Orang-orang lelaki memberi salam kepada wanita dan wanita tidak memberi salam kepada orang-orang lelaki. Tetapi hadis ini ditolak dengan hadis Ummu Hani` bahawa beliau memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. pada hari pembukaan Mekah dan baginda bukan mahram kepada Ummu Hani` bahkan sepupu baginda dan pernah baginda mahu mengahwininya.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad: “Mu’az pergi ke Yaman lalu bertemu dengan seorang perempuan bersamanya dua belas orang anak lelakinya. Tersebut dalam hadis itu, perempuan itu berdiri dan memberi salam kepada Mu’az.

Dalam sanadnya terdapat Syahr bin Hawsyab dan dia dipertikaikan tetapi boleh dijadikan sokongan dengannya walaupun jika beliau meriwayatkan secara berseorangan tidak boleh dijadikan hujah dan al-Tirmizi menghukumkan hadisnya sebagai hasan.

Diriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab telah datang menemui beberapa orang wanita dan beliau memberi salam kepada mereka seraya berkata: “Saya utusan Rasulullah s.a.w. kepada kamu”.

Ini merupakan petunjuk Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berhubung dengan memberi salam kepada wanita atau wanita memberi salam kepada lelaki. Tetapi kebanyakan ulama mensyaratkan keharusan itu apabila selamat daripada fitnah. Al-Halimi berkata: “Rasulullah s.a.w. kerana sifat ma’sumnya terpelihara daripada fitnah. Sesiapa yang mempercayai dirinya selamat daripada fitnah,bolehlah dia memberi salam jika tidak, diam itu lebih selamat. Al-Muhallab berkata: “Ucapan salam lelaki kepada wanita dan wanita kepada lelaki harus apabila aman daripada fitnah. Ulama mazhab Maliki membezakan di antara pemudi dan perempuan tua sebagai langkah menutup pintu kemunkaran. Setengah ulama pula mengkhususkan larangan itu kepada remaja lagi cantik. Jika seorang pemudi yang cantik dikhuatiri akan terpesona dengannya, maka tidak disyariatkan memberi salam atau menjawabnya. Rabi’ah menegah secara mutlak. Ulama Kufah, Abu Hanifah dan murid-muridnya mengatakan, tidak diharuskan perempuan memberi salam kepada lelaki kerana mereka ditegah daripada azan, iqamah dan membaca dengan nyaring dalam sembahyang, kecuali salam kepada mahram, kerana itu diharuskan kepada mahramnya.

Hujah pihak lain ialah hadis yang kami telah sebutkan iaitu hadis Sahl yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Para sahabat yang menziarahi wanita itu dan dia memberi makan kepada mereka bukanlah mahramnya.

Ijtihad-ijtihad yang dikemukakan oleh ulama sebenarnya didorong oleh rasa takut yang berlebihan dan ketelitian dan ia tidak diikat dengan nas yang sahih dan jelas. Kebanyakan sahabat dan para tabi’in tidaklah merasa takut dengan semua perasaan ini dan teliti sehingga ke tahap ini. Sesiapa yang meneliti sumber-sumber yang menyebutkan hal ehwal mereka, akan mendapati sebilangan besar mereka berpendapat bahawa tidak mengapa memberi salam kepada wanita terutamanya apabila seorang lelaki itu datang menziarahi wanita-wanita, datang sebagai orang yang merawat, mengajar dan sebagainya. Ini berbeza dengan perempuan yang ditemui di jalan awam, maka ini tidak sesuai memberi salam kepadanya selagi tidak ada sebarang hubungan yang kukuh seperti persaudaraan, persemendaan dan sebagainya.

Cukup bagi saya di sini untuk mencatatkan riwayat para salaf tentang memberi salam kepada wanita yang dinukilkan oleh Hafiz Abu Bakar Ibn Abi Syaibah dalam kitabnya al-Musannaf. Setelah mengemukakan hadis Asma bin Zaid yang kita sebutkan di atas, Ibn Abi Syaibah menyebutkan dengan sanadnya riwayat-riwayat berikut:

Daripada Jarir bahawa Rasulullah s.a.w. lalu dekat dengan perempuan-perempuan dan baginda memberi salam kepada mereka.

Diriwayatkan daripada Mujahid bahawa Ibn ‘Umar melintasi wanita-wanita lalu memberi salam kepada mereka.

Diriwayatkan daripada Mujahid juga bahawa ‘Umar melintasi wanita-wanita lalu memberi salam kepada mereka.

Daripada Ibn ‘Uyainah daripada Abi Zar katanya, Saya bertanya ‘Ata` tentang memberi salam kepada wanita-wanita. Beliau menjawab sekiranya mereka itu muda maka jangan.

Daripada Ibn ‘Aun katanya, Saya bertanya Muhammad bin Sirin, adakah saya boleh memberi salam kepada perempuan. Beliau menjawab: “Saya tidak tahu itu dilarang”.

Daripada al-Hasan bahawa beliau tidak berpendapat bahawa lelaki boleh memberi salam kepada perempuan kecuali dia datang menemui perempuan di rumahnya, maka dia boleh memberi salam kepada perempuan itu.

Daripada ‘Ubaidullah katanya, ‘Amar bin Maimun memberi salam kepada wanita-wanita dan kanak-kanak.

Diriwayatkan daripada ‘Amar bin ‘Uthman katanya, saya melihat Musa binTalhah lalu dekat perempuan-perempuan yang sedang duduk kemudian memberi salam kepada mereka.

Daripada Syu’bah katanya, saya bertanya al-Hakam dan Hammad tentang memberi salam kepada perempuan-perempuan. Hammad mengatakan makruh kepada orang muda dan orang tua. Al-Hakam mengatakan, Syuraih memberi salam kepada setiap orang. Saya bertanya, kepada perempuan-perempuan? Dia menjawab kepada setiap orang.

Sandaran paling kuat bagi pihak yang melarang ialah takutkan fitnah yang sepatutnya dijaga dengan semampunya oleh seorang muslim demi menjaga agamanya dan maruahnya. Ini merujuk kepada hati seorang muslim dan perkiraannya dan dia hendaklah bertanya kepada hatinya. Dalam persoalan kita ini, kami berpendapat ada kelainan:

Memberi salam kepada sekumpulan wanita dan pemudi tidak sama dengan memberi salam kepada seorang perempuan.

Memberi salam dalam dewan kuliah yang terdapat ketenangan dan keseriusan tidak sama dengan memberi salam di jalan dan tempat-tempat seumpamanya.

Ucapan salam guru kepada pelajar-pelajar perempuan tidak sama dengan orang biasa. Rata-rata usia guru pada peringkat bapa atau datuk.

Profesor yang bersikap wara’ untuk tidak memberi salam masih terus bertanya kepada para mahasiswinya dan mereka pula bertanya kepadanya dan mereka saling memberikan jawapan. Oleh itu, tidak ada erti mengharuskan semua ini tetapi melarang ucapan salam sahaja. Membangkitkan soal fitnah di sini tidak ada ma’na kerana ucapan salam tidak melebihi percakapan, dialog dan perbincangan dalam kelas dan kuliah.

Jika meninggalkan ucapan salam menyebabkan pelajar-pelajar perempuan terasa jauh daripada adab kesopanan maka sepatutnya diberikan salam untuk mengelakkan diri daripada kegusaran hati dan mengelakkan daripada menyakiti orang lain.

Berhubung dengan kata-kata suara perempuan itu aurat, saya mengatakan tidak ada alasan tentangnya dan itu bukan pendapat ulama mu’tabar.

Bagaimana boleh begitu sedangkan Allah s.w.t. berfirman:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ

Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. (Surah al-Ahzab: 53)

Ma’na ayat ini ialah mereka menjawab pertanyaan orang bertanya mereka dari balik tabir. Demikianlah yang dilakukan oleh ‘Aishah dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain. Mereka menjawab soalan dan meriwayatkan hadis-hadis dan sirah dalam keadaan mereka ditentukan hukum yang ketat dan keras yang tidak ditentukan kepada perempuan-perempuan lain.

Berapa ramai perempuan-perempuan yang bertanya dan bercakap-cakap dalam majlis Rasulullah s.a.w. Berapa banyakkah peristiwa yang berlaku yang tidak terhitung di zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat di mana wanita-wanita bercakap-cakap dengan lelaki, bersoal jawab, berbincang tetapi tidak ada seorangpun yang berkata kepada seorang perempuan, diamlah kerana suara kamu aurat!

sumber : http://www.darulkautsar.com/fatwaqardawi/salam.htm

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s