Imam asy-Syafie: Pembela Sunnah

Imam asy-Syafi’i

Pembela Sunnah dan Hadits Nabi

Penyusun: Ustadz Arif Syarifuddin

Nama dan Nasab

Nama beliau Muhammad dengan kuniyah Abu Abdillah. Nasab beliau secara lengkap adalah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Utsman bin Syafi‘ bin as-Saib bin ‘Ubayd bin ‘Abdu Zayd bin Hasyim bin al-Muththalib bin ‘Abdu Manaf bin Qushay. Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah sallahu ‘alaihi wassalam pada ‘Abdu Manaf bin Qushay. Dengan begitu, beliau termasuk ahlul bait Rasulullah sallahu ‘alaihi wassalam  kerana masih terhitung keturunan pakcik-jauh beliau, iaitu Hasyim bin al-Muththalib.

Bapa beliau, Idris, berasal dari daerah Tibalah (Sebuah daerah di wilayah Tihamah di jalan menuju ke Yaman). Dia seorang yang tidak berpunya. Awalnya dia tinggal di Madinah lalu berpindah dan menetap di ‘Asqalan (Kota tepi pantai di wilayah Palestina) dan akhirnya meninggal di dalam keadaan masih muda di sana. Syafi‘,-moyang beliau-yang namanya menjadi sumber penisbatan beliau (Syafi‘i)- menurut sebahagian ulama adalah seorang sahabat shigar (junior) Nabi. As-Saib, bapa Syafi‘, sendiri termasuk sahabat kibar (senior) yang memiliki kemiripan fizik dengan Rasulullah shollallahu’alaihiwasallam. Dia termasuk dalam barisan tokoh musyrikin Quraisy di dalam Perang Badar. Ketika itu dia tertawan lalu menebus sendiri dirinya dan menyatakan masuk Islam.

Para ahli sejarah dan ulama nasab serta ahli hadits bersepakat bahwa Imam Syafi‘i berasal daripada keturunan Arab asli. Imam Bukhari dan Imam Muslim telah memberi kesaksian mereka akan keaslian nasabnya tersebut dan kesambungannya dengan nasab Nabi, kemudian mereka membantah pendapat-pendapat sekelompok orang dari kalangan Malikiyah dan Hanafiyah yang menyatakan bahwa Imam Syafi‘i bukanlah asli keturunan Quraisy secara nasab, tetapi hanya keturunan secara wala’ sahaja. Adapun ibu beliau, terdapat perbezaan pendapat tentang jati dirinya. Beberapa pendapat mengatakan dia masih keturunan al-Hasan bin ‘Ali bin Abu Thalib, sedangkan yang lain menyebutkan beliau seorang wanita dari kabilah Azadiyah yang memiliki kuniyah Ummu Habibah. Imam an-Nawawi menegaskan bahawa ibu Imam Syafi‘i adalah seorang wanita yang tekun beribadah dan memiliki kecerdasan yang tinggi. Dia seorang yang faqih dalam urusan agama dan memiliki kemampuan melakukan istinbath.

Waktu dan Tempat Kelahirannya

Beliau dilahirkan pada tahun 150 Hijrah. Pada tahun itu pula, Abu Hanifah wafat sehingga diberi komentar oleh al-Hakim sebagai isyarat bahawa beliau adalah pengganti Abu Hanifah di dalam bidang yang ditekuninya.

Tentang tempat kelahirannya, banyak riwayat yang menyebutkan beberapa tempat yang berbeza. Akan tetapi, yang termasyhur dan disepakati oleh ahli sejarah adalah kota Ghazzah (Sebuah kota yang terletak di perbatasan wilayah Syam ke arah Mesir. Tepatnya di sebelah Selatan Palestin. Jaraknya dengan kota Asqalan sekitar dua farsakh). Tempat lain yang disebut-sebut adalah kota Asqalan dan Yaman.

Ibnu Hajar memberikan penjelasan bahawa riwayat-riwayat tersebut dapat digabungkan dengan dikatakan bahawa beliau dilahirkan di sebuah tempat bernama Ghazzah di wilayah Asqalan. Ketika berumur dua tahun, beliau dibawa ibunya ke negeri Hijaz dan bergaul dengan penduduk negeri itu yang keturunan Yaman kerana si ibu berasal dari kabilah Azdiyah (dari Yaman). Lalu ketika berumur 10 tahun, beliau dibawa ke Mekkah, kerana si ibu khuatir nasabnya yang mulia lenyap dan dilupakan.

Pertumbuhannya dan Pengembaraannya Mencari Ilmu

Di Mekkah, Imam Syafi ‘i dan ibunya tinggal di Syi‘bu al-Khaif. Di sana, si ibu mengirimnya belajar kepada seorang guru. Sebenarnya ibunya tidak mampu untuk membiayainya, tetapi si guru ternyata rela tidak dibayar setelah melihat kecerdasan dan kepantasannya di dalam menghafal. Imam Syafi‘i bercerita, “Di al-Kuttab (sekolah tempat menghafal Alquran), saya melihat guru yang mengajar di situ membacakan murid-muridnya ayat Al-quran, maka aku ikut menghafalnya. Sehingga ketika saya menghafal semua yang dia ajarkan, dia berkata kepadaku, ‘Tidak halal bagiku mengambil upah sedikitpun darimu.’” Dan ternyata kemudian dengan segera guru itu mengangkatnya sebagai penggantinya (mengawasi murid-murid lain) jika dia tidak ada. Demikianlah, belum lagi menjangkau usia baligh, beliau telah berubah menjadi seorang guru.

Setelah menghafal Alquran di al-Kuttab, beliau kemudian beralih ke Masjidil Haram untuk menghadiri majlis-majlis ilmu di sana. Sekalipun hidup di dalam kemiskinan, beliau tidak berputus asa di dalam menimba ilmu. Beliau mengumpulkan serpihan tembikar, potongan kulit, pelepah kurma, dan tulang unta untuk dipakai menulis. Sehinggakan tempayan-tempayan milik ibunya penuh dengan tulang-tulang, serpihan tembikar, dan pelepah kurma yang telah bertuliskan hadits-hadits Nabi. Dan itu terjadi pada saat beliau belum lagi berusia baligh. Sehingga dikatakan bahawa beliau telah menghafal Alquran pada saat berusia 7 tahun, lalu membaca dan menghafal kitab Al-Muwaththa’ karya Imam Malik pada usia 12 tahun sebelum beliau berjumpa langsung dengan Imam Malik di Madinah.

Beliau juga tertarik mempelajari ilmu bahasa Arab dan syair-syairnya. Beliau memutuskan untuk tinggal di daerah pedalaman bersama suku Hudzail yang telah terkenal kefasihan dan kemurnian bahasanya, serta syair-syair mereka. Hasilnya, sekembalinya dari sana beliau telah berhasil menguasai kefasihan mereka dan menghafal seluruh syair mereka, serta mengetahui nasab orang-orang Arab, suatu hal yang kemudian banyak dipuji oleh ahli-ahli bahasa Arab yang pernah berjumpa dengannya dan yang hidup sesudahnya. Namun, takdir Allah telah menentukan jalan lain baginya. Setelah mendapatkan nasihat daripada dua orang ulama, iaitu Muslim bin Khalid az-Zanji -mufti kota Mekkah-, dan al-Husain bin ‘Ali bin Yazid agar mendalami ilmu fiqh, maka beliau pun tersentuh untuk mendalaminya dan mulailah beliau melakukan pengembaraannya mencari ilmu.

Beliau memulakannya dengan menimbanya daripada ulama-ulama kota Mekkah, seperti Muslim bin Khalid, Dawud bin Abdurrahman al-‘Athar, Muhammad bin Ali bin Syafi’ –yang masih termasuk pakcik jauhnya-, Sufyan bin ‘Uyainah –ahli hadits Mekkah-, Abdurrahman bin Abu Bakar al-Maliki, Sa’id bin Salim, Fudhail bin ‘Iyadh, dan lain-lain. Di Mekkah, beliau mempelajari ilmu fiqh, hadits, lughoh, dan Muwaththa’ Imam Malik. Di samping itu, beliau juga mempelajari memanah dan menunggang kuda sehingga menjadi mahir sebagai merealisasikan pemahamannya terhadap ayat 60 surat Al-Anfal. Bahkan dikatakan bahawa daripada 10 panah yang dilepaskannya, 9 di antaranya pasti mengena sasaran.

Setelah mendapat keizinan daripada para syaikh-nya untuk berfatwa, timbul keinginannya untuk mengembara ke Madinah, Dar as-Sunnah, untuk mengambil ilmu daripada para ulamanya. Terlebih lagi di sana ada Imam Malik bin Anas, penyusun al-Muwaththa’. Maka berangkatlah beliau ke sana menemui si Imam. Di hadapan Imam Malik, beliau membaca al-Muwaththa’ yang telah dihafalnya di Mekkah, dan hafalannya itu membuat Imam Malik kagum kepadanya. Beliau menjalani mulazamah kepada Imam Malik demi mengambil ilmu darinya sehingga si Imam wafat pada tahun 179 hijrah. Di samping Imam Malik, beliau juga mengambil ilmu daripada ulama Madinah lainnya seperti Ibrahim bin Abu Yahya, ‘Abdul ‘Aziz ad-Darawardi, Athaf bin Khalid, Isma‘il bin Ja‘far, Ibrahim bin Sa‘d dan masih banyak lagi.

Setelah kembali ke Mekkah, beliau kemudian melanjutkan mencari ilmu ke Yaman. Di sana beliau mengambil ilmu daripada Mutharrif bin Mazin dan Hisyam bin Yusuf al-Qadhi, serta yang lain. Namun, bermula di Yaman inilah beliau mendapat cubaan –satu hal yang selalu dihadapi oleh para ulama, sebelum mahupun sesudah beliau-. Di Yaman, nama beliau menjadi terkenal kerana sejumlah kegiatan dan kegigihannya menegakkan keadilan, dan kemasyhurannya itu sampai juga ke telinga penduduk Mekkah. Lalu, orang-orang yang tidak senang kepadanya akibat kegiatannya tadi mengadukannya kepada Khalifah Harun ar-Rasyid, Mereka menuduhnya hendak melakukan pemberontakan bersama orang-orang dari kalangan Alawiyah.

Sebagaimana di dalam sejarah, Imam Syafi‘i hidup pada masa-masa awal pemerintahan Bani ‘Abbasiyah yang berjaya merebut kekuasaan daripada Bani Umayyah. Pada masa itu, setiap khalifah dari Bani ‘Abbasiyah hampir selalu menghadapi pemberontakan orang-orang dari kalangan ‘Alawiyah. Kenyataan ini membuat mereka bersikap sangat kejam dalam memadamkan pemberontakan orang-orang ‘Alawiyah yang sebenarnya masih saudara mereka sebagai sesama Bani Hasyim. Dan hal itu menggoreskan rasa sedih yang mendalam pada kaum muslimin secara umum dan pada diri Imam Syafi‘i secara khusus. Dia melihat orang-orang dari kalangan Ahlu Bait Nabi menghadapi musibah daripada penguasa. Maka berbeza dengan sikap ahli fiqh selainnya, beliau pun menampakkan secara terang-terangan rasa cintanya kepada mereka tanpa rasa takut sedikitpun, suatu sikap yang saat itu akan membuat pemiliknya merasakan kehidupan yang sangat sulit.

Sikapnya itu membuatnya dituduh sebagai orang yang bersikap tasyayyu‘, padahal sikapnya sama sekali berbeza dengan tasyayyu’ model orang-orang syi‘ah. Bahkan Imam Syafi‘i menolak keras sikap tasyayyu’ model mereka itu yang meyakini ketidaksahan keimaman Abu Bakar, Umar, serta ‘Utsman , dan hanya menyakini keimaman Ali, serta meyakini kemaksuman para imam mereka. Sedangkan kecintaan beliau kepada Ahlu Bait adalah kecintaan yang didasari oleh perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran mahupun hadits-hadits shahih. Dan kecintaan beliau itu ternyata tidaklah lantas membuatnya dianggap oleh orang-orang syiah sebagai ahli fiqh madzhab mereka.

Tuduhan dusta yang diarahkan kepadanya bahawa dia hendak mengobarkan pemberontakan, membuatnya ditangkap, lalu diheret ke Baghdad di dalam keadaan dibelenggu dengan rantai bersama sejumlah orang-orang ‘Alawiyah. Beliau bersama orang-orang ‘Alawiyah itu dihadapkan ke hadapan Khalifah Harun ar-Rasyid. Khalifah menyuruh orang bawahannya menyiapkan pedang dan hamparan kulit. Setelah memeriksa mereka seorang demi seorang, dia menyuruh pegawainya memenggal kepala mereka. Ketika sampai pada gilirannya, Imam Syafi‘i berusaha memberikan penjelasan kepada Khalifah. Dengan kecerdasan dan ketenangannya serta pembelaan dari Muhammad bin al-Hasan -ahli fiqh Iraa-, beliau berhasil menyakinkan Khalifah tentang kedustaan apa yang dituduhkan kepadanya. Akhirnya beliau meninggalkan majlis Harun ar-Rasyid dalam keadaan bersih daripada tuduhan bersekongkol dengan ‘Alawiyah dan mendapatkan kesempatan untuk tinggal di Baghdad.

Di Baghdad, beliau kembali pada kegiatan asalnya, mencari ilmu. Beliau meneliti dan mendalami madzhab Ahlu Ra’yu. Untuk itu beliau berguru dengan mulazamah kepada Muhammad bin al-Hassan. Selain itu, kepada Isma ‘il bin ‘Ulayyah dan Abdul Wahhab ats-Tsaqafiy dan lain-lain. Setelah meraih ilmu daripada para ulama Iraq itu, beliau kembali ke Mekkah pada saat namanya mulai dikenal. Maka mulailah dia mengajar di tempat dahulu dia belajar. Ketika musim haji tiba, ribuan jamaah haji hadir ke Mekkah. Mereka yang telah mendengar nama beliau dan ilmunya yang mengagumkan, bersemangat mengikuti pengajarannya sehingga akhirnya nama beliau semakin dikenali luas. Salah satu di antara mereka adalah Imam Ahmad bin Hanbal.

Ketika kemasyhurannya sampai ke kota Baghdad, Imam Abdurrahman bin Mahdi mengirim surat kepada Imam Syafi‘i memintanya untuk menulis sebuah kitab yang berisi khabar-khabar yang maqbul, penjelasan tentang nasikh dan mansukh daripada ayat-ayat Alquran dan lain-lain. Maka beliau pun menulis kitabnya yang terkenal, Ar-Risalah.

Setelah lebih dari 9 tahun mengajar di Mekkah, beliau kembali melakukan perjalanan ke Iraq untuk kedua kalinya di dalam rangka menolong madzhab Ash-habul Hadits di sana. Beliau mendapat sambutan meriah di Baghdad kerana para ulama besar di sana telah menyebut-nyebut namanya. Dengan kedatangannya, kelompok Ash-habul Hadits merasa mendapat angin segar kerana sebelumnya mereka merasakan didominasi oleh Ahlu Ra’yi. Sehinggakan dikatakan bahawa ketika beliau datang ke Baghdad, di Masjid Jami ‘ al-Gharbi terdapat sekitar 20 halaqah Ahlu Ra ‘yu. Tetapi ketika hari Jumat tiba, yang tinggal hanya 2 atau 3 halaqah saja.

Beliau menetap di Iraq selama dua tahun, kemudian pada tahun 197 hijrah beliau balik ke Mekkah. Di sana beliau mulai menyebar madzhabnya sendiri. Maka datanglah para penuntut ilmu kepadanya meneguk dari lautan ilmunya. Tetapi beliau hanya berada setahun di Mekkah.

Tahun 198 hijrah, beliau berangkat lagi ke Iraq. Namun, beliau hanya beberapa bulan saja di sana kerana telah terjadi perubahan politik. Khalifah al-Makmun telah dikuasai oleh para ulama ahli kalam, dan terjebak di dalam perbahasan-perbahasan tentang ilmu kalam. Sementara Imam Syafi‘i adalah orang yang benar-benar memahami ilmu kalam. Beliau tahu bagaimana pertentangan ilmu ini dengan manhaj as-salaf ash-shaleh –yang selama ini dipegangnya- di dalam memahami masalah-masalah syariat. Hal itu kerana orang-orang ahli kalam menjadikan akal sebagai rujukan utama di dalam menghadapi setiap masalah, menjadikannya rujukan di dalam memahami syariat padahal mereka tahu bahawa akal juga memiliki batasan-batasan. Beliau tahu betul kebencian mereka kepada ulama ahlu hadits. Oleh kerana itulah beliau menolak madzhab mereka.

Dan begitulah kenyataannya. Provokasi mereka membuat Khalifah mendatangkan banyak musibah kepada para ulama ahlu hadits. Salah satunya adalah yang dikenal sebagai Yaumul Mihnah, ketika dia mengumpulkan para ulama untuk menguji dan memaksa mereka menerima fahaman Al-quran itu makhluk. Akibatnya, ramai ulama yang masuk penjara, bila tidak dibunuh. Salah seorang di antaranya adalah Imam Ahmad bin Hanbal. Oleh kerana perubahan itulah, Imam Syafi‘i kemudian memutuskan pergi ke Mesir. Sebenarnya hati kecilnya menolak pergi ke sana, tetapi akhirnya dia menyerahkan dirinya kepada kehendak Allah. Di Mesir, beliau mendapat sambutan masyarakatnya. Di sana beliau berdakwah, menebar ilmunya, dan menulis sejumlah kitab, termasuk menyemak kitabnya ar-Risalah, sehingga akhirnya beliau menemui akhir kehidupannya di sana.

Keteguhannya Membela Sunnah

Sebagai seorang yang mengikuti manhaj Ash-habul Hadits, beliau di dalam menetapkan suatu masalah terutama masalah aqidah selalu menjadikan Al-quran dan Sunnah Nabi sebagai landasan dan sumber hukumnya. Beliau selalu menyebutkan dalil-dalil dari keduanya dan menjadikannya hujjah dalam menghadapi penentangnya, terutama dari kalangan ahli kalam. Beliau berkata, “Jika kalian telah mendapatkan Sunnah Nabi, maka ikutilah dan janganlah kalian berpaling mengambil pendapat yang lain.” Kerana komitmennya mengikuti sunnah dan membelanya itu, beliau mendapat gelaran Nashir as-Sunnah wa al-Hadits.

Terdapat banyak atsar tentang ketidaksukaan beliau kepada Ahli Ilmu Kalam, mengingatkan perbezaan manhaj beliau dengan mereka. Beliau berkata, “Setiap orang yang berbicara (mutakallim) dengan bersumber dari Alquran dan sunnah, maka ucapannya adalah benar, tetapi jika dari selain keduanya, maka ucapannya hanyalah igauan belaka.” Imam Ahmad berkata, “Bagi Syafi‘i jika telah yakin dengan keshahihan sebuah hadits, maka dia akan menyampaikannya. Dan perilaku yang terbaik adalah dia tidak tertarik sama sekali dengan ilmu kalam, dan lebih tertarik kepada fiqh.” Imam Syafi ‘i berkata, “Tidak ada yang lebih aku benci daripada ilmu kalam dan ahlinya.” Al-Mazani berkata, “Merupakan madzhab Imam Syafi‘i membenci kesibukan di dalam ilmu kalam. Beliau melarang kami sibuk di dalam ilmu kalam.” Ketidaksukaan beliau sampai kepada tahap memberi fatwa bahwa hukum bagi ahli ilmu kalam adalah dipukul dengan pelepah kurma, lalu dinaikkan ke atas punggung unta dan diarak mengelilingi di antara kabilah-kabilah dengan mengumumkan bahawa itu adalah hukuman bagi orang yang meninggalkan Al-quran dan Sunnah dan memilih ilmu kalam.

Wafatnya

Oleh kerana kesibukannya berdakwah dan menebar ilmu, beliau menderita penyakit buasir yang selalu mengeluarkan darah. Semakin lama penyakitnya itu bertambah parah hingga akhirnya beliau wafat kerananya. Beliau wafat pada malam Jumaat setelah shalat Isya’ hari terakhir bulan Rajab permulaan tahun 204 dalam usia 54 tahun. Semoga Allah memberikan kepadanya rahmat-Nya yang luas.

Ar-Rabi menyampaikan bahawa dia bermimpi melihat Imam Syafi‘i, sesudah wafatnya. Dia berkata kepada beliau, “Apa yang telah diperbuat Allah kepadamu, wahai Abu Abdillah?” Beliau menjawab, “Allah mendudukkan aku di atas sebuah kerusi emas dan menaburkan pada diriku mutiara-mutiara yang halus.”

Karangan-Karangannya

Sekalipun beliau hanya hidup selama setengah abad dan kesibukannya melakukan perjalanan jauh untuk mencari ilmu, hal itu tidaklah menghalanginya untuk menulis banyak kitab. Jumlahnya menurut Ibnu Zulaq mencapai 200 bahagian, sedangkan menurut al-Marwaziy mencapai 113 kitab tentang tafsir, fiqh, adab dan lain-lain. Yaqut al-Hamawi mengatakan jumlahnya mencapai 174 kitab yang judul-judulnya disebutkan oleh Ibnu an-Nadim dalam al-Fahrasat. Yang paling terkenal di antara kitab-kitabnya adalah al-Umm, yang terdiri daripada 4 jilid berisi 128 masalah, dan ar-Risalah al-Jadidah (yang telah direvisinya) mengenai Al-quran dan As-Sunnah serta kedudukannya dalam syariat.

Sumber:

1.      Al-Umm, bahagian muqoddimah hal. 3-33

2.      Siyar A‘lam an-Nubala’

3.      Manhaj Aqidah Imam asy-Syafi‘, terjemah kitab Manhaj al-Imam Asy-Syafi ‘i fi Itsbat al-‘Aqidah karya DR. Muhammad AW al-Aql terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi ‘i, Cirebon

(Sumber: Majalah Fatawa; dinukil dari muslim.or.id)

di edit oleh Abu Usamah

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s