Pembunuh Sayyidina Husain? (3)

II. BUKTI-BUKTI SOKONGAN

Walaubagaimanapun kita akan mengemukakan lagi beberapa bukti sokongan supaya lebih menyakinkan kita tentang golongan Syiah itulah sebenarnya pembunuh Sayyidina Husain. Di antaranya ialah :

1. Tidak sukar untuk kita terima mereka sebagai pembunuh Sayyidina Husain apabila kita melihat kepada sikap mereka yang biadap terhadap Sayyidina Ali dan Sayyidina Hasan sebelum itu. Begitu juga sikap mereka yang biadap terhadap orang – orang yang dianggap oleh mereka sebagai Imam selepas Sayyidina Husain. Bahkan terdapat banyak pula bukti yang menunjukkan merekalah yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beberapa orang Imam walaupun mereka menuduh orang lain sebagai pembunuh Imam- imam itu dengan menyebar luaskan propaganda- propaganda mereka terhadap tertuduh itu .

Bukti sokongan keempat yang menunjukkan pembunuh – pembunuh Sayyidina Husain dan orang – orang yang menghadapi beliau dengan lengkap bersenjata sebagai musuh itu adalah Syiah Kufah dapat juga dipastikan melalui nama yang disebutkan oleh Sayyidina Husain dan yang ditujukan ucapannya, kepadanya seperti :

i. Sulaiman bin Surad Khuza’i
ii. Musaiyyab bin Najabah
iii. Abdullah bin Sa’ad
iv. Abdullah bin Wall
v. Rafa’ah bin Syaddad
vi. Syabat bin Rab’i
vii. Hajjar bin Abjar
viii. Yazid bin Harits
ix. Urwah bin Qais
x. Amar bin Hajjaj
xi. Hur bin Yazid

Al Majlisi sendiri mengakui bahawa orang – orang mukmin dan Syiah seperti Sulaiman bin Surad Khuza’i, Musaiyyab bin Najabah, Rafa’ah bin Syaddad , Habib bin Mudzaahir dan lain – lain itulah yang mengutuskan surat pertama kepada Sayyidina Husain dengan menyebutkan di dalamnya Sayyidina Muawiyah sebagai “Al Jabbar Al ‘ Anid” ( diktator yang keras kepala ).

Di antara yang ditulis oleh mereka ialah , ” Sekarang kami tidak mempunyai imam dan ketua . Tuan datanglah kepada kami. Kami akan memberikan sepenuh-penuh taat setia kepada tuan. Sebaik sahaja tuan datang, kami akan menghalau keluar Nu’man bin Basyir Gabenor Kufah daripada Kufah ini. Wassalam “. ( Jilaau Al Uyun , m.s. 356 ).

Perkara yang sama juga tersebut di dalam kitab ‘Muntaha al Aamaal‘ jilid 1 m.s. 303. Lihat juga ‘Tarikh At Thabari‘ jilid 4 m.s. 261 – 262 , ‘Al Kamil Fi At Tarikh‘ jilid 3 m.s. 266 .

Surat ini disampaikan oleh Abdullah bin Sab’un Al Hamdani dan Abdullah bin Wall kepada Sayyidina Husain. Selepas surat ini pembesar – pembesar Kufah dan orang – orang kenamaannya yang mana bilangan mereka adalah seramai 150 orang , mengirimkan pula surat kepada beliau melalui Qais bin Mushir, Abdullah bin Syaddad dan Ammar bin Abdullah. Dua hari selepas itu penduduk Kufah menghantarkan pula surat kepada beliau melalui Hani’ bin Hani’ As Sabi’i dan Sa’id bin Abdullah Al Hanafi . Di antara kandungan surat itu ialah :

Selepas Bismillah, ” Bahawa segeralah sampai kepada kalangan teman – teman dan pengikut – pengikut tuan. Semua kami telah pun bersiap sedia menanti tuan “.

Selepas itu Syabats bin Rab’i , Hajjar bin Abjar , Yazid bin Harits , Urwah bin Qais , Amar bin Hajjaj dan Muhamamd bin Umair At Tamimi pula mengirimkan surat yang lebih kurang isi kandungannya dengan surat – surat yang lalu. ( ‘Jilaau Al Uyun‘, m.s. 357, ‘Muntaha Al Aamal‘ jilid 1, m.s. 303, ‘Tarikh At Thabari‘, jilid.4 m.s. 262, dan Al Kamil Fi At Tarikh, jilid m.s. 267 )

Walaupun begitu Sayyidina Husain masih teragak – agak menyambut seruan mereka sehinggalah sampai surat – surat mereka kepada beliau sebanyak lebih kurang 12,000 pucuk dan terlalu ramai pula datang orang – orang yang diutuskan oleh penduduk Kufah. Pada ketika itu barulah Sayyidina Husain membalas surat – surat mereka dengan menulis begini :-

” Surat ini adalah daripada Husain bin Ali kepada orang – orang Mukmin dan Muslim dari kalangan Syiah. Surat tuan – tuan telah pun saya terima semuanya. Sekarang saya hantarkan kepercayaan saya kepada Muslim bin ‘Aqil kepadamu. Nanti kalau dia menuliskkan surat kepada saya tentang pengutus – pengutus surat – surat tersebut adalah dari orang – orang yang mulia, bijaksana dan bertanggungjawab, maka insya Allah dengan segera saya akan datang kepadamu”. ( ‘Jilaau Al Uyun‘ , m.s. 357, ‘Muntaha Al Aamal‘ , jilid 1, m.s. 303; ‘Tarikh At Thabari‘ jilid 4 , m.s. 262; ‘Al Kamil Fi At Tarikh‘ jilid 3, m.s. 267 )

Apabila menyebut nama orang – orang ini mungkin ada orang berkata bahawa, ” Mereka itu sebenarnya adalah orang – orang yang setia kepada Ibn Ziad dan kerajaan. Mereka hanya menyamar sebagai Syiah, bukannya Syiah yang sebenar, semata – mata untuk memerangkap Sayyidina Husain. Kerana itulah mudah sekali mereka mengarahkan pemberontak – pemberontak yang berkumpul di hadapan kediaman Gabenor Ibn Ziad di Kufah dan kemudian tampil pula di medan Karbala untuk menentang dan memerangi Husain, seterusnya membunuh beliau dan orang – orang yang ikut serta dengan beliau “.

Maka sebagai jawapannya kita akan berkata , ” Alasan seperti ini mungkin boleh diterima oleh orang – orang Ahlus Sunnah dan juga orang – orang yang tidak mempunyai kepercayaan tentang Imamah. Tetapi orang – orang yang mempercayai para Imam itu mempunyai satu buku daftar nama – nama ‘syiah’ berserta nama – nama ayah mereka, andaian ini tertolak sama sekali. Kerana itulah di dalam ‘Kitab Al Kafi’ jilid 1 m.s. 223 dinukilkan kata – kata Imam Ar Ridha bahawa , ” Kami memang mengenali seseorang apabila kami melihatnya sama ada ia seorang mukmin atau ia seorang munafik, dan sesungguhnya ‘syiah’ kami tertulis nama mereka bersama nama – nama ayah mereka (dalam buku catatan yang ada pada kami )”.

Demikian juga tersebut di dalam kitab ‘Al Ihtijaj Thabarsi ‘ tentang ciri – ciri seseorang Imam bahawa, ” Padanya ada satu daftar yang tertulis di dalamnya nama – nama ‘syiah’nya hingga qiamat” . ( ‘Al Ihtijaj‘ , jilid 2 , m.s. 437 ).

Jadi bagaimanakah Sayyidina Husain yang dipercayai sebagai imam oleh orang – orang Syiah itu tidak akan mengetahui pula ‘syiah’nya ( pengikutnya ) yang menjemput beliau untuk memberontak itu ? Masakan beliau akan mendedahkan diri kepada bahaya yang mengancam negara beliau dan ahli keluarganya sendiri di dalam perjalanan itu !

Bukti sokongan kelima yang menunjukkan pembunuh – pembunuh Sayyidina Husain adalah orang – orang Syiah Kufah adalah nasihat orang – orang tua dari kalangan sahabat dan juga sanak saudara beliau agar tidak terpengaruh dengan golongan Syiah itu . Mereka mengingatkan Sayyidina Husain tentang pengkhianatan dan kebiadaban Syiah terhadap abang dan ayah beliau pada masa – masa yang lalu .

Sebagai contohnya di sini akan dikemukakan nasihat beberapa sahabat beliau. Di antaranya ialah :-

a) Abu Sa’ id Al Khudri menceritakan bahawa, ” Husain telah mendorong saya supaya memberontak. Maka saya pun berkata kepadanya; Bertaqwalah kepada Allah di dalam hatimu. Tetaplah duduk di rumahmu dan janganlah engkau memberontak terhadap Imammu ( Khalifah Yazid )”. ( ‘Al Bidayah Wa An Nihayah‘, jilid 8 , m.s. 163 )

b) Abu Waqid Al Laitsi menceritakan tindakannya menghalang Sayyidina Husain untuk berangkat ke Kufah dengan katanya, ” Maka aku menahannya daripada keluar memberontak dengan nama Allah kerana orang yang memberontak bukan dengan sebab yang wajar adalah orang yang keluar membunuh diri sendiri “. ( Ibid , m.s. 163 )

c) Jaabir bin Abdillah berkata , ” Aku telah menasihati Husain dengan kataku; Bertaqwalah kepada Allah dan janganlah engkau memperlagakan sebahagian orang dengan sebahagian yang lain “. ( Ibid ).

d) Sementara Ibn Umar yang dipanggil dengan gelaran ‘ Syeikh As Sahabah ‘ pula menasihati Sayyidina Husain dengan katanya, ” Bertaqwalah kepada Allah. Janganlah engkau memecah belahkan perpaduan ummat Islam”. ( ‘Tarikh At Thabari‘ , jilid 4, m.s. 254 )

e) Ibn Abbas yang dianggap sebagai orang tua dari kalangan Ahlul Bait pada masa itu juga puas menasihati Sayyidina Husain seperti juga orang – orang lain tetapi tidak didengar oleh Sayyidina Husain. Mengikut apa yang dikemukakan oleh At Thabari, sampai begini kata – kata Ibn Abbas, ” Demi Allah! Kalau aku yakin engkau akan menurut kata – kataku dengan menyentap rambutmu dan memegang tengkokmu sehingga semua orang melihat keadaan itu, nescaya aku lakukan”. (‘Tarikh At Thabari‘ , jilid 4 , m.s. 288 )

Aku Bakar bin Al Harits bin Hisyam pula menasihati Sayyidina Husain dengan katanya , ” Bagaimana engkau akan berangkat demi menyahut jemputan orang – orang yang telah memberontak dan menderhaka terhadap ayah dan abangmu. Bukankah engkau sendiri telah menyaksikan apa yang telah mereka lakukan terhadap abangmu sesudah ayahmu? Apakah dengan mereka engkau akan memerangi penduduk Syam dan Iraq yang lebih kuat daripadamu dan cukup lengkap pula senjata mereka ? Bukankah mereka itu orang – orang yang pernah menarik diri daripada berbai’ah kepadanya sehingga sebak dada ayahmu oleh kemarahan , padahal seorang yang lebih berpengaruh , lebih perkasa dan lebih dipatuhi ramai?” ( ‘Al Mas’ud Muruju Az Zahab‘ , jilid 3 m.s. 69 – 70 )

Hadis – hadis Syiah yang diriwayatkan daripada Imam – imam maksum juga membuktikan bahawa pembunuhan Sayyidina Husain dan keluarganya dari awal hingga akhir telah berlaku di tangan orang – orang Syiah dan kerana ini mereka terpaksa menderita bencana dan malapetaka besar hingga ke hari ini . Di dalam ” Usul Kafi ” tersebut satu riwayat daripada Abu Hamzah Ats Tsumali katanya, ” Aku mendengar Muhammad Al Baqir berkata , ” Wahai Tsabit ! Sesungguhnya Allah Tabarakawataala telah menentukan kemunculan Imam Mahdi pada tahun 70H tetapi apabila Husain terbunuh maka murkalah Allah ke atas penduduk bumi lalu ditundakan kemunculannya kepada tahun 140H. Kami ceritakan kepada kamu tetapi kamu heboh – hebohkan cerita kami. Kamu singkapkan tabir rahsia kerana itulah Allah tidak menentukan lagi waktu kemunculannya kepada kita “. Berkata Abu Hamzah, ” Maka aku kemukakan perkara ini kepada Jaafar As Shadiq, oleh beliau diakui bahawa memang begitulah yang terjadi “. (‘Al usul Min Al Kafi‘ , jilid 1, m.s. 368 )

Daripada hadis Syiah ini dapat difahamkan bahawa pembunuh – pembunuh Sayyidina Husain itu sememangnya orang – orang Syiah . Jika tidak tentulah kemunculan Imam Mahdi pada tahun 70H yang ditentukan Tuhan itu tidak ditundakan kerana tidakkah kemunculan Imam Mahdi itu merupakan nikmat dan rahmat kepada golongan Syiah ? Bukankah mengikut kepercayaan Syiah kedatangan Imam Mahdi akan menghadiahkan kerajaan dan pemerintahan kepada orang – orang Syiah di seluruh dunia ? Kalaulah pembunuh – pembunuh Sayyidina Husain itu bukan Syiah , kenapa pula mereka dihadang daripada mendapat nikmat itu ? Bukankah dengan mengatakan begitu bererti kita mencabar keadilan Tuhan yang dicanang oleh golongan Syiah sebagai Rukun Iman mereka ? Kenapa pula orang lain yang membuat onar tetapi yang menanggung rugi ialah Syiah ?

Ya, mungkinlah ada satu lagi jalan hadapan kita untuk melepaskan Syiah daripada pembunuhan Sayyidina Husain iaitu kerana terbunuhnya Husain itu Tuhan begitu murka sehingga tidak dapat membezakan lagi siapa ‘ kekasih’ dan siapa ‘ musuh’ Nya sehingga telah memutuskan keberuntungan kepada pihak musuh dan kerugian pula kepada pihak kekasih dengan menundakan kemunculan Imam Mahdi!!!

Untuk dikatakan Yazid melalui Gabenor Ubaidullah bin Ziad dan panglimanya Umar membunuh Sayyidina Husain, selain daripada ianya bercanggah dengan kenyataan – kenyataan dan bukti – bukti yang telah dikemukakan sebelum ini, ia juga bercanggah dan bertentangan dengan pesanan yang telah diberikan oleh Muawiyah kepada Yazid tentang Sayyidina Husain dan pesanan itu dicatatkan oleh Thabari di dalam ” Tarikh“nya bahawa, ” Adapun Husain bin Ali maka penduduk Iraq sekali – kali tidak akan melepaskannya sehinggalah mereka mengeluarkannya untuk memberontak. Maka sekiranya ia keluar memberontak terhadapmu dan engkau dapat menangkapnya maka maafkan lah dia kerana beliau mempunyai pertalian rahim yang sangat hampir dengan kita dan juga mempunyai hak yang sangat besar”. ( ‘Tarikh At Thabari‘ , jilid 4 , ms 238 )

Di tempat yang lain dinukilkan begini , ” Sekiranya engkau menangkapnya maka maafkanlah dia kerana jika aku sendiri menghadapi perkara ini necsaya aku memaafkan dia juga “. ( Ibid jilid 4 m.s. 239 )

Perkara yang sama juga telah disebutkan oleh Mullah Baqir di dalam kitabnya ” Jilaau Al Uyun “. Walaupun selepas mengemukakan pesanan ini Mulla Baqir menyatakan pendapatnya bahawa wasiat yang diberikan oleh Muawiyah kepada Yazid itu bukanlah kerana memikirkan Sayyidina Husain tetapi untuk menjaga kerajaan Yazid. Kerananya Muawiyah telah pun mengetahui bahawa dengan membunuh Sayyidina Husain akan hancurlah kerajaan Yazid. Tetapi ini tidak lebih daripada dakwaan semata – mata tanpa disokong oleh dalil yang kukuh dan memberikan kunci ilmu ghaib pula kepada Muawiyah . Kalaulah Muawiyah memang berniat begitu, kenapakah beliau tidak mengatakan terus terang kepada Yazid bahawa, ” Jangan sekali – kali engkau membunuh Husain kerana pembunuhannya menandakan kehancuran kerajaanmu”. Walau bagaimanapun pesanan Muawiyah itu telah dikemukakan juga oleh beliau seperti mana ahli – ahli sejarah yang lain.

Yazid pula di dalam pesanannya terhadap gabenornya Ibn Ziad menekankan begini : ” “Saya mendapat tahu bahawa Husain telah pun menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan – kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui , tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangimu dan tulislah selalu kepadaku tentang apa yang berlaku. Wassalam “. ( ‘Al Bidayah Wa An Nihayah’ , jilid 8 m.s. 165 )

Pesanan ini menunjukkan tindakan Yazid yang bijaksana sebagai pemimpin negara yang mahukan keamanan dan ketenteraman di dalam negaranya. Begitu juga terdapat arahan di dalamnya kepada Gabenor Ibnu Ziad supaya tidak memulakan perang terhadap pihak lawannya dan jika diserang pula, maka langkah – langkah yang mempertahankan diri perlulah diambil. Kata – kata Yazid yang berbunyi , “Tetapi janganlah engkau perangi kecuali orang yang memerangimu”, merobohkan sama sekali cerita palsu yang memuatkan kezaliman dan kekejaman oleh pihak kerajaan Yazid terhadap Sayyidina Husain. Begitu juga mana mungkin kekejaman dan tindakan yang melampau terhadap rombongan Sayyidina Husain itu dilakukan oleh Ibn Ziad, gabenor Yazid di Kufah dalam keadaan terdapat pula surat daripada Marwan, bekas Gabenor Madinah, kepadanya yang berpesan dengan sungguh – sungguh berbunyi :

” Sesungguhnya Husain bin Ali anak Fatimah telah pun menuju ke arahmu dan Fatimah adalah anak perempuan Rasulullah s.a.w. Demi Allah ! Tidak ada seorang pun yang lebih dikasihi kami daripada Husain. Semoga Allah menyelamatkannya . Oleh itu waspadalah. Jangan sekali-kali kerana kemarahan engkau melakukan sesuatu yang tidak dapat diubati dan tidak dapat dilupakan oleh ummat sampai akhir zaman. Wassalam”. ( ‘Al Bidayah Wa An Nihayah‘, jilid 8, m.s. 165; ‘Naasikhu At Tawarikh’, jilid 6 , m.s. 212 ).

Surat ini selain daripada menunjukkan betapa kasihnya Marwan kepada Sayyidina Husain dan betapa kuatnya peringatan yang diberikannya kepada Ibn Ziad telah menidakkan segala cerita – cerita palsu yang dihubungkan kepada Ibnu Ziad . Dengan adanya pesanan – pesanan dan arahan – arahan seperti ini daripada pemimpin agung dan pemimpin – pemimpin yang lain, mana mungkin seorang pemimpin bawahan seperti Ibn Ziad sanggup melanggarnya .

Selain dari itu kalaulah Yazid bertanggungjawab di dalam pembunuhan Sayyidina Husain itu maka mengapakah pula rombongan – rombongan sanak – saudara Sayyidina Husain yang masih hidup selepas peristiwa Karbala itu dibawa oleh bala tentera Yazid ke Syam dengan penuh penghormatan ? ( Al Akhbaru At Thiwal m.s. 200 )

Zainab saudara Sayyidina Husain misalnya, setelah berada di Syam dan mendapat bermacam – macam kemudahan dan layanan yang baik daripada pihak kerajaan Yazid tidak mahu lagi pergi kemana – mana hatta pulang ke Madinah apa lagi akan pergi ke Iraq atau Kufah . Ali Zainal Abidin pula dilaporkan oleh ahli – ahli sejarah sebagai seorang yang amat setia kepada Yazid dan tidak terlibat dalam mana – mana pemberontakan oleh mana – mana pihak sesudah itu sama ada pemberontakan oleh pihak Ibnu Zubair atau pihak Mukhtar bin Abi Ubaid Ats Tsaqafi (yang bangkit memberontak dengan alasan membela Ahlul Bait !)

———————————————– ———— ————

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s