Nazar adat dan maksiat. Perlu kafarahke?

Nazar berambut panjang

Berikut ini terdapat dua e-mail mengenai masalah nazar:

Nama penuh: muhamad mahyudin
E-email: ayudin@hotmail.com
Assalammuaalaikum......
Di sini saya ada satu kemusyikilan tentang bab nazar.. Apabila seseorg bernazar sebagai contoh saya bernazar untuk tidak memotong rambut sehingga saya masuk universiti ....adakah itu di nama kan nazar??. kerana saya kurang faham disebabkan selalunya nazar dibayar setelah sesuatu hajat diperkenankan......sehingga kini saya masih ragu-ragu utk memotong rambut dan rasa sungguh menyesal..kerana terpaksa mengambil peperiksaan dgn rambut yg panjang..
seandainya saya memotong rambut adakah saya berdosa besar??.... dan ada tak cara lain untuk saya menggantikan nazar saya atau atas tindakan saya seperti di atas dengani berpuasa atau sbgnya...... Di harapkan tuan dapat menjawab soalan saya secepat mungkin kerana saya akn mengambil peperiiksaan spm pd 23 hb 11 ini........
sekian terima kasih....


Nazar adakan kenduri

E-email:imah@utusan.com.my
Assalamualaikum w.b.t
Saya pernah bernazar untuk membuat kenduri doa selamat semasa membeli rumah. Setelah transaksi pembelian rumah selesai saya masih belum menunaikan nazar tersebut. Sekarang saya dalam proses menjual rumah tersebut dan sudahpun berpindah rumah. Soalan saya ialah bolehkah saya membuat kenduri doa selamat untuk nazar saya itu di rumah yang baru saya duduki.Wassalam.


JawabSemoga ALlah memberi kemudahan kepada penyoal, dan terimakasih kerana mengunjungi aL-AHKAM online. Alhamdulillah, inilah jawapnnya:

Nazar ialah mewajibkan sesuatu ketaatan yang tidak wajib pada asalnya, untuk mendekatkan diri hamba kepada Tuhannya.
Ia merupakan satu peribadatan kuno, dan telah diberitakan oleh al-Quran di dalam surah al-Imran:35.

——-
Hukum nazar secara umumnya adalah harus, dasarnya ialah al-Quran surah al-Baqarah:270, surah al-Hajj:29, surah al-Insan:7 dan surah al-Ahzab:23.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan barangsiapa yang bernazar memaksiati Allah maka jangan kamu maksiatinya. (HR Bukhari dari Aisyah).

————
Nazar mempunyai dua macam, iaitu:
1. Nazar mutlak
2. Nazar mu’allaq

Penjelasannya:
1. Nazar mutlak
Mewajibkan diri dengan sesuatu ketaatan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas apa yang diperolehi dan yang telah berlaku, samada berbentuk nikmat atau terhindar dari bala’. Contoh bernazar setelah Allah melepaskannya dari kesengsaraan dan kesedihan atau Allah mengurniakannya dengan rezeki.
Nazar ini lafazkan setelah memperolehi nikmat atau terhindar bala’. Nazar begini hukumnya adalah diharuskan. Manakala menurut Maliki disunatkan.

2. Nazar mu’allaq
Iaitu bernazar dengan ketaatan atas sesuatu yang akan datang (belum berlaku). Seperti bernazar akan melakukan suatu ketaatan jika Allah mengabulkan hajatnya, atau jika impiannya terlaksana. Nazar yang bersyarat begini hukumnya adalah makruh menurut kebanyakan ulamak Syafi’i, Hanbali dan Maliki. Kerana perbuatan taat yang mahu dilakukan bergantung kepada tercapai atau tidaknya apa yang dimahukan. Ternyata di sini bahawa amalannya itu bukanlah untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi dengan niat sebagai barang ganti. Seolah-olahnya.. Jika Allah laksanakan kemahuan aku, aku akan mendekatkan diri kepadaNya, jika tidak, maka aku tidak lakukan. Ia disebut sebagai orang yang bakhil.

Manakala sebahagian ulamak antaranya ialah sebahagian ulamak Maliki mengatakannya sebagai harus.

Jika nazar yang diucapkan disertakan dengan i’tiqad bahawa nazar yang dibuat ini memestikan hasratnya tercapai, atau beri’tiqad bahawa Allah Taala melaksanakan hasratnya disebabkan oleh nazarnya itu, maka i’tiqad seperti ini adalah satu niat yang buruk, keji dan rosak. Ia hampir kepada kufur. Ia termasuk di dalam dosa besar.

———
Hukum menunaikan janji nazar
Bernazar adalah berjanji dengan ALlah Taala untuk melakukan sesuatu ketaatan.
Menunaikan nazar yang dibuat adalah wajib jika nazar itu adalah yang berbentuk pendekatan diri kepada Allah, seperti bernazar akan berpuasa sunat, bersedekah dll. Jika nazar itu adalah nazar maksiat, maka tiada apa yang dapat diakui sebagai nazar di dalam perkara maksiat begini. Tidak wajib ditunaikan, bahkan diharamkan menunaikannya. Seperti bernazar akan membunuh orang atau akan berjudi dll. Dalilnya adalah hadis riwayat Aisyah r.a. yang lalu. Dan sabdanya lagi:
“Tiada nazar kecuali pada sesuatu yang mengharapkan zat Allah di dalamnya.” (HR Ahmad & ABu Daud dari Amru bin Syuib dari bapanya dari datuknya).

———
Masalah:
Bagaimana dengan nazar yang berbentuk perkara-perkara adat. Bukan ketaatan dan bukan maksiat, seperti bernazar akan berdiri di tengah panas jika mendapat sesuatu yang diinginkan. Atau bernazar akan berjalan kaki beberapa km jika berjaya mendapatkan sesuatu. Atau aku tidak akan makan daging jika begini dan begini….

Nazar seperti ini juga tidak wajib dilaksanakan. Di dalam matan Abu Syujak (kitab mazhab Syafi’i) ada menyebutkan:
“Tidak wajib melaksanakan nazar atas meninggalkan perkara-perkara yang mubah (harus = bukan taat dan bukan maksiat), seperti katanya: aku tidak akan makan daging dan tidak akan minum susu”

Dalilnya ialah hadis:
Dari Ibnu Abbas r.a., ketika Nabi s.a.w. berkhutbah, seorang lelaki berdiri, dan nabi bertanya mengenainya. Seseorang berkata: “Ini adalah Abu Israel bernazar untuk terus berdiri di bawah terik matahari, tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh, tidak mahu bercakap dan terus berpuasa.” Nabi s.a.w. bersadba: “Suruhlah dia bercakap, berteduh, duduk dan menyelesaikan puasanya.” (HR Bukhari, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Dari Uqbah bin Amir, katanya: Saudara perempuanku telah bernazar untuk berjalan kaki ke Baitillah, lalu dia menyuruh aku meminta fatwa dari Rasulullah s.a.w. Akupun meminta fatwa dari baginda, sabdanya: “Berjalanlah dan menungganglah.” (HR Bukhari & Muslim) – Ia bermaksud menungganglah untuk ke Baitullah.

———-
Kafarah nazar:
Jika tidak mampu melaksanakan janji nazarnya, ia hendaklah membayar kafarah. Iaitu seperti kafarah sumpah, iaitu memilih salah satu dari perkara berikut:
1. Memerdekakan hamba
2. Memberi makan 10 orang miskin, setiap orang satu mud, atau pakaian setiap seorang.
3. Berpuasa selama tiga hari.

Dalilnya terdapat di dalam surah al-Maidah:89)

Masalah:
Bagaimana dengan nazar atas perkara maksiat? Apakah perlu kafarah?
Memang, orang yang bernazar atas perkara maksiat dilarang menunaikan nazarnya (haram), tetapi tentang kafarahnya:
1. Jumhur ulamak mengatakan tidak wajib kafarah. Al-Qurthubi berkata: Di dalam hadis Abu Israel adalah hujah bagi jumhur ulamak tentag hukum tidak wajib kafarah ke atas nazar maksiat atau sesuatu yang tiada ketaatan di dalamnya (perkara adat).

Imam Malik berkata: AKu tidak mendengar bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkannya agar membayar kafarah.

2. Sebahagian ulamak mengatakan wajib kafarah. Dalilnya, hadis nabi s.a.w. dari Uqbah:
Kafarah nazar adalah kafarah sumpah. (HR Muslim).

Masalah:
Bagaimana pula dengan nazar atas perkara adat? Apakah perlu kafarah?
Pendapat ulamak mengenainya sama seperti masalah nazar atas perkara maksiat. Kebanyakan ulamak mengatakan tidak wajib kafarah.


Kembali kepada masalah yang ditanyakan…
Masalah pertama ialah bernazar tidak akan memotong rambut. Ia adalah perkara adat. Bukan ketaatan dan bukan maksiat. Oleh itu ia tidak wajib dilaksanakan. Apakah wajib kafarah? Menurut jumhur ulamak: Tidak wajib. Bolehlah saudara potong rambut dan menduduki peperiksaan dengan tenang.

Masalah kedua ialah bernazar mahu mengadakan kenduri semasa membeli rumah. Mengadakan kenduri sebagaimana yang dilakukan di malaysia menurut sebahagian ulamak adalah suatu perkara yang baik. Di dalamnya mengandungi zikir, doa, memberi makan kepada orang lain dll. Berdasarkan pendapat ini, ia termasuk ketaatan bukan adat. Jika begitu, segera tunaikan janji saudari kepada ALlah. Boleh lakukannya.

Bagi yang mengatakan bahawa kenduri itu bid’ah, tidak perlu lakukan…

Sekian. Wallahu a’lam.

Rujukan:
Kifayatul Akhyar, vol 2
Al-Feqhul Wadhih, vol 2

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s