Tokok Tambah Dalam Puasa (2)

at 6:08 PM

(2) Mewajibkan lafaz niat

Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.

TOP

(3) Menetapkan waktu imsak

Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. (al-Baqarah 2:187)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”(17)

Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.

TOP

(4) Menghukum makruh jika mandi ketika puasa

Antara hukum yang ditokok tambah ialah kononnya makruh untuk mandi pada petang hari ketika berpuasa. Yang benar hukumnya adalah sunnah kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyiram air ke kepalanya kerana haus atau panas. Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu ‘anh berkata:

Aku melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.(18)

Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:(19)

Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun.

TOP

(5) Qadha dua kali apabila berbuka dalam puasa qadha

Termasuk hukum yang ditokok tambah adalah, jika seseorang itu sedang mengqadha puasa lalu dia membuka puasa tersebut sama ada kerana sengaja atau tidak, maka dia perlu mengqadha sebanyak dua puasa, yang pertama puasanya yang asal manakala yang kedua adalah puasa qadha yang dibukanya itu. Contoh, jika seorang muslimah sedang berpuasa untuk menqadha puasa Ramadhannya yang lalu, kemudian pada siang hari dia didatangi haid sehingga terpaksalah dia berbuka, maka kononnya dia diwajibkan qadha dua kali, pertama adalah mengqadha puasa Ramadhan yang lalu, kedua mengqadha puasa qadha yang dibukanya.

Yang benar muslimah tersebut hanya perlu mengqadha sekali, iaitu puasa Ramadhan yang lalu. Demikian juga, sesiapa yang membuka puasa qadhanya maka kewajipan dia hanya mengqadha sekali, iaitu puasa asal yang perlu diqadhanya. Ini kerana maksud “qadha” ialah melaksanakan suatu ibadah di luar waktunya dan kewajipan mengqadha hanyalah ke atas ibadah yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktunya yang asal. Tidak ada qadha ke atas ibadah yang sedang dilakukan di luar waktunya yang asal.

TOP

(6) Membayar fidyah jika puasa qadha ditunda ke tahun seterusnya.

Sebahagian pendapat menyatakan, jika seseorang itu memiliki sejumlah puasa Ramadhan yang perlu diqadha, lalu dia tidak mengqadha dalam tahun tersebut sehingga menundanya ke tahun hadapan, dia wajib membayar fidyah sebagai denda di atas penundaan tersebut. Pembayaran fidyah ialah sekali makanan yang mengenyangkan mewakili setiap hari bagi setiap tahun yang ditunda. Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat sebagaimana jelas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi:(20)

Adapun jika penundaan puasa qadha terjadi tanpa keuzuran, maka ada keterangan daripada sejumlah sahabat yang mengatakan bahawa dia wajib memberi makan orang miskin (fidyah) setiap hari sebagai denda bagi penundaannya. Pendapat ini dipegang oleh Malik, al-Tsauri, al-Syafi‘e, Ahmad dan lain-lain.

Ada pendapat lain yang menyebut bahawa hal itu (penundaan puasa qadha) tidak menuntut apa pun selain qadha. Ini adalah pendapat al-Nakha‘e, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya serta dikuatkan oleh pengarang kitab al-Raudhah al-Nadiyah. Ini kerana tidak ada dalil apa jua tentang hal itu (penundaan puasa qadha) yang dapat disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika ada sekali pun, paling kuat ia adalah kata-kata sekelompok sahabat. Tentu ini bukan hujah bagi seseorang kerana kita tidak boleh beribadah kepada Allah dengan hujah seseorang. Oleh itu kerana itu, hukum bagi hal ini (penundaan puasa qadha) adalah neutral dan dikembalikan kepada dasarnya (iaitu qadha sahaja tanpa fidyah). Tidak boleh menggunakan nukilan daripada kata-kata sahabat (dalam bab hukum-hakam) melainkan hadis (Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam) yang sahih.

Saya (Syaikh al-Qaradhawi) melihat bahawa mengambil dalil daripada kalangan sahabat hanyalah sekadar hal-hal yang sunat, bukan wajib. Adapun yang wajib, kita memerlukan nas dalil daripada yang maksum (yakni Rasulullah) dan ini tidak kita perolehi.

Oleh itu dalam persoalan ini, yang lebih mendekati kebenaran ialah tidak perlu membayar fidyah. Seseorang yang menunda puasa qadhanya ke tahun seterusnya hanya wajib mengqadha, tidak lebih dari itu.

TOP

(7) Puasa dua dalam satu

Dalam sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.

Di sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah ‘Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau mengubahsuai sesuatu ibadah.

Justeru yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:(21)

Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A’isyah radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.

Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.

Tidak dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya. Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.

Di sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan dalam menerima sesuatu ajaran agama.

Demikian beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Nasihat penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah ayat 59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama dalam beragama.

Nota kaki:
(17) Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 617 (Kitab Azan).

(18) Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang disiram ke atasnya air…).

(19) Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud (Dar al-Fikr, Beirut 1995), jld. 6, ms. 395.

(20) Fiqh al-Siyam, ms. 98.

(21) Pedoman Puasa (Thinker’s Library, Kuala Lumpur 1996), ms. 136-137

Sumber: “Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa” susunan Kapten Hafiz Firdaus bin Abdullah. Download di sini >> http://uploads.bizhat.com/file/317213

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s