Ramadhan Sepanjang Tahun

Ramadhan Sepanjang Tahun

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

 

Dalam sebuah hadis berstatus hasan sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah (1690), Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berapa ramai orang yang berpuasa, dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali rasa lapar”. Hadis yang bernada agak sinis ini pasti menyebabkan kita terfikir: Mungkinkah ada sesuatu yang jauh lebih besar yang ingin dicapai oleh ibadah puasa selain menahan diri dari lapar dan dahaga?

Memandangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda sedemikian, tentu saja jawapannya adalah “Ya!” Ini kerana baginda tidak akan menyampaikan sesuatu yang sia-sia melainkan memiliki mesej yang penting di sebaliknya. Maka apakah yang ingin dicapai di sebalik ibadah puasa?

Cemerlang + Karisma + Jati diri + Akhlak mulia + Disiplin + Cerdas intelek (IQ)

+ Cerdas emosi (EQ) + Cerdas rohani (SQ) = Super muslim.

Sedar atau tidak, puasa secara khusus dan bulan Ramadhan secara umum memiliki beberapa hikmah yang amat agung. Antara hikmah tersebut adalah ia melatih dan menonjolkan potensi bahawa kita sebenarnya mampu menjadi Super Muslim. Potensi ini kemudiannya dimanfaatkan tidak sekadar dalam bulan Ramadhan tetapi sepanjang tahun. Potensi ini dicaj semula pada Ramadhan yang akan datang dan begitulah ia berulang pada tahun-tahun seterusnya.

Super Muslim yang saya maksudkan merangkumi semua ciri-ciri hebat yang patut dimiliki oleh seorang muslim. Cemerlang + karisma + jati diri + akhlak mulia + disiplin + cerdas intelek (IQ) + cerdas emosi (EQ) + cerdas rohani (SQ) = Super Muslim. Potensi apakah yang ingin dilatih dan ditonjolkan melalui ibadah puasa dalam bulan Ramadhan. Untuk mengetahui jawapannya, marilah kita merenung secara ringkas aktiviti puasa dalam sehari.

 

 

05.00AM-05.45AM

Pada waktu ini kita bangun untuk bersahur. Sahur adalah salah satu syiar yang penting dalam ibadah puasa bagi umat Islam. Ia membezakan puasa kita dengan puasa kaum lain, sumber keberkatan daripada Allah s.w.t. serta selawat daripada para malaikat. Waktu sahur bukanlah pada lewat malam tetapi pada awal pagi, iaitu beberapa ketika yang amat dekat kepada masuknya waktu Subuh. Sahur tidak semestinya dengan makanan yang berat, minimum seteguk air.

Potensi sepanjang tahun di sebalik amalan sahur: Ia mengajar kita untuk beribadah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan bukannya sunnah masyarakat tempatan. Kedua, ia melatih kita untuk berdisiplin bangun pada awal pagi dan bukannya pada 6.45 pagi, sekadar cukup untuk mengejar solat Subuh pada akhir waktu.

Super Muslim adalah seorang yang cerdas daya inteleknya sehingga mampu membezakan antara sunnah Rasulullah dan sunnah masyarakat. Super Muslim juga adalah seorang yang berdisiplin dalam memaanfaatkan setiap saat yang Allah kurniakan dalam kehidupan di alam ini. Tidak dapat dibayangkan seseorang itu dapat menjadi Super Muslim jika dia tidak berdisiplin menjaga waktu tidurnya.

 

09.00AM-11.00AM

Pada waktu ini lazimnya kita bersarapan atau mengambil waktu rehat sebentar untuk minum kopi. Namun pada bulan Ramadhan kita tidak melakukannya. Ya, kita sedang berpuasa. Di sini perlu kita sedar bahawa potensi yang ingin dilatih dan ditonjolkan oleh ibadah puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi jauh lebih besar dari itu. Ia adalah potensi menahan diri daripada apa yang diingini oleh nafsu dan apa yang kebiasaannya dilakukan oleh diri kita. Keinginan nafsu dan kebiasaan diri adalah pelbagai, seperti nafsu merokok, kebiasaan membeli-belah, nafsu dengki sesama umat Islam, kebiasaan berburuk sangka, nafsu malas dan kebiasaan menghabiskan minimum satu jam membaca akhbar harian.

Super Muslim bukanlah seorang yang mentaati mahupun membuang nafsunya, tetapi adalah seorang yang mampu memimpin nafsunya kepada melakukan apa yang bermanfaat dan meninggalkan apa yang sia-sia. Sekali-sekali memang terlanjur mengikut nafsu, namun sikap menilai dan membetulkan menjadi kebiasaan bagi dirinya. Super Muslim juga adalah seorang yang melazimkan diri dengan kebiasaan yang baik (good habits) dan menjauhkan dirinya daripada kebiasaan yang buruk lagi sia-sia (bad habits). Tidak ada kebiasaan buruk yang tidak boleh ditukar kepada kebiasaan baik.

 

12.00PM-02.00PM

Ini adalah waktu rehat makan tengahari (lunch break). Sambil makan, adakalanya – atau lazimnya – timbul sembang-sembang obrolan (gossip) mengenai rakan sepejabat, ketua syarikat, ahli politik, penyanyi, pelakon dan sebagainya. Akan tetapi dalam bulan Ramadhan kita berhenti dan diam, mengingatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong, malah melakukannya, maka Allah tidak menganggap perlu bagi dia meninggalkan makan dan minumnya.” Demikian amaran baginda dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari (1903). Berbohong tidak sekadar menyampaikan cerita yang kita tahu dusta, tetapi juga menyampaikan cerita yang kita sendiri tidak tahu apakah ia benar atau palsu.

Antara potensi penting yang terlatih dan menonjol daripada ibadah puasa ialah kesedaran bahawa kita sebenarnya mampu mengawal mulut daripada sembang obrolan. Pada masa kini ia tidak sekadar mengawal mulut, tetapi juga mengawal jari daripada menghantar sms dan emel yang seumpama.

Namun untuk menjadi Super Muslim, kawalan mulut dan jari bukan sekadar kepada cerita obrolan, tetapi meluas kepada apa jua yang sebenarnya tidak bermanfaat kepada agama dan umat. Super Muslim menjadikan pesan Rasulullah s.a.w. berikut ini sebagai salah satu prinsipnya yang utama: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata-kata yang baik atau diam.” [Muslim (47)].

 

03.00PM-06.30PM

Agaknya inilah waktu yang paling mencabar ketika berpuasa. Pada waktu ini badan terasa lemah, tekak terasa kering, minda terasa tumpul, emosi terasa di luar kawalan dan kelopak mata terasa berat. Akan tetapi bak kata pepatah Barat: “When the going gets tough, the tough gets going!”, maka demikianlah juga ciri-ciri seorang Super Muslim.

Jika kita merenung kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w., akan didapati kebanyakan peperangan berlaku dalam bulan Ramadhan. Tidak sekadar itu, cabaran mereka dilengkapi suasana padang pasir yang disinari dengan matahari yang terik lagi panas. Semua ini tidak menghalang mereka untuk menegakkan kalimah Allah di mukabumi.

Perang yang berbeza juga menonjolkan kecerdasan emosi yang berbeza kepada Rasulullah dan para sahabat. Dalam Perang Badar umpamanya, emosi yang cerdas memberi mereka keyakinan untuk menghadapi musuh yang tiga kali ganda lebih ramai jumlahnya dan lebih canggih kelengkapannya. Sebaliknya dalam perang pembukaan Kota Mekah, emosi yang cerdas memberi mereka sikap pemaaf dan rendah diri kepada warga Mekah yang telah tewas, sekali pun satu ketika yang lalu warga Mekah tersebut amat memusuhi dan menzalimi mereka. Emosi yang cerdas seperti ini mampu ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam suasana cabaran sedang  berpuasa.

Jika Rasulullah s.a.w dan para sahabat mampu melakukannya, kita juga mampu. Sekali pun inilah waktu yang paling mencabar, ia sebenarnya membongkar potensi kita yang sebenar sehingga mampu melakukan misi yang lebih mencabar. Ingat! Seorang Super Muslim tidak mengalah kepada cabaran, sebaliknya menjadikan cabaran sebagai suasana untuk bertukar dari bateri biasa kepada bateri Duracell.

 

08.30PM-10.00PM

Kejayaan berpuasa dari fajar hingga maghrib memang sesuatu yang patut diraikan. Akan tetapi bagi kita umat Islam, meraikan sesuatu kejayaan bukanlah dengan cara yang biasa dilakukan oleh umat bukan Islam. Sebaliknya kejayaan tersebut diraikan dengan perasaan lebih bersyukur dan tunduk kepada Allah s.w.t.. Ini kerana kita umat Islam memiliki satu lagi faktor kecerdasan yang tidak dimiliki oleh umat lain, iaitu kecerdasan rohani. Dengan kecerdasan ini, kita akur bahawa bagaimana hebat sekali pun kejayaan yang kita peroleh, Allah tetap lebih hebat. Bahkan dengan kehebatan yang tiada tolok ukurannya di sisi manusia.

Maka setelah sehari berjaya berpuasa, Super Muslim meraikannya dengan memperbanyakkan sujud kepada Allah s.w.t., iaitu melalui solat Isyak dan Tarawih secara berjamaah. Di sini terdapat dua potensi yang terserlah. Pertama, potensi melaksanakan solat fardhu secara berjamaah. Alhamdulillah dalam bulan Ramadhan surau dan masjid dipenuhi dengan orang ramai bersolat jamaah: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya memiliki potensi melaksanakan solat fardhu secara berjamaah. Potensi ini tidak sepatutnya berlaku dalam bulan Ramadhan, tetapi sepanjang tahun.

Kedua, potensi melaksanakan solat sunat. Kemampuan Super Muslim melaksanakan solat Tarawih dalam bulan Ramadhan menonjolkan satu potensi yang hebat, iaitu kemampuan melaksanakan solat-solat sunat sekali pun letih setelah sepanjang hari menahan makan dan minum. Di luar bulan Ramadhan solat Tarawih tidak ada, tetapi terdapat pelbagai solat sunat lain yang ditunjukki oleh sunnah yang sahih.

Demikian secara ringkas beberapa potensi yang dilatih dan ditonjolkan oleh ibadah puasa dalam bulan Ramadhan. Potensi-potensi ini tidak terhad kepada beberapa contoh di atas sahaja. Potensi mendisiplinkan diri bangun pada awal pagi, memimpin nafsu kepada yang bermanfaat, tidak berkata-kata atau menaip kecuali yang baik untuk agama dan umat, menguatkan kecerdasan emosi dengan bertambahnya cabaran dan merendahkan diri kepada Allah sebagai bukti kecerdasan rohani dimiliki oleh semua orang, hanya ia tersembunyi di sebalik diri sendiri. Melalui ibadah puasa dan bulan Ramadhan, kita dapat mengenal potensi tersebut dan berusaha untuk mengasahnya agar menjadi lebih baik, lebih super dari tahun ke tahun.

Perkara yang lebih penting, potensi-potensi ini bukan untuk dimanfaatkan dalam bulan Ramadhan sahaja, tetapi sepanjang tahun. If you can do it in one month, then you can do it for the rest of the year! Inilah yang saya maksudkan dengan “Ramadhan Sepanjang Tahun”. Ayuh! Carilah potensi anda pada Ramadhan ini dan jadilah Super Muslim sepanjang tahun.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s