Apakah Hukum Membuat Jemaah Kedua di Masjid

Salam

Bolehkah kita bersolat/membuat jemaah yang kedua apabila jemaah yang pertama yang dikendalikan oleh imam yang dilantik sudah selesai menunaikan solat secara berjemaah?

Ataupon kita kena bersolat bersendirian walaupon masih ramai lagi yang ingin bersolat…tapi tak sempat dengan imam yang pertama?

Minta..ahli panel, sertakan nas2 dari al-quraan dan as-Sunnah.jawapan:

Al-Hafiz Imam Nawawi rh didalam Kitab Majmu’ mengatakan bahawa kesemua ulama’ bersetuju bahawa boleh melakukan solat berjemaah bebarapa kali jika masjid tersebut tidak mempunyai Imam Raatib (Imam tetap bergaji). Akan tetapi ulama’ khilaf didalam hukum melakukan solat jemaah yang kedua bagi masjid yang mempunyai Imam Raatib.

Jumhur fuqaha’ dari kalangan mazhab Hanafi, Syafie dan Maliki tidak menyukai (makruh) akan Solat berjemaah yang diadakan selepas Imam Raatib selesai melakukannya. Hukum ini thabit dari hadith Nabi saw :-

أقبل من نواحي المدينة يريد الصلاة، فوجد الناس قد صلوا، فمال إلى منزله فجمع أهله فصلى بهم

“Dia datang dari pinggiran Madinah dan ingin melakukan solat, kemudian mendapati manusia telak menunaikan solat, kemudian di kembali kearah rumahnya dan mengumpul keluarganya bersolat bersama-sama mereka” – [berkata Al-Haithami ; hadith riwayat Thabraani didalam Al-Kabir wa Aushat, periwayatnya thiqah].

Mereka mengecuali Masjidil Haram kerana terlalu banyak pahalanya bersolat didalam masjid tersebut sebagaimana hadith Abu Hurairah ra.

Pada pandangan ulama’ yang tidak membenarkan solat dilakukan secara berulang adalah kerana alasan mereka ialah ia akan mengurangkan lagi jemaah, kerana mereka tahu bahawa kalau terlambat datang mereka boleh menyertai kumpulan yang lain. Inilah yang dibenci oleh Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie, dan mereka juga mempunyai kenyataan yang khusus menerangkan perkara ini. Imam Al-Syafie rh sendiri sebagai contoh berpendapat bahawa :-

ولا أحب أن يصلوا فيه جماعة ، فإن فعلوا أجزأتهم الجماعة فيه ، وإنما كرهت ذلك لهم لأنه ليس مما فعل السلف قبلنا ، بل قد عابه بعضهم ، وأحسب كراهية من كره ذلك م منهم إنما كان لتفرقة الكلمة ، وأن يرغب رجل عن الصلاة خلف إمام الجماعة ، فيتخلف هو ومن أراد عن المسجد في وقت الصلاة ، فإذا قضيت دخلوا فجمعوا ، فيكون بهذا اختلاف وتفرق الكلمة ، وفيهما المكروه ، وإنما أكره هذا في كل مسجد له إمام ومؤذن

“Saya tidak menyukai mereka bersolat jemaah, walaupun mereka melakukannya dengan ganjaran jemaah didalamnya, kerana sesungguhnya aku benci cara begitu kerana sesungguhnya perbuatan itu bukan dari kalangan salaf sebelum kami, bahkan sebahagian mereka mencelanya. Saya mempunyai alasan membenci kerana ia akan memecah belahkan kata-kata. Saya tidak gembira dengan mereka yang tidak mahu bersolat dibelakang Imam berjemaah, lalu bersama yang lain menangguhkan bersolat semasa waktu diadakan solat. Dan setelah selesai solat, mereka masuk dan mendirikan jemaah (lain). Perkara ini yang menimbulkan perselisihan dan memecah belahkan kata-kata. Maka pada kedua-duanya adalah MAKRUH. Sesungguhnya aku tidak suka perkara berlaku didalam setiap masjid yang ada didalamnya Imam dan Muazzin yang tetap” (Al-Umm 1/136)

Bagi mazhab Hanbali pula mereka tidak membenci jemaah yang melakukan solat berjemaah yang berulang, lebih baik lagi jika tiada kedapatan Imam Raatib, dengan alasan solat berjemaah ini mempunyai banyak fadhilatnya (dituntut) sebagaimana sabda Nabi saw bahawa solat berjamaah melebihi 25 darjat dari solat bersendirian dan didalam riwayat yang lain dari al-Bukhaari dan Muslim bahawa solat berjemaah melebihi 27 darjat.

Bagi kumpulan lain yang membenarkan bersolat berjamaah berulang mengambil dalil dari Abu Sa’ed al-Khudri ra yang berkata :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أبصر رجلاً يصلي وحده فقال : ” ألا رجلٌ يتصدق على هذا فيصلي معه ” فقام رجل فصلى معه

“bahawa Rasulullah saw melihat seorang lelaki bersolat berseorangan dan berkata, ‘Tidakkah sesiapa mahu melakukan sedekah keatas orang tersebut dan bersolat dengannya?” Maka seorang bangun dan bersolat dengannya.” – [Hadith riwayat Ahmad didalam Musnadnya, Abu Daud didalam Sunannya].

Al-Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan. Hadith ini juga diriwayatkan dan dikelaskan sebagai sahih oleh al-Hakim, dan al-Zahabi mempersetujuinya. Ia juga diriwayatkan oleh Ibn Hazm didalam al-Muhalla, dan beliau menyatakan ianya sahih. Al-Tirmidzi mengatakan :

وهو قول غير واحدٍ من الصحابة والتابعين ، قالوا : لا بأس أن يصلي القوم جماعة في مسجد قد صلي فيه جماعة ، وبه يقول أحمد وإسحاق . وقال آخرون : يصلون فرادى ، وبه يقول سفيان وابن المبارك ومالك والشافعي ، يحتارون الصلاة فرادى

“Ini adalah pandangan lebih dari satu Sahabat dan Tabi’en. Mereka mengatakan : tidak ada salahnya bagi mereka yang melakukan solat jemaah dimasjid yang telah melakukan solat jemaah. Ini adalah pandangan Ahmad dan Isyak. Berkata mereka yang lain : Solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Sufyan, Ibn Mubarak, Maliki dan Syafie.”

Ulama’ dari Lajnah Al-Daa’imah Arab Saudi mengatakan bahawa pandangan yang membolehkan bersolat jemaah bagi masjid yang telah melakukan solat jemaah adalah merupakan pandangan yang lebih benar. Ini berdasarkan makna umum ayat firman Allah swt :-

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

“Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)” – [al-Taghaabun 64:16]

dan juga hadith Nabi saw :

إذا أمرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم

“Apabila aku mengarahkan kamu melakukan sesuatu, lakukanlah sejauh mana yang kamu mampu”

Al-Lajnah al-Daa’imah didalam fatwa nombor 2583 menyatakan bahawa :

ولا يصح أن يعارض النقل الصحيح بعلل رآها بعض أهل العلم وكرهوا تكرار الجماعة في المسجد من أجلها ، بل يجب العمل بما دلت عليه النقول الصحيحة ، فإن عُرف عن أحد أو جماعة تأخر لإهمال وتكرر ذلك منهم أو عرف من سيماهم ونحلتهم أنهم يتأخرون ليصلوا مع أمثالهم عُزروا وأُخذ على أيديهم بما يراه ولي الأمر ردعاً لهم ولأمثالهم من أهل الأهواء وبذلك يسد باب الفرقة ، .

“Tidaklah betul menentang riwayat dengan pandangan sebahagian ulama’ yang memberi pandangan bahawa mengulangi solat berjemaah di masjid adalah makruh dengan hanya menggunakan fikiran yang rasional semata-mata. Malah kita hendaklah menggunakan riwayat yang sahih. Jika diketahui terdapat kumpulan atau seseorang yang sengaja melewatkan solat kerana kelalaian, dan melakukannya selalu, atau diketahui dari perangainya, atau menceburkan diri dengan kumpulan yang lain yang juga melewatkan solat, mereka hendaklah di tentang atau dikenakan tindakan disiplin dengan cara yang bersesuaian, sebagai penghalang kepada mereka yang suka mengikut kehendak nafsu dan keinginan sendiri. ” [Fatawa al-Lajnah al-Daa’imah 7/309-311].

Disamping dikalangan ulama’ membenarkan dilakukan solat jemaah yang ke2, disebabkan keuzuran yang tidak sengaja, ia bukanlah menjadi sebab untuk tidak menyertai Imam Raatib yang telah dipilih. Ia bukanlah menjadi alasan agar seseorang itu hanya akan bersolat dengan kumpulan tertentu sahaja disebabkan oleh fahaman politik, persatuan, pegangan, parti dsb. Keutamaan solat diawal waktu bagi yang tidak uzur adalah satu keutamaan. Imam Syafie melarang keras mereka yang sengaja menunggu Imam Raatib selesai solat dan menunaikannya jemaah yang lain dengan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Jika terdapat keuzuran yang mengaikbatkan lambat sampai ke masjid, tidak menjadi halangan diadakan jemaah yang lain sepertimana yang dinyatakan oleh Ishak dan Imam Ahmad. Alasan tidak sama fikrah, politik, pandangan, kumpulan dsb tidak harus timbul bagi melewatkan diri ke masjid atau mengelakkan diri dari bersolat dibelakang Imam Raatib. Ulama’ membenarkannya oleh kerana terdapat keuzuran (seperti musafir) dan juga fadilat yang besar terkandung didalam solat berjemaah, dan bukannya bertujuan memecah belahkan umat. Keutamaan masih diberikan kepada bersolat dibelakang Imam Raatib jika tidak dapat keuzuran. Allahu Ta’ala ‘Alam.

Lihat juga:
1. Markas Fatwa Dr Abdullah. مَا وَرَدَ فَي تَكْرَارُالجَمَاعَةِ في مَسْجِدٍ قَدْ صُلِّيَ فِيهِ مَرَّةً. url : http://www.islamweb.net/php/php_arabic/ShowFatwa.php?lang=A&Id=16055&Option=FatwaId

2. Fataawa al-Lajnah li al-Buhuth Al-‘Alamiyah wa al-Iftaa’ – 7. cetakan ke 3. Riyad : Daar Al-Muayyad, 2000. ms 309-311.

al-ahkam 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s