Pencerahan Dalam Persoalan Solat Sunat Qabliyah Jumaat.


Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

 

Disampaikan kepada saya oleh beberapa pencinta ilmu yang ikhlas lagi jujur bahawa dalam sebuah forum di alam maya yang bernama “Bicara Sufi”, terdapat perbincangan berkenaan persoalan solat sunat qabliyah Jumaat yang dikaitkan dengan nama saya. Perbincangan yang saya maksudkan boleh dirujuk di:

http://www.bicarasufi.com/sgtt/viewtopic.php?topic=11947&forum=3&21

Perkara ini pada awalnya saya anggap baik kerana memang saya menyukai apa-apa persoalan agama yang dibincang secara terbuka dan ilmiah. Akan tetapi setelah diteliti, ia berubah daripada satu kebaikan kepada keburukan. Hal ini berlaku kerana jawapan yang diberikan oleh “ahli fiqh” forum “Bicara Sufi”, iaitu seseorang yang mengguna nama “Viceroy”, sebenarnya adalah tidak tepat untuk mewakili Mazhab al-Syafi’e mahupun sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Di atas sebab inilah saya rasa perlu untuk diusahakan pencerahan ini.

Pencerahan ini saya bahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama menjelaskan hukum solat sunat qabliyah Jumaat di kalangan imam Mazhab al-Syafi’e. Sebenarnya para imam Mazhab al-Syafi’e terbahagi kepada dua dalam persoalan ini:

· Pertama adalah mereka yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat.

· Kedua adalah mereka yang menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat.

Memandangkan “Viceroy” telah mengemukakan dalil dan hujah bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat, maka saya akan mengemukakan pula dalil dan hujah bagi menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat. Penafian ini saya nukil tidak lain daripada para imam Mazhab al-Syafi’e itu sendiri.

Seterusnya, bahagian kedua merupakan analisa dan pencerahan ke atas hujah-hujah yang dikemukakan oleh “Viceroy” berkenaan solat sunat qabliyah Jumaat. Bahagian ketiga adalah kesimpulan ke atas keseluruhan pencerahan ini.

Bahagian Pertama: Solat Sunat Qabliyah Jumaat Di Sisi Para Imam Mazhab al-Syafi’e Yang Menafikan Kesabitannya.

Sepertimana yang disebut sebelum ini, para imam hadis Mazhab al-Syafi’e terbahagi kepada dua dalam persoalan ini. Sebahagian daripada mereka mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat manakala sebahagian yang lain menafikannya. Mereka yang menafikannya berhujah, bahawa tidak ada sebarang hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengajar atau mempraktikkan solat sunat qabliyah Jumaat. Demikian juga oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum, tidak ada di kalangan mereka yang mengajar atau mempraktikkan solat sunat qabliyah Jumaat. Ini kerana tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman mereka menafikan kemungkinan wujudnya solat sunat qabliyah Jumaat. Perkara ini dapat diperincikan dalam dua poin berikut ini:

Pertama:

Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, azan bagi solat Jumaat hanya sekali. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Rasulullah akan masuk ke masjid dan terus naik ke mimbar. Kemudian muazin (tukang azan) akan melaungkan azan di hadapan baginda. Setelah itu Rasulullah akan terus berkhutbah, diikuti dengan solat Jumaat itu sendiri. Tidak wujud selang masa dimana Rasulullah dan para sahabat melakukan solat sunat qabliyah Jumaat.

Al-Hafiz Abu Syamah rahimahullah (665H) menerangkan:

Bahawa kebiasaan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika keluar dari rumahnya pada hari Jumaat, maka baginda terus naik ke mimbar lalu muazin melaungkan azan. Setelah muazin selesai melaungkan azannya, maka baginda terus menyampaikan khutbahnya. Seandainya pada solat Jumaat tersebut wujud solat sunat qabliyah, tentu sesudah azan selesai dilaungkan baginda akan menyuruh para sahabat mendirikan solat sunat tersebut. Bahkan baginda sendiri akan mendirikannya terlebih dahulu sebelum menyuruh para sahabatnya. Pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak dikenali solat sunat pada hari Jumaat yang didirikan setelah azan dilaungkan dan didirikan di hadapan khatib. [al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits (الباعث على إنكار البدع والحوادث) (tahqiq: Basyir Muhammad Uyun, edisi terjemahan oleh Abu Hilmi & Kamaluddin dengan judul Bid‘ah yang Dibungkus Dengan Hadits Palsu; Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), ms. 225-226]

Perkara yang sama diterangkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi rahimahullah (806H):

Yang sedemikian adalah kerana Nabi al-Sholah wa al-Salam, tidak dilaungkan azan pada hari Jumaat kecuali di hadapan baginda dan baginda pada ketika itu di atas mimbar. Maka tidaklah baginda bersolat untuknya (sesudah azan). Dan demikian juga para sahabat radhiallahu ‘anhum, dimana apabila keluarnya imam mereka terus memberhentikan solat. [Tharh al-Tsarib (طرح التثريب) fi Syarh al-Taqrib (Muassasah al-Tarikh al-‘Arabi, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 41]

Adapun yang dimaksudkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi sebagai solat yang dihentikan oleh para sahabat ketika keluarnya imam, ia adalah solat-solat sunat mutlak sepertimana yang akan dijelaskan selepas ini insya-Allah.

Kedua:

Tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam boleh diringkaskan sebagai berikut:

1. Matahari tergelincir, menandakan masuknya waktu solat Jumaat.

2. Rasulullah masuk ke masjid.

3. Rasulullah terus menaiki mimbar.

4. Muazin melaungkan azan.

5. Rasulullah menyampaikan khutbah.

6. Rasulullah turun dari mimbar untuk bersolat Jumaat.

Di antara enam tertib di atas, tidak wujud satu riwayat jua yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau para sahabatnya radhiallahu ‘anhum melaksanakan solat sunat qabliyah Jumaat. Bahkan enam tertib di atas berlangsung secara berterusan sehingga tidak wujud selang masa yang memungkinkan perlaksanaan solat sunat qabliyah Jumaat.

Al-Hafiz al-‘Iraqi menegaskan:

Sesungguhnya baginda ‘alaihi al-Sholah wa al-Salam tidak mendirikan apa-apa solat sebelum solat Jumaat. Andai kata yang sedemikian berlaku (mendirikan solat sunat sebelum solat Jumaat) pasti ia dinukil secara pasti daripada baginda sebagaimana dinukil secara pasti bahawa baginda mendirikan solat sunat selepas Jumaat (ba’diyah Jumaat) dan sebagaimana dinukil secara pasti bahawa baginda mendirikan solat sunat sebelum Zohor (qabliyah Zohor). [Tharh al-Tsarib, jld. 3, ms. 41]

al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) turut menegaskan:

Dan adapun (solat) sunat Jumaat yang didirikan sebelumnya (qabliyah Jumaat) maka tidaklah sabit tentangnya sedikit jua. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Baz, Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 75]

Dua poin di atas menunjukkan bahawa solat sunat qabliyah Jumaat adalah tidak sabit. Perbuatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak melaksanakan solat sunat qabliyah Jumaat menjadi dalil tidak adanya solat sunat tersebut. Ini kerana mengikuti sunnah Rasulullah dalam hal ibadah ialah melaksanakan apa yang dilaksanakan oleh baginda dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh baginda.

Dalam bab ini, para imam Mazhab al-Syafi’e yang menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat juga telah menjawab beberapa kemusykilan yang berkaitan. Di sini saya susun semula kemusykilan tersebut dalam bentuk “Kemusykilan dan Pencerahannya” untuk memudahkan kefahaman para pembaca:

Kemusykilan Pertama:

Bolehkah disabitkan bahawa solat sunat qabliyah Jumaat berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh ‘Abd Allah bin Mughaffal radhiallahu ‘anh:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ, ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ: لِمَنْ شَاءَ.

Di antara setiap dua azan ada solat, di antara setiap dua azan ada solat (kemudian baginda bersabda pada kali ketiga): Kepada sesiapa yang mengingininya. [Shahih al-Bukhari – hadis no: 627 (Kitab al-Azan, Bab berapa lamakah antara azan dan iqamat…)]

Pencerahan:

Hadis di atas memang dijadikan hujah oleh para imam Mazhab al-Syafi’e yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani membongkar hakikat ini:

Apa yang paling kuat dijadikan pegangan bagi mensyari‘atkan (solat sunat) dua rakaat sebelum Jumaat adalah keumuman daripada apa yang disahihkan oleh Ibn Hibban daripada hadis ‘Abd Allah bin al-Zubair secara marfu’: “Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat”, juga hadis semisal daripada ‘Abd Allah bin Mughaffal dalam bab “Waktu Maghrib”: “Di antara setiap dua azan ada solat.” [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 96]

Kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar di atas bukanlah untuk membenarkan penggunaan dua hadis tersebut sebagai dalil, sebaliknya mengisyaratkan kelemahannya. Isyarat ini dapat ditangkap daripada perkataan beliau “…adalah keumuman daripada apa yang…”, kerana dalil yang umum tidak boleh digunakan bagi mengkhususkan sesuatu amalan jika amalan itu sendiri telah dinafikan oleh dalil khusus yang lain.

Di antara yang berhujah dengan hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal ialah al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) dimana beliau berkata:

Dan adapun sunat sebelumnya (qabliyah Jumaat) maka asasnya adalah hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal yang telah disebut dalam perbincangan sebelum ini: “Di antara setiap dua azan ada solat” dan juga diqiyaskan kepada solat Zohor. [al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (tahqiq: M. Najib; Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, 2001), jld. 3, ms. 349]

Menggunakan hadis di atas sebagai dalil adalah tidak tepat. Selain daripada sifatnya yang umum, ia juga dipandang tidak tepat kerana:

1. Yang dimaksudkan dengan “dua azan” bukanlah dua azan solat Jumaat sebagaimana yang wujud sekarang. Ini kerana pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, hanya ada satu azan bagi solat Jumaat. Maka yang dimaksudkan sebagai “dua azan” ialah azan dan iqamat. Demikian jelas al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Maksudnya ialah azan dan iqamah. Tidak sah mengambil (kefahaman) hadis ini secara zahir.” [Fath al-Bari, jld. 2, ms. 315]

2. Azan dan iqamat berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika melaksanakan solat Jumaat. Akan tetapi – sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini – tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman baginda tidak memungkinkan perlaksanaan solat sunat qabliyah Jumaat.

Oleh itu pendapat al-Imam al-Nawawi di atas telah ditolak oleh Al-Hafiz al-Busyiri rahimahullah (840H):

Dan di antara yang terbaik yang dijadikan dalil dengannya (dalam bab solat sunat qabliyah Jumaat) ialah apa yang sabit daripada dua kitab sahih daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Di antara setiap dua azan ada solat”.

Padahal ini mustahil berlaku pada solat (Rasulullah) shallallahu ‘alaihi wasallam kerana sesungguhnya baginda di antara azan dan iqamat berkhutbah, maka tidak ada solat pada ketika itu di antara kedua-duanya (azan dan iqamat).

Benar, bahawa sesudah itu Utsman (ibn ‘Affan radhiallahu ‘anh) mengadakan azan di atas al-Zawra (sebagai azan pertama manakala azan kedua di dalam masjid), memungkinkan solat sunat Jumaat sebelum keluarnya imam untuk berkhutbah. [Mishbah al-Zujajah fi Zawa‘id Ibn Majah (tahqiq: Kamal Yusuf; Dar al-Jinan, Beirut, 1986), jld. 1, ms. 213]

Oleh itu tidaklah tepat menggunakan hadis “Di antara setiap dua azan ada solat” sebagai dalil kerana tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, khasnya dari azan hingga iqamat, tidak memiliki selang masa untuk melaksanakan solat sunat qabliyah Jumaat.

Kemusykilan Kedua:

Apakah boleh mengqiyaskan solat sunat qabliyah Jumaat kepada solat sunat qabliyah Zohor sebagaimana kata-kata al-Imam al-Nawawi yang dinukil di atas?

Pencerahan:

Kata-kata atau pendapat al-Imam Nawawi untuk menggunakan kaedah qiyas dalam persoalan ini telah ditolak oleh seorang tokoh Mazhab al-Syafi’e yang sezaman dengan beliau, iaitu al-Hafiz Abu Syamah:

Alasan tidak adanya solat sunat qabliyah Jumaat adalah bahawa yang dimaksudkan dengan solat sunat dalam pandangan kami adalah solat yang didasarkan kepada petunjuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sama ada petunjuk itu dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan. Berkenaan solat sunat qabliyah Jumaat, tidak ada satu petunjuk jua daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa solat tersebut disunnahkan. Disamping itu tidak dibenarkan melakukan qiyas dalam menetapkan dalil syar‘i yang berkenaan dengan solat. [al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, ms. 224]

Sebenarnya terdapat banyak perbezaan antara solat Jumaat dan solat Zohor. Di antaranya, solat Jumaat wajib berjamaah manakala solat Zohor hanya sunat muakad, wajib meninggalkan jual beli apabila dilaungkan azan Jumaat, solat Jumaat adalah 2 rakaat manakala solat Zohor adalah 4 rakaat, solat Jumaat didahului dengan khutbah manakala solat Zohor tidak, bacaan surah dalam solat Jumaat adalah kuat manakala dalam solat Zohor adalah perlahan dan sebagainya. Perbezaan-perbezaan ini menutup pintu yang membolehkan perhubungan antara solat Jumaat dan solat Zohor melalui jalan qiyas.

Bahkan dalam bab ini terdapat dalil yang menunjukkan perbezaan solat-solat sunat bagi solat Zohor dan Jumaat. Dalil tersebut ialah hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma dimana beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَ الْمَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ وَبَعْدَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ لاَ يُصَلِّي بَعْدَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَنْصَرِفَ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ.

Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat sebelum zohor dua rakaat dan sesudah zohor dua rakaat, sesudah Maghrib dua rakaat di rumahnya dan sesudah Isya’ dua rakaat. Dan baginda tidak bersolat sesudah Jumaat sehinggalah meninggalkan masjid dan baginda bersolat dua rakaat. [Shahih al-Bukhari – hadis no: 937 (Kitab al-Jumuah, Bab solat sesudah Jumaat dan sebelumnya)].

Perhatikan bahawa apabila Ibn ‘Umar menerangkan solat-solat sunat Rasulullah, beliau membezakan antara solat Zohor dan solat Jumaat. Dua perbezaan yang paling nyata adalah:

1. Solat Zohor memiliki sunat qabliyah dan ba’diyah manakala solat Jumaat hanya memiliki sunat ba’diyah.

2. Sunat ba’diyah Zohor dilaksanakan di masjid manakala sunat ba’diyah Jumaat dilaksanakan di dalam rumah.

Justeru pendapat al-Imam al-Nawawi untuk menggunakan kaedah qiyas dalam bab ini adalah pendapat yang lemah. Ini kerana peranan qiyas adalah menghubungkan satu persoalan baru dalam kehidupan manusia kepada persoalan asal yang sudah sedia wujud hukumnya pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan illat (sebab di sebalik hukum). Adapun ibadah, maka tidak boleh ada satu jua ibadah yang baru melainkan apa yang sudah disyari‘atkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dengan itu, qiyas tidak memiliki peranan untuk mewujudkan hukum ibadah yang baru, seperti mewujudkan ibadah “solat qabliyah Jumaat” dan menghukumnya sebagai “sunat”.

Lebih dari itu, syarat utama bagi qiyas ialah wujudnya sebab yang sama antara kedua-dua persoalan yang ingin dihubungkan. Syarat ini tidak dapat dipraktikkan dalam persoalan ibadah kerana manusia tidak mampu mengetahui “sebab di sebalik” sesuatu ibadah untuk dikaitkan kepada ibadah yang lain. Sebab di sebalik semua ibadah adalah ketaatan kepada Allah semata-mata. Namun, toh dikatakan boleh mengamalkan qiyas untuk ibadah, ia tetap tidak boleh digunakan dalam persoalan solat sunat qabliyah Jumaat kerana terdapat banyak perbezaan antara solat Jumaat dan solat Zohor sepertimana yang diterangkan di atas.

Kemusykilan Ketiga:

Jika dikaji semua hadis-hadis dalam bab ini, ditemui bahawa sebahagian sahabat ada yang melaksanakan solat sunat sebelum solat Jumaat. Kenapakah hadis-hadis ini tidak dijadikan dalil bagi solat sunat qabliyah Jumaat?

Pencerahan:

Benar bahawa terdapat hadis-hadis yang menerangkan bahawa para sahabat melaksanakan solat-solat sunat sebelum solat Jumaat. Namun solat-solat sunat tersebut bukanlah solat sunat qabliyah Jumaat tetapi adalah solat sunat mutlak semata-mata.

Ringkasnya, solat sunat (tathawwu’) terdiri daripada dua jenis:

1. Solat sunat mutlak, ia adalah solat-solat sunat yang didirikan secara bebas.

2. Solat sunat khusus, ia adalah solat-solat sunat yang terikat dengan peraturan syari‘at. Contohnya ialah solat Id al-Adha, solat Id al-Fitri, solat Jenazah, solat Witir, solat Dhuha, solat Istikarah dan sebagainya. Solat-solat sunat sebelum atau selepas sesuatu solat wajib juga duduk di dalam kategori ini.

Maka apa yang dilakukan oleh para sahabat, ia adalah solat sunat mutlak. Ia bukan solat sunat qabliyah Jumaat yang duduk di dalam kategori solat sunat khusus yang sedang kita bincang dalam pencerahan ini. Para pembaca sekalian perlu membezakan antara dua bentuk solat sunat ini dengan pembezaan yang sejelas-jelasnya, umpama siang dengan malam. Ini kerana banyak kekeliruan timbul dalam bab ini, termasuk di kalangan sebahagian tokoh dan ilmuan, disebabkan kegagalan untuk membezakan dua bentuk solat sunat ini.

Al-Hafiz Abu Syamah berkata:

Solat sunat tersebut dibolehkan dan tidak dikategorikan sebagai perbuatan mungkar jika dilihat dari sudut ibadah solat. Namun kemungkaran ibadah tersebut terletak pada keyakinan orang-orang di antara mereka dan sebahagian orang yang memiliki pengetahuan, yang menganggap solat tersebut sebagai solat sunat qabliyah Jumaat, seperti solat sunat qabliyah Zohor. [al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, ms. 223]

Adapun melaksanakan solat-solat sunat secara mutlak sebelum Jumaat, maka ia disunnahkan oleh hadis berikut daripada Salman al-Farisi radhiallahu ‘anh bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَيَتَطَهَّرُ مَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ أَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيبِ بَيْتِهِ ثُمَّ يَخْرُجُ فَلاَ يُفَرِّقُ بَيْنَ اثْنَيْنِ ثُمَّ يُصَلِّي مَا كُتِبَ لَهُ ثُمَّ يُنْصِتُ إِذَا تَكَلَّمَ الإِمَامُ إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى.

Tidaklah seseorang itu mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampu dirinya, meminyakkan rambut atau menyapu minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju ke masjid) dan dia tidak memisahkan dua orang (yang telah sedia duduk di saf hadapan masjid), kemudian dia bersolat menurut apa yang ditentukan oleh Allah baginya (yakni sekadar mampu), kemudian dia diam apabila imam berkata-kata (berkhutbah), kecuali diampunkan baginya (dosa-dosa) antara Jumaat itu dan Jumaat berikutnya. [Shahih al-Bukhari – hadis no: 883 (Kitab al-Jumuah, Bab meminyakkan rambut untuk berjumaat)].

Maka berdasarkan hadis di atas, para sahabat berusaha untuk pergi awal ke masjid dalam keadaan berseri-seri. Kemudian mereka melaksanakan solat-solat sunat mutlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah masuknya waktu solat Jumaat. Solat-solat sunat mutlak yang dilaksanakan oleh para sahabat berbeza-beza jumlah rakaatnya, semuanya bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Penjelasan al-Hafiz Abu Syamah sekali lagi menjadi rujukan:

Abu Bakar al-Munzir berkata: “Kami telah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau biasa mendirikan solat sunat sebelum Jumaat sebanyak 12 rakaat. Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau biasa mendirikan solat sunat (sebelum Jumaat) sebanyak 8 rakaat.”

Keterangan di atas menjadi dalil bahawa solat sunat yang dilaksanakan oleh mereka (para sahabat) adalah semata-mata solat sunat (mutlak) menurut pandangan mereka sendiri dan bukan didasarkan kepada petunjuk (yakni contoh praktikal daripada) Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Demikian juga dengan jumlah rakaat yang diriwayatkan daripada mereka, dimana jumlah rakaatnya berbeza-beza. Hal ini semata-mata sebagai solat sunat (mutlak) tanpa dikaitkan dengan solat Jumaat.

Selanjutnya berkenaan waktu perlaksanaannya, bahawa para sahabat sebagaimana yang disebut di atas, mendirikan solat tersebut sebelum dilaungkan azan dan sebelum masuknya waktu solat Jumaat. Ini kerana mereka datang ke masjid pada pagi hari sebelum imam tiba (sebagaimana yang dianjurkan oleh hadis Salman al-Farisi di atas), maka mereka biasa mendirikan solat sunat (mutlak).

Solat sunat (mutlak) seperti ini biasa juga mereka dirikan pada solat Id (Hari Raya) padahal mereka juga mengetahui bahawa dalam solat Id tidak ada solat sunat qabliyah dan ba’diyahnya. [al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, ms. 223]

Al-Hafiz al-‘Iraqi turut menjelaskan:

Terdapat kemusykilan di dalam masalah ini, disebabkan oleh satu bab yang disusun oleh (al-Imam) Ibn Abi Syaibah di dalam (kitab) al-Musannafnya, iaitu “Bab solat sebelum Jumaat” dimana di dalamnya terdapat riwayat daripada ‘Abd Allah ibn Mas‘ud bahawanya beliau bersolat empat rakaat sebelum Jumaat, daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau mengasingkan diri pada hari Jumaat untuk bersolat dengan panjang sebelum keluarnya imam, daripada ‘Umar bin Abd al-Aziz dimana beliau bersolat sebelum Jumaat sebanyak 10 rakaat, daripada Ibrahim al-Nakha’e dimana beliau bersolat sebelum Jumaat empat rakaat, daripada Abi Majlazin bahawa beliau bersolat dirumahnya dua rakaat pada hari Jumaat dan daripada Thawus dimana beliau tidak akan mendatangi masjid pada hari Jumaat sehinggalah beliau bersolat di rumahnya dua rakaat.

Tidaklah daripada semua itu menjadi dalil ke atas solat sunat (sebelum) Jumaat kerana yang sedemikian dilaksanakan sebelum gelincir matahari (sebelum masuk waktu Jumaat). [Tharh al-Tsarib, jld. 3, ms. 43]

Seterusnya marilah kita menganalisa dalil dan hujah yang dikemukakan oleh “Viceroy” yang mewakili para imam Mazhab al-Syafi’e bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Analisa dan

Bahagian Kedua: Analisa Dan Pencerahan Ke Atas Hujah-Hujah “Viceroy”

Pertama:

Hujah Viceroy:

Di sini ku bentangkan beberapa hadis yang dijadikan dalil oleh para imam mazhab Syafie dalam mentsabitkan solat sunat qabliyyah jummat.

1) Hadis riwayat Imam Muslim yang ertinya : “Apabila seseorang dari kamu bersolat jumaat maka solatlah sebelumnya 4 rakaat dan selepasnya 4 rakat.

Analisa dan Pencerahan:

Nampaknya berlaku kekeliruan. Hadis di atas tidak terdapat di dalam Shahih Muslim. Di dalam Shahih Muslim, hanya terdapat hadis berikut:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا.

Apabila seseorang kalian bersolat Jumaat, maka bersolatlah sesudahnya empat rakaat. [Shahih Muslim – hadis no: 667 (Kitab al-Jumu’ah, Bab solat sesudah Jumaat)]

Kedua:

Hujah Viceroy:

2) Hadis riwayat Imam Turmudzi : “Bahwa Ibn Mas’ud r.anhu bersolat sebelum Jumaat 4 rakaat dan selepasnya 4 rakaat”.

Pencerahan:

Hadis ini boleh dirujuk dalam Sunan al-Tirmizi, dimana ia merupakan penjelasan al-Imam al-Tirmizi rahimahullah kepada hadis no: 481 (Kitab al-Kumuah, Bab berkenaan solat sebelum Jumaat dan sesudahnya):

وَرُوِي عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الْجُمُعَةِ أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا.

Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin Mas‘ud bahawa beliau bersolat sebelum Jumaat empat rakaat dan selepas Jumaat empat rakaat.

Hadis ini memang masyhur dijadikan hujah, termasuk oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 3, ms. 349. Akan tetapi yang benar, solat yang dilaksanakan oleh Ibn Mas‘ud bukanlah solat sunat qabliyah Jumaat tetapi solat sunat mutlak sebelum Jumaat. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi yang saya nukil sebelum ini. al-Hafiz Abu Syamah turut menjelaskan:

Menurut saya, solat sunat empat rakaat yang sebelum solat Jumaat yang seperti yang didirikan oleh Ibn Mas‘ud adalah semata-mata solat sunat (mutlak) yang biasa beliau laksanakan sehingga imam datang. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Dengan demikian, maka atas dasar apakah anda menyakini bahawa solat sunat yang didirikan oleh Ibn Mas‘ud adalah solat sunat qabliyah Jumaat? [al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, ms. 223]

Ketiga:

Hujah Viceroy:

3) Hadis riwayat Imam Ibn Hibban, dari Abdullah ibn Zubair r.anhu secara marfu’ : Tiada suatu solat melainkan mengiringinya 2 rakaat”.

Pencerahan:

Hadis ini terdapat di dalam Shahih Ibn Hibban – hadis no: 2455 (Kitab al-Solat, Bab solat Nawafil) sebagaimana berikut:

مَا مِنْ صَلاَةٍ مَفْرُوضَةٍ إِلاَّ وَبَيْنَ يَدَيْهَا رَكْعَتَانِ.

Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat.

Berkata penyemak – Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth: “Isnadnya kuat.” Sepertimana kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang saya nukil sebelum ini, hadis ‘Abd Allah bin al-Zubair ini turut menjadi dalil yang masyhur bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Akan tetapi hal ini telah ditolak oleh al-Hafiz al-‘Iraqi:

Juga yang dijadikan dalil adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya dan al-Daruquthni di dalam Sunannya dan selain mereka berdua daripada ‘Abd Allah bin al-Zubair, beliau berkata, bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat” dan hadis ini ditujukan kepada solat Jumaat dan selainnya. Akan tetapi ini adalah pendalilan yang lemah disebabkan ia adalah satu keumuman yang menerima pengkhususan padahal telah disebut sebelum ini apa yang nyata daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka tidak melakukan sedemikian (yakni bersolat dua rakaat qabliyah Jumaat). [Tharh al-Tsarib, jld. 3, ms. 43]

Keempat:

Hujah Viceroy:

4) Syeikh Sulaiman al-Kurdi (pengarang Hasyiah ‘ala Manhajil Qawim Ibn Hajar Haitami) : “Aku melihat dalam Syarah Misykat (kitab Misykat al-Masabiih) oleh Imam Mulla ‘Ali Qari apa yang dinyatakannya bahwa telah datang suatu hadis dengan suatu sanad yang jayyid (baik) sebagaimana diakui oleh Ima ‘Iraqi bahwa Nabi s.a.w bersolat sebelum Jumaat 4 rakaat.

Pencerahan:

Kitab al-Imam Mulla ‘Ali al-Qari rahimahullah (1014H) yang dimaksudkan ialah Mirqat al-Mafatih Syarh Miskat al-Mashabih (tahqiq: Shiddiq Hasan Jamil; Dar al-Fikr, Beirut, 1994) dan kata-kata beliau boleh dirujuk dalam jld. 3, ms. 246: “Dan sungguh telah datang dengan sanad yang baik (jayyid) sebagaimana kata al-Hafiz al-‘Iraqi, bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat sebelum Jumaat empat rakaat.”

Walaubagaimanapun, apabila dirujuk kepada kitab al-Hafiz al-‘Iraqi yang berjudul Tharh al-Tsarib, jld. 3, ms. 41, di dapati kata-kata beliau ialah: “…Hadis Sunan Ibn Majah bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat sebelum Jumaat empat rakaat, dan isnadnya adalah amat lemah (dha‘if jiddan).”

Di sini berlaku dua kemungkinan:

1. Berlaku kesilapan oleh al-Imam Mulla ‘Ali al-Qari ketika menukil kata-kata al-Hafiz al-‘Iraqi.

2. al-Imam Mulla ‘Ali al-Qari sebenarnya merujuk kepada hadis yang lain yang dinilai oleh al-Hafiz al-‘Iraqi di tempat yang lain.

Apapun, seandainya benar hadis tersebut memiliki sanad yang baik, ia bukanlah dalil bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat kerana apa yang dilakukan oleh baginda termasuk solat sunat mutlak sebelum solat Jumaat. Ini sebagaimana yang dilakukan juga oleh para sahabat baginda, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Abu Syamah dan al-Hafiz al-‘Iraqi sebelum ini.

Kelima:

Hujah Viceroy:

5) dalam Sunan al-Turmudzi dinyatakan bahwa Ibn Umar memanjangkan solatnya sebelum Jumaat dan bersolat selepasnya 2 rakaat di rumahnya dan menceritakan bahwa Nabi s.a.w berbuat sedemikian juga.

6) Berkata Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Awnul Ma’bud bahwa Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Al-Khulasah bahwa hadis dia tas (no 5) adalah sahih atas syarat Imam Bukhori dan Muslim. Imam Iraqi juga menyatakan dalam Syarah Turmudzi bahwa isnadnya sahih.

Pencerahan:

Hadis Ibn ‘Umar yang dimaksudkan, maka ia diriwayatkan oleh Nafi’:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ يُطِيلُ الصَّلاَةَ قَبْلَ الْجُمُعَةِ وَيُصَلِّي بَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ وَيُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ.

Adalah Ibn ‘Umar beliau memanjangkan solatnya sebelum Jumaat dan beliau bersolat sesudahnya dua rakaat di rumahnya dan beliau menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sedemikian.

Adapun menyandarkan hadis ini kepada Sunan al-Tirmizi, maka ia adalah satu kekeliruan kerana hadis ini tidak ditemui dalam Sunan al-Tirmizi. Yang benar ia terdapat di dalam Sunan Abu Daud – hadis no: 953 (Kitab al-Solat, Bab solat sesudah Jumaat).

Kemudian berlaku kekeliruan lagi. al-Mubarakfuri tidak mengarang kitab Awnul Ma’bud dan Awnul Ma’bud tidak dikarang oleh al-Mubarakfuri. Yang benar, al-Imam al-Mubarakfuri mengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi manakala ‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud dikarang oleh al-Imam Abi al-Thayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim al-Abadi.

Adapun yang nukilan yang dikemukakan oleh Viceroy, maka ia adalah daripada kitab ‘Awn al-Ma’bud. Sayang sekali, beliau tidak menukil secara penuh perbincangan al-Imam Syams al-Haq dalam bab ini. Saya menyambung kata-kata al-Imam Syams al-Haq selepas beliau menerangkan kesahihan hadis tersebut:

Adapun yang dimaksudkan dalam perkataan Ibn ‘Umar “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sedemikian”, maka yang nyata adalah apa yang dikatakan oleh al-Syaikh Abu Syamah bahawa ia merujuk kepada tindakan (Ibn ‘Umar) bersolat dua rakaat sesudah Jumaat di rumahnya.

Dan berkata al-Hafiz (Ibn Hajar al-‘Asqalani): al-Nawawi berhujah dengan hadis Ibn ‘Umar untuk mensabitkan (solat) sunat sebelum Jumaat dan beliau mengulas bahawa ucapan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sedemikian” ditujukan kepada perkataan “beliau bersolat sesudahnya dua rakaat di rumahnya” dan ini ditunjuki oleh riwayat al-Laits daripada Nafi’ daripada ‘Abd Allah (ibn ‘Umar) yang dikeluarkan oleh (al-Imam Muslim): “Bahawa beliau apabila bersolat Jumaat, beliau meninggalkan masjid dan bersolat dua rakaat di rumahnya. Kemudian beliau berkata, adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan yang sedemikian.”

Adapun perkataannya “Adalah Ibn ‘Umar beliau memanjangkan solatnya sebelum Jumaat”, maka jika yang dimaksudkan adalah sesudah masuknya waktu (Jumaat) maka tidaklah ia sah daripada Rasulullah disebabkan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam keluar (rumah) apabila tergelincirnya matahari lalu baginda sibuk dengan khutbah, kemudian (sibuk) dengan solat Jumaat.

Jika yang dimaksudkan adalah sebelum masuknya waktu (solat Jumaat) maka yang sedemikian adalah solat sunat mutlak dan bukannya solat ratibah (qabliyah Jumaat). Maka hadis tersebut bukanlah hujah untuk mensunatkan solat sebelum Jumaat (qabliyah Jumaat). Bahkan ia adalah anjuran kepada solat sunat mutlak (sebelum masuknya waktu Jumaat). [‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (tahqiq: Shiddiq Hasan Jamil; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), jld. 3, ms. 356]

Demikian penjelasan al-Imam Syams al-Haq. Hadis Ibn ‘Umar memang disahihkan oleh al-Imam al-Nawawi akan tetapi hujah yang diambil daripadanya oleh beliau, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, adalah tidak benar. Yang benar, solat panjang yang didirikan oleh Ibn ‘Umar sebelum solat Jumaat adalah solat sunat mutlak, bukan solat sunat qabliyah Jumaat. Perkataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukil oleh al-Imam Syams al-Haq boleh dirujuk dalam Fath al-Bari, jld. 3, ms. 95.

Jelas bahawa Viceroy hanya menukil daripada kitab ‘Awn al-Ma’bud apa yang selari dengan pendapatnya dan meninggalkan apa yang menyelisihi pendapatnya, lalu kemudian mendakwa itulah pendapat dalam Mazhab al-Syafi’e.

Demikian analisa dan pencerahan ke atas dalil dan hujah yang dikemukakan oleh “Viceroy” sebagai mewakili para imam Mazhab al-Syafi’e yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Dalil dan hujah tersebut tidak saya tolak melainkan berdasarkan penolakan para imam Mazhab al-Syafi’e jua, yakni mereka yang menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat.

 

Bahagian Ketiga: Kesimpulan.

Terdapat beberapa kesimpulan dan iktibar yang dapat kita ambil daripada keseluruhan pencerahan ini:

Pertama: Dari sudut sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

  1. Apabila tergelincirnya matahari menandakan masuknya waktu solat Jumaat, baginda terus masuk ke masjid dan menaiki mimbar. Muazin kemudiannya melaungkan azan dan baginda terus berkhutbah, diikuti dengan solat Jumaat.
  2. Sebelum itu, para sahabat ada melaksanakan solat-solat sunat. Ia bukanlah solat sunat qabliyah Jumaat tetapi solat sunat mutlak yang dilaksanakan sebelum masuknya waktu Jumaat.
  3. Justeru tidak ada solat sunnah qabliyah Jumaat jika dirujuk pada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kedua: Dari sudut Mazhab al-Syafi’e.

  1. Di sisi al-Imam al-Syafi’e rahimahullah (204H), tidak ada solat sunat qabliyah Jumaat. Pendapat beliau dalam bab ini adalah selari dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dimana beliau berkata:

Saya menyukai apabila azan pada hari Jumaat dilaungkan ketika imam sudah memasuki masjid dan beliau duduk pada tempat yang beliau berkhutbah di atasnya dengan posisi yang agak tinggi seperti kayu atau pelepah kurma, mimbar, pelantar atau selainnya, atau di atas tanah itu sendiri. Apabila (imam telah) melakukan (sedemikian), muazin melaungkan azan. Apabila telah selesai, imam berdiri lalu menyampaikan khutbah. Tidak ada tambahan ke atas itu. [al-Umm (tahqiq: Ahmad Badr al-Din; Dar al-Qutaibah, 1996), jld. 3, ms. 60.

  1. Sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan dipraktikkan oleh para sahabat, al-Imam al-Syafi’e juga menyukai agar orang-orang yang sampai awal ke masjid melaksanakan solat-solat sunat mutlak sehinggalah imam menaiki mimbar. Setelah menerangkan kelebihan orang yang pergi awal ke masjid sempena solat Jumaat, beliau berkata:

Apabila orang ramai pergi melaksanakan solat Jumaat, hendaklah mereka bersolat sehinggalah imam menaiki mimbar. Apabila imam berada di atas mimbar, mereka yang mendirikan solat dua rakaat dan berkata-kata hendaklah berhenti supaya imam dapat memulakan khutbah. Apabila imam berkhutbah, mereka diam memerhatikannya. [al-Umm, jld. 3, ms. 73]

  1. Kemudian berlaku penambahan di kalangan sebahagian tokoh Mazhab al-Syafi’e, dimana mereka menambah solat sunat qabliyah Jumaat. al-Imam al-Nawawi menyebut:

Berkenaan sunat sebelum Jumaat dan sesudahnya: Disunatkan untuk bersolat sebelumnya dan sesudahnya, yakni dua rakaat sebelumnya dan dua rakaat sesudahnya manakala yang lebih sempurna adalah empat rakaat sebelumnya dan empat rakaat sesudahnya. Ini secara ringkas. Adapun secara terperinci, maka berkata Abi al-‘Abbas ibn al-Qas (335H) di dalam (kitabnya) al-Miftah dalam bab solat Jumaat: “Disunatkan untuk sebelumnya empat rakaat dan sesudahnya empat rakaat.” Berkata pengarang (kitab) al-Tahzib (iaitu al-Imam al-Baghawi, 516H) dalam bab solat sunat sesudah solat Jumaat, dimana ia adalah seperti (solat sunat) sesudah solat Zohor. ……Berkata pengarang (kitab) al-Bayan (iaitu al-Imam al-‘Imrani, 558H): “Dan demikian juga didirikan solat sebelumnya (sebelum solat Jumaat) seperti apa yang didirkan sebelum Zohor.” [al-Majmu Syarh al-Muhazzab, jld. 3, ms. 348]

Adapun di sisi al-Imam al-‘Imrani rahimahullah, maka beliau mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat kepada solat sunat qabliyah Zohor dengan kaedah qiyas. Beliau tidak menyandarkan pensabitan tersebut kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun perkataan al-Imam al-Syafi’e rahimahullah. Rujuk kitab beliau al-Bayan (tahqiq: Qasim Muhammad; Dar al-Minhaj), jld. 2, ms. 595.

  1. Kemudiannya sebahagian imam Mazhab al-Syafi’e menolak penambahan tersebut. Bagi mereka yang benar adalah tidak ada solat sunat qabliyah Jumaat sepertimana yang ditunjuk oleh sunnah yang sahih dan perkataan asal al-Imam al-Syafi’e.
  2. Hasilnya, para imam Mazhab al-Syafi’e terbahagi kepada dua dalam persoalan solat sunat qabliyah Jumaat, dengan yang pertama mensabitkannya manakala yang kedua menafikannya.

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa hukum solat sunat qabliyah Jumaat sebenarnya telah melalui satu proses “evolusi” di dalam Mazhab al-Syafi’e. Proses “evolusi” ini akhirnya melahirkan dua pendapat:

      • Pendapat pertama mensabitkannya dan pada zahirnya kelihatan inilah yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’e.
      • Pendapat kedua menafikan kesabitannya dan ini adalah pendapat yang kuat (rajih) dan benar, sekalipun pada zahirnya ia kelihatan agar terselindung. Dikatakan kuat kerana hujah-hujah para imam Mazhab al-Syafi’e yang menafikannya adalah jauh lebih kuat daripada yang mensabitkannya. Dikatakan benar kerana ia bertepatan dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya radhiallahu ‘anhum.

Ketiga: Dari Sudut Berinteraksi Dengan Ilmu Agama.

Manfaat yang ingin disampaikan dalam pencerahan ini tidak sekadar persoalan sabit atau tidak solat sunat qabliyah Jumaat tetapi tentang bagaimana kita berinteraksi dengan ilmu-ilmu agama.

Di luar sana terdapat sebahagian orang yang angkuh dan ujub dengan dirinya sendiri sebagai konon duduk dalam jurusan agama, memiliki guru dalam beragama, mahir dalam bahasa Arab dan pembela Mazhab al-Syafi’e. Pada waktu yang sama mereka meremehkan orang lain sebagai kononnya bukan dari aliran agama, tidak memiliki guru, tidak tahu berbahasa Arab, tidak memiliki apa-apa mazhab dan hanya bertaqlid buta kepada tokoh tertentu.

Pencerahan ini memaparkan satu contoh terbaik dimana orang sedemikian sebenarnya tidak sebagaimana yang dia war-warkan dengan dirinya. Kononnya memiliki guru akan tetapi gurunya tidak mengajar beliau akhlak yang baik dalam membicara agama. Kononnya mahir berbahasa Arab tetapi kemahiran tersebut hanya digunakan untuk membaca pendapat yang dikehendakinya sahaja. Kononnya membela Mazhab al-Syafi’e padahal yang dibela hanya apa yang selari dengan citarasanya. Kononnya tidak mengamalkan budaya taqlid padahal kekeliruan dalam mengemukakan hadis menunjukkan beliau juga hanya bertaqlid.

Nasihat saya kepada para pembaca sekalian, berwaspadalah kepada orang-orang seperti di atas. Ukuran yang mudah dalam hal ini ialah memerhatikan akhlak mereka dalam membicarakan sesuatu persoalan agama. Ini kerana orang yang memiliki ilmu yang benar, keilmuan tersebut akan terpancar melalui setiap tingkah lakunya, baik perkataan, penulisan dan perwatakan.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s