Solat JEmaah dgn Kanak-Kanak.

Bismillah,
Wassolatu wassalam ala Rasulillah SAW,

Soalan 1: Mohon pendapat ahli panelis ahkam.net tentang artikel dibawah serta hujah dan dalil dari quran serta sunnah.

Jawapan: Penulis artikel telah merujuk kitab-kitab yang muktabar dalam tajuk ini, beserta dalil dari hadis-hadis yang kebanyakkannya adalah sahih dan terdapat beberapa hadis yang dhaif antaranya:

1. dari Abu Malik Al-Asy’ari: “Adalah Rasulullah SAW mengatur saf dewasa lelaki di hadapan kanak-kanak. Saf kanak-kanak di belakang lelaki dewasa dan saf perempuan di belakang kanak-kanak”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud. Kata Albani: Dhaif, kerana pada sanadnya terdapat perawi yang dhaif. Dan katanya lagi:

وأما جعل الصبيان وراءهم فلم أجد فيه سوى هذا الحديث ولا تقوم به حجة فلا أرى بأسا من وقوف الصبيان مع الرجال إذا كان في الصف متسع وصلاة اليتيم مع أنس وراءه صلى الله عليه وسلم حجة في ذلك

“Adapun meletakkan kanak-kanak di belakang orang dewasa, aku tidak temui padanya kecuali hadis ini yang tidak boleh dijadikan hujah. Maka aku lihat tiada masalah jika kanak-kanak berdiri bersama orang dewasa sekiranya saf masih ada kekosongan. Dan Hadis Anas r.a yang bersolat bersama kanak-kanak yatim di belakang Nabi SAW adalah hujah dalam bab ini”. (Tamam al-Minnah: 284).

2. hadis riwayat Imam Al-Baihaqi dari jabir bin Abdullah: “Rasulullah SAW mengakikahkan cucunya Hassan dan Hussain serta mengkhatankan kedua-duanya dalam tempoh tujuh hari”.

Hadis ini diriwayatkan juga oleh Tabrani dalam Mu’jam Saghir. Kata Syeikh Albani: pada sanadnya terdapat perawi-perawi yang dhaif.

Terdapat hadis lain dari Ibn Abbas r.a yang mengatakan berkhatan adalah sunnah pada hari ke tujuh kelahiran bayi – tanpa menyebut Hasan dan Husain – hadis itu diriwayatkan oleh Tabrani dalam Mu’jam Awsat tetapi terdapat perawi yang dhaif.

Walau bagaimana pun, Mazhab Syafie dan pendapat yang mengatakan sunnah berkhatan pada hari ke tujuh melihat kedua-dua hadis ini saling kuat-menguatkan kerana dikeluarkan dengan sanad yang berlainan serta perawi-perawinya tidak terdiri dari orang-orang yang tertuduh. (Tamam al-Minnah oleh Albani: 67-68).

Soalan 2: Bagaimana keadaan masjid di zaman nabi? bagaimana suasananya? bagaimana susunan saf dewasa dan kanak2?

Jawapan: Hadis dalam Sahih Muslim yang dinyatakan oleh penulis telah menggambarkan suasana dan susunan jamaah pada zaman Nabi SAW:

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu dari hingar-bingar seperti pasar”.

Dan dalam hadis sahih:
عن أنس قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب أن يليه المهاجرون والأنصار ليأخذوا عنه.

“Adalah Rasulullah SAW menyukai agar di belakangnya Muhajirun dan Ansar supaya mereka dapat belajar dari Baginda. (H.R Ahmad & Ibn Majah)

Dan tiada hadis sahih yang mengkhaskan kanak-kanak di belakang orang dewasa, seperti kata Albani di atas. Bahkan diriwayatkan:

عن أنس قال : صليت أنا واليتيم في بيتنا خلف النبي صلى الله عليه وسلم وأمي خلفنا أم سليم

Dari Anas r.a telah berkata: Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi SAW dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami. (H.R Bukhari)

Hadis ini adalah hujah yang menunjukkan keharusan bersolat antara orang dewasa dengan kanak-kanak dalam satu saf. (Tamam al-Minnah: 284).

Soalan 3: Benarkah semua kanak2 islam dizaman nabi dikhatan seawal umur muda seperti hasan dan husin iaitu cucu nabi muhd s.a.w?

Jawapan: Telah dinyatakan di atas bahawa hadis yang menyebut Hassan dan Hussain dikhatankan pada hari ke tujuh adalah lemah.

Ibn Qayyim menyatakan:
فَأَمّا الْخِتَانُ فَقَالَ ابْنُ عَبّاسٍ : كَانُوا لَا يَخْتِنُونَ الْغُلَامَ حَتّى يُدْرِكَ. قَالَ مَكْحُولٌ : خَتَنَ إبْرَاهِيمُ ابْنَهُ إسْحَاقَ لِسَبْعَةِ أَيّامٍ وَخَتَنَ إسْمَاعِيل َ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ سَنَةً ذَكَرَهُ الْخَلّالُ . قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيّةَ : فَصَارَ خِتَانُ إسْحَاقَ سُنّةً فِي وَلَدِهِ وَخِتَانُ إسْمَاعِيلَ سُنّةً فِي وَلَدِهِ وَقَدْ تَقَدّمَ الْخِلَافُ فِي خِتَانِ النّبِيّ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مَتَى كَانَ ذَلِكَ

Adapun berkhatan, Ibn Abbas telah berkata: Mereka tidak mengkhatankan sehinggalah kanak-kanak itu mengetahui. Telah berkata Makhul: Nabi Ibrahim a.s telah mengkhatankan anaknya Ishak a.s pada hari ke tujuh, dan mengkhatankan Ismail a.s pada usia 13 tahun seperti yang disebut oleh al-Khallal.

Syaikhul Islam Ibn Taimiah telah berkata: Maka khitan Ishaq a.s telah menjadi sunnah bagi anak keturunannya (yahudi) dan khitan Ismail a.s telah menjadi sunnah bagi anak keturunannya (arab).

Dan telah dinyatakan terdapat khilaf bilakah Nabi SAW dikhatankan. (Zadul Ma3ad: 2/304)

Pendapat pertama: Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan telah berkhatan. Tiada hadis yang sahih bagi pendapat ini, bahkan Ibn Jauzi telah meletakkan hadis tersebut dalam himpunan hadis-hadis palsu.

Pendapat Kedua: Nabi SAW dikhatankan semasa dibedah dadanya sewaktu tinggal bersama Halimah Sa’diah.

Pendapat Ketiga: Nabi SAW dikhatankan oleh datuknya Abd Mutalib pada hari ke tujuh kelahirannya bersumberkan hadis yang ganjil.

Pendapat yang rajih: Nabi SAW dikhatankan mengikut adat bangsa arab pada waktu itu. Wallahu a’lam. (Zadul Ma3ad: 1/80)

Soalan 4: bagi perenggang terakhir, pada kenyataan yg diboldkan. Apakah pendapat panelis serta hujah sunnah?

Jawapan: Jika tiada dalil yang menyuruh supaya merenggangkan kanak-kanak yang belum berkhatan dengan orang dewasa, maka kita menggunakan hadis Anas r.a yang membenarkan solat bersama kanak-kanak tanpa direnggangkan.

Begitu juga Ulama tidak merenggangkan antara orang yang berpenyakit kencing tanpa henti (salis al-baul) dengan orang-orang lain. Ini menunjukkan kanak-kanak yang bernajis juga tidak perlu direnggangkan.

Wallahu a3lam.

(dibawah ini ialah artikel yg dikomentar di atas)

al-ahkam 

SOLAT BERJAMAAH DENGAN KANAK-KANAK

Bolehkah kanak-kanak dibawa ke masjid? Di mana kedudukan kanak-kanak lelaki dalam saf solat?. Apakah kaitan saf solat dengan khatan?. Golongan muda kurang ke masjid adakah kerana masjid tidak mesra pelanggan?.

Persoalan-persoalan di atas menggali sumber ilmu mencurah limpahan kefahaman dan keyakinan dari nas-nas hadis, huraian para sahabat dan fuqaha menjadikan pegangan dan amalan kaum muslimin. Syukur kepada Allah tidak terhingga mengurniakan fahaman para anbiya dan siddiqin dan dapat beramal dengan penuh yakin. Semoga menjadi laluan ke arah taqwa.

Kanak-kanak ke masjid, satu hadis riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SWA bersabda maksudnya: “Aku bercadang memanjangkan solatku. Tiba-tiba aku dengar tangisan kanak-kanak. Aku percepatkan solat bimbang menyusahkan ibunya”.(Riwayat Bukhari dan Muslim petikan dalam Al-Majmuk, 4:229)

Bila kanak-kanak turut sama solat berjemaah menurut riwayat dari Abdullah ibn Mas’ud Rasulullah SWA bersabda maksudnya: “Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu dari hingar-bangar seperti pasar”. (Sohih Muslim@ Al-Jamik, 2:30, turut meriwayat hadis ini ialah Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidhi). Menjelaskan hadis ini lihat pula hadis berikut riwayat dari Abu Malik Al-Asy’ari: “Adalah Rasulullah SAW mengatur saf dewasa lelaki di hadapan kanak-kanak. Saf kanak-kanak di belakang lelaki dewasa dan saf perempuan di belakang kanak-kanak”.(Nailul Autar, 2:224).

Hadis di atas diambil menjadi hujah dan dalil nas syarak hendaklah meletakkan kedudukan kanak-kanak dalam solat berjemaah di belakang lelaki dewasa dan di hadapan
saf perempuan. Imam Ahmad mengatakan makruh berjemaah bersama kanak-kanak di belakang imam kecuali yang sudah baligh ( Nailul Autar, 2:224). Jumhur ulama fiqh
menghukumkan hendaklah mendahului lelaki dewasa kemudian kanak-kanak, kemudian khuntha dan kemudian perempuan. Inilah yang utama sebagai menolak pendapat yang mengesyorkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar sedangkan dari saf belakang pun mereka boleh belajar. (huraian dalam Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, 4:291-293).

(2)
Menghuraikan mengapakah lelaki dewasa mesti di belakang imam, Syeikh Muhamad Idris Abdu Rauf Al-Marbawi dalam Mukhtasar Sohih At-Tirmidhi menjelaskan:
Pertama: Lelaki dewasa, berakal dan faham boleh mengingatkan imam jika ia terlupa. Kedua: Boleh menggantikan imam jika tiba-tiba ia uzur. Ketiga: Barulah diikuti oleh mereka yang kurang berakal, kurang berilmu dan kanak-kanak supaya boleh menegur imam jika ia tersalah bacaan (Bahru Al-Mazi, 2:111, Nailul Autar, 2:223). Jika kebetulan kanak-kanak yang berada di belakang imam sudah tentu mereka tidak mampu berbuat demikian.

Dalam kitab Nailul Autar memetik riwayat bahawa Saidina Umar Al-Khattab mengeluarkan kanak-kanak dari dalam saf ke belakang (2:223). Juga meriwayatkan bahawa ulama fiqh mengatakan kanak-kanak itu hakikatnya mereka tidak solat(2:224). Bagaimana mereka mahu merapatkan saf dengan lelaki dewasa? Berita Harian Sabtu 13 Januari 2007, memetik seorang professor fizik dari US menemui secara saintifik merapatkan saf hingga bercantum itu melahirakan kesan cas secara biologi antara seorang dengan yang lain dalam solat berjemaah. Bagaimana pengecasan berlaku jika ada di antara kita orang yang tidak solat seperti kanak-kanak?.

Budaya berkhatan di zaman Rasulullah SAW dan orang-orang Arab hingga sekarang berkhatan lewat-lewat dalam tempoh satu minggu. Kitab Tarbiyatul Aulad fi Al-Islam, Abdullah Nasih Unwan 1:115 merakam hadis riwayat Imam Al-Baihaqi dari jabir bin Abdullah: “Rasulullah SAW mengakikahkan cucunya Hassan dan Hussain serta mengkhatankan kedua-duanya dalam tempoh tujuh hari”. Tidak hairanlah Hassan pernah menunggang tengkuk baginda ketika baginda sedang sujud dalam solat. Baginda tidak bangun sehingga Hassan turun dari tengkuk baginda kerana Hassan tidak bernajis. Budaya di Malaysia berkhatan ketika usia sudah meningkat belasan tahun. Usia yang sudah ada keinginan sex.

Tidak berkhatan (kulup) Ibnu Abbas mengatakan: “Orang yang tidak berkhatan (kulup) tidak sah solatnya dan jangan makan sembelihannya”. Kitab Tarbiyatul Aulad fi Al-Islam juga merakam ulama fiqh memberi amaran bahawa: “Kulup itu menyembunyikan zakar keseluruhannya dan zakar itu kena kencing (najis) kerana itu ulama salaf dan khalaf melarang ia menjadi imam”. (Tarbiyatul Aulad fi Al-Islam,1: 112).

Kerana bekhatan adalah wajib. Rasulullah SAW bersabda menurut petikan yang sama riwayat dari Az-Zuhri: “Sesiapa yang memeluk Islam hendaklah berkhatan sekalipun sudah dewasa” (Tarbiyatul Aulad fi Al-Islam,1: 111). Hadis ini walaupun lemah tetapi menjadi kuat kerana ada sokongan dari hadis yang lain, fatwa sahabat seperti Ibnu Abbas serta ijtihad ulama menjadi dalil wajib berkhatan bagi Al-Auza’i, Imam Malik, Imam As-Syafi’i, Imam Ahmad, bahkan Imam Malik memfatwakan: “ Sesiapa yang tidak berkhatan tidak harus menjadi imam solat dan tidak diterima penyaksiannya” (Tarbiyatul Aulad fi Al-Islam,1: 111-112).

(3)
Para fuqaha yang menghukumkan wajib berkhatan berkata: “Orang yang kulup (tidak berkhatan) itu terdedah kepada rosak taharah (bersuci)nya dan rosak (tidak sah) juga solatnya. Kerana Qulfah itu mnyembunyikan zakar keseluruhannya dan zakar itu kena air kencing. Dengan sebab kulup, ia tidak sah istinjak dengan batu (istijmar). Sahnya bersuci dan solat itu bergantung kepada khatan. Kerana itu ulama salaf dan khalaf melarang ia menjadi imam solat”. (Tarbiyatul Aulad fi Al-Islam,1: 112).

Berkhatan bererti membuang kulup dan bersuci dari najis air kencing. Kanak-kanak yang belum / tidak berkhatan bila berada dalam saf solat sedangkan mereka pada hakikatnya
tidak solat kerana bernajis tentulah membawa jemaah lain yang bersebelahanya turut terbatal kerana berhubung dengan sesuatu yang membawa najis yang membawa maksud turut menanggung najis.

Imam An-Nawawi dalam Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab menghuraikan hukum berhubung seseorang itu dengan najis seperti seutas tali hujungnya diikat kepada orang yang sedang solat dan hujung yang satu lagi diikat ke leher anjing atau diikat kepada perahu yang di dalamnya ada najis atau orang yang sedang solat itu membawa botol yang tersumbat ketat tetapi mengandungi najis di dalamnya. Kesemua contoh itu contoh tidak sah solat kerana berhubung dengan sesuatu yang ada hubungan pula dengan najis yang bererti menanggung najis. (Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, 3:148). Lihat juga bahasan dalam mazhab Imam Ahmad Al-Hanbali (Al-Mughni Wa As-Syarhul Kabir,1:752).

Soal golongan muda berat hati mendekati masjid bukan kerana masjid tidak atau kurang mesra pelanggan. Sudahkah dibuat kajiselidik bertanya mereka mengapa mereka tidak jinak dengan masjid?. Adakah golongan dewasa sudah cukup banyak yang jinak dengan masjid?. Saya ada melihat bapa-bapa yang membawa bersama anak-anak mereka solat lima waktu berjemaah di masjid. Bersama-sama duduk dalam halakah membaca Al-Quran selepas solat waktu. Bagaimana dengan bapa-bapa yang lain?.

Kalau ibubapa boleh membawa anak-anak pergi menonton wayang, konsert, wayang kulit, mak yong, dikir barat, boria, menorah dan lain-lain tempat hiburan. Membawa anak-anak makan di luar sesekali dengan mengunci rumah mengapa tidak membawa mereka memenuhi masjid?.

Kanak-kanak yang hadir solat berjemaah hanya perlu dijaga mereka agar tidak membuat hingar bangar dalam masjid seperti tegahan Rasulullah SAW. Adalah sunat imam menugaskan seorang untuk mengatur saf di belakang jika masjid luas (Al-Majmuk, 4:225). Boleh tak kita adakan petugas mengawasi kanak-kanak beberapa orang berjemaah di belakang mereka atau ibubapa mereka sendiri?. Bila mereka sedar ada beberapa orang dewasa di belakang mereka tidaklah terjadi hingar bangar. Ini fungsi akal kita untuk melaksanakan wahyu, bukan untuk meminda wahyu. Kalau kanak-kanak itu hanya seorang bolehlah berada di tepi saf dewasa. Kalau bernajis renggangkan, kalau suci terserah samada mahu direnggangkan atau rapat. Wbillahil hidayah wat taufiq wallahu a’lam.

*artikel diatas telah dihantar ke ruangan pembaca pd bulan april 2007 oleh seorang Imam yg berkelulusan master dlm pengajian usuluddin dari Johor Bharu.
**atas sbb2 tertentu nama imam itu dirahsiakan.

Soalan:
1]Mohon pendapat ahli panelis ahkam.net tentang artikel diatas serta hujah dan dalil dari quran serta sunnah.

2]Bagaimana keadaan masjid di zaman nabi? bagaimana suasananya?
bagaimana susunan saf dewasa dan kanak2?

3]Benarkah semua kanak2 islam dizaman nabi dikhatan seawal umur muda seperti hasan dan husin iaitu cucu nabi muhd s.a.w?

4]bagi perenggang terakhir, pada kenyataan yg diboldkan.Apakah pendapat panelis serta hujah sunnah?

5]Adakah artikel diatas artikel yg mesra kanak2?

terima kasih krn sudi menjawab soalan saya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s