Manhaj Ahl al-Sunnah Dalam Menghukum Pengamal Bid’ah

Oleh Hafiz Firdaus

Perkara penting yang selalu ditinggalkan ketika membahas masalah bid’ah ialah Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam menghukum pengamal bid’ah. Insya-Allah artikel ringkas ini akan cuba menjelaskannya.

Sebelum itu ada beberapa poin penting yang perlu digariskan:

 

Pertama:

 

Terdapat perbezaan antara amalan bid’ah dan pengamal bid’ah. Amalan bid’ah merujuk kepada perbuatan, pengamal bid’ah merujuk kepada orang yang membuat amalan bid’ah tersebut.

 

Kedua-duanya jauh berbeza antara satu sama lain. Seseorang yang melakukan amalan bid’ah tidak semestinya seorang pengamal bid’ah. Ini kerana amalan bid’ah diukur berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah manakala pengamal bid’ah diukur berdasarkan pengetahuan dan kesengajaan tindakannya. Ini akan dihuraikan seterusnya.

 

Kedua:

 

Amalan bid’ah itu pula terbahagi kepada dua kategori, pertama adalah yang disepakati kebid’ahannya, kedua adalah yang diperselisihkan kebid’ahannya.

 

Contoh amalan bid’ah yang disepakati ialah tawaf di kubur si fulan dan bersolat hanya dengan niat tanpa perbuatan.

 

Amalan bid’ah yang diperselisihkan ialah apabila kedua-dua pihak memiliki dalil, yang satu berpendapat ianya sunnah, yang satu pula berpendapat ianya bid’ah. Contohnya ialah berzikir bersama-sama selepas solat berjamaah, sebahagian berpendapat yang sunnah ialah berzikir sendiri-sendiri dengan perlahan, sebahagian lagi berpendapat berzikir bersama dengan suara yang boleh didengar.

 

Untuk perbincangan seterusnya ini, kita hanya rujuk kepada kes bid’ah yang disepakati.

 

Bagi menghukum seorang pengamal bid’ah, Ahl al-Sunnah mengambil kira 2 faktor utama:

 

Pertama: Ilmu pengetahuan. Iaitu pengetahuan orang tersebut akan kriteria membezakan antara sunnah dan bid’ah, termasuk kemampuan membezakan antara hadis sahih dan dhaif serta kaedah-kaedah usul fiqh dalam memahaminya.

 

Jika seseorang itu tidak mampu dalam hal ini, diperhatikan pula sama ada ketidak mampuannya itu adalah sengaja atau tidak sengaja. Orang yang tidak sengaja ialah mereka yang memang akalnya kurang cerdas atau orang yang duduk di pendalaman atau orang yang ingin belajar tetapi tidak ada sumbernya.

 

Orang yang sengaja ialah mereka yang memiliki kecerdasan dalam menguasai ilmu-ilmu dunia akan tetapi sengaja membodohkan diri dalam ilmu agama atau orang menguasai ilmu-ilmu agama tetapi sengaja menyelewengkan fahamannya.

 

Kedua: Kesengajaan bertindak. Iaitu tindak tanduk seseorang dalam melakukan amalan bid’ah, adakah ia kerana pilihannya atau paksaan, adakah kerana kesengajaannya atau tidak sengaja, adakah kerana kesedarannya atau tidak sedar, demikianlah seterusnya.

 

Berdasarkan 2 faktor ini, Ahl al-Sunnah mengkategorikan pengamal bid’ah kepada 4 kumpulan:

 

Pertama: Tidak berpengetahuan dan tidak sengaja.

 

Iaitu mereka yang benar-benar tidak tahu dan tidak sengaja dalam melakukan sesuatu amal bid’ah kerana tidak tahu ia adalah bid’ah. Mereka melakukan amal tersebut ikhlas kerana Allah dan ingin menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) serta mengharapkan ganjaran dan keredhaan-Nya.

 

Contohnya ialah orang-orang tua kita sebelum ini yang berpuasa sunat sempena 15 Syaban. Mereka tidak memiliki ilmu untuk membezakan sama ada hadis-hadis yang menganjurkannya itu sahih atau tidak. Mereka pergi belajar akan tetapi orang yang mengajar mereka juga tidak memiliki ilmu dalam bidang hadis, lalu mereka juga menerangkan adalah sunnah yang baik untuk berpuasa pada 15 Syaban. Lalu mereka semua berpuasa.

 

Puasa 15 Syaban tersebut adalah bid’ah akan tetapi orang yang berpuasa itu tidak dikira sebagai pengamal bid’ah. Malah mereka mendapat pahala atas amalan mereka tersebut.

 

Yang terakhir, iaitu tetap mendapat pahala bagi satu amalan yang tidak diketahui sunnah atau bid’ah, diukur berdasarkan kriteria berikut:

 

[a] Jika amalan tersebut memiliki dasar di dalam agama, maka dia mendapat pahala.

 

[b] Jika amalan tersebut tidak memiliki dasar di dalam agama, maka dia tidak mendapat pahala dan tidak juga mendapat dosa.

 

Contoh bagi kriteria [a] adalah sebagaimana kes puasa 15 Syaban di atas. Contoh bagi kriteria [b] ialah membuat binaan di atas kubur kerana tidak tahu adanya larangan membuat binaan. Lalu dia tidak mendapat pahala dan tidak juga mendapat dosa.

 

Kedua: Tidak berpengetahuan dan sengaja.

 

Iaitu orang yang sengaja membuat amalan bid’ah tanpa memiliki pengetahuan yang mendalam berkenaan ukuran membezakan antara sunnah dan bid’ah. Dia membuat pelbagai amalan baru dan mengetahui secara umum bahawa ia adalah bid’ah, tetapi baginya ia adalah “bid’ah hasanah” dan memiliki niat yang ikhlas demi kebaikan agama dan umat.

 

Bagi orang kes kedua ini, diperhatikan tahap pengetahuannya. Jika dia telah berusaha semampu mungkin tetapi masih tidak tercapai ke tahap yang sepatutnya, maka dia tidak dikira sebagai pengamal bid’ah. Namun amalannya itu tetap perlu diperbetulkan.

 

Jika dia belum berusaha semampu mungkin, maka hukum ditangguhkan sehingga disampaikan kepadanya dengan hujah yang jelas lagi yakin tentang kesalahannya itu.

 

Kembali kepada contoh puasa sunat 15 Syaban, ramai ustaz dan ustazah yang masih mengajarnya sehingga hari ini kerana mereka tidak menguasai ilmu hadis dan pembeza antara bid’ah yang dilarang dan bid’ah yang dibolehkan.

 

Maka bagi yang mengajar puasa sunat 15 Syaban dan pengamalnya, mereka tidak dikira sebagai pengamal bid’ah. Puasa mereka mungkin diberi pahala dan mungkin tidak – bergantung kepada sengaja atau tidak usaha mereka mencari ilmu pengetahuan.

 

Ketiga: Berpengetahuan dan tidak sengaja.

 

Iaitu mereka yang berpengetahuan secara mendalam tentang ilmu-ilmu agama tetapi secara tidak sengaja melakukan amalan bid’ah.

 

Tidak sengaja ini wujud dalam beberapa bentuk:

 

[a] Silap atau kurang tepat dalam berijitihad. Ini umpama beberapa tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berijtihad bahawa nas-nas al-Sifat perlu ditakwil. Tujuan ijtihad mereka adalah benar, iaitu mensucikan Allah dari kesamaan dengan makhluk. Akan tetapi ijtihad mereka tidak tepat kerana takwilan mereka itu tetap juga membawa kepada kesamaan dengan makhluk. Lebih dari itu ijtihad mereka tidak selari dengan petunjuk jelas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta pegangan generasi Salaf termasuk para imam mazhab yang empat. Mentakwil nas-nas al-sifat adalah perbuatan bid’ah tetapi mereka tidak dipanggil sebagai pengamal bid’ah.

 

[b] Dipaksa melakukan bid’ah. Contohnya ialah sekian ramai anak muda kita yang belajar agama sehingga peringkat ijazah atau lebih tinggi. Mereka mengetahui segala yang berkaitan dengan sunnah dan bid’ah. Akan tetapi apabila kembali ke Malaysia mereka bertugas di bawah institusi yang dipimpin oleh orang yang tidak faham agama. Nak tak nak terpaksa ikut juga kerana perlukan kerjaya untuk bayar hutang biasiswa pengajian, mendirikan keluarga, menyara ibubapa dsbgnya. Mereka tidak memiliki jatidiri yang tinggi untuk menjadi pendakwah bebas atau untuk berdialog terus dengan ketua-ketua mereka. Orang sebegini terpaksa melakukan bid’ah atau bersubahat dengannya akan tetapi mereka bukan pengamal bid’ah.

 

[c] Sengaja melakukan bid’ah atau ikut serta kerana menimbang antara dua perkara mana yang lebih utama (prioriti) demi mencapai manfaat yang lebih besar di masa yang akan datang. Orang sebegini juga tidak dikira sebagai pengamal bid’ah.

 

Keempat: Berpengetahuan dan sengaja.

 

Iaitu mereka yang memiliki pengetahuan yang mendalam tentang ilmu-ilmu agama dan segala yang berkaitan dengannya. Akan tetapi dia tetap sengaja melakukan bid’ah DAN DIA TAHU ITU ADALAH BID’AH. Hal ini dilakukan kerana nafsu, menjaga kedudukan, ego, mengejar keuntungan duniawi dan sebagainya.

 

Orang kes keempat ini, hanya kes keempat ini, dia adalah pengamal bid’ah dan digelar sebagai Ahli Bid’ah.

 

Demikian 4 kategori yang membezakan antara amalan bid’ah dan pengamal bid’ah. Hendaklah para pembaca sekalian benar-benar memahami dan membezakan antara 4 kategori ini sebelum menghukum seseorang itu sebagai pengamal bid’ah atau Ahli Bid’ah.

 

Yang afdal lagi benar ialah jangan menghukum tetapi menasihati dan menegur. Ini kerana kita manusia hanya mampu menilai dari sudut zahir perbuatan orang tersebut, tidak dari sudut kemampuan ilmunya dan kesengajaan perbuatannya. Oleh itu jadilah pendakwah dan bukan penghukum. Terangkanlah di mana salah silapnya dengan harapan orang tersebut menyedari kesalahannya dan membetulkannya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s