“Umrah di Bulan Ramadan Adalah Seperti Menemaniku Mengerjakan Haji”

Oleh: Sheikh Salman al-Oadah

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bertanya kepada seorang wanita dari Madinah: “Apa yang menghalang kamu dari mengerjakan Haji bersama kami?”
Wanita tersebut menjawab: “Kami mempunyai dua ekor unta. Suami dan anak saya menggunakan seekor dan seekor lagi untuk tunggangan ahli keluarga yang lain.
Rasulullah SAW kemudian memberitahu wanita tersebut: “Apabila bulan Ramadan tiba, pergilah mengerjakan ‘umrah, kerana ‘umrah di bulan ramadan adalah seperti menemaniku mengerjakan Haji.” [Sahih al-Bukhari (1764)]

Maksud Hadith
Alangkah besarnya pencapaian bagi kita semua jika dapat menemani Rasulullah S.A.W. mengerjakan Haji! Bayangkan kita berdiri di samping baginda di dataran ‘Arafah. Bayangkan juga kita bermalam di perkhemahan baginda di Muzdalifah dan bangun keesokan paginya untuk bersama-sama baginda ke Mina. Bayangkan juga bagaimana agaknya keadaan bila bertawaf dan sa’i bersebelahan baginda?
Maksud yang jelas dari hadith yang telah dinyatakan adalah mengerjakan ‘umrah di bulan Ramadhan adalah sangat bermakna.

Hukum bagi ‘umrah secara umum & ‘umrah di bulan Ramadan
Kita mesti memahami bahawa mengerjakan ‘umrah di bulan Ramadan adalah Sunnah. Ia bukan satu kewajiban dan tidak boleh diperlakukan seolah-olah ia adalah wajib.
Sesungguhnya, majoriti ulama berpandangan bahawa mengerjakan ‘umrah sekali seumur hidup bukanlah satu kewajiban sama sekali. Ini adalah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki. Ia juga adalah pandangan yang diutarakan oleh Ahmad b Hanbal. Al-Shafie juga pernah berpandangan serupa, namun ia dilihat sebagai pandangannya yang lama. Pandangan rasmi mazhab Shafie adalah umrah adalah wajib bagi seorang Muslim sepertimana halnya Haji, sekali seumur hidup.
Pendapat yang terkuat antara keduanya – dan Allah lebih mengetahui – adalah ‘umrah bukanlah satu kewajiban. Al-Quran secara jelas menerangkan kewajiban Haji tanpa sekalipun mengisyaratkan hal yang sama berkaitan ‘umrah.
Rasulullah S.A.W. juga menekankan dengan sabda baginda: “Wahai manusia! Allah telah mewajibkan keatas kamu Haji, maka pergilah mengerjakan Haji.” [Sahih Muslim (1337)]
Dan dengan sabdanya: “Islam dibina atas 5 perkara: Syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan RasulNya, menunaikan Solat, membayar Zakat, mengerjakan Haji ke Baitullah, dan berpuasa dibulan Ramadan” [Sahih al-Bukhari (8) dan Sahih Muslim (16)]
Kita juga dapat menghayati kisah seorang lelaki dari daerah pertengahan Arabia dengan rambut yang kusut masai menghampiri baginda S.A.W. dan bertanya tentang Islam. Rasulullah S.A.W bersabda kepada beliau: “Terdapat lima solat yang perlu ditunaikan diwaktu siang dan malam.”
Lelaki itu bertanya: “Perlukah aku menunaikan selain dari itu?” Rasulullah S.A.W. menjawab: “Tidak, kecuali kamu melakukan secara sukarela.” Kemudian baginda meneruskan: “Kamu mesti berpuasa dibulan Ramadan.”
Lelaki itu bertanya: “Perlukah aku berpuasa selain dari itu?”
Rasulullah S.A.W. menjawab: “Tidak, kecuali kamu lakukan secara sukarela.”
Kemudian Rasulullah SAW memberitahu tentang Zakat, dan lelaki tersebut bertanya: “Adakah aku perlu membayar selain itu?”
Rasulullah S.A.W. menjawab: “Tidak, kecuali kamu lakukan secara sukarela.”
Lelaki itu kemudian berpaling seraya berkata: “Demi Allah, aku tidak akan melakukan lebih atau kurang dari apa yang perlu aku lakukan.”
Mendengar kata-kata tersebut Rasulullah S.A.W. berkata: “Dia akan berjaya jika dia membuktikan kata-katanya.” [Sahih al-Bukari (46) Sahih Muslim (11)]
Sementara itu bagi hadith-hadith tertentu yang membincangkan hukum ‘umrah, terdapat hadith yang mengisyaratkan bahawa ia adalah wajib dan terdapat juga yang mengisyaratkan bahawa ia tidak wajib. Sungguhpun demikian, kesemua hadith tersebut mempunyai kelemahan di dalamnya. Oleh yang demikian, kami berkata berdasarkan kekuatan hujah pada umumnya bahawa ‘umrah adalah Sunnah. Ia bukan satu kewajiban.

Beberapa pertimbangan praktikal
Ia sepatutnya membuatkan kita benar-benar gembira apabila melihat betapa ramainya Muslim berkumpul di Makkah setiap tahun di bulan Ramadan untuk mengerjakan ‘umrah. Namun demikian, terdapat beberapa hal yang perlu diambil perhatian, agar kesan terbaik dalam mengamalkan sunnah diperolehi.
Sesetengah orang mengabaikan keluarga mereka untuk mengerjakan ‘umrah ketika Ramadan. Ini adalah masalah yang serius, kerana bulan Ramadan adalah masa untuk kita memberikan tumpuan yang lebih besar terhadap keluarga. Adalah sangat-sangat buruk bagi ibubapa bila memgabaikan anak-anak di bulan ini.
Malangnya inilah yang dilakukan oleh ramai ibubapa. Mereka meninggalkan anak-anak mereka – kerana anak-anak bersekolah – dan meninggalkan mereka sekurang-kurangnya separuh Ramadan. Anak-anak melalui hari-hari berharga ini tanpa sesiapa untuk mengawasi dan membimbing mereka. Anak-anak yang lebih kecil kekurangan aspek penting dalam asuhan dan pembesaran. Anak-anak yang lebih tua pula mungkin terlibat dengan dosa.
Terdapat kesilapan lain yang dilakukan oleh ibubapa berkaitan anak-anak mereka. Sesetengah ibubapa membawa anak-anak bersama ke Makkah. Kemudian, sibapa mengambil keputusan untuk menggunakan masanya bersendirian/ beriktikaf di Masjid yang Mulia, meninggalkan anak-anak merana di hotel.
Ini adalah sesuatu yang serius. Anak-anak yang ditinggalkan sendirian di persekitaran yang asing dengan mudahnya boleh terlibat dengan masalah. Betapa kerap kita lihat para remaja berkelakuan buruk di Makkah dibulan yang mulia ini, apabila mereka melihat semuanya sebagai percutian perayaan. Mereka berkelakuan semahunya sedangkan ibubapa menghabiskan masa beribadah – dalam masa yang sama cuai dalam tanggungjawab sebagai ibubapa.
Tanpa diragui adalah sesuatu yang dipuji untuk ibubapa untuk membawa anak-anak ke Makkah. Ia boleh menjadi satu pengalaman yang indah dan mengujakan jiwa insan dan iman. Sungguhpun demikian, ia memerlukan ibubapa supaya bertanggungjawab dan sedar tugas mereka terhadap anak-anak. Ibubapa yang tidak mampu mengurus anak-anak sepatutnya samada tinggal sahaja di rumah dan mengisi Ramadan sepenuhnya bersama, atau jika mereka pergi ke Makkah, pastikan mereka lakukan aktiviti bersama sebagai satu keluarga dan meninggalkan i’tikaf.
Apa maknanya bagi ibubapa yang mengejar ganjaran lebih dengan melakukan ketaatan sedangkan dalam masa yang sama berdosa kerana tidak menghiraukan anak-anak yang Allah amanahkan kepada mereka?
Dan Allah lebih mengetahui.

Terjemahan: MFM, Skudai.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s