Ke Arah Menghayati Solat Tarawih

Ke Arah Menghayati Solat Tarawih

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

1. Solat Tarawih hukumnya sunat

2. Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian

3. Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih

4. Beberapa sifat solat yang diremehkan:

Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.

Meninggalkan bacaan Doa Iftitah dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.

Mengabaikan Thama’ninah.

Bersolat dengan terburu-buru.

Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.

Tidak menjaga disiplin berjamaah

5. Berzikir di antara solat Tarawih


Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.(1)

Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah ke hari ini tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam bulan Ramadhan dengan bersolat Tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan cara yang sebaik-baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pertama: Solat Tarawih hukumnya sunat.

Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih hukumnya tidak wajib. Para ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat, iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.

Perlu digariskan bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia beri perhatian pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu dibezakan seperti berikut:

1. Amal yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.

2. Amal yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.

3. Amal yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil jumlahnya.

4. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.

Maka atas konsep Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara menjaga ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menjaga ibubapanya. Jika seseorang terpaksa memilih antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menuntut ilmu.

Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu melaksanakan solat Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih dengan bersolat di sisi ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya dalam rangka berehat sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu sendiri pada asalnya adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam perbincangan seterusnya.

TOP

Kedua: Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara bersendirian di rumah. Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam.

Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”(2)

Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian.

2. Jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan sabda baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”

Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara berjamaah hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat sebagaimana yang telah disebut di atas.

TOP

Ketiga: Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih.

Jika dikaji semua riwayat berkenaan jumlah rakaat solat Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan generasi al-Salaf al-Shalih (generasi awal umat Islam) radhiallahu ‘anhum selepas kewafatan baginda, dapat dirumuskan bahawa sebenarnya tidak ada ketetapan tertentu bagi jumlah rakaat solat Tarawih. Solat Tarawih termasuk dalam kategori solat sunat pada malam hari. Muhammad bin Nashr al-Mawarzi rahimahullah (294H) di dalam kitabnya Qiyam al-Ramadhan menyebut:

Aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal (rahimahullah 241H) tentang jumlah rakaat yang dia lakukan untuk solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih). Saat itu dia menjawab: “Dalam masalah ini ada kepelbagaian sehingga mencapai 40 macam. Ini kerana solat tersebut (Qiyam Ramadhan/Solat Tarawih) tidak lain hanyalah solat sunat biasa.(3)

Solat-solat sunat malam boleh dilaksanakan daripada selesai solat Isyak sehinggalah terbit fajar tanpa memiliki apa-apa batas minimum atau maksimum bagi jumlah rakaatnya. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma menerangkan:

Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.(4)

Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:

Sesungguhnya tentang solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih), Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) tidak menentukan jumlah rakaatnya, hanya sahaja baginda sendiri melaksanakannya tidak lebih daripada 13 rakaat sama ada dalam bulan Ramadhan atau selainnya. Ini baginda laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila ‘Umar (radhiallahu ‘anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjamaah (mengerjakan Solat Tarawih) dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu ‘anh), dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat Witir 3 rakaat. Ini beliau lakukan dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan bacaannya.

Setelah itu sekumpulan daripada generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih) secara 40 rakaat dan solat Witir 3 rakaat manakala selainnya dengan 36 rakaat dan 3 rakaat Witir. Semua ini telah berlaku dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadhan dengan apa sahaja jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.

Yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan lama, maka adalah lebih afdal melaksanakan solat (Tarawih) dengan 10 rakaat dan 3 Witir sebagaimana yang dilaksanakan sendiri oleh Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat (Tarawih) dengan 20 rakaat adalah lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara 10 rakaat dan 40 rakaat.

Dan jika dilaksanakan solat (Tarawih) dengan 40 rakaat atau selainnya maka itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan oleh tidak seorang dari para imam seperti Imam Ahmad (bin Hanbal) dan selainnya. Dan sesiapa yang beranggapan bahawasanya solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah rakaatnya daripada Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan.(5)

Setelah menghimpun dan mensyarah semua hadis yang ada di dalam bab solat Tarawih, al-Syaukani rahimahullah (1252H) membuat rumusan:

Kesimpulannya, hadis-hadis di dalam bab ini (Solat Tarawih) menunjukkan kepada pensyari’atan melaksanakan solat pada malam bulan Ramadhan. Solat ini boleh dilaksanakan secara berjamaah atau sendirian. (Adapun) membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih” dengan jumlah rakaat yang tertentu dan mengkhususkannya dengan bacaan-bacaan tertentu tidak pernah ditunjuki oleh sunnah.(6)

Daripada nukilan-nukilan di atas, dapat dirumuskan beberapa poin penting:

1. Solat Tarawih sebenarnya adalah solat sunat malam. Ia hanya berbeza dari sudut istilah, tidak dari sudut hakikatnya. Oleh itu jumlah rakaat bagi solat Tarawih tidak ada batasnya sebagaimana kebiasaan solat sunat malam.

2. Membiasakan gelaran “Solat Tarawih” menyebabkan sebahagian orang menganggapnya sebagai solat sunat yang khusus. Dengan itu mereka juga mengkhususkan rakaat yang tertentu dan bacaan surah-surah yang tertentu pada rakaat yang tertentu. Sebenarnya pengkhususan ini adalah tidak berasas.

3. Seseorang itu, berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat dirinya sendiri, boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang sesuai dengan keadaannya. Masing-masing individu boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang dicenderunginya tanpa ada pihak yang boleh mengatakan itu benar atau salah.

Diketahui bahawa ada sebahagian pihak yang berpendapat bahawa solat Tarawih adalah 8 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini adalah lemah sebagaimana yang dibuktikan oleh Ismail al-Anshari dalam bukunya yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi. Ia telah diterjemahkan dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat terbitan Pustaka Firdaus, Jakarta 2003. Selain itu diketahui juga bahawa ada pihak yang berpendapat solat Tarawih adalah 20 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini juga adalah lemah sebagaimana yang telah penulis bahas dalam buku Solat Tarawih: Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa yang Menetapkannya Kepada 20 Rakaat terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2000.

Nota kaki:
————————-
(1) Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 759 (Kitab Solat, Bab Anjuran beribadah pada malam Ramadhan…)

(2) Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i – hadis no: 1604 (Kitab Solat malam, Bab Solat Malam pada bulan Ramadhan)

(3) Dinukil daripada buku Ismail al-Anshari yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi; edisi terjemahan oleh Mahfud Hidayat dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat (Pustaka Firdaus, Jakarta 2003), ms. 83

(4) Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 473 (Kitab Solat, Bab Duduk berlingkaran dalam masjid).

Pihak yang menetapkan solat Tarawih kepada rakaat tertentu berhujah bahawa hadis di atas tidak merujuk kepada perbincangan rakaat tetapi merujuk kepada waktu menunaikan solat-solat sunat malam. Hujah ini adalah lemah dan tertolak dari dua sudut:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merujuk kepada persoalan tentang kaifiat (tatacara) solat-solat sunat malam. Perbincangan tentang jumlah rakaat termasuk dalam keumuman kaifiat solat.

2. Seandainya jumlah rakaat solat-solat sunat malam memiliki ketetapan, sudah tentu ia termasuk hal penting yang akan dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika menjawab persoalan tersebut. Ini kerana hal yang penting tidak boleh ditangguh atau dilengah-lengahkan penjelasannya. Apabila Rasulullah tidak menjelaskannya, sama ada dalam hadis ini atau hadis-hadis yang lain, bererti ia sememangnya tidak memiliki ketetapan.

(5) Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 22, ms. 272

(6) Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar (Dar al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 2, ms. 269

Sumber: “Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa” susunan Kapten Hafiz Firdaus bin Abdullah. Download di sini >> http://uploads.bizhat.com/file/317213

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s