Menukar Nama Bagi Orang Yang Peluk Islam

[1]Hukum Menukar Nama

Nama adalah pengenalan bagi seorang manusia. Seseorang itu akan dipanggil dan dikenali melalui namanya. Urusan kehidupan dunia ini menuntut setiap manusia agar mempunyai nama, justeru semua tamadun manusia menggunakan nama sebagai pengenalan diri. Di dalam Islam nama bukan sahaja digunakan untuk urusan di   dunia bahkan nama juga akan dipanggil di akhirat kelak. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang disahihkan oleh an-Nawawi dan Ibn Hibban, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu”.

Oleh kerana nama ini merupakan syiar bagi insan, Rasulullah S.A.W telah menukarkan nama beberapa orang sahabat yang tidak baik maknanya kepada nama yang mempunyai makna yang baik. Kata Abu Daud:

“…Nabi S.A.W telah menukar nama al-‘As (keengkaran), ‘Aziz (salah satu daripada nama Allah yang bermaksud Maha Perkasa), ‘Atalah (kasar dan keras), Syaitan, al-Hakam (salah satu daripada nama Allah yang bermaksud Maha Bijaksana), Ghurab (jauh atau burung gagak), Hubab (nama bagi syaitan dan nama sejenis ular) dan Syihab (nyalaan api) kepada Hisyam (pemurah) dan menukarkan nama Harb (perang) kepada Salm (perdamaian)….”

            Berdasarkan himpunan nas-nas syarak, dapat disimpulkan bahawa hukum menukarkan nama bagi seorang Muslim adalah berbeza mengikut keadaan:

i- Wajib:

            Sepakat para sarjana Islam mengharamkan setiap nama – tidak kira dalam bahasa apa sekalipun – yang berunsur kufur, syirik dan menyaingi Allah seperti nama-nama dewa dan berhala. Ini berdasarkan hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.AW bersabda:

 “Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja).”

An-Nawawi telah menamakan bab bagi hadith-hadith seperti ini sebagai: Pengharaman memakai nama Malik al-Amlak dan Malik al-Mulk (Raja Segala Raja).Jika begitu, tentulah menukarkannya kepada yang lebih baik hukumnya wajib.

ii- Mustahab (Sunat):

            Selain daripada nama-nama yang diharamkan tetapi mengandungi makna yang tidak elok, sunat untuk diubah. Tiada paksaan dalam mengubahnya. tidak Dalil yang jelas berhubung perkara ini ialah hadith riwayat al-Bukhari daripada Said al-Musayyib daripada bapanya:

“bahawasa bapanya datang kepada nabi S.A.W lalu baginda bertanya: Siapakah namamu? Jawab beliau: Hazn (dukacita). Sabda nabi: Engkau Sahl (mudah), jawabnya: Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku. Kata Said Bin al-Musayyib: Selepas itu kami terus-terusan dirundung kesedihan.”

Al-Tabari menyatakan bahawa nabi S.A.W tidak menukarkan nama-nama tersebut dengan tujuan melarangnya tetapi hanya sebagai pilihan. Demikian juga jika hukumnya wajib tentu baginda tidak akan membiarkan keengganan Hazn menuruti cadangan baginda. Para sahabat r.a juga tentu tidak sewenang-wenangnya mengengkari arahan nabi melainkan mereka memahami itu hanyalah cadangan daripada baginda S.A.W.  An-Nawawi umpamanya menamakan tajuk bagi hadith-hadith riwayat Muslim berkaitan hal ini sebagai: Bab disukai menukar nama yang buruk kepada yang baik… 

iii- Harus:

            Apabila seseorang itu sudah memiliki nama yang maknanya baik, beliau boleh menukarnya kepada nama lain yang juga baik maknanya atau mengekalkan apa yang sedia ada. Dalam hal ini, nama tersebut tidak semestinya di dalam Bahasa Arab seperti yang disalah sangka oleh ramai orang.  Nama seperti Merdeka (Bahasa Melayu) atau Goodwill (Bahasa Inggeris) atau Thirugnana (Bahasa Tamil/Sanskrit) mengandungi maksud yang baik, justeru tidak perlu diubah.

iv- Makruh:

            Orang Islam digalakkan memiliki nama yang baik. Oleh itu menukar suatu nama yang sudah elok kepada yang kurang elok atau yang tiada makna, hukumnya makruh. Contoh yang ketara ialah tindakan meringkaskan nama hingga membawa kepada tiada makna.

v- Haram:

            Menukar suatu nama kepada nama yang dilarang, hukumnya haram.

 

Tukar Nama Bagi ‘Saudara Baru’

            Isu yang sering dikaitkan dengan penukaran nama ialah apabila seorang bukan Muslim menukar agamanya kepada Islam. Perkara ini apabila tidak disuluh dengan dalil, hanya akan menyebabkan kesukaran dan membebankan ‘saudara baru’ itu. Apabila orang-orang yang meneliti nas cuba membicarakannya, ia hanya mendatangkan kekeliruan. Oleh itu sesiapa yang ingin membicarakannya hal ini sepatutnya memandangnya dari sudut nas, bukan tegar dengan amalan sedia ada tanpa memperdulikan nas.

            Berasaskan hukum menukar nama yang telah dibentangkan, dapat disimpulkan bahawa tuntutan menukar nama ke atas ‘saudara baru’ adalah berdasarkan makna yang dikandung oleh nama tersebut. Jika namanya mengandungi atau dirangkaikan dengan nama dewa tertentu sebagaimana yang dilakukan oleh penganut Hindu, dia wajib  mengubahnya. Begitu juga jika makna yang dikandungnya bermaksud kekufuran. Jika namanya sekadar mengandungi maksud yang tidak baik, sunat baginya mengubahnya. Tetapi jika nama yang dimiliki membawa maksud yang baik dalam bahasa ibundanya, dia tidak dituntut untuk menukarnya. Lebih lebih lagi jika ia mengandungi kepentingan dalam pekerjaan, perniagaan, dokumen perjalanan apatah lagi hubungan kekeluargaan. Hal ini bergantung kepada kepentingan dan kemudaratan yang bakal timbul jika sebarang penukaran dilakukan. Situasi seseorang adalah berbeza antara satu sama lain. Ada ‘saudara baru’ yang terpaksa berhadapan dengan kesukaran menggunakan nama baru dan ada juga yang lebih mudah dengan nama barunya.

Dalam satu kes seorang warga Pakistan yang tinggal di Arab Saudi bernama Ilahi Bakhisy yang bermaksud “Anugerah Allah” di dalam Bahasa Urdu. Nama tersebut telah mendatangkan masalah padanya dan dipersoalkan oleh beberapa pihak kerana kalimah Ilahi mendahului kalimah Bakhisy. Masalah yang timbul menyebabkan beliau mengemukakan soalan tentangnya kepada Lajnah Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi. Jawapan daripada Lajnah Fatwa adalah seperti berikut:

“…tiada masalah untuk memakai nama Ilahi Bakhisy yang maknanya di dalam Bahasa Arab: ‘Atiyatullah atau Hibatullah (Anugerah Allah), dan jika kamu menukarnya kepada maknanya di dalam Bahasa Arab adalah lebih selamat bagi kamu.”  

 

Disediakan oleh:

Abd. Rasyid Bin Idris @ Adir

18, Jalan 1, Taman Relau Indah, 14200 Sg. Jawi, Sbrg. Perai Selatan.

019-4572949

 

* Penulis adalah Presiden Institut Al-Qayyim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

 


[1] Ini adalah artikel yang telah dihantar ke akhbar bagi menjawab isu ‘Bin Abdullah’ di kalangan saudara baru, tetapi ia tidak disiarkan.

http://al-qayyim.dtdns.net/v01/index.php?option=com_content&task=view&id=290&Itemid=2

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s