Menjawab Syubhat Ke atas aurat wanita

Oleh Hafiz Firdaus

Assalamualaikum waRahmatullah

 

Berikut adalah ulasan dan jawapan saya kepada hujah-hujah yang dikemukakan oleh Kori Ariff dalam usaha beliau untuk mendefinasikan semula apakah itu aurat wanita.

Hujah asal Kori boleh dibaca di akhir posting ini.

Sememangnya kebelakangan ini biasa ditemui dalam beberapa pihak yang ingin menafsirkan semula apakah itu aurat wanita. Mereka berhujah berdasarkan dalil dan pendapat ulama’ , akan tetapi sayang sekali di sebalik itu terdapat banyak penyelewengan dan pendustaan. Hendaklah kita sama-sama waspada ke atas golongan ini.

==============================

 

Kori:

 

Orang awam biasanya mengambil `hukum’ aurat dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31 yang ertinya kurang lebih meminta mukminah memakai jilbab. Iman Alalamah Rashid Ridha, murid pintar Muhamad Abduh, menjelaskan bahawa ayat ini bukan berbentuk hukum, tetapi sekadar kenyataan umum. Sama seperti ayat-ayat lain seperti iqra’ adakah hukum wajib setiap muslim membaca?. (Rujuk: Nidaa’ lil Jinsillatif oleh Rasyid Ridha).

 

Ulas HF:

 

Ayat yang dimaksudkan ialah firman Allah: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. [Maksud surah al-Nur 24:31]

 

Petunjuk hukum yang terkandung di dalam ayat di atas adalah kewajipan bagi perempuan beriman untuk menutup aurat mereka. Hukum “wajib” ini adalah sesuatu yang disepakati oleh semua ahli fiqh dahulu dan sekarang. Kesepakatan ini adalah terlalu masyhur sehingga tak perlu saya menyebut sumbernya.

 

Adapun manhaj penafsiran Rashid Ridha, seandainya ia benar, maka ia tertolak kerana kaedah usul fiqh menyatakan setiap ayat perintah di dalam al-Qur’an hukum asalnya adalah wajib melainkan wujud petunjuk lain yang mengarah kepada hukum yang lain. Maka ayat 31 surah al-Nur di atas bersifat memerintah, maka hukum asalnya adalah wajib dan bukannya sunat atau sekadar anjuran.

 

Jika hendak diamalkan manhaj penafsiran Rashi Ridha tersebut, maka apakah tafsiran beliau ke atas firman Allah:

 

Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (satu); Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. [Maksud al-Ikhlas 112:1-4]

 

Adakah dengan ini bererti ayat di atas juga adalah satu kenyataan umum yang tidak memiliki hukum wajib sehingga bererti tidak wajib untuk orang Islam beriman kepada Allah sebagai tuhan yang Satu ? Dan jika ada orang lain dan agama lain yang beriman kepada kepelbagai Tuhan dan beranak-pinak, mereka juga dianggap benar dan sama-sama beriman ? Pasti tidak dan pasti sahaja orang yang benar-benar pintar tidak akan berkata sedemikian.

 

Seterusnya dikatakan: “Sama seperti ayat-ayat lain seperti iqra’ adakah hukum wajib setiap muslim membaca ?”

 

Jawab: Ayat Iqra’ adalah petunjuk kepada kewajipan menuntut ilmu dan ini diperkuat oleh hadis Nabi s.a.w.: Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslimin [Hadis mutawatir berdarjat sahih sebagaimana dalam Sahih Jami’ al-Sagheir] Kaedah usul fiqh menyatakan jika sesuatu perkara itu adalah wajib maka wajiblah juga segala jalan-jalan yang mengarah kepada perkara tersebut. Membaca termasuk jalan menuntut ilmu maka ia adalah wajib juga. Justeru ayat Iqra’ tersebut memang memiliki nilai wajib, sama ada daripada dilalah lafaz atau petunjuk (qarinah) al-Sunnah.

 

=====================

 

Kori:

 

Ibnu Al-Arabi dalam Futuhat Makkiah, Jilid 1, muka surat 521 membahaskan menegani aurat lelaki dan perempuan. Dalam batas aurat wanita, beliau berkata:

“Sebahagian ulama menyatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang menyatakan demikian dengan tambahan bahawa tapak kakinyatidak termasuk aurat. Ada juga menyatakan keseluruhan perempuan adalah aurat.

 

“Ada pun pada saya (ibni Al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya juga sebagaimana Allah berfirman `mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga (al-araf ayat 22).

 

Ulas HF:

 

Pengarang asal kitab Futuhat Makkiah ialah Ibn Arabi dan bukan Ibn al-Arabi. Ibn Arabi ialah sang Sufi yang berkata Aku adalah Tuhan dan Tuhan adalah aku.

Ini jauh berbeza dengan al-Imam Ibn al-Arabi di mana beliau ialah seorang ahli hadis, ahli fiqh dan ahli tafsir yang terkenal bagi Mazhab Maliki. Perlu dibezakan tambahan alif lam bagi nama Arabi.

 

Sang Sufi Ibn Arabi bukanlah seorang mujtahid mahupun ahli fiqh, justeru apa-apa pendapatnya tidak boleh dijadikan sandaran hukum yang muktamad.

 

=========================

 

Kori:

 

Imam Ibni Rushdi dalam Bidayatul Majtahid, Jilid 1, muka surat 114; ” Para ulama keseluruhan ittifak menyatakan menutup aurat wajib, tetapi mereka berselisih faham mengenai penutupan itu sesuatu syarat sah sembahyang atau tidak. Mereka juga berselisih pendapat mengenai batas-batas aurat lelaki dan perempuan, tetapi ternyata dalam Mazhab Malik bahawa menutup aurat itu termasuk dalam bahagian sunat di dalam sembahyang sahaja. Dalam mashab Abu Hanifah dan al-Syafie, menutup aurat adalah amalan fardhu. Sebab berlawanan pendapat itu kerana hadis dan pendapat sahabat nabi saling berbeza pendapat dan para sahabat berbeza pendapat dalam memahami ayat al-araf 31.

 

Ulas HF:

 

Nukilan di atas mengandungi beberapa penyelewengan ke atas Imam Ibn Rusyd rahimahullah (595H) dan Mazhab Maliki. Justeru saya akan cerita panjang sedikit.

 

Pertama:

 

Kori telah menterjemah perkataan “Sunan” di dalam teks Arab kitab Bidayah al-Mujtahid sebagai “Sunat” padahal yang benar perkataan “Sunan” tersebut adalah satu istilah yang perlu difaham mengikut standard Mazhab Maliki.

 

Seolah-olah Kori ingin mengambil kesempatan mudah daripada hukum “Sunat” ini bagi menyatakan nak tutup aurat silakan, tak mahu tutup tak apa kerana ia hanya sunat hukumnya.

Berikut ialah terjemahan saya terhadap kata-kata Ibn Rusyd, rujukan saya ialah Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 82, (Kitab Solat, Bab ke 4 berkenaan menutup aurat dan pakaian dalam solat, fasal pertama):

 

Bersepakat para ilmuan bahawa menutup aurat adalah fardhu secara mutlak. Dan mereka berbeza pendapat sama ada ia adalah salah satu syarat daripada syarat-syarat sah solat atau tidak. Dan demikian juga mereka berbeza pendapat tentang batas aurat bagi seorang lelaki dan wanita.

 

Dan yang zahir di dalam Mazhab Maliki bahawa ia adalah daripada Sunan Solat manakala Abu Hanifah dan al-Syafie berpendapat bahawa ia adalah daripada kefardhuan solat.

 

Sekian perenggan pertama kata-kata Ibn Rusyd.

 

Soalnya, apakah yang dimaksudkan dengan Sunan ?

 

Al-Baji rahimahullah (474H) di dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh al-Muwattha’ (Dar al-Kitab al-Islami, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 247 (Bab Rukhsah dalam bersolat dengan sehelai pakaian) telah berkata:

 

Maka adapun berkenaan pakaian (solat) maka sesungguhnya baginya terdapat dua jumlah, jumlah yang fardhu dan jumlah yang utama. Maka adapun yang fardhu bagi seorang lelaki maka ia adalah apa yang menutupi aurat dan tidak wujud perbezaan pendapat tentang kefardhuannya.

 

Akan tetapi para sahabat kami berbeza pendapat tentang tafsir yang sedemikian. Berkata al-Qadhi Abu al-Faraj, ia adalah salah satu fardhu daripada kefardhuan solat dan ini adalah juga pendapat Abu Hanifah dan al-Shafie.

 

Dan berkata al-Qadhi Abi Ishaq sesungguhnya ia adalah daripada Sunan Solat, dan ini adalah juga merupakan pendapat Ibn Bukair dan al-Syaikh Abu Bakr.

 

Adapun faedah perbezaan pendapat ini, bahawasanya jika kami berkata sesungguhnya ia adalah daripada kefardhuan solat maka solat akan batal dengan ketiadaan penutup aurat manakala jika kami berkata ia bukanlah daripada kefardhuan solat (ertinya ia adalah Sunan) maka berdosa orang yang meninggalkan penutup aurat akan tetapi tidaklah batal solatnya.

 

Sekian al-Baji.

 

Ringkasnya terdapat dua pendapat di kalangan ahli fiqh Mazhab Maliki tentang hukum menutup aurat dan kaitannya dengan syarat sah solat. Yang pertama berkata ia adalah Fardhu, sesiapa yang tidak menutup aurat maka batal solatnya. Yang kedua berkata ia adalah Sunan, sesiapa yang tidak menutup aurat maka tidaklah batal solatnya tetapi dia berdosa besar.

 

Ini jauh berbeza dengan istilah Sunat yang sedia kita fahami, bahawa jika buat dapat pahala, tak buat tak dosa. Ertinya, menutup aurat dalam solat dapat pahala manakala tak tutup aurat tak dapat apa-apa dosa. Padahal yang dibahas dalam Mazhab Maliki dengan istilah Sunan ialah sah atau tidak solat, menutup aurat sah solatnya, tidak menutup aurat tetap juga sah tetapi mendapat dosa.

 

Perlu juga diperincikan bahawa tidak menutup aurat yang dimaksudkan dengan istilah Sunan adalah untuk jangka waktu yang singkat dan bukan keseluruhan solat.

 

Mujtahid Mazhab Maliki, al-Haththabi rahimahullah (954H) dalam kitabnya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Syaikh Khalil (Dar al-Fikr, Beirut 1398H), jld. 1, ms. 498 (Kitab Solat, Fasal: Menutup aurat dalam solat) berkata:

 

(Jika) Imam jatuh penutup auratnya ketika rukuk lalu dia menarik semula selepas mengangkat kepala (daripada posisi rukuk), berkata Ibn al-Qasim daripada Musa: Tidak apa-apa ke atasnya (yakni solatnya tidak batal) jika dia menarik semula. Akan tetapi jika dia tidak menarik semula maka perlu diulangi solat dalam waktunya kerana pada asalnya menutup aurat adalah daripada Sunan Solat.

 

Sekian al-Haththabi.

 

Ringkasnya yang dimaksudkan dengan Sunan Solat dan kaitannya dengan menutup aurat adalah, jika aurat terdedah dan ia ditutup semula maka solat tetap sah. Jika ia dibiarkan terdedah maka batal solat tersebut dan perlu diulangi semula.

 

Demikian maksud sebenar istilah Sunan dan kaitannya dengan hukum menutup aurat sebagai syarat sah solat bagi Mazhab Maliki. Ia bukanlah sunat dan tidak boleh diterjemahkan sebagai sunat.

 

Kedua:

 

Asal perbincangan dan penghujahan Kori ialah berkenaan batas aurat wanita. Saya hairan kenapa Kori hanya mengemukakan perenggan pertama perbahasan Ibn Rusyd yang hanya merupakan “muqaddimah” dan mendiamkan perenggan seterusnya yang merupakan hujah yang menutupi segala penyelewengan beliau.

 

Berkata Ibn Rusyd di mukasurat seterusnya (Bidayah al-Mujtahid, 1/83), fasal ketiga:

 

Dan adapun masalah ketiga, ia adalah berkenaan batas aurat wanita, maka kebanyakkan ilmuan berpendapat bahawa keseluruhan badannya adalah aurat kecuali wajah dan tangan. Dan Abu Hanifah berpendapat kaki bukanlah aurat. Dan Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman dan Ahmad (bin Hanbal) berpendapat seluruhnya adalah aurat.

 

Sekian Ibn Rusyd.

 

Jadi sekalipun wujud perbezaan pendapat di kalangan fuqaha, tiada sedikitpun ia mendekati hujah yang cuba dibangkitkan oleh Kori bahawa aurat wanita hanyalah dua kemaluannya dan buah dada.

 

==============

 

Kori:

 

Mujadid milinium ini, Syah Waliullah Ad-Dahlawi dalam Hujjatul Al-Balighah pada halaman 688, jilid 2 berkata: “Menutup aurat ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban (terasa malu) dengan sebab ianya terbuka di hadapan khalayak ramai dan ini diakui sah oleh semua manusia bertamadun, dan ini membezakan manusia dengan haiwan. Inilah sebab syariat mewajibkan menutup dua kemaluan (qubul dan dubur) dan anggota yang terdekat dengan kedua-duanya.”

 

Ulas HF:

 

Seandainya benar ia berasal dari al-Dahlawi, ia adalah pendapat yang sangat dha’if. Sebabnya,

 

Pertama:

 

Malu atau tidak seseorang terhadap anggota tubuhnya adalah sesuatu yang relatif. Ada orang malu, ada orang tidak malu. Ada orang merasa bangga dia menutup aurat manakala ada orang merasa bangga dia tidak menutup aurat.

 

Justeru bagaimana mungkin hukum aurat disandarkan kepada aib atau tidak aib, tamadun atau tidak bertamadun padahal kesemua faktor ini adalah sesuatu yang relatif bergantung kepada individu dan persekitarannya.

 

Yang benar aib atau tidak bergantung kepada pencipta manusia, iaitu Allah ‘Azza wa Jalla. Hanya Allah yang berhak menetapkan batas aurat manusia kerana Dialah yang Maha Mengetahui tentang urusan manusia.

 

Kedua:

 

Menutup aurat di sisi Islam bukanlah untuk menutup keaiban tetapi adalah sebagai identiti Muslimah yang baik dan ditutup jalan-jalan yang bakal mengganggu mereka.

 

Firman Allah yang membatalkan teori al-Dahlawi:

 

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:59]

 

============

 

Kori:

 

Mari saya perjelaskan. Hasbi Asshiddki, ulama hadis Indonesia, dalam
bukunya Koleksi hadis-hadis hukum, menjelaskan bahawa keempat-empat ulama – Syafie, Hambali, Hanafi dan Malik ada berbeza pendapat mengenai batas aurat, meskipun mereka setuju bahawa aurat wajib ditutup. Abu Hanifah membezakan dua jenis aurat – aurat mughalazah (berat)dan aurat mughafafah (ringan).

 

Jika kita mengambil petua Abu Hanifah, maka pada saya kita tidak lagi keliru. Pertamanya, kita wajib menutup aurat tetapi batas-batasnya boleh diperbincangkan.

 

Aurat dalam pengertian bahasa adalah sesuatu yang memalukan apabila dibuka didepan khalayak.

 

Sama seperti Abu Hanifah, saya berpegang aurat yang wajib mutlak ditutup hanyalah dua kemaluan utama, depan dan belakang dan pada perempuan ditambah satu lagi, susu. Yang lain boleh disesuaikan dengan budaya dan adat resam tempatan. Justeru, rambut boleh ditutup dan boleh dibuka.

 

Ulas HF:

 

Di atas adalah pendustaan ke atas nama Imam Abu Hanifah dan Syaikh Hasbi as-Shiddiqi.

 

Kori cuba menyeleweng maksud aurat besar dan aurat kecil mengikut takrifan Abu Hanifah dengan merujuk kepada penulisan Hasbi as-Shiddieqie. Dengan takrifan ini, Kori berkesimpulan aurat wanita yang perlu ditutup ialah dua kemaluannya dan buah dada manakala rambut (dan selainnya) boleh dibiar buka. Dalam erti kata lain, ciri-ciri wanita Islam yang menutup aurat mengikut Kori ialah mereka yang memakai 2 piece bikini sahaja.

 

Padahal di dalam buku yang sama: Koleksi Hadis-hadis Hukum (Yayasan Hasbi as-Shiddiqi, Jakarta 1987), jld. 2, ms 229-230, Hasbi as-Shiddiqi telah menulis:

 

Abu Hanifah dalam suatu riwayat, asy-Shafi’i dalam suatu riwayatnya, Malik, al-Hadi dan al-Qasim dalam salah satu pendapatnya, menetapkan bahawa aurat perempuan adalah seluruh badannya selain muka dan tangan. Menurut pendapat Abu Hanifah dalam suatu riwayat yang lain, ats-Tsauri dan Abul Abbas, kaki dan tempat gelang bukan aurat.

 

Sekian Hasbi as-Shiddiqi.

 

Jelas kepada kita pendustaan Kori ke atas nama Abu Hanifah dan Hasbi as-Shiddiqi.

 

Adapun pembahagian Mazhab Hanafi kepada aurat besar dan kecil, ia hanyalah bagi membezakan aurat yang darurat dan bukan darurat. Yakni, Jika seseorang itu hanya memiliki pakaian yang terhad setelah dikerah segala usaha termampu, maka bahagian tubuh badan yang perlu diberi prioriti untuk ditutup ialah aurat besar. Saya pasti semua orang faham hal ini.

 

Di sisi Mazhab Hanafi, aurat besar dan aurat kecil adalah dua pembahagian yang sama-sama duduk di bawah kemutlakan hukum wajib. Jauh sekali daripada penafsiran Kori bahawa aurat besar adalah wajib manakala aurat kecil tidak wajib.

 

================

 

Sekian ulasan dan jawapan saya ke atas hujah-hujah utama Kori. Jelas kepada kita permainan kotor yang beliau gunakan untuk menukar hukum Allah dan menafsirkannya semula demi menepati citarasa berahinya.

 

Kori menambah di akhir postingnya:

 

Begitupun, saya bersedia untuk berbincang jika ia
masih menjadi kekusutan banyak di antara kita, dan mari kita mulakan
berhujah – berdasarkan dalil akli, naqli ataupun dalil dari ulama muhaqiqin.

 

Ulas HF:

 

Kita sama-sama ketahui manhaj Kori dalam berbincang, beliau sebut nama ulama’ terpilih bagi mengindahkan hujah, dan menukil kata-kata terpilih bagi melengkapkan hujah.

 

Para netters tidak perlu memberi perhatian kerana beliau tidak lain hanya akan menambah dusta di atas dusta yang sebelumnya.

 

Perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah kata-kata Kori: “…berdasarkan dalil akli, naqli ataupun dalil dari ulama muhaqiqin.”

 

Akli ialah dalil akal, naqli ialah dalil wahyu. Manhaj Salaf dan sekaligus Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah adalah mendahului naqal di atas akal manakala Manhaj Muktazilah dan Neo Muktazilah ialah mendahului akal di atas nakal. Kerana itu kita dapati Kori mengutamakan teori-teori akal di atas kejelasan nas-nas wahyu al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Di sini, jika manhaj perbahasan sudah menyimpang maka pasti juga rumusan perbahasan akan menyimpang juga. Atas manhaj ini Kori akan terus menyimpangkan para netters berdasarkan teori-teorinya, oleh itu berhati-hatilah !


Wasallam.

 

 

=========================

 

—–Original Message—–
From: kori ariff [mailto:koriariff@hotmail.com]
Sent: Wednesday, May 07, 2003 4:57 PM
To: idealis_mahasiswa@yahoogroups.com
Subject: [Idealis Mahasiswa] Re: Dalil Rambut Wanita bukan Aurat

DALIL: RAMBUT BUKAN AURAT

 

Rata-rata ulama muktabar mengambil hukum aurat dan batasnya berdasarkan ayat dari Surah Al-A’raf, ayat 26: Terjamah harafiahnya: ” Wahai anak adam, sesungguhnya kami turunkan atas kamu pakaian yang mentup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik,” Selain itu, ayat-ayat menyusul selepas itu juga dikatakan sumber hukum seperti ayat 31 “wahai anak Adam, pakailah perhiasan (Azzinah) kamu pada setiap kali ke masjid”

 

Orang awam biasanya mengambil `hukum’ aurat dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31 yang ertinya kurang lebih meminta mukminah memakai jilbab. Iman Alalamah Rashid Ridha, murid pintar Muhamad Abduh, menjelaskan bahawa ayat ini bukan berbentuk hukum, tetapi sekadar kenyataan umum. Sama seperti ayat-ayat lain seperti iqra’ adakah hukum wajib setiap muslim membaca?. (Rujuk: Nidaa’ lil Jinsillatif oleh Rasyid Ridha).

 

Dalam surah Al-Araf nampaknya begitu general sekali, tidak sepesifik. Tiga jenis pakaian dikemukakan 1) pakaian menutup dua kemaluan 2) pakaian menutup seluruh tubuh dan 3) pakaian sederhana.

 

Ibnu Al-Arabi dalam Futuhat Makkiah, Jilid 1, muka surat 521 membahaskan menegani aurat lelaki dan perempuan. Dalam batas aurat wanita, beliau berkata:

“Sebahagian ulama menyatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang menyatakan demikian dengan tambahan bahawa tapak kakinyatidak termasuk aurat. Ada juga menyatakan keseluruhan perempuan adalah aurat.

 

“Ada pun pada saya (ibni Al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya juga sebagaimana Allah berfirman `mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga (al-araf ayat 22).

 

Imam Ibni Rushdi dalam Bidayatul Majtahid, Jilid 1, muka surat 114; ” Para ulama keseluruhan ittifak menyatakan menutup aurat wajib, tetapi mereka berselisih faham mengenai penutupan itu sesuatu syarat sah sembahyang atau tidak. Mereka juga berselisih pendapat mengenai batas-batas aurat lelaki dan perempuan, tetapi ternyata dalam Mazhab Malik bahawa menutup aurat itu termasuk dalam bahagian sunat di dalam sembahyang sahaja. Dalam mashab Abu Hanifah dan al-Syafie, menutup aurat adalah amalan fardhu. Sebab berlawanan pendapat itu kerana hadis dan pendapat sahabat nabi saling berbeza pendapat dan para sahabat berbeza pendapat dalam memahami ayat al-araf 31.

 

Bagi aurat lelaki bagi Ibni Al-Arabi: ” Dua kemaluan (kemaluan – didepan dan belakang) adalah aurat hakiki iaitu anggota-anggota menusia yang dicaci, dibenci dan dianggap buruk melihatnya. Dua kemaluan adalah haram dibuka. Angota selain darinya iaitu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawahadalah menepati shubahat yang sepatutnya berjaga-jaga, kerana menternak di sempadan kawasan larangan itu hampir-hampir termasuk di dalamnya.”

 

Mujadid milinium ini, Syah Waliullah Ad-Dahlawi dalam Hujjatul Al-Balighah pada halaman 688, jilid 2 berkata: “Menutup aurat ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban (terasa malu) dengan sebab ianya terbuka di hadapan khalayak ramai dan ini diakui sah oleh semua manusia bertamadun, dan ini membezakan manusia dengan haiwan. Inilah sebab syariat mewajibkan menutup dua kemaluan (qubul dan dubur) dan anggota yang terdekat dengan kedua-duanya.”

 

Saya hanya memaparkan pendapat ulama muktabar.

 

Ini juga bukan bermaksud untuk meminta semua wanita membuka rambutnya. Tidak sekali-kali. Biarlah hukum dengan hukum, iaitu kita menerima hukum sebagai hukum. Dengan demikian, kita juga tidak mudah untuk menuduh sesiapa yang tidak bertudung melanggar hukum. Tidak juga bertudung untuk mempamerkan keimanan, walaupun ia boleh membezakan di antara muslim dengan tidak muslim di negara kita.

 

Apa yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang….dalam pengamatan saya yang mungkin silap, adalah: wanita memakai tudung kerana hukum wajib memakai tudung. Dengan demikian, anak-anak kecil diindoktrinate dari awal lagi dengan hukum ini. Cikgu-cikgu diwajib bertudung. Nurse diwajib bertudung. Kakitangan awam diwajib bertudung. Wanita selepas menunaikan haji wajib bertudung. Malah, ada yang nak bertanding Ketua Wanita mempamerkan imej bertudung untuk berlawan dengan Wanita tidak bertudung!.

 

Justeru, tanggapan sama ada secara sedar atau tidak, wanita tidak bertudung seumpama pendosa bakal penghuni neraka.

 

Pada hemat saya, ok kita boleh bertudung …atas dasar resam dan budaya, bukan atas dasar syariat. Syariat seperti dijelaskan melalui dalil di atas, aurat hanyalah dua kemaluan dan mungkin ditambah bahagian susu bagi wanita. Bukan bermakna menutup dua kemaluan sudah selesai, seperti kata Ibni Arabi, menternak di sempadan kawasan larangan juga hampir memasuki kawasan larangan.

 

Oleh demikian, memakai pakaian sederhana dengan budaya kita, pada saya, lebih o.k. Dalam dunia keidealan mahasiswa, pada saya pakaian sederha boleh begini: memakai baju kurung atau jean dengan t-shirt (yang tentunya tidak terlalu ketat dan sendat).

 

 

—–Original Message—–
From: kori ariff [mailto:koriariff@hotmail.com]
Sent: Tuesday, April 29, 2003 9:55 AM
To: idealis_mahasiswa@yahoogroups.com
Subject: [Idealis Mahasiswa] RAMBUT WANITA BUKAN AURAT?

 

Salam Perbincangan,

 

BANYAK pihak tidak berani mencabar bahawa kenyataan rambut adalah aurat, sedangkan perkara ini sudah dibincangkan oleh banyak ulama tersohor. Oleh sebab tidak berani mencabar, kita tinggalkan ia menjadi tergantung dan mempercayai bahawa ianya benar tetap benar.

 

Saya bersama-sama dengan ulama tersohor yang menyatakan `Rambut Bukan Aurat’. Maaf, jangan cepat menuduh saya kafir!

 

Mari saya perjelaskan. Hasbi Asshiddki, ulama hadis Indonesia, dalam
bukunya Koleksi hadis-hadis hukum, menjelaskan bahawa keempat-empat ulama – Syafie, Hambali, Hanafi dan Malik ada berbeza pendapat mengenai batas aurat, meskipun mereka setuju bahawa aurat wajib ditutup. Abu Hanifah membezakan dua jenis aurat – aurat mughalazah (berat)dan aurat mughafafah (ringan).

 

Jika kita mengambil petua Abu Hanifah, maka pada saya kita tidak lagi
keliru. Pertamanya, kita wajib menutup aurat tetapi batas-batasnya boleh diperbincangkan.

 

Aurat dalam pengertian bahasa adalah sesuatu yang memalukan apabila dibuka didepan khalayak.

 

Sama seperti Abu Hanifah, saya berpegang aurat yang wajib mutlak ditutup hanyalah dua kemaluan utama, depan dan belakang dan pada perempuan ditambah satu lagi, susu. Yang lain boleh disesuaikan dengan budaya dan adat resam tempatan. Justeru, rambut boleh ditutup dan boleh dibuka. Pada saya, berlainan dengan pendapat saudara lain, tidak usahlah berada menjadi pendosa bagi mereka yang menutup aurat.


Saya juga berpendapat, perkara ini sangat kecil dalam agama dan jika kita terus berdebat, maka kita berkecimpung dalam mereka yang suka membicarakan perkara remeh tameh. Begitupun, saya bersedia untuk berbincang jika ia masih menjadi kekusutan banyak di antara kita, dan mari kita mulakan berhujah – berdasarkan dalil akli, naqli ataupun dalil dari ulama muhaqiqin.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s