Pembunuh Sayyidina Husain? (4)

I. BUKTI-BUKTI SOKONGAN Walaubagaimanapun kita akan mengemukakan lagi beberapa bukti sokongan supaya lebih menyakinkan kita tentang golongan Syiah itulah sebenarnya pembunuh Sayyidina Husain. Di antaranya ialah :

1. Tidak sukar untuk kita terima mereka sebagai pembunuh Sayyidina Husain apabila kita melihat kepada sikap mereka yang biadap terhadap Sayyidina Ali dan Sayyidina Hasan sebelum itu. Begitu juga sikap mereka yang biadap terhadap orang – orang yang dianggap oleh mereka sebagai Imam selepas Sayyidina Husain. Bahkan terdapat banyak pula bukti yang menunjukkan merekalah yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beberapa orang Imam walaupun mereka menuduh orang lain sebagai pembunuh Imam- imam itu dengan menyebar luaskan propaganda- propaganda mereka terhadap tertuduh itu .

Umar bin Saad telah dikaitkan dengan pembunuhan Sayyidina Husain kerana beliau adalah anak kepada salah sahabat agung Rasulullah s.a.w. , Saad bin Abi Waqqas r.a. Kejujuran dan kebaikan Umar bin Saad ini dapat kita lihat di celah – celah kitab sejarah yang bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan.

Muslim bin ‘Aqil mengamanahkan kepadanya untuk menyampaikan pesan kepada Sayyidina Husain (sebelum sampai ke Kufah) tentang kecurangan golongan Syiah yang sebelum itu telahpun mengadakan janji setia dengannya. Umar bin Saad telah menyampaikan amanah Muslim bin ‘Aqil itu kepada Sayyidina Husain. ( Akbary At Thiwal m.s. 354 ). Selepas mendapat maklumat ini Sayyidina Husain tidak mahu lagi meneruskan perjalanannya ke Kufah dan terus membelok ke kiri mengambil jalan Syam atau Karbala yang berada di jalan yang menuju ke Syam, bukan jalan yang menuju ke Kufah. Sementara Ibnu Ziad pula dengan senang hati membenarkan Umar bin Saad yang diketahuinya sangat bersimpati dan kasih kepada Husain untuk membawa amanah Muslim bin ‘Aqil kepada Husain yang sedang dalam perjalanan ke Kufah itu ( Al Bidayah Wa An Nihayah).

Ini jelas menunjukkan bahawa Sayyidina Husain telahpun membatalkan maksud asalnya untuk memberontak terhadap kerajaan Yazid dan telahpun menunjukkan kesediaanya untuk berbai’ah kepada Yazid. Ini jelas kita lihat di dalam kitab – kitab sejarah di mana Sayyidina Husain telah diberi pilihan oleh pihak kerajaan ( melalui Umar bin Saad) bahawa sama ada beliau berpatah balik ke Mekah atau pergi kemana – mana perbatasan negeri atau mengalihkan arah tujuannya ke Syam untuk berbai’ah kepada Yazid .

Jika salah satu daripada tiga perkara ini dipilih oleh Sayyidina Husain, beliau dan rombongannya tidak akan sekali kali diganggu dan diceroboh , apalagi akan dibunuh. ( (Umdau At Thalib Fi Ansab Aal Thalib, m.s. 179; At Thabari jilid 4 m.s 313 )

Tidak mungkin sama sekali kita menerima Umar bin Saad telah melakukan keganasan dan penghinaan sebegitu rupa sebagaimana yang dinyatakan di dalam buku – buku sejarah kerana kerana bertentangan dengan riwayat oleh Abu Mikhnaq Lut bin Yahya sendiri bahawa perawi berkata , ” Seolah – olah aku masih lagi nampak airmata Umar bin Saad yang mengalir membasahi pipi dan janggutnya”. ( Tarikh At Thabari jilid 4 m.s. 245 )

Orang yang sekejam dan seganas seperti yang digambarkan oleh sejarah itu tidak mungkin akan menangisi kematian orang yang dibunuhnya sampai begitu sekali bahkan sebaliknya tangisannya itu menunjukkan kesedihannya yang amat sangat di atas kematian Sayyidina Husain yang telah dibunuh secara aniaya itu .

Selain dari itu Umar bin Saad ini telah disebut oleh Ibn Saad di dalam ” Thabaqat “nya dalam senarai thabaqah yang pertama dari kalangan tabiin penduduk Madinah .

Hafidz Ibn Hajar pula menyenaraikan nama – nama orang – orang yang meriwayatkan hadis daripadanya. Kata Hafidz Ibn Hajar, ” Umar bin Saad bin Abi Waqqas Az Zuhri Abu Hafas Al Madani” tinggal di Kufah. Beliau telah meriwayatkan hadis daripada ayahnya dan dari Abi Sa’id Al Khudri. Sementara orang – orang yang meriwayatkan hadis – hadis daripadanya ialah anaknya Ibrahim dan cucunya Abu Bakar bin Hafas, Abu Ishaq As-Sabi’i , Aizar bin Hiraits, Yazid bin Abi Maryam, Qatadah, Suhri , Yazid bin Abi Habib dan lain – lain lagi .

‘Ijli berkata, ” Beliau meriwayatkan beberapa hadis daripada ayahnya dan beliau adalah seorang tabii yang tsiqah ( yang dipercayai ) “. ( Tahzibu At Tahzib jilid7 m.s 396 )

Kenyataan Hafidz Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa Umar bin Saad adalah seorang yang dipercayai oleh ulama mutaqaddimin yang digolongkan sebagai orang – orang yang kepercayaan dalam periwayatan mereka . Sekiranya keganasan dan kezalimannya terhadap Sayyidina Husain dan rombongannya memang benar – benar berlaku seperti yang digambarkan oleh buku – buku sejarah maka bagaimanakah orang – orang besar yang merupakan tonggak dalam periwayatan hadis menerimanya sebagai seorang yang adil lagi tsiqah ? Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa kisah – kisah kezaliman yang dihubungkan kepada Umar bin Saad ini belum lagi popular pada ketika itu dan tidak diterima oleh ahli ilmu dan cerdik pandai Islam .

Sebenarnya, orang – orang Syiah yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai pengiring mereka seramai lebih kurang 60 orang itu tidak akan senang hati dengan keputusan Sayyidina Husain untuk membai’ah Yazid kerana bila Sayyidina Husain berbaiah kepada Yazid mereka sudah pasti akan dibunuh. Sekiranya ini terjadi akan musnahlah segala perancangan mereka untuk menghancurkan perpaduan umat Islam pada ketika itu iaitu dengan tertangkapnya orang – orang yang terlibat dalam pemberontakan tersebut dan dengan terkumpulnya seluruh baiah kepada Yazid .

Apa yang kita ketahui hari ini sebagai peristiwa Karbala yang menyayatkan hati setiap Muslim yang cintakan Rasulullah s.a.w dan Ahlul Baitnya sebenarnya disebabkan oleh golongan Syiah yang mengiringi Sayyidina Husain di samping golongan Syiah yang datang dari Kufah . Merekalah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain dengan tujuan untuk terus mengharubirukan suasana dan memecah belahkan kesatuan umat . Untuk mencapai tujuan ini mereka telah mencanangkan Yazid sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala.

Begitulah perangai mereka , setelah membunuh seseorang mereka letakkan dosa pembunuhan itu ke atas orang lain. Sebagai buktinya, kita boleh lihat kenyataan seorang pengarang sejarah Syiah di dalam bukunya ” Umdatu At Talib ” di mana beliau menulis begini :

” Setelah mendengar berita pembunuhan Muslim , maka Husain mahu berpatah balik tetapi anak – anak ‘ Aqil enggan berbuat begitu . Maka beliaupun terus mara ke hadapan sehingga sampai tidak jauh dari Kufah . Di situ beliau berhadapan dengan Hur bin Yazid Ar Riahi (seorang Syiah ) dengan 1,000 pasukan berkudanya . Husain enggan meneruskan perjalananannya ke Kufah dan beliau membelok ke arah Syam dengan maksud untuk menemui Yazid bin Muawiyah tetapi bila beliau sampai di Karbala beliau ditahan dari meneruskan perjalanannya ke Syam dan dipaksa supaya pergi ke Kufah menurut perintah Ubaidullah bin Ziad tetapi Husain tetap enggan dan tetap memilih jalan yang membawa mereka ke Syam “. ( Umdatu At Thalib Fi Ansab aal Abi Thalib, m.s. 179 )

Kalaupun dikatakan juga Yazid yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Sayyidina Husain dan sebahagian ahli rombongannya ke Kufah itu ( walaupun sebelum ini telah terbukti bahawa Yazid bebas daripada tuduhan pembunuhan itu ) maka bukankah ada juga hujah bagi Yazid untuk bertindak demikian berdasarkan perintah Nabi s.a.w. di dalam sabdanya yang bermaksud :

” Apabila telah dibai’ahkan dua khalifah maka bunuhlah yang terkemudian daripada dua itu “. (Sahih Muslim )

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud :

” Jika seseorang tampil untuk menentang seseorang khalifah ( yang sudah dilantik ) dengan mendakwa sebagai khalifah , maka penggallah leher orang yang mendakwa khalifah itu “.(Muslim, Abu Daud , Nasai, Ahmad , Ibn Majah )

Nabi s.a.w. . juga bersabda bermaksud :

” Sesiapa juga yang datang kepadamu dalam keadaan kamu sudah berbai’ah kepada seseorang, dia mahu memecahkan perpaduan kamu atau menyelerakkan perpaduan di antara kamu, maka bunuhlah dia “. ( Sahih Muslim )

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud :

” Nanti akan berlaku fitnah yang besar- besar. Maka jika ada sesiapa mahu menyelerakkan urusan umat ini ketika mana mereka telahpun bersepakat, maka penggallah lehernya dengan pedang , biar siapapun dia itu “. ( Muslim )

Mungkin ada yang terkeliru apabila melihat kedudukan Sayyidina Husain yang begitu istimewa berbanding Yazid, maka haruslah Sayyidina Husain memberontak terhadap Yazid. Kekeliruan seperti ini seharusnya akan hilang dengan adanya hadis-hadis daripada Rasulullah s.a.w.. seperti yang bermaksud :

” Turutlah dan taatilah ( pemerintahmu ) walaupun dilantik memerintah kamu seorang hamba Habsyi yang kepalanya bagaikan buah anggur “. ( Bukhari , Muslim, Nasai, Ahmad, Ibn Majah )

Begitu juga menurut apa yang diriwayatkan oleh Ubadah bin As Shamit bahawa , “Rasulullah s.a.w. memanggil kami dan kami berbai’ah kepadanya untuk menurut dan mematuhi pemerintah”.

Sama ada kami suka atau tidak suka, sama ada sukar ataupun mudah untuk kami menurutinya dan sehingga kami mengorbankan apa saja untuknya, kami juga berbai’ah untuk tidak menentang pemerintah kecualilah jika pemerintah itu melakukan kekufuran secara terang-terangan dan kamu pula mempunyai bukti yang terang daripada Allah tentangnya . ( Sahih Bukhari & Muslim )

Kedua – dua hadis ini menjelaskan bahawa seseorang pemimpin itu wajib ditaati dan tidak boleh memberontak terhadapnya biar dalam keadaan bagaimana sekalipun kecualilah jika pemerintah itu telah melakukan kekufuran secara terang – terangan seperti yang tersebut di dalam hadis ini . Oleh itu di manakah letaknya kewajaran menentang beliau (Yazid) dan memberontak terhadapnya ?

Berdasarkan hadis – hadis ini juga tidakkah wajar bagi Yazid bertindak menghalang pemberontakan yang berlaku ( walaupun usaha ini sampai menumpahkan darah ) ? Jika diandaikan Sayyidina Husain berada di tempat Yazid sebagai khalifah maka apakah yang seharusnya beliau lakukan ke atas pemberontak yang mahu merampas kuasa daripadanya ? Bukankah dia akan bertindak mempertahankan kedudukannya sebagai khalifah yang telah dibai’ahkan oleh umat dengan menumpaskan pemberontakan yang berlaku walaupun dengan menumpahkan darah mereka. Jika beliau bertindak begitu , bukankah kita tetap akan berkata , ” Bahawa beliau tidak melampaui batas dalam tindakannya itu kerana sememangnya ada perintah Rasulullah s.a.w berhubung dengan tindakan terhadap pemberontakan atau orang yang mendakwa sebagai khalifah setelah diberikan ba’iah kepada seseorang sebagai khalifah sebelumnya ?”

Kerana itulah kita lihat dalam sejarah tidak ada seorangpun sahabat yang turut serta dalam pemberontakan yang dicetuskan oleh Sayyidina Husain, bahkan mereka telah berusaha sedaya upaya menghalang Sayyidina Husain dari maksudnya itu . Perlu diingat bahawa pada masa itu terdapat masih ramai lagi sahabat Rasulullah s.a.w. ( Syeikh Muhammad Al Khudhari Bey – Itmamu AL Qafa’ Fi Seerati Al Khulafa’, m.s 14 )

Demikian juga dari kalangan sanak – saudaranya hanya sebilangan kecil sahaja daripada mereka yang ikut serta dalam rombongan itu . Iparnya Abdullah bin Jaafar At Thayyan, suami kepada saudara perempuan Sayyidina Husain yang bernama Zainab, telah bercerai dengan isterinya kerana berbeza pendapat dengan isterinya dan tidak bersetuju dengan maksud Sayyidina Husain itu.

al-ahkam.net

Tinggalkan komen