Pembatal Keislaman (1) Syirik di dalam Ibadah

Pembatal Keislaman

 

Penulis: Sheikhul Islam al-Imam al-Mujaddid Muhammad Bin Abdul Wahab.

 

Huraian: Abu Usamah.

 

Pembatal Pertama: Syirik di Dalam Beribadah Kepada Allah. Allah SWT berkata:

 

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala yang selain daripada itu (syirik) untuk sesiapa yang dikehendakinya.” (An-Nisa’:48).

 

Kata Allah SWT lagi:

 

“Sesungguhnya orang yang mensyirikkan Allah, maka Allah pasti mengharamkan syurga kepadanya dan tempatnya ialah neraka. Tidaklah ada untuk orang-orang yang zalim seorangpun daripada penolong.” (al-Maidah: 72).

 

Di antara perbuatan-perbuatan syirik itu ialah berdoa kepada orang-orang yang sudah mati dan meminta perlindungan daripada mereka, bernazar dan menyembelih untuk mereka sebagaimana menyembelih untuk jin atau kubur.

 

Syirik boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu 1) Syirik Akbar, 2) Syirik Ashghar dan 3) Syirik Khafi.

 

Mari kita lihat apakah bentuk-bentuk syirik itu.

 

1)      Syirik Akbar.

Dosa syirik akbar tidak akan diampuni oleh Allah kecuali melalui jalan taubat. Pelaku syirik akbar jika mati dalam keadaan syirik dan belum bertaubat, maka dia akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Ini sebagaimana firman Allah di dalam surah an-Nisa, ayat 48 yang sudah disebutkan di atas.

 

Allah SWT juga berkata:

“Barangsiapa yang mensyirikkan  sesuatu dengan Allah, maka dia adalah seperti  jatuh daripada langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan oleh angin ke tempat yang jauh.” (al-Hajj:31).

 

Oleh kerana itu, ketika di dalam neraka, kaum musyrikin dari kalangan penyembah kubur dan lain-lain akan mengatakan kepada sesembahan-sembahan mereka di dunia:

 

“Demi Allah! Sungguh kita dahulu dalam kesesatan yang nyata kerana kita menyamakan kamu dengan Tuhan semesta alam.” (as-Syu’ara’:97-98).

 

Perlu kita ketahui, mereka ini tidak menyamakan berhala-berhala mereka dan apa-apa sahaja yang mereka sembah dengan Allah dalam hal mencipta, memberi rezeki, menghidupkan atau mematikan. Cuma, kaum musyrikin itu menyamakan sembahan-sembahan mereka dengan Allah di dalam masalah mahabbah (kecintaan) yang merupakan inti ibadah. Demikian juga di dalam masalah ta’zhim (pengagungan) yang merupakan salah satu qurbah (penghampiran) yang paling besar dan ibadah yang paling agung. Oleh kerana itulah Allah mencela orang-orang yang tidak mengagungkanNya. Allah SWT berkata:

 

“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya).” (Nuh:13).

 

Syirik Akbar itu teramat banyak akan tetapi kesemuanya akan menyangkut kepada 4 jenis syirik ini, iaitu:

 

a)      Syirik Doa.

Allah SWT berkata:

 

“Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah Dengan doa Yang tulus ikhlas kepadaNya. kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.” (al-Ankabut:65).

 

Shaikh Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya “al-Qawaid al-Arba’ah”: “Kaedah yang keempat: Bahawasanya kaum musyrikin di zaman sekarang ini lebih parah daripada kemusyrikan mereka daripada kaum musyrikin zaman dahulu. Ini kerana kaum musyrikin zaman dahulu melakukan syirik dalam keadaan senang dan mereka akan ikhlas (memurnkan tauhid) di dalam keadaan tersepit. Sedangkan kaum musyrikin zaman kita sekarang ini tetap sahaja melakukan syirik dalam keadaan senang mahupun susah.”

 

b)      Syirik Niat, Kehendak dan Tujuan.

Berkata Allah SWT:

 

“Sesiapa Yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. (15). Merekalah orang-orang Yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa Yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa Yang mereka telah kerjakan (16).” (Hud: 15-16).

 

Ibnul Qayyim Rahimahullah berkata: “Tentang syirik dalam hal kehendak dan niat, maka itu merupakan lautan yang tidak bertepi dan jarang sekali orang yang dapat selamat daripadanya. Barangsiapa di dalam melakukan amal perbuatan mengkehendaki atau berkeinginan untuk ditujukan kepada selain Allah, dan meniatkan perbuatan itu selain daripada mendekatkan diri kepada Allah serta lain daripada menuntut ganjaran daripada amal perbuatan itu, maka ini bererti dia telah berbuat syirik di dalam hal niat dan keinginannya.

 

Syirik niat ini dikategorikan sebagai syirik akbar apabila amalan seseorang itu seluruhnya diniatkan selain untuk Allah. Ini berbeza dengan riak yang merupakan syirik ashghar yang Insya-Allah akan diperjelaskan nanti.

 

c)      Syirik Ketaatan

Iaitu mentaati para alim agama di dalam melakukan maksiat kepada Allah. Allah SWT berkata:

 

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan Ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia. Maha suci Allah dari apa Yang mereka sekutukan.” (at-Taubah:31).

 

Di antara riwayat yang menafsirkan hal ini ialah yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan perawi lainnya daripada Adi bin Hatim bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW membaca ayat di atas. Maka Adi bin Hatim berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka.” Baginda kemudian menjawab: “ Bukankah mereka itu mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, lalu kalian pula mengikut pula mengharamkannya, dan mereka juga menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan kalian lalu ikut pula menghalalkannya.” Adi bin Hatim menjawab: “Ya.” Maka kata Nabi SAW: “Demikian itulah penyembahan mereka.” Sanad hadith ini dhaif akan tetapi ia mempunyai syahid (penguat) berupa hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir secara mauquf melalui jalur Habib bib Abi Tsabit, daripada Abu al-Bukhturi, daripada Hudzaifah. Mengenai kesahihannya memang masih diperbincangkan akan tetapi penafsiran ayat ini sebagaimana tersebut cukup terkenal dikalangan ahli tafsir dan tiada siapa yang menolaknya.

 

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menyatakan: “Orang-orang yang menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan itu -dengan cara mentaati mereka di dalam menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah- terbahagi menjadi dua golongan iaitu:-

 

  • Jika mereka menyakini tindakan alim agama yang mengharamkan hal yang halal dan menghalalkan yang haram dalam mereka sedar itu bertentangan dengan syariat Allah. Maka mereka menjadi musyrik sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat di atas.
  • Jika keyakinan mereka terhadap hukum asal sebagaiman di dalam syariat Allah tidak berubah, cuma mereka mentaati pemimpin agama mereka di dalam derhaka kepada Allah seperti seorang Islam yang melakukan maksiat akan tetapi dia menyakini bahawa apa yang dia lakukan ialah maksiat. Mereka ini dihukumi sebagai orang yang melakukan dosa. (Di ringkaskan daripada Majmu’ al-Fatawa)

 

d) Syirik Cinta

Allah SWT berkata:

“ (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. dan kalaulah orang-orang Yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, Bahawa Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).” (al-Baqarah: 165).

 

Orang-orang musyrik akan marah jika sesembahan mereka seperti berhala, pokok dan lain-lain di sakiti. Bahkan kemarahan mereka itu melebihi kemarahan kerana Allah. Dan mereka juga akan bergembira untuk sesembahan mereka. Ini sebagaimana yang Allah SWT sebutkan:

 

“Dan (di antara keburukan orang-orang Yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di Dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati mereka Yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama Yang mereka sembah dan puja Yang lain dari Allah, mereka Dengan serta merta riang dan gembira.” (az-Zumar: 45).

 

Al-Allamah Ibnul Qayyim Rahimahullah menyebutkan: Ada empat bentuk cinta yang wajib dibezakan antara satu sama lain. Ini kerana orang yang tidak dapat membezakannya pasti tersesat.”

 

Empat jenis cinta itu ialah:

 

             I.      Mencintai Allah.

Cinta kepada Allah sahaja tidak mencukupi untuk selamat daripada azab Allah dan memperolehi keuntungan daripada pahalaNya. Ini kerana kaum musyrikin, nasrani, yahudi dan selain mereka pun menyintai Allah.

 

          II.      Mencintai apa yang dicintai Allah.

Cinta inilah yang memasukkan seseorang ke dalam Islam serta mengeluarkannya daripada kekufuran. Manusia yang paling dicintai Allah ialah manusia yang paling hebat dalam menyintai hal-hal yang dicintai Allah.

 

       III.      Cinta untuk Allah dan cinta demi Allah.

Ini merupakan kesan daripada mencintai Allah dan mencintai hal-hal yang dicintai Allah. Mencintai hal yang dicintai Allah tidak akan tertegak kecuali wajib dengan cinta untuk Allah dan cinta kerana Allah.

 

        IV.      Mencintai sesuati setara dengan cinta kepada Allah.

Inilah cinta yang syirik. Sesiapa yang mencintai sesuatu setara dengan cintanya kepada Allah, maka dia telah mensyirikkan Allah.

 

. Allah SWT berkata:

 

“Dan sesiapa Yang menyembah Tuhan Yang lain bersama-sama Allah, Dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka Sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya Yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang Yang kafir tidak akan berjaya.” (al-Mukminun:117).

 

Di antara bentuk syirik akbar yang lain ialah menyembelih untuk selain Allah. Ini kerana penyembelihan kepada Allah merupakan satu proses mendekatkan diri kepada Allah.

 

Allah SWT berkata:

 

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”(al-An’am:162).

 

Sesiapa sahaja yang menyembelih untuk para wali, atau untuk berhala, atau jin, maka ini bererti dia telah keluar daripada Islam dan beralih kepada kepada wilayah kekufuran. Ini bukanlah sesuatu yang hairan dan memelikkan kerana ia banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Jika berlaku sesuatu yang pelik di tempat mereka. Maka akan disembelihlah kambing, ayam atau lain-lain kononnya untuk menjaga dan mengusir “penduduk” di kawasan itu. Malangnya upacara syirik ini dihiasi dengan warna-warni agama seperti upacara tahlil, bacaan yassin dan lain-lain. Dan malangnya lagi, ia diketuai kadangkala oleh orang-orang yang cerdik pandai agama.

 

Syirik akbar yang lain ialah bernazar kepada selain Allah. Ini juga fenomena yang menyesatkan yang saban kali dilihat. Kubur-kubur akan dihadiahkan dengan makanan-makanan, kadangkala seikat pisang dan kadangkala dengan hidangan-hidangan yang enak-enak. Ini dilakukan apabila hajat seseorang tercapai. Sungguh hina perbuatan ini, makanan yang enak yang patut dihidangkan kepada anak keluarga, diberikan kepada penghuni kubur yang tak mampu nak makan langsung. Yang diperlukan oleh penghuni kubur itu doa-doa daripada kita, bukannya makanan-makanan yang hanya bermanfaat untuk manusia yang hidup.

 

Kesimpulan:

 

Syirik Akbar ada 4 bentuk iaitu:

 

1)      Syirik Doa

2)      Syirik Niat, Kehendak dan Tujuan

3)      Syirik Taat

4)      Syirik Cinta

 

Syirik-syirik akbar yang disebut di atas akan mengeluarkan seseorang daripada Islam. Ini kerana kesemua itu merupakan bentuk ibadah sedangkan memalingkan ibadah kepada selain Allah adalah syirik.

 

Wallahu’alam.

 

Rujukan:

Nawaqidul Islam, Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab

At-Tibyan Syarhu Nawaqidil Islam, Sheikh Sulaiman bin Nashir bin Abdullah al-Ulwan

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s