Berkenalan Dengan Ciri-Ciri Ahl Sunnah wa al Jamaah Dalam Hukuman Jenayah

.

Hafiz Firdaus Abdullah

 

Pengenalan:

Dalam fiqh Islam, hukuman jenayah dibahagikan kepada tiga kategori:

  1. Hudud, iaitu hukuman yang telah ditetapkan bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya ke atas seseorang yang melakukan sesuatu jenayah, dimana jenis jenayah dan cara pembuktian jenayah telah ditetapkan juga oleh Allah dan Rasul-Nya. Jenis jenayah yang masuk dalam kategori hudud ialah murtad, zina, seks sejenis (gay dan lesbian) dan mencuri.
  2. Qishash, iaitu balasan setimpal ke atas sesuatu jenayah yang dilakukan. Qishash lazimnya merujuk kepada jiwa dan anggota badan. Jika seseorang itu mencederakan tangan seseorang, maka hukuman qishash ialah mencederakan kembali tangan orang yang mencederakan. Namun yang dicederai memiliki pilihan untuk mengenakan denda atau memaafkan orang yang mencederakannya.
  3. Takzir, iaitu hukuman yang tidak ditetapkan bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya. Kadangkala bentuk dan kadarnya ada dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya, namun ia tidaklah bersifat mengikat. Perubahan boleh dilakukan oleh hakim berdasarkan faktor-faktor yang melatarbelakangi jenayah dan penjenayah berdasarkan kes demi kes.

Takzir juga diterapkan ke atas jenis jenayah yang sebelum ini tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya atau terhadap jenayah yang dibuktikan dengan cara yang berbeza. Sebagai contoh, jika kes rogol dibuktikan dengan ujian DNA atau kes menggelap wang syarikat dibuktikan melalui cara audit balance sheet, maka jenayah ini dan hukumannya masuk dalam kategori takzir. Walaubagaimana pun bab ini masih terdapat perbincangan di kalangan ilmuan Islam.

Asalnya subjek hukuman jenayah secara umum (al-‘Uqubah) atau hukuman hudud secara khusus, tidak dibincang dalam tulisan-tulisan para tokoh al-Salaf al-Shalih ketika mereka menyenaraikan ciri-ciri atau dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ini kerana di kalangan pelbagai aliran yang berpecah pada zaman itu, mereka tidak berselisih dalam perkara ini. Akan tetapi pada masa kini, umat Islam telah terbahagi kepada dua aliran dalam perkara ini:

1.      Aliran Hududiyyah, iaitu mereka yang tidak faham apa dan bagaimana hukuman hudud, namun beria-ria untuk menegakkan pelaksanaannya. Bagi mereka, sebuah negara Islam tidak memiliki apa-apa tugas kecuali menebas tangan pencuri dan membelasah para penzina.

2.      Aliran Gadud (Golongan Anti Hudud), iaitu mereka yang tidak faham apa dan bagaimana hukuman hudud lalu menolaknya. Bagi mereka, jika hudud dilaksanakan dalam sesebuah negara, nescaya kebanyakan rakyatnya akan berjalan ke sana sini tanpa tangan dan badan yang berbelang-belang. 

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah berada dipertengahan antara dua aliran ini.

 

A:      Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, selagi mana mampu, melaksanakan hukuman hudud ke atas penjenayah yang melakukan sesuatu jenayah tertentu.

 

Penjelasan:

Dikatakan “selagi mana mampu” kerana jika dirujuk kepada sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, hudud bukanlah sesuatu yang diberi prioriti oleh baginda berbanding tauhid, ibadah, akhlak dan kefahaman tentang Islam. Hudud hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas negara Islam Madinah didirikan.

Selain itu terdapat juga kisah Najasyi, seorang raja di negeri Etophia yang pernah memberi perlindungan kepada sebahagian umat Islam yang berhijrah ke sana. Penghijrahan ini berlaku sebelum penghijrahan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ke Madinah. Beliau bernama Ashama bin Bahr, asalnya beragama Nasrani, akan tetapi kemudiannya memeluk Islam setelah mendengar tentangnya daripada orang yang dilindunginya. Keislaman beliau diketahui oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga apabila beliau wafat pada tahun 9H, baginda dan para sahabat melaksanakan solat jenazah ghaib kepada beliau. Berkata Jabir radhiallahu ‘anh:

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ مَاتَ النَّجَاشِيُّ: مَاتَ الْيَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ.

Berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mendengar khabar kematian Najasyi: “Pada hari ini seorang lelaki yang shalih telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.”[1]

Sekali pun memeluk Islam, beliau menyembunyikan keislamannya daripada rakyat dan para pembesar istana yang semuanya beragama Nasrani. Beliau tidak melaksanakan apa-apa hukum Islam, sama ada berkaitan tauhid, ibadah mahu pun jenayah kerana bimbang bantahan daripada rakyat dan para pembesar istana. Ketidakmampuan beliau tidak menjejaskan status Islamnya, maka kerana itu Rasulullah dan para sahabat tetap menyolatkan jenazah beliau.

Ketika ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh mengambil alih sebagai khalifah setelah ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu ‘anh dibunuh, beliau menangguhkan pelaksanaan hukuman qishash ke atas para pembunuh ‘Usman. Bagi beliau, mengumpulkan kekuatan dan perpaduan umat Islam yang berpecah-belah disebabkan fitnah pembunuhan ‘Usman patut diberi prioriti. Namun Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anh berpandangan, hukuman qishash patut diberi prioriti. Perbezaan pandangan ini dimanfaatkan oleh para musuh Islam sehingga akhirnya bertembunglah pasukan ‘Ali dengan pasukan Muawiyah dalam sebuah peperangan yang dikenali sebagai Perang Siffin. Antara iktibar yang boleh diambil dari peristiwa ini adalah, perlaksanaan qishash (atau hudud dan takzir) bukanlah satu prioriti.

 

B:      Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang melakukan sesuatu jenayah dalam keadaan fikiran yang terkawal. Orang gila, jahil, keliru dan kanak-kanak tidak dikenakan hukuman hudud.

 

Penjelasan:

Ini berdasarkan hadis dimana seorang lelaki muslim datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam masjid dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي زَنَيْتُ فَأَعْرَضَ عَنْهُ حَتَّى رَدَّدَ عَلَيْهِ أَرْبَعَ مَرَّاتٍ فَلَمَّا شَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ دَعَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: أَبِكَ جُنُونٌ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ أَحْصَنْتَ؟ قَالَ: نَعَمْ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اذْهَبُوا بِهِ فَارْجُمُوهُ.

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.” Rasulullah berpaling daripada orang tersebut sehingga dia mengulang-ulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Maka tatkala dia bersaksi ke atas dirinya sebanyak empat kali, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam  memanggilnya dan bertanya: “Adakah engkau gila?” Dia menjawab: “Tidak.” “Adakah engkau sudah berkahwin?” Dia menjawab: “Ya.” Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ambillah dia dan rejamlah dia”.[2]

Dalam sebuah riwayat lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya:

لَعَلَّكَ قَبَّلْتَ أَوْ غَمَزْتَ أَوْ نَظَرْتَ؟

“Mungkin engkau hanya mencium atau menyentuh atau memandangnya?”[3]

Berdasarkan pertanyaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada orang yang mengaku berzina, jelas bahawa ditentukan terlebih dahulu sama ada beliau adalah gila atau tidak. Kemudian ditentukan juga sama ada beliau benar-benar tahu apa yang dimaksudkan dengan zina, agar tidak terjadi sebarang salah faham atau kekeliruan. Berdasarkan pertanyaan ini, dapat dirumuskan bahawa orang yang melakukan jenayah dalam keadaan fikirannya tidak terkawal sepenuhnya, dia tidak dikenakan hukuman hudud. Contoh selain gila ialah jahil, keliru, kanak-kanak dan tidur.

Disebut dalam beberapa riwayat bahawa Amirul Mukminin ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh tidak menjatuhkan hukuman hudud kepada orang yang berzina kerana kejahilan mereka akan kesalahan berzina.[4]

 

C:      Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah hanya mengenakan hukuman hudud ke atas jenayah yang dilakukan secara terbuka.

 

Penjelasan:

Ini berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.[5]

Selain itu sama-sama kita mengetahui bahawa untuk menjatuhkan hukuman hudud, pendakwa perlu membawa jumlah saksi yang tertentu. Jika syarat saksi tidak memadai, pendakwa sendiri yang akan dikenakan hukuman. Ini sekali lagi menjadi bukti bahawa hukuman hudud hanya dijatuhkan kepada jenayah yang berlaku secara terbuka sehingga wujud orang yang menyaksikannya.

Sebagai tambahan, perhatikan semula hadis di atas tentang bagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling sebanyak empat kali daripada orang yang datang mengaku bahawa dia telah berzina. Berdasarkan sikap Rasulullah tersebut, dapat dirumuskan bahawa:

  1. Kemaksiatan adalah sesuatu yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, akan tetapi baginda tidak melaksanakan usaha mengintip atau memata-matai orang yang disyaki melakukan maksiat. Ini selari dengan sabda baginda:

إِنَّ الأَمِيرَ إِذَا ابْتَغَى الرِّيبَةَ فِي النَّاسِ أَفْسَدَهُمْ.

Sesungguhnya seorang penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia merosakkan mereka.[6]

  1. Berpalingnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan baginda tidak suka mendengar pengakuan orang yang telah berzina. Dalam ertikata lain, sesuatu yang telah berlaku secara tertutup, biarlah ia tertutup. Baginda bersabda, maksudnya: “…sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah…”
  2. Orang yang melakukan jenayah tidak dianjurkan kepadanya untuk melapor kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia bertaubat, sebagaimana lanjutan hadis di atas: “…hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah…” Kembali kepada kes orang yang mengaku berzina kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dikhabarkan bahawa ketika sedang direjam, beliau melarikan diri kerana tidak tahan sakit. Salah seorang sahabat sempat mengejar beliau dan memukulnya sehingga mati dengan seketul tulang unta. Peristiwa ini kemudiannya dikhabarkan kepada Rasulullah. Baginda bertanya:

هَلاَّ تَرَكْتُمُوهُ لَعَلَّهُ أَنْ يَتُوبَ فَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَيْهِ.

Kenapa tidak dibiarkan dia, mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya.[7]

  1. Seseorang yang mengetahui berlakunya sesuatu jenayah juga tidak dianjurkan melaporkannya kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia memberi nasihat dan teguran kepada yang melakukannya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ.

Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat.[8] Imam Ibn Majah meletakkan hadis ini dalam bahagian Kitab al-Hudud, Bab menutup kesalahan seorang mukmin dan mengelak hukuman hudud disebabkan syubhat.

تَعَافُّوا الْحُدُودَ فِيمَا بَيْنَكُمْ فَمَا بَلَغَنِي مِنْ حَدٍّ فَقَدْ وَجَبَ.

Saling memaafkanlah terhadap (jenayah) hudud yang berlaku di antara kalian kerana (sesuatu jenayah) hudud yang sampai kepada aku, maka wajib dikenakan hukumannya.[9]

وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَتُهُ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَسَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ إِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُ وَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ.

Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum kerananya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya.[10]

Terpulang untuk mengampunkan atau mengazab? Sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Pemaaf akan memberi kemungkinan yang tinggi ke arah mengampunkan. Hadis berikut menjelaskan:

مَنْ أَذْنَبَ فِي الدُّنْيَا ذَنْبًا فَعُوقِبَ بِهِ فَاللَّهُ أَعْدَلُ مِنْ أَنْ يُثَنِّيَ عُقُوبَتَهُ عَلَى عَبْدِهِ وَمَنْ أَذْنَبَ ذَنْبًا فِي الدُّنْيَا فَسَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَفَا عَنْهُ فَاللَّهُ أَكْرَمُ مِنْ أَنْ يَعُودَ فِي شَيْءٍ قَدْ عَفَا عَنْهُ.

Sesiapa yang berdosa di dunia dengan melakukan sesuatu dosa lalu dikenakan hukuman ke atasnya disebabkan dosanya itu, maka Allah Maha Adil daripada melipat gandakan hukuman-Nya ke atas hamba-Nya. Dan sesiapa yang berdosa dengan satu dosa di dunia lalu Allah menutupi ke atasnya dan memaafkannya, maka Allah Maha Mulia daripada mengenakan hukuman ke atas sesuatu yang telah Dia maafkan.[11]

 

D:      Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah membenarkan orang yang tertuduh membela dirinya.

 

Penjelasan:

Ini berdasarkan hadis Umm Salamah radhiallahu ‘anha, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلاَ يَأْخُذْهُ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنْ النَّارِ.

Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia. Jika kalian membawa kepada aku kes masing-masing, boleh jadi salah seorang dari kalian dapat membela diri dengan cara yang lebih meyakinkan berbanding yang lain sehingga aku memberi keputusan berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang (aku tersilap dalam memberi keputusan) sehingga memberi kepadanya apa yang sebenarnya milik saudaranya, maka janganlah mengambilnya kerana yang diambil itu hanyalah sebahagian daripada api neraka.[12]

Hadis di atas menunjukkan bahawa orang yang tertuduh boleh membela dirinya dengan sekian-sekian hujah. Mungkin dia jahil, mungkin dia keliru, mungkin dia mencuri kerana keadaan darurat, mungkin dia membunuh kerana cuba membela diri sendiri (self defence), mungkin para saksi yang sengaja memerangkap dirinya dalam melakukan jenayah tersebut dan pelbagai lagi.

Berdasarkan hadis ini juga muncul sistem peguambela, dimana orang tertuduh yang tidak tahu cara membela dirinya boleh meminta orang lain yang lebih arif melakukannya.

 

E:      Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah hanya mengenakan hukuman hudud ke atas sesuatu kes yang tidak memiliki sebarang kesamaran atau syubhat di sebaliknya.

 

Penjelasan:

Dalam sebuah hadis disebut bahawa:

ادْفَعُوا الْحُدُودَ مَا وَجَدْتُمْ لَهُ مَدْفَعًا.

Elaklah daripada mengenakan hukuman hudud selagi mana kamu boleh mengelaknya.[13]

اِدْرَأوُا الْحُدُودَ بِالشُّبُهَاتِ.

Tolaklah hukuman hudud berdasarkan syubhat-syubhat.[14]

Dalam bab ini terdapat beberapa hadis dan perkataan para sahabat yang semakna sehingga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Dan telah diriwayatkan dari tidak seorang para sahabat bahawasanya mereka berkata sedemikian…” lalu beliau menyenaraikan riwayat-riwayat tersebut.[15]

Sekali pun riwayat-riwayat di atas diperbincangkan darjat sanadnya, maksudnya adalah benar sehingga para ilmuan telah bersepakat bahawa hukuman hudud tidak dikenakan di atas sesuatu kes yang memiliki kesamaran di dalamnya. Imam Ibn al-Munzir berkata: “Telah bersepakat para ahli ilmu bahawa hukuman hudud tertolak berdasarkan syubhat.”[16]

Ciri-ciri ini telah diikuti oleh sistem pengadilan konvensional masa kini dimana pendakwaraya perlu membuktikan tanpa sebarang kesamaran bahawa yang tertuduh memang bersalah. Manakala peguambela bagi yang tertuduh pula akan membuktikan bahawa dalam bukti-bukti tersebut terdapat kesamaran di dalamnya. Jika kesamaran masih wujud di antara hujah salah satu pihak, hukuman tidak dikenakan ke atas yang tertuduh.

 

F:      Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa bentuk hukuman bagi sesuatu jenayah hudud hendaklah dalam bentuk fizikal. Walaubagaimana pun hukuman diringankan kepada orang yang memiliki kelemahan dari sudut fizikalnya.

 

Penjelasan:

Perbezaan yang paling menonjol antara hukuman hudud dan hukuman konvensional (common law) adalah hukuman hudud berbentuk fizikal seperti sebat, potong tangan, buang daerah dan bunuh. Manakala hukuman konvesional, penjenayah diberi hukuman penjara. Kadangkala hukuman penjara ditambah dengan sebatan, namun yang lazim adalah hukuman penjara sahaja. Terdapat perbezaan yang besar antara dua bentuk hukuman ini, antaranya:

  1. Hukuman fizikal benar-benar memberi kesan “hukuman” kepada penjenayah manakala hukuman penjara memberi kesan “kesenangan” kepada penjenayah. Seorang penjenayah bergembira jika dia dapat memasuki penjara kerana dapat memperoleh tempat tinggal, pakaian, makanan dan rakan-rakan banduan untuk bersosial. Ini semua adalah satu kesenangan berbanding hukuman yang berbentuk fizikal.

Malah saya pernah terbaca laporan bahawa sebahagian banduan yang selesai tempoh hukuman penjara akan segera melakukan jenayah yang baru agar dapat memasuki penjara semula. Ini kerana jika dia hidup diluar penjara, dia tidak memiliki rumah untuk tinggal, bilik air untuk menjaga kebersihan, makanan, pakaian dan aktiviti bersama orang ramai. Kehidupan dalam penjara adalah jauh lebih baik daripada di luar penjara. Maka untuk melayakkan diri masuk penjara, dia perlu melakukan sesuatu jenayah yang baru.

  1. Hukuman fizikal tidak memerlukan kos yang tinggi. Tukang sebat atau pemotong tangan hanya memerlukan bayaran yang rendah, atau mungkin tiada bayaran langsung. Ini jauh berbeza dengan sistem penjara. Saya pernah membaca dalam akhbar tempatan bahawa kos penjagaan penjara dan banduan di Malaysia menelan belanja beberapa juta ringgit.
  2. Hukuman fizikal benar-benar menakutkan orang ramai dan ini dapat membantu untuk menjauhkan mereka daripada melakukan sesuatu jenayah. Hukuman penjara tidak menakutkan, bahkan seperti yang saya jelaskan di atas, ia menjemput seseorang itu melakukan jenayah.

Maka atas dasar inilah, jika muncul sesuatu jenis jenayah baru yang tidak disebut oleh Allah dan Rasul-Nya 1400 tahun yang lalu, bentuk hukuman yang bakal dikenakan hendaklah dalam bentuk fizikal juga.

Objektif utama hukuman hudud bukanlah menghukum, tetapi menjauhkan manusia daripada melakukan sesuatu jenayah. Untuk mencapai objektif ini, hudud memiliki sifat menakutkan agar dengan itu manusia merasa takut dengan jenayah tersebut dan berusaha untuk menjauhinya. Perkara ini disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا.

Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. [al-Baqarah 2:187]

Oleh itu jika ada yang berkata hukuman hudud adalah berat, kita jawab: “Benar!” Jawapan ini kemudiannya disambung dengan penjelasan bahawa objektif utama hukuman hudud bukanlah menghukum, tetapi menjauhkan manusia daripada melakukan sesuatu jenayah.

Jika ada yang menyindir, bahawa bentuk hukuman fizikal adalah barbaric. Kita menjawab: “Ya! Memang benar. Akan tetapi cuba bayangkan jika anda atau orang yang anda sayangi menjadi mangsa sesuatu jenayah. Nescaya anda akan bersetuju penjenayah tersebut dihukum secara fizikal dan tidak dihantar untuk bercuti di dalam penjara.”

Sekali pun hukuman hudud berbentuk fizikal, tidaklah bererti ia disama ratakan kepada semua manusia yang berbeza-beza tahap fizikalnya. Orang yang tua umpamanya, diringankan hukuman fizikalnya. Dalam sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, pernah seorang yang kecil lagi lemah melakukan jenayah zina. Perkara ini dihadapkan kepada Rasulullah dan baginda memerintahkan agar hukuman sebat seratus kali dikenakan. Terhadap perintah ini, para sahabat berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ أَضْعَفُ مِنْ ذَلِكَ إِنْ ضَرَبْنَاهُ مِائَةً قَتَلْنَاهُ. قَالَ: فَخُذُوا لَهُ عِثْكَالاً فِيهِ مِائَةُ شِمْرَاخٍ فَاضْرِبُوهُ بِهِ ضَرْبَةً وَاحِدَةً وَخَلُّوا سَبِيلَهُ.

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia amat lemah untuk menerima hukuman tersebut sehingga jika kami menyebatnya seratus kali, nescaya kami akan membunuhnya.” Rasulullah menjawab: “Ambillah tangkai kurma yang ada seratus ranting padanya dan sebatlah dia dengannya sekali sebatan sahaja. Setelah itu bebaskanlah dia”[17]

Bezakan bahawa hukuman fizikal hanya diringankan berdasarkan faktor fizikal seseorang. Faktor kedudukan, keturunan dan kekayaan tidak boleh dijadikan hujah untuk meringankan hukuman hudud. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, pernah diminta agar seorang yang ditangkap mencuri diringankan hukuman hududnya. Permintaan ini dijawab oleh Rasulullah:

إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا يُقِيمُونَ الْحَدَّ عَلَى الْوَضِيعِ وَيَتْرُكُونَ الشَّرِيفَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ فَعَلَتْ ذَلِكَ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.

Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian musnah tidak lain kerana mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang miskin dan mengecualikan orang yang mulia. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, seandainya Fathimah (binti Muhammad, anak baginda) melakukan kesalahan sedemikian (mencuri), pasti akanku potong tangannya jua.[18]

Kembali kepada dua aliran yang ekstrim tentang hukuman hudud, iaitu aliran Hududiyyah dan Gadud, jika kedua-dua aliran ini diberikan penjelasan yang baik tentang ciri-ciri hukuman hudud, nescaya mereka akan mengubah pandangan dan pendirian. Di dalam hukuman hudud, tetap terserlah sifat adil dan rahmat yang merupakan asas kepada Islam. Negara yang melaksanakan hukuman hudud akan terserlah di dalamnya keamanan, keadilan dan rahmat. Aman kerana hudud bersifat menakutkan seseorang daripada melakukan jenayah sehingga dengan itu berkuranglah jumlah jenayah. Adil dan rahmat kerana hudud memperhatikan terlebih dahulu sebab yang melatarbelakangi sesuatu jenayah dan keadaan orang yang melakukan jenayah tersebut.

Jika dibandingkan ciri-ciri hukuman hudud dengan hukuman konvensional masa kini, akan ditemui banyak kesamaan. Bahkan tidak berlebihan jika saya katakan bahawa perbezaan hanya dari sudut bentuk hukuman dimana hudud menghukum dalam bentuk fizikal manakala konvensional menghukum dalam bentuk penjara. Apabila saya menekankan kesamaan ini, tidaklah saya bermaksud umat Islam boleh berpuas hati sahaja dengan hukuman konvensional. Akan tetapi yang ingin saya gariskan adalah:

  1. Sistem hukuman konvesional masa kini yang dianggap moden, adil lagi canggih sebenarnya diambil daripada sistem Islam. Bayangkan, manusia 1400 tahun yang lalu hidup dalam suasana jahiliyah dan kegelapan manakala Islam telah meletakkan dasar-dasar bagi menghukum sesuatu jenayah. Maka menjadi satu kezaliman terhadap diri sendiri apabila umat Islam membelakangkan hukuman hudud dan mengambil hukuman konvensional yang sebenarnya merupakan tiruan daripada warisan Islam.
  2. Orang-orang yang memilih atau mengutamakan hukuman konvensional, mereka sebenarnya tidak faham tentang hukuman hudud. Malah mereka telah ditakut-takutkan tentangnya oleh puak Hududiyyah. Dengan penjelasan yang baik lagi bertahap-tahap daripada kita, nescaya mereka akan berubah pandangan tentang hukuman hudud dan menyokongnya.

 

 

 


[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3877.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6815.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6824.

[4]               Rujuk riwayat-riwayat tersebut berserta huraiannya dalam buku Minhaj ‘Umar bin al-Khaththab fi al-Tasyri’ (edisi terjemahan oleh Masturi Irham atas judul Metodologi Ijtihad Umar bin al-Khathab; Khalifa, Jakarta, 2005), ms. 273 dan seterusnya.

[5]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

[6]               Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4889.

[7]               Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam kitab Sunannya, hadis no: 4419 dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Irwa al-Ghaleel, hadis no: 2322-8.

[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 2078.

[9]               Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4376.

[10]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6784.

[11]             Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 775.

[12]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7169.

[13]             Dhaif: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya, hadis no: 2545. Dinyatakan lemah oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram, hadis no: 1047.

[14]             Dhaif: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi, dinyatakan lemah oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram, hadis no: 1047, namun dinilai hasan oleh al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 314.

[15]             Rujuk Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir (Maktabah Musthafa al-Baz, al-Riyadh, 1996), jld. 1, ms. 212, hadis no: 1755.

[16]             Dikemukakan oleh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jld. 6, ms. 247.

[17]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 21935.

[18]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6787.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s