Apakah sifat lampau ibubapa menurun kepada anak?

Benarkah perbuatan lampau ibu bapa (yg jahat/baik) akan turun pada anak-anaknya?
Kerana sebelum berkahwin saya & suami bukanlah seorang yg baik dari segi agama dan tingkah laku.Tetapi kami telah berubah sejak berkahwin dan setelah mempunyai anak.

jawapan:

Alhamdulillah, inilah jawapannya:

a. Pendidikan anak-anak menurut Islam bermula dari diri ibubapa itu sendiri, sejak sebelum aqad lagi. Sebab itu kita dianjurkan agar memilih isteri atau suami yang baik dari sudut agama dan akhlaknya.Kemudian pendidikan itu berlanjutan selepas aqad dan seterusnya…..

b. Taufiq dan hidayah berada di dalam genggaman Allah Taala. Manusia diberikan potensi untuk mencapainya. Juga punya ikhtiar untuk memilih samada mahukannya ataupun tidak. Setelah berusaha atas pilihan itu, Allah jua tempat berserah, samada Dia akan memperkenankannya ataupun tidak. Doa disyariatkan untuk kita memohon agar kita sentiasa diberi taufiq dan hidayahNya.

Tidak semua manusia diberi nikmat iman dan Islam. Manakala yang punya iman dan Islam, tidak semua yang berada dalam keadaan taat kepadaNya. Ada yang semasa remaja, kehidupannya bergelumang dengan maksiat dan keengkaran. Namun Allah memberinya petunjuk dan dia kembali ke dalam dakapan rahmat Allah.

Ada yang semasa mudanya berada dalam ketaatan kepada Allah, kemudian Allah pesongkan jalan kehidupannya. Jadilah dia orang yang sesat.

Itu semua adalah kekuasaan mutlak dari Allah Maha Pencipta. Kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidup kita, genarasi kita. Banyak bukti `hidup’ tentang kekuasaan mutlak Allah dalam mengurniakan dan menarik balik kurniaan Iman dan Islam. Ketaatan dan pengengkaran. Ada sebahagian hamba Allah yang mungkin kita dilihat sebagai `tidak ada harapan’ untuk baik dan menjadi soleh. Tetapi dengan kekuasaan mutlak yang dimiliki, Allah menurunkan sebab, yang adakalanya terlalu remeh. Dengannya, hamba ALlah ini bertukar menjadi hamba taat. Hatinya penuh dengan rasa cinta kepada agamanya.

Begitu juga sebaliknya.. Asalnya taat, kemudian dengan sebab dan ujian kecil, ada yang dicabut terus iman dan Islamnya dari dadanya. Dia menjadi murtad. Moga ALlah melindungi kita darinya.

Sebagai hambaNya kerdil, apa yang mampu kita lakukan ialah berikhtiar dan berdoa. Ikhtiar dan doa bukan hanya untuk diri kita malahan untuk keluarga, anak-anak, genarasi berikutnya dan kaum muslimin seluruhnya. FirmanNya:
Ertinya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan:74)

FirmanNya lagi:
Ertinya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Ibrahim:40)

c. Puan yang bertanya hendaklah bersyukur kepada Allah kerana dengan sifat Rahman dan RahimNya, Dia telah membuka lorong-lorong kebaikan dan cahaya kepada puan setelah berada di dalam kegelapan. Tanpa cahaya amal dan ketaatan. Kewajipan puan suami isteri sekarang ini dan dihari mendatang ialah memelihara kurnia ketaatan ini dan berusaha menambahkannya lagi. Bagaimana? Iman dan Islam hendaklah dibajai dengan amal. Pelihara dan bentenginya dengan ilmu. Hiasinya dengan akhlak yang terpuji.

Ketahuilah, bahawa ALlah amat menyukai orang-orang yang bertaubat. Dan orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tiada dosa lagi.

d. Benarkah perbuatan lampau ibu bapa (yg jahat/baik) akan turun pada anak-anaknya?
Jawab: Saidina Umar r.a., apabila mengenangkan masa lampaunya ketika jahiliyah.. Adakalanya dia tersenyum, dan adakalanya dia menangis. Dia tersenyum kerana perbuatan bodohnya menyembah tuhan (berhala) yang dibuat dari makanan. Lalu apabila lapar, tuhan itu dimakannya. Dan, dia menangis kerana begitu keras dan mati hatinya sehingga tergamak menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Itulah keadaan Umar ketika jahiliyah. Namun setelah Allah buka hatinya kepada Islam, bagaimana keadaan Umar? Dia adalah orang yang digelar al-Faruq, iaitu pembeda antara yang haq dan yang batil. Umar yang pendapatnya banyak berbetulan dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Umar yang meredhai Tuhannya dan Tuhannya meredhainya.

Anak Umar pula.. Siapakah yang tidak mengenal Abdullah bin Umar. Iaitu salah seorang dari para fuqahak besar pada zamannya.

Seandainya kejahatan masa silam ibubapa faktor mutlak perangai kepada anak-anak, sudah tentu Abdullah Ibnu Umar tidak seperti Ibnu Umar yang kita kenal.

Jangan berputus asa terhadap masa silam. Pandanglah ke hadapan.

Ada kata-kata bijak pandai: Da’il Qalaqa Wabda’il hayah (Tinggalkanlah keluh kesah, dan mulakanlah hidup baru).

————–
Guru kami sering berpesan agar kami semua bercita-cita tinggi, bersemangat kuat dan berusaha keras. Katanya, cita-cita, semangat dan usaha yang tinggi, sekalipun gagal dicapai, ia akan menurun kepada anak-anak. Sebab itu guru kami tidak memandang kepada pencapaian, tetapi kepada usaha, semangat dan cita-cita kami. Katanya, hasilnya samada berjaya atau tidak, itu adalah kerja Allah Taala. Kewajipan kita ialah berusaha dan bercita-cita tinggi.

—————–
Pandangan-pandangan para ulamak yang di dasarkan kepada firman ALlah dan sabdaan rasulNya mengenai pendidikan antara isikandungannya ialah:
* Pendidikan anak-anak bermula dari dalam kandungan lagi, bahkan sejak sebelum itu lagi.
* Pendidikan anak-anak adalah satu usaha yang berterusan. Ia tidak boleh putus.
* Pendidikan anak-anak mengandungi unsur-unsur yang pelbagai yang saling bertautan.

Ia adalah satu peringatan kepada ibubapa dan pendidik agar tidak mengabaikan pendidikan terhadap anak-anak.

Begini.. Alangkah baiknya jika kita dapat mendidik anak-anak dari peringkat awal lagi. Semasa anak itu dilahirkan kita azankan dan iqaomahkan ke telinganya. Kita beri nama yang baik. Kita aqiqahkannya dsbnya… Namun apabila masa itu telah terlepas akibat kejahilan kita di masa lalu, apakah bermakna anak itu sudah tidak punya harapan lagi? Sudah tentu masih punya harapan lagi…

Sekarang ini di mana kita sedang berdiri? Kita sudah sedar dan kejahilan sudah kita padamkan.. Maka masih belum terlambat untuk memulakannya dari tempat kita berdiri.

Apabila anak-anak itu sudah serong langkahnya, apakah sudah tidak ada harapan lagi… Masih belum terlambat, mulakanlah dari tempat kita berdiri itu. Jangan tangguh menanti dua tiga tapak ke hadapan.

Seterusnya.. Seandainya anak itu telahpun dewasa atau separuh umur, ibubapapun sudah tiada, apakah dia boleh berkata: “Sudah terlewat, aku tidak dapat diselamatkan lagi.. Apa boleh buat dulu ibubapa aku seorang ahli maksiat. Tidak didik aku dengan agama..”

Ini adalah kefahaman yang salah. Pendidikan dan taubat tidak pernah ditutup pintunya kepada sesiapapun sehinggalah nyawa seseorang berada ditenggorokan. Hatta, ketika hendak mati, Islam masih membuka pintu pendidikan dan taubat dengan mentalqinkan (mengajar) kalimah tauhid di telinganya.

Wallahu a’lam

Rujukan:
Al-Quran
Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Abdullah Nashih Ulwan.

Panel aL-AHKAM online

http://members.tripod.com/ahkam_2/soaljawab/soaljawab150.htm

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s