ENGKAU MEMBERINYA PAKAIAN APABILA ENGKAU BERPAKAIAN

 

HAK ISTERI YANG HARUS DIPENUHI SUAMI

Oleh
Al-Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas

(2). ENGKAU MEMBERINYA PAKAIAN APABILA ENGKAU BERPAKAIAN

Seorang suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya sebagaimana dia berpakaian. Apabila dia menutup aurat, maka isterinya pun wajib menutup aurat. Hal ini menunjukkan kewajipan setiap suami mahupun isteri untuk menutup aurat. Untuk lelaki batas auratnya adalah dari pusat hingga ke lutut (termasuk paha). Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Ertinya : Paha itu aurat.”[1]

Sedangkan aurat bagi wanita adalah seluruh tubuhnya, kecuali muka dan telapak tangannya. Termasuk aurat bagi wanita adalah rambut dan betisnya. Jika auratnya terdedah kepada selain mahramnya, maka dia telah berbuat dosa, termasuk dosa bagi suaminya kerana telah melalaikan kewajipan ini. Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Ertinya : Ada dua golongan penghuni Neraka, yang belum pernah aku lihat keduanya, iaitu suatu kaum yang memegang cemeti seperti ekor sapi untuk mencambuk manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, dia berjalan berlenggak-lenggok dan kepalanya dicondongkan seperti punduk unta yang condong. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium bau Syurga, sedangkan sesungguhnya bau Syurga itu tercium sejauh perjalanan begini dan begini.”[2]

• Beberapa syarat-syarat yang perlu diperhatikan di dalam berpakaian (busana) muslimah yang sesuai dengan syari’at Islam[3], iaitu:

• Menutupi Seluruh Tubuh, Kecuali Wajah Dan Kedua Telapak Tangan.
Allah Ta’ala berfirman:

“Ertinya : Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Al-Ahzaab : 59).

Juga sabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam kepada Asma’ binti Abi Bakar.

“Ertinya : Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seorang wanita telah haidh (sudah baligh), maka tidak boleh terlihat darinya kecuali ini dan ini.” Kemudian baginda shallallaahu ‘alaihi wa sallam memberi isyarat ke arah wajah dan kedua telapak tangan baginda.”[4]

• Bukan Berfungsi Sebagai Perhiasan.

Allah Ta’ala berfirman:

“Ertinya : Dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat.” (An-Nuur : 31)

Juga berdasarkan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam

“Ertinya : Ada tiga golongan, jangan engkau tanya tentang mereka (kerana mereka termasuk orang-orang yang binasa):… dan seorang wanita yang ditinggal pergi suaminya, sedangkan suaminya telah mencukupkan keperluan duniawinya, namun setelah itu dia ber-tabarruj…”[5]

• Kainnya Harus Tebal, Tidak Boleh Nipis (Transparensi)

Seorang wanita dilarang memakai pakaian yang ketat atau nipis sehingga memperlihatkan bentuk tubuhnya.

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Ertinya : Pada akhir ummatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) mereka bertelanjang. Di atas kepala mereka seperti terdapat punduk unta. Laknatlah mereka kerana sebenarnya mereka itu wanita yang terlaknat.”[6]

• Wajib Longgar Dan Tidak Ketat.
Usamah bin Zaid berkata, “Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam memberiku baju Qubthiyah yang tebal (biasanya baju tersebut tipis-pen) yang merupakan baju yang dihadiahkan oleh Dihyah al-Kalbi kepada beliau. Baju itu pun aku pakaikan kepada isteriku. Nabi bertanya, ‘Mengapa engkau tidak mengenakan baju Qubthiyah?’ Aku menjawab, ‘Aku pakaikan baju itu pada isteriku.’ Lalu Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Perintahkan dia agar mengenakan baju dalam kerana aku khuatir baju itu masih boleh menggambarkan bentuk tubuhnya.”[7]

• Tidak Memakai Wangi-Wangian (Perfume).

Larangan menggunakan wangian bagi wanita ini begitu keras, bahkan Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam melarangnya meskipun untuk pergi ke masjid. Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Ertinya : Siapa pun wanita yang memakai wangi-wangian, lalu dia melewati kaum laki-laki agar tercium baunya, maka dia (seperti) pelacur.”[8]

Sedangkan jika isteri menggunakannya di hadapan suaminya, di dalam rumahnya, maka hal ini dibolehkan – bahkan- dianjurkan berhias untuk suaminya.

• Tidak Menyerupai Pakaian Lelaki.


Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu berkata.

“Ertinya : Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.”[9]

• Tidak Menyerupai Pakaian Wanita-Wanita Kafir.


Ini kerana di dalam syari’at Islam telah ditetapkan bahawa kaum muslimin – muslim dan muslimah – tidak boleh bertasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir, baik di dalam ibadah, ikut merayakan hari raya, dan berpakaian dengan pakaian khas mereka.

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Barangsiapa menyerupai suatu kaum, dia termasuk golongan mereka.”[10]

• Bukan Pakaian Syuhrah (Pakaian Untuk Mencari Populariti)
Hal ini berdasarkan hadits Ibnu ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma, dia berkata, “Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Barangsiapa yang mengenakan pakaian syuhrah (untuk mencari populariti) di dunia, nescaya Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya di hari Kiamat lalu membakarnya dengan api Neraka.”[11]

Pakaian syuhrah adalah pakaian yang dipakai untuk meraih populariti di tengah-tengah masyarakat, baik pakaian tersebut mahal, yang dipakai oleh seseorang untuk berbangga dengan dunia dan perhiasannya, mahupun pakaian yang bernilai rendah, yang dipakai oleh seseorang untuk menampakkan kezuhudan dan bertujuan untuk riya’.[12]

• Dilarang Memakai Pakaian Yang Terdapat Gambar Makhluk Yang Bernyawa. Larangan Ini Berlaku Untuk Lelaki Dan Perempuan.

Jika seorang suami malu dan risau dengan pakaian yang tidak menutup aurat -dengan seluar pendek misalnya- untuk pergi ke pasar, maka hendaklah dia juga merasa risau ketika mengetahui bahawa isterinya pergi ke pasar, ke tempat umum atau keluar rumah dengan aurat terbuka sehingga orang-orang yang jahil dan berakhlak buruk turut melihat keindahan tubuh isteri yang dicintainya.

Seorang suami hendaklah memiliki rasa cemburu di dalam masalah ini, kerana kalau tidak, nescaya dia akan menjadi dayus (membiarkan kejelekan yang timbul dalam rumah tangganya), dan ini akan menjadi permulaan malapetaka yang dapat menghancur leburkan kehidupan rumah tangga yang telah dibangun dan dibinanya dengan susah payah.

Seorang suami hendaklah menasihati isterinya di dalam masalah pakaian ini sehingga isterinya tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan syari’at dan menyempurnakannya dengan pakaian terbaik menurut syari’at Islam. Hal ini supaya dia tidak terjebak kepada istilah-istilah busana muslim yang moden dan trend yang mana pada hakikatnya merupakan busana yang terlaknat seperti hal-hal tersebut di atas.

(Disalin dari buku Bingkisan Istimewa Menuju Keluarga Sakinah, Penulis Yazid bin Abdul Qadir Jawas, Penerbit Putaka A-Taqwa Bogor – Jawa Barat, Cet Ke II Dzul Qa’dah 1427H/Desember 2006)

Sumber: http://almanhaj.or.id diedit oleh Abu Usamah

 


[1] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (no. 2796, 2797) dari Ibnu ‘Abbas dan Jarhad al-Aslami radhiyallaahu ‘anhum. Lihat Shahiih al-Jaami’ish Shaghiir (no. 4280).

[2] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Muslim (no. 2128), dari Shahabat Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu.

[3] Untuk lebih jelas, sila membaca kitab Jilbab al-Mar-atil Muslimah (Jilbab Wanita Muslimah) yang ditulis oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullaah dan kutaib an-Nisaa’ wal Mauzhah wal Aziyaa’ oleh Khalid bin ‘Abdurrahman asy-Syayi’ cet. Darul Wathan Riyadh, diterjemahkan dengan judul “Bahaya Mode”.

[4] Hadits hasan: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 4104), dari ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anha. Lihat takhrij lengkap hadits ini dalam kitab ar-Raddul Mufhim (Hal. 79-102) oleh Imam Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullaah. Beliau menghasankan hadits ini dengan takhrij ilmiah menurut kaidah ulama ahli hadits.

[5] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh al-Hakim (I/119) dan Ahmad (VI/19), dari Shahabat Fadhalah bin ‘Ubaid radhiyallaahu ‘anhu. Lihat Shahiih al-Jaami’ish Shaghiir (no. 3058).

[6] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Mu’jamush Shaghiir (I/127-128) dari hadits Ibnu ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma.

[7] Diriwayatkan oleh adh-Dhiya’ al-Maqdisi dalam kitab al-Hadits al-Mukhtarah (I/441).

[8] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Ahmad (IV/414, 418), an-Nasa’i (VIII/153), Abu Dawud (no. 4173) dan at-Tirmidzi (no. 2786), dari Abu Musa radhiyallaahu ‘anhu.

[9] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 4098), Ibnu Majah (no. 1903), al-Hakim (IV/194) dan Ahmad (II/325), dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu. Lihat Jilbaab al-Mar-atil Muslimah (hal. 141) oleh Syaikh al-Albani rahimahullaah.

[10] Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 4031), Ahmad (II/50, 92), dari Ibnu ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma. Lihat Shahiihul Jaami’ (no. 6149) dan Jilbaab al-Mar-atil Muslimah (hal. 203-204).

[11] Hadits hasan: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 4029) dan Ibnu Majah (no. 3607), dari Shahabat Ibnu ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma. Lihat Jilbaab al-Mar-atil Muslimah (hal. 213)

[12] Jilbab al-Mar’atil Muslimah (hal. 213).

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s