Hukum Iktikaf Di Tiga Masjid Atau Semua Masjid.

Oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Ringkasan Perbahasan

Terdapat dua pendapat dalam bab beriktikaf di masjid, yang pertama mengatakan ianya boleh di mana-mana masjid yang di dalamnya didirikan solat berjamaah manakala yang kedua mengatakan tidak boleh kecuali di Masjid al-Haram, Nabawi dan al-Aqsa.

Berlakunya perselisihan ini adalah kerana sebuah hadis yang berasal daripada Hudzaifah al-Yaman radiallahu ‘anh, di mana dalam satu bentuk ianya mauquf, yakni merupakan kata-kata beliau sendiri manakala dalam bentuk yang lain ianya marfu’, yakni merupakan kata-kata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Sebahagian ulama’ berpendapat ia sebenarnya adalah marfu’ dan mereka jadikannya sebagai hujah. Sebahagian lain berpendapat ianya adalah mauquf, merupakan pendapat peribadi Hudzaifah. Sebahagian lain tidak menjadikannya dalil kerana kesamaran antara mauquf dan marfu’.

Sesuatu yang mauquf atau samar-samar tidak boleh dijadikan dalil bagi mengkhususkan keumuman firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187:

“Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf dalam masjid.”

Lafaz “beriktikaf dalam masjid” dalam ayat di atas adalah umum menunjukkan semua masjid tanpa terbatas kepada 3 sahaja. Walaubagaimanapun beriktikaf dalam 3 masjid tersebut tetap diutamakan kerana keafdalannya yang melebihi masjid-masjid yang lain.

Perincian Hadis Yang Dimaksudkan.

Diriwayatkan bahawa Hudzaifah al-Yaman, ketika melihat adanya orang yang beriktikaf di antara rumah Ibn Mas‘ud dan Abu Musa al-Asya‘ari, telah berkata seraya menegur Ibn Mas‘ud: “Sesungguhnya aku mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada iktikaf kecuali pada masjid yang tiga: al-Masjid al-Haram, al-Masjid al-Nabi dan al-Masjid Bait al-Maqdis (pada lafaz lain: Masjid para Nabi).”

Jalan-jalan periwayatan adalah seperti berikut:

PERTAMA:

Dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq, ‘an (Sufyan) Ibn ‘Uyaynah, ‘an Jami’ bin Abi Rasyid, dia berkata, aku mendengar Abi Wail berkata: berkata Hudzaifah…….dengan lafaz yang seumpama. Akan tetapi ianya mauquf kepada Hudzaifah.

Lihat:

[1] al-Musannaf ‘Abd al-Razzaq (211H) (tahqiq & takhrij: Habib al-Rahman al-A’zami; 10 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1983), jld 3, ms 347, no: 8016

[2] al-Musannaf al-Jamii ‘Abd al-Razzaq (tahqiq: Aiman Nasr al-Din berdasarkan edisi manuskrip yang lebih lengkap daripada apa yang ditahqiq oleh al-A’zami; 12 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2000), jld 4, ms 266-267, no: 8046.

Sanadnya sahih.

KEDUA:

Dikeluarkan oleh al-Isma‘ili daripada shaikhnya al-‘Abbas bin Ahmad al-Washa’, hadathana Muhammad bin al-Faraj, hadathana Sufyan bin ‘Uyaynah, ‘an Jami’ bin Abi Rasyid, dia berkata, aku mendengar Abi Wail berkata: berkata Hudzaifah…….seraca marfu’ kepada Nabi saw dengan lafaz yang lebih ringkas: “Tidak ada iktikaf kecuali pada masjid yang tiga”.

Lihat: al-Mu’jam al-Syukh oleh Ahmad bin Ibrahim al-Isma‘ili (371H) (tahqiq: Ziyad Mahmud bin Mansur, Maktabah al-‘Ulum wa al-Hukum, Madinah 1410H), jld 3, ms 720-721.

Dalam sandnya terdapat Muhammad bin al-Faraj, beliau ialah Muhammad bin al-Faraj bin ‘Abd al-Warith al-Qurashi al-Baghdadi.

Berkata Ahmad bin Hanbal dan Abu Zar‘ah, beliau di anggap jujur (saduq).

Berkata Yahya bin Ma‘in: beliau tidak mengapa (laisa bihi ba’sa), bererti beliau thiqah mengikut takrifan Ibn Ma‘in.

Ibn Hibban menyebutnya dalam Kitab al-Thiqat.

Ibn Hajar berkata beliau saduq.

Berkata Syu‘aib al-Arna’uth, yang benar beliau thiqah, merupakan perawi Sahih Muslim dan Sunan Abu Daud.

Lihat: Tahrir Taqrib al-Tahzib li Ibn Hajar al-‘Asqalani oleh Syu‘aib al-Arna‘uth dan Basyar ‘Awwad Ma‘aruf; (4 jld, Muassasah al-Risalah, Beirut 1997), jld 2, ms 304, perawi no: 6219.

Nasr al-Din al-Albani mensahihkan hadis ini sebagaimana dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld 6, no: 2786.

Diringkaskan hadis di atas agar dapat dilihat perbezaannya antara mauquf dan marfu’:

[1] ‘Abd al-Razzaq > Ibn ‘Uyaynah > Jami’ > Abi Wail > Hudzaifah = mauquf.

[2] al-Isma‘ili > al-‘Abbas > Ibn al-Faraj > Ibn ‘Uyaynah > Jami’ > Abi Wail > Hudzaifah = marfu’.

Dapat diperhatikan bahawa jalan periwayatannya adalah sama, hanya sahaja ‘Abd al-Razzaq menerima terus dari Ibn ‘Uyaynah manakala al-Isma‘ili melalui dua perawi sebelum Ibn ‘Uyaynah, yakni al-‘Abbas dan Ibn al-Faraj.

‘Abd al-Razzaq menerimanya dalam bentuk mauquf manakala al-Isma‘ili dalam bentuk marfu’.

Di sinilah wujud perselisihan pendapat di mana sebahagian pihak berpendapat yang benar ia adalah kata-kata Hudzaifah sendiri manakala pihak lain berpendapat ia adalah sabda Nabi saw.

BEBERAPA JALAN PERIWAYATAN LAIN.

Ada beberapa jalan periwayatan lain akan tetapi semuanya mengandungi kegoncangan sama ada dari sudut sanad atau matan. Berikut perinciannya:

KETIGA:

Dikeluarkan oleh al-Tahawi dalam Musykil al-Athar dengan lafaz marfu’: “Sesungguhnya aku mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada iktikaf kecuali pada masjid yang tiga: al-Masjid al-Haram, al-Masjid al-Nabi dan al-Masjid Bait al-Maqdis.”

Lihat:

Tuhfatu al-Akhyar bi Tartib Syarh Musykil al-Athar oleh Abi Jaafar al-Tahawi (321H) (ditahqiq, takhrij dan disusun mengikut bab fiqh oleh Khalid Mahmud al-Rabath; 10 jld, Dar Balnasyah, Riyadh 1999), jld 3, ms 82, no: 1500 (Bab menjelaskan kemusykilan tentang apa yang diriwayatkan daripada Hudzaifah bin al-Yaman……….).

Al-Tahawi menerimanya daripada Muhammad bin Sinan al-Syirazi, dia berkata hadathana Hasyim bin ‘Amman, dia berkata hadathana Sufyan bin ‘Uyaynah, ………seperti di atas (dari jalan ‘Abd al-Razzaq).

Muhammad bin Sinan al-Syirazi, adalah beliau di kalangan orang-orang yang meriwayatkan hadis mungkar, perlu disemak semula riwayat yang dibawanya. (صاحب مناكير , يتأنى فيه)
Demikian nilai al-Dzahabi dan Ibn Hajar al-‘Asqalani.

Lihat:

[1] Mizan al-Iktidal oleh al-Dzahabi (Tahqiq: Aidil Ahmad & ‘Ali Muhammad Mu’awwad; 7 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld 6, ms 180, perawi no: 7656.

[2] al-Mughni fi al-Dhu‘afa’ oleh al-Dzahabi (tahqiq: Abu al-Zahra’ Hazm; 2 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), jld 2, ms 314, perawi no: 5605.

[3] Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar al-Asqalani (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-Rahman; 11 jld, Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut 2001), jld 6, ms 171, perawi no: 7523.

KEEMPAT:

Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra dengan lafaz yang di dalamnya mengandungi ketidak-pastian, iaitu:

“Sesungguhnya aku mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada iktikaf kecuali di al-Masjid al-Haram” , atau beliau berkata: “Kecuali pada masjid yang tiga.”

Sebutan “atau” menunjukkan ketidak-pastian salah seorang perawi yang berada dalam jalan yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi. Riwayat sebegini tidak dapat dijadikan dalil bagi mengkhususkan keumuman dalil yang lain (yakni ayat 187 surah al-Baqarah).

Lihat:

[1] Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi (458H) (10 jld, Maktabah Dar al-Baz, Makkah 1994), jld 4, ms 316, no: 8357 (Kitab al-Siyam, Bab al-Iktikaf fi al-Masjid).

[2] Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi (11 jld, tahqiq: Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld 4, ms 518, no: 8574 (Kitab al-Siyam, Bab al-Iktikaf fi al-Masjid).

KELIMA:

Dikeluarkan oleh Sa‘id bin Mansur (227H) dalam kitabnya al-Sunan sebagai yang disebut oleh Ibn Hazm (456H) dalam al-Muhalla bi al-Athar, tetapi juga dengan lafaz yang tidak pasti:

“Tidak ada iktikaf kecuali di masjid yang tiga” , atau beliau berkata: “Pada masjid Jamaah.”

Sebutan “atau” menunjukkan ketidak-pastian salah seorang perawi yang berada dalam jalan yang dikeluarkan oleh Sa‘id bin Mansur. Riwayat sebegini juga tidak dapat dijadikan dalil.

Lihat al-Muhalla bi al-Athar oleh Ibn Hazm (tahqiq: ‘Abd al-Ghaffar Sulaiman; 12 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.), jld 3, ms 431, masalah no: 633.

Riwayat Sa‘id bin Mansur ini tidak wujud dalam manuskrip yang kita terima sekarang ini. Yang saya maksudkan adalah:

[1] Sunan Sa‘id bin Mansur (tahqiq & takhrij: Habib al-Rahman al-A’zami; 2 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.).

[2] Sunan Sa‘id bin Mansur (tahqiq & takhrij: Sa‘id bin ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz; 5 jld, Dar al-Somi‘in, Riyadh 2000).

KEENAM:

Dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq (al-Musannaf – no: 8014), Ibn Abi Syaibah (al-Musannaf – no: 9669) dan al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir – no: 9510) dari jalan Ibrahim (al-Nakha‘ie): “Berkata Hudzaifah……….” Seumpama di atas secara mauquf.

Isnad di atas terputus kerana Ibrahim al-Nakha‘ie tidak pernah bertemu dengan Hudzaifah al-Yaman.

Berkata al-Haithami dalam Majma al-Zawa’id (tahqiq: ‘Abd Allah Muhammad al-Darwish; 13 jld, Dar al-Fikr, Beirut 1994) – no: 5028: “Ibrahim tidak pernah bertemu dengan Hudzaifah.” Demikian juga terang Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Dirayah fi Takhrij Ahadith al-Hidayah (Dar al-Ma’refah, Beirut tp thn), jld 1, ms 288, no: 386.

Lihat:

[1] al-Musannaf ‘Abd al-Razzaq, jld 3, ms 347, no: 8014

[2] al-Musannaf al-Jamii ‘Abd al-Razzaq, jld 4, ms 266-267, no: 8044.

[3] Al-Kitab Al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar oleh Ibn Abi Syaibah (235H) (tahqiq: M. ‘Abd al-Salim Shahin; 9 jld, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld 2, ms 337, no: 9669 (Kitab al-Iktikaf, Bab Mereka yang berkata: Tiada iktikaf kecuali dalam masjid yang dilangsungkan solat berjamaah dalamnya).

[4] Al-Mu’jam al-Kabir al-Thabarani (tahqiq: Hamid bin ‘Abd al-Majid; 25 jld, Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut 1985), jld 9, ms 301-302, no: 9510.

KESIMPULAN:

Kesimpulannya kita dapati wujud perselisihan daripada satu nas yang sama, yang pertama datang dalam bentuk sabda Nabi sendiri manakala yang kedua adalah perkataan Hudzaifah sendiri.

Sebahagian tokoh berpendapat yang benar ia adalah marfu’ dan mereka jadikannya dalil bagi mengkhususkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187:

“Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam masjid.”

Sebahagian lain berpendapat ia mauquf lalu tidak dijadikan dalil bagi mengkhususkan ayat 187 tersebut.

Para tokoh generasi Salaf juga telah berbeza pendapat dalam bab ini. Rujukan kepada Musannaf ‘Abd al-Razzaq, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan al-Sunan al-Kubra al-Baihaqi mendapati:

‘Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, Ibn Mas‘ud, Urwah, Abu Za’ra’ , Sa‘id bin Jabir, ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali, al-Zuhri, al-Hakim, Abi Ja’far dan lain-lain berpendapat boleh beriktikaf di mana-mana masjid yang didirikan solat berjamaah di dalamnya.

Ibn Musayyab berpendapat iktikaf hanya dibolehkan di Masjid Nabi

‘Atha’ pada awalnya membenarkan iktikaf di semua masjid jami’, kemudian beliau membataskannya kepada Masjid al-Haram dan Madinah sahaja.

Al-Sya’bi membolehkan iktikaf di masjid yang berada dalam rumah seseorang.

Begitulah secara ringkas perbezaan pendapat dalam bab ini sehingga berkata Abu Bakar al-Jassas (370H) dalam Ahkam al-Qur’an (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp thn), jld 1, ms 294 (Tafsir ayat 187 surah al-Baqarah, Bab al-Iktikaf):

“Kesimpulannya telah ada kesepakatan di kalangan al-Salaf, bahwa diantara syarat iktikaf harus dilakukan di masjid, dengan perbedaan pendapat di antara mereka tentang apakah masjid-masjid umum atau khusus, akan tetapi tidaklah berselisih para ulama’ al-Amsor pada bolehnya beriktikaf di semua masjid yang didirikan solat berjamaah di dalamnya.”

Akhir kata sesiapa yang berpendapat yang benar adalah iktikaf tersebut terbatas kepada 3 masjid dipersilakan berpegang kepadanya manakala yang berpendapat ia boleh dilakukan di mana-mana masjid dipersilakan berpegang kepadanya juga. Jika mampu untuk menguatkan (tarjih) salah satu drpd dua pendapat ini maka dipersilakan tetapi tidak boleh memaksa apa yang ditarjihnya itu ke atas orang lain.

Wassalam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s