Kedudukan Hadis Taubat Nabi Adam alahi salam.

Assalamualaikum warahmatullah

Artikel ini adalah jawapan kepada posting di:

http://groups.yahoo.com/group/fikrah/message/20005

Asal perbincangan merujuk kepada sebuah hadis daripada Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu bahawa diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.:Ketika Adam a.s. telah terlanjur berbuat dosa, dia berdoa:

“Wahai Tuhan aku, aku memohon kepada-Mu dengan haq Muhammad untuk mengampuni dosa aku.”

Allah berfirman: “Bagaimana engkau mengetahui Muhammad padahal Aku belum menciptanya ?” Adam berkata: “Wahai Tuhan aku, sesungguhnya setelah Engkau mencipta aku dengan Tangan Kamu dan Engkau meniupkan Ruh Kamu kepada Aku, ketika aku mengangkat kepala aku, aku melihat pada tiang-tiang Arsy ada tulisan “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.” Maka tahulah aku bahawa Engkau tidak menyandarkan kepada nama Engkau kecuali makhluk yang paling Engkau cintai.

Allah berfirman: “Engkau benar hai Adam ! Sesungguhnya dia (Muhammad) adalah makhluk yang paling Aku cintai. Berdoalah kepada Aku dengan haq-nya, sungguh aku telah mengampunkan engkau. Dan seandainya bukan kerana Muhammad pasti Aku tidak mencipta kamu.

Demikian hadis dengan lafaz al-Hakim. Sebelum dimulakan respon, diminta para netters bezakan bahawa hadis di atas memiliki dua petunjuk:

Pertama:
Tindakan Nabi Adam a.a. yang berdoa dengan bertawassul dengan haq Muhammad.

Kedua:
Kemulian Nabi Muhammad s.a.w. sehingga nama beliau telah tercatit sejak awal di alam Syurgawi dan tidak dicipta apa-apa melainkan kerana Muhammad.

Persoalan yang dibincangkan ialah petunjuk pertama dan bukannya kedua. Akan tetapi SQ menumpukan perhatian kepada petunjuk kedua untuk membenarkan petunjuk yang pertama. Ini salah satu daripada permainan kotor beliau yang sedia dimaklumi oleh semua ahli veteran fikrah net.

——–

Saif Qati (singkatan SQ):
1) Setakat ini yang ana jumpai hadith ini dalam kitab-kitab Al-Mustadrak oleh Imam Hakim, Majma Zawaid oleh Imam Nuruddin al-Haitsami (guru kepada Ibn Hajar Asqalani), Musnad Firdaus oleh Imam Dailami dan Dalail Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi.

HF:
Seperti yang SQ katakan:

[1] al-Hakim dalam al-Mustadrak (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1990), jld 2, ms 672, no: 4228.

[2] Majma al-Zawaaid oleh al-Haithami (Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut 1407), jld 8, ms 253. Dan (Dar al-Fikr, Beirut 1994), jld 8, ms 453-454, no: 13917.

[3] al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubawah, seperti sedia maklum.

Akan tetapi hadis bertawassulnya Adam kepada Muhammad tidak disebut oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus. Beliau ada menyebut 6 kali hadis yang seumpama, semuanya hanya pada menerangkan tercatitnya nama Rasulullah s.a.w. dipintu syurga. Lihat al-Firdaus bi Ma’thur al-Khitab (tahqiq: al-Sa‘id Basuini Zaghlul; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1986).

Selain itu juga dikeluarkan oleh

[4] al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath (Dar al-Fikr, Amman 1999), jld 5, ms 36, no: 6506; dan al-Mu’jam al-Sagheir (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.), jld 2, ms 82-83.

Semua di atas melalui jalan ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam dan beliau terkenal sebagai perawi yang dha’if.

————–

SQ:
Hadith ini disebut juga oleh Maulana Zakariyya al-Kandahlawi dalam kitabnya Fadhilat Dzikir.

Beliau mengatakan : Hadith ini dikeluarkan oleh Al-Tibrani dalam (Mujam) Al-Saghir dan Al-Hakim dan Abu Nuaim dan Al-Baihaqi, kedua-duanya dalam kitab Dalail (Nubuwwah) [SQ : Masing-masing Imam Baihaqi dan Imam Abu Nuaim mengarang kitab yang bertajuk Dalail Nubuwwah ] dan Ibn Asakir dalam Al-Durr dan di dalamnya terdapat (rawi ) yang tidak mereka kenali. Dan aku (M. Zakariyya) berkata : dan disokong bahagian akhir hadith ini [SQ: iaitu sekiranya dia (Rasulullah s.a.w) tidak ada maka sudah pasti Aku tidak menjadikan engkau] dengan sebuah hadith masyhur iaitu Lau laaka maa khalaqtul aflaak ertinya : Kalau tidak kerana engkau wahai Muhammad s.a.w tidak akan kuciptakan kejadian ini. Dan telah berkata (Mulla Ali) al-Qari dalam kitabnya Al-Maudhuat al-Kabir hadith Lau laaka.. itu maudhu tetapi MAKNANYA SAHIH. Manakala bahagian awal hadith ini [SQ : hadith tawassul Nabi Adam] disokong oleh bukan hanya satu riwayat yang menyatakan bahawa nama Rasulullah s.a.w itu tertulis di atas Arasy dan di daun-daun Syurga sebagai mana telah luas bahasannya oleh Imam Suyuti dalam kitab Al-Laali dan diluaskan bahas atas syawahid-syawahidnya dalam kitab Tafsirnya pada surah Alam Nasyrah [SQ: Mungkin maksud M. Zakariyya kitab tafsir Al-Durrul Mantsur oleh Imam Al-Suyuti].

 

{Selesai kalam M. Zakariyya}

HF:
Benar, lihat kitab Fadail ‘Amal (Fazal Muhammad Bros., Penang, M’sia), Kitab Fadail Dzikir, ms 182, no:28.

Saya telah mencari dalam kitab Dadail al-Nubuwwah oleh Abu Nu‘aim al-Asbahani (Dar al-Nafaes, Beirut 1999) dengan merujuk kepada indeks hadis dan indeks perawi hadis (Umar al-Khattab) tetapi tidak menemuinya. Namun hal ini disebut oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa, Kaherah 2001), jld 2, ms 150-151 lengkap dengan sanadnya, dan ia adalah juga melalui jalan ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam yang Dha’if.

Rujukan kepada kitab al-Durru al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2000), jld 6, ms 615-616, (tafsir bagi ayat ke-4 surah Alam Nasyrah) mendapati yang dikemukakan ialah hadis-hadis serta athar-athar tentang kedudukan nama Muhammad di sisi nama Allah, di mana apabila disebut nama Allah maka disebut juga nama Muhammad.

Ini adalah penguat yang dimaksudkan oleh al-Khandalavi sebagai MENYOKONG PETUNJUK KEDUA HADIS tentang ketinggian nama Muhammad. Ia bukanlah penguat bagi doa Adam a.s. yang bertawassul kepada Muhammad s.a.w. sebagaimana penyelewengan SQ dalam kurungan di atas.

——————-

SQ:
2) Dalam kitab Mafahim Yajibu an Tusahhah juga di bahas panjang lebar tentang hadith ini. Yang peliknya kawan kita yang merujuk terjemahan Mafahim tu tidak pulak menceritakan bahasan ulama lain yang disebut dalam Mafahim itu. Mungkin dalam kitab yang diterjemah itu tak disebut kot?

HF:
Saya tidak membahasnya kerana OM tidak bertanya tentangnya. Apa yang OM tanya saya jawab, tidak lebih dan tidak kurang.

Ya betul, saya rujuk edisi terjemahan.

———–

SQ:
Dalam edisi Arabnya (MS:119, Edisi Dairah Awqaf Dubai) Al-Imam Syeikh Muhammad bin Alawi al-Hasani menyatakan : Imam Al-Hakim mentakhrijkan hadith itu dan mensahihkannnya, dan diriwayatkan oleh Imam Al-Suyuti dalam kitabnya Khasaisul Nubuwwah dan beliau juga mensahihkannya.

Dalam nota kaki terhadap kenyataan di atas, dikomentar seperti berikut : apabila Al-Hakim mengatakan Sahih sesuatu hadith, ini bermaksud beliau telah mentashihkan hadith tersebut, dan pentashihan ini dari beberapa segi :

1) Bahawa Al-Hakim telah menyebut dalam kitab Mustadraknya bahawa beliau mentakhrij hadith sahih atas syarat-syarat beliau sendiri, maka haruslah bagi orang-orang yang menaqal hadith dari beliau menyebut Disahihkan oleh Hakim.

2) Bahawa ketetapan dalam ilmu usul hadith bahawa apabila seseorang Hafiz Yang Mutamid (diperpegangi Itimadnya/ijtihadnya) apabila menghukumkan sesuatu sanad dengan sahih maka harus diperpegangi pensahihan itu juga ke atas matan walaupun keduanya tidak saling berlaziman. Ini dijelaskan lagi oleh commentator dengan menaqal qaedah usul hadith dari kitab Alfiyah Iraqi , Alfiyah Suyuti dan kitab Talatul Anwar. [SQ: Sila rujuk Fathul Mughith Iraqi, Fathul Mughith Sakhawi dan Tabsirah wal Tadhkirah karangan Imam Zakaria Ansari yang ketiga-tiganya merupakan syarah bagi Alfiyah Iraqi]

HF:
Nukilan dan pembenaran SQ di atas jelas menunjukkan kejahilan beliau dalam ilmu hadis dan sikap taqlid buta kepada seseorang yang jahil juga. Perhatikan bagaimana Muhammad bin Alwi telah dinobatkan dengan title “imam”.

Al-Hakim adalah tokoh dalam bidang hadis, khasnya dalam bidang ilmu mustalah dan periwayatan hadis. AKAN TETAPI BELIAU BUKAN PAKAR DALAM ILMU MENGKRITIK PERAWI HADIS (al-Jarh wa al-Ta’dil). Oleh itu pensahihan dan pendha’ifan beliau ke atas sesuatu hadis tidak boleh di ambil kira, atau paling minimum tidak boleh dijadikan sumber muktamad. Kerana itu hampir semua ahli hadis akan menilai semua pensahihan dan pendha’ifan beliau terhadap sesebuah hadis yang dinilai hukumnya oleh al-Hakim.

Ini bukanlah bererti kita tidak menghormati Imam al-Hakim, tetapi ia adalah meletakkan kehormatan kepada tempat yang layak baginya.

——-

SQ:
3) Bahawa para ulama yang menaqal hadith dari Imam Al-Hakim berkata : Telah mensahihkan hadith ini oleh Al-Hakim, seperti Al-Qastalani, Al-Zurqani, Al-Subki dan cara ini merupakan cara yang memang dipakai dalam manhaj kebanyakan para muhaddithin.

HF:
Di atas adalah dusta. Al-Qastalani dan al-Zurqani tidak mensahihkan hadis di atas. Sila rujuk Syarah al-‘Allamah al-Zarqani ‘ala al-Mawahib al-Laduniyyah bi al-Minhaj al-Muhamadiyyah li al-‘Allamah al-Qastalani (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-‘Aziz; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996), jld 1, ms 119-120.

Berkata al-Qastalani setelah mengemukakan hadis di atas: “Riwayat al-Baihaqi daripada dalil-dalilnya (tentang sifat Nubuwwah – HF) daripada hadis ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam dan telah berkata (al-Baihaqi): “Bersendirian (tafarrud) padanya ‘Abd al-Rahman.” Dan telah diriwayatkan oleh al-Hakim dan (dia) mensahihkannya.

Di sini jelas bahawa al-Qastalani tidak mensahihkan hadis ini tetapi beliau hanya merujuk dan menukil penilaian al-Hakim.

Seterusnya al-Zarqani dalam syarahnya telah menerangkan kedha’ifan yang terdapat pada ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam tanpa berkata apa-apa tentang penilaian al-Hakim.

Adapun al-Subki, beliau bukanlah ahli hadis dan kemungkinan besar beliau hanya bertaklid kepada penilaian al-Hakim.

————

SQ:
Syeikh Muhammad bin Alawi berkata lagi : Dan telah diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Dalail Nubuwwah sedangkan beliau tidak meriwayatkan hadith-hadith maudhu SEBAGAIMANA BELIAU (AL-BAIHAQI) SENDIRI MENJELASKAN DALAM MUQADDIMAH KITABNYA [SQ:Kalimah ini conveniently telah dilupakan/ditinggalkan oleh kawan kita itu. Dan kata-kata Imam Baihaqi ini didapati dalam kitabnya Dalail Nubuwwah (MS:39, Dar Fikr, 1997)]

HF:
Sekali lagi SQ membuktikan kejahilannya dengan bertaklid buta kepada orang yang jahil juga. Sememangnya al-Baihaqi tidak menriwayatkan hadis maudhu’ sebagaimana juga lain-lain ahli hadis, mereka tidak akan sengaja meriwayatkan hadis maudhu’.

Ada sesiapa yang mengenali seseorang imam hadis yang sengaja meriwayatkan hadis palsu dalam kitab mereka ?

Di sini jelas terdapat sikap kebejatan minda Muhammad bin ‘Alwi, kerana menukil kata-kata al-Baihaqi tersebut sebagai hujah membawa konsikuensi bahawa lain-lain imam hadis yang tidak menyebutnya dalam muqaddimah kitab mereka sengaja meriwayatkan hadis maudhu’.

————

SQ:
Dalam nota kaki disebut : Imam Zurqani mensahihkan hadith ini dari beberapa wajah dalam kitabnya Al-Mawahib Ladunniyyah yang diantaranya :

Jawab Imam Malik terhadap Abu Jafar ketika disoal tentang menghadap (kubur) Nabi s.a.w ketika berdoa dan tidak dipalingkan wajah dari Baginda s.a.w iaitu : Bagaimana patut dipalingkan wajah dari Baginda s.a.w sedangkan Baginda adalah wasilah mu dan wasilah bapak mu Adam a.s ?

Ini diriwayatkan oleh Qadi Iyadh dalam kitab Al-Syifa. Al-Zurqani menganggap sanadnya tidak mengapa (laa basa bihi) manakala Qadhi Iyadh menganggapnya sahih.

HF:
Saya memusykili riwayat di atas. Ia memang tidak ada dalam edisi terjemahan yang saya miliki. Harap dapat kemukakan secara terperinci sanad dan matannya.

Bagaimana mungkin Imam Malik bin Anas menganjurkan seseorang itu berdoa menghadap kubur Nabi s.a.w. kerana jika berdoa menghadapi kubur atas tujuan wasilah, bererti dia berdoa dengan bertawassul kepada jasad Muhammad dan bukan kemuliaannya. Kemuliaan Rasulullah s.a.w. tidak memiliki tempat tertentu. Ini adalah sesuatu yang ditolak termasuk oleh para tokoh yang membolehkan tawassul.

————

SQ:
Jelas dari di atas, para ulama menganggap hadith tersebut sahih dari sisi maknanya walaupun sanadnya mengandungi rawi yang dhaif.

HF:
Makna yang disahihkan ialah petunjuk kedua hadis, iaitu tentang kemuliaan dan ketinggian darjat Muhammad s.a.w. yang telah sedia wujud sejak zaman Adam a.s. Ia tidak berkaitan langsung dengan petunjuk pertama hadis, iaitu tindakan Adam a.s. yang bertawassul kepada Muhammad s.a.w. dalam doanya.

————

SQ:
2) Hukum bertawassul dengan bi jahi Nabi

Masalah ini dalam bab tawassul telah jumhur ulama mengatakan sunat. Bahkan sebahagian sahabat bertabarruk dengan barangan peninggalan Nabi s.a.w seperti yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan sebuah karangan baru oleh Mufti Brunei yang bertajuk Bertabarruk dengan atsar-atsar Nabi s.a.w.

Jadi kalau bertabarruk dengan barangan peninggalan Nabi s.a.w pun disunatkan maka apatah lagi dengan diri Baginda ataupun jah baginda s.a.w.

HF:
Contoh terbaik aplikasi qiyas yang batil.

Bertabarruk bererti mengambil berkat dan ia jelas wujud dalam sunnah para sahabat yang sahih. Tetapi yang dibincangkan di sini ialah bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. di dalam doa. Di manakah kesamaan illat antara bertabarruk dan bertawassul hingga boleh digunakan qiyas ke atasnya ?

Kata-kata SQ: “Jumhur ulama’ mengatakan sunat” hanyalah satu fitnah melainkan didatangkan dalil dan hujah serta diikuti kiraan secara statistik akan siapa ulama’ tersebut dan di sudut mana kejumhuran mereka.


———–

SQ:
3)Masalah Mentahqiq kalam Ulama

Ini ana nak tambah sikit. Kita hairan dengan sikap HF yang suka second guess kalam ulama. Ini jelas sangat dari banyak penulisan beliau contohnya dalam masalah niat terdahulu dan sekarang ni pulak tentang Imam Baihaqi.

Beliau mengakui tidak mempunyai kitab Dalail Nubuwwah, tetapi dengan senang hati beliau membuat tanggapan tentang apa yang mungkin Imam Baihaqi fikirkan. Ini jahat adab terhadap ulama. Apatah lagi kalau kita nak membangkang apa yang dibawa oleh ulama itu.

Dalam masalah hadith ini, Imam Baihaqi telah menyatakan pada muqaddimah kitabnya bahawa kandungan kitab Dalail Nubuwwah tidak mengandungi hadith maudhu dan beliau juga membahaskan penerimaan ulama terhadap hadith dhaif . Memang dalam kitabnya yang lain Sunan al-Kubra beliau mengklasifikasikan rawi Abd Rahman sebagai seorang yang dhaif. Tetapi qaedah jumhur muhaddithin tidak memutuskan dhaifnya sesuatu hadith itu menunjukkan bahawa hadith itu ditolak. Perlulah dilihat syawahid atau tabi’ yang boleh menguatkan sesuatu hadith itu.

Jadi yang jelas dari kata-kata Imam Baihaqi dalam muqaddimahnya bahawa penggunaan hadith yang mengandungi kecacatan yang menyebabkan ianya tidak mencapai status hasan atau sahih, tidak semestinya ditolak apabila maknanya sahih. Dan nyata hadith ini telah diterima oleh jumhur ulama’ dan bertawassul dengan baginda adalah disunatkan.

Ini bertentangan dengan qaedah Wahhabiah yang menolak semua hadith dhaif sebagai hadith mardud (ditolak) dan ini adalah qaul terlalu dhaif.

HF:
Di atas adalah sifat lazim SQ di mana beliau suka memfitnah tanpa memahami sebenar kata-kata orang yang dia fitnahkan. Para netters boleh rujuk jawapan saya yang sebenar dalam arkib fikrah net no: 20005, lihat di bahagian akhir sekali.

Tidak ada fitnah, tidak ada jahat adab dan apa-apa yang seumpama.

Sebenarnya dalam kata-kata SQ sendiri terdapat jawapan yang melantunkan pedang ke arah mukanya sendiri. Pendek kata, beliau menegaskan bahawa sekalipun sanad sesuatu hadis adalah dha’if, ia tetap dapat diterima jika matannya (teks/maksud hadis) adalah benar.

Sebenarnya yang mencacatkan hadis di atas sehingga menyebabkan ia tertolak (mardud) bukanlah pada sanadnya tetapi pada matannya.

Penolakan dari sudut matan adalah kerana:

[1] Hadis ini membicarakan hal yang berlaku di alam ghaib, ketika Allah Ta’ala baru mencipta Adam a.s. Bererti ia duduk dalam bab aqidah dan tidak boleh diterima pakai matan hadis dalam bab aqidah yang memiliki masalah dalam sanadnya.

[2] Ketika Adam bertawassul kepada Muhammad s.a.w., Allah bertanya bagaimana Adam mengetahui tentang Muhammad ? Ini adalah mustahil kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Mengetahui, mengetahui apa yang diketahui dan apa yang tidak diketahui oleh makhluk ciptaan-Nya. Pertanyaan di dalam hadis di atas mengisyaratkan ketidak-tahuan Allah dan ini pasti sesuatu yang mustahil.

[3] Dalam surah al-Baqarah ayat 31 Allah ‘Azza wa Jalla menerangkan bahawa Dia telah mengajar Adam a.s. SEMUA nama-nama. Keumuman ayat ini meliputi semua nama-nama yang wujud di alam syurgawi ketika itu melainkan ada nas lain yang sahih yang mengecualikan sebahagian nama.

Selain itu pengajaran nama-nama ini berlaku sebelum Adam terpengaruh dengan Iblis, yakni sebelum Adam berdoa dengan bertawassul kepada Muhammad s.a.w.

Justeru jika Allah telah mengajar Adam semua nama-nama, maka bagaimana mungkin Allah bertanya bagaimana Adam mengetahui nama Muhammad s.a.w. ?

[4] Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah menerangkan kepada kita lafaz doa Nabi Adam a.s. ketika beliau bertaubat. Doa ini kita semua telah hafal, iaitu sebagaimana yang tercatit di dalam al-Qur’an:

“Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.” [al-A’raaf 7:23]

Dalam doa ini Adam a.s. tidak melakukan apa-apa tawassul kepada sesiapa melainkan kepada sifat Allah yang Maha Pengampun dan Maha Pemberi Rahmat.

Empat sebab di atas sekali gus menjatuhkan hadis di atas ke tangga batil dan tertolak kerana menyalahi nas-nas yang sahih. Justeru hukum sebenar hadis di atas adalah dha’if sanadnya dan batil matannya, sekaligus tertolak.

Pihak yang ingin membenarkan tawassul dengan kemulian Muhammad s.a.w. boleh merujuk kepada hadis orang buta (Usman bin Hunaif). Dalam hadis ini memang wujud dua tafsiran, salah satu daripadanya ialah boleh bertawaasul kepada kemulian Muhammad s.a.w. Khilaf ini adalah sesuatu yang diterima, maka sesiapa yang mahu boleh mengamalkannya.

——-

SQ:
Juga dalam kitab Mafahim juga Syeikh Alawi ada menaqalkan kata-kata Ibn Taymiyyah dari Majmu Fatawanya yang menyokong kesahihan makna hadith tersebut. Tapi kenapa kawan kita tu tak sebut ?

HF:
Jika SQ rujuk sendiri kitab Majmu al-Fatawa Ibn Taimiyyah, yang dibahas oleh Ibn Taimiyyah ialah dalam bab Arasy dan awal penciptaan makhluk serta kemuliaan Muhammad s.a.w. Ia tidak berkaitan dengan bertawassul kepada Muhammad. Justeru penguat yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah adalah petunjuk kedua hadis dan bukannya petunjuk pertama.

Muhammad bin ‘Alwi ada juga kemukakan beberapa penguat kepada hadis Nabi Adam. Sebelum SQ mahu kemukakannya sebagai hujah harap persiapkan hukum sanadnya terlebih dahulu.


Wassalam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s