Hadith 12 khalifah

Assalamualaikum warahmatullah,

Terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan dalil oleh Syiah al-Rafidhah bahawa 12 imamah mereka adalah para imam yang ditakdir atau diramalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Berikut adalah kupasan ringkas saya terhadap hadis ini. Ia asalnya merujuk kepada perbincangan saya dengan seorang ahli Mazhab Ahl al-Bait di forum Fikrah Net. Sengaja saya panjangkan kupasan ini kepada lain-lain forum supaya sama-sama kita ambil manfaat daripadanya.

LAFAZ HADIS:

Hadis
ini memiliki beberapa lafaz. Berikut 3 lafaz pertama yang dikemukakan oleh O.Hashem,
seorang tokoh Syi’ah Indonesia dalam bukunya “Syiah Ditolak Syiah Dicari”, ms
301-302:

[1]
“Agama (Islam) akan selalu tegak kukuh sampai tiba saatnya
atau sampai berlalu 12 khalifah, semuanya dari Quraisy.”
[HR Muslim]

[2]
“Akan ada 12 amir (pemimpin)” Berkata Jabir (perawi hadis):
“Dan kemudian beliau bersabda dengan kalimat yang tidak aku fahami. Ayahku berkata:
“Semuanya dari orang Quraisy.”
[HR al-Bukhari]

[3]
“Urusan (amr, administrasi, pemerintah) umat ini akan selalu
kukuh dan akan mengatasi musuhnya sampai berlalu 12 khalifah, semuanya orang
Qurasiy. Sesudah itu timbul kekacauan.”
[Hadis nukilan al-Hindi dalam
Kanz al-Ummal]

DARJAT
HADIS:

Hadis
ini sahih, khasnya 2 yang pertama yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim
dalam kitab sahih masing-masing.

MAKSUD
HADIS:

Antara
cara memahami hadis-hadis Rasulullah s.a.w. ialah meletakkanya terlebih dahulu
dalam kategorinya. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. terbahagi kepada beberapa kategori:

[1]
Kategori Iktikad.

Ini
ialah hadis-hadis berkenaan aqidah (iktikad) seperti sifat Allah, alam sebelum
kehidupan, azab kubur, alam ghaib, Hari Akhirat dan sebagainya. Kewajipan kita
terhadap hadis-hadis ini ialah “Kami dengar dan kami taat” tanpa melibatkan
akal untuk menentukan benar atau salahnya.

[2]
Kategori Hukum.

Ini
ialah hadis-hadis yang melibatkan hukum-hukum syari’at seperti wudhu’, solat,
haji, kanun jenayah dan sebagainya. Kewajipan kita ialah melaksanakannya dengan
memerhatikan perbezaan antara hadis yang melibatkan (1) antara manusia kepada
Allah dan (2) antara manusia sesama manusia.

[3]
Kategori al-Targhib wa al-Tarhib.

Ini
ialah hadis-hadis yang menganjurkan sesuatu kebaikan dan memberi ancaman/peringatan
kepada sesuatu keburukan. Termasuk dalam kategori ini ialah hadis-hadis keutamaan
beramal dan kemuliaan sahabat. Kategori ini wujud sebagai “penyambung” kepada
kategori hadis-hadis hukum di atas.

[4]
Kategori ramalan.

Ini
ialah hadis-hadis yang merupakan ramalan-ramalan Rasulullah s.a.w. kepada perkara-perkara
yang akan terjadi selepas kewafatan baginda. Hadis-2 sebegini juga dikenali
sebagai “Hadis Akhir Zaman”. Malang sekali ramai umat Islam yang memahami secara
negatif hadis-2 dalam kategori ini. Dalam buku “Kaedah Memahami Hadis-hadis
Musykil”, ms 150, saya menulis:

Hadis-hadis
akhir zaman ialah hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan
suasana dan keadaan umat selepas zaman baginda, khasnya kepada zaman yang menghampiri
Hari Kiamat. Hadis-hadis akhir zaman yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu
‘alaihi wassalam adalah antara himpunan hadis yang paling disalah ertikan oleh
umat termasuk para cendekiawannya. Difahami kononnya Rasulullah telah meramalkan
suasana keadaan umat yang serba mundur dan hina ditimpa kezaliman dan fitnah.
Dengan itu umat hanya perlu duduk dan menerima apasahaja yang menimpa mereka
kerana hal ini telahpun diramalkan – atau ditakdirkan – oleh Rasulullah. Sebenarnya
hadis-hadis akhir zaman ini boleh difahami dari dua sudut. Yang pertama adalah
dari sudut negatif sebagaimana yang digambarkan di atas. Yang kedua adalah dari
sudut positif, iaitu bahawa hadis-hadis akhir zaman tersebut sebenarnya bertujuan
memperingatkan umat akan pelbagai cabaran, rintangan dan perubahan yang akan
mereka hadapi selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Oleh
itu hendaklah mereka mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan alat
untuk menghadapinya. Pemahaman yang kedua inilah yang merupakan pemahaman yang
benar kerana adalah sangat tidak mungkin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
selaku seorang Rasul pembawa Rahmat akan meramalkan sesuatu yang menjauhi sifat
Rahmat tersebut.

Firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala (maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau
(wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

[al-Anbiyaa’ 21:107]

Yusuf
al-Qardhawi menulis:

Adalah
sungguh menyedihkan apabila kebanyakan hadis yang berkaitan dengan akhir zaman
atau yang dinamakan sebagai hadis-hadis “fitnah” dan tanda-tanda Kiamat difahami
oleh sebahagian manusia dengan pemahaman yang mengajak kepada putus asa daripada
melakukan usaha pembaikan dan perubahan. Tidak dapat digambarkan bahawa Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam akan mengajak umatnya untuk berputus asa dan kecewa,
membiarkan kerosakan menguasai masyarakat, kemungkaran menjalar di tengah-tengah
tulang belakang masyarakat tanpa perlu melakukan sesuatu untuk membetulkan kesilapan
atau membaiki kerosakan. Tidak masuk akal bahawa akan timbul daripada pembawa
petunjuk umat ini kata-kata yang akan meruntuhkan semangat untuk membaiki dan
kehendak untuk merubahkeadaan yang tidak baik.
[Yusuf al-Qaradhawi –
Petanda-petanda Kemenangan Islam (terj: Juanda Jaya; Maktabah al-Qardhawi, Bandar
Baru Bangi 1999), ms 38 & 121.]

Sekian.

Bagi
saya, hadis-hadis dalam kategori “ramalan” ini lebih tepat disebut sebagai hadis
“motivasi” kerana ia sebenarnya berperanan memberi motivasi kepada mereka yang
mencarinya.

Hadis
12 khalifah termasuk dalam kategori ke-4 ini. Ia adalah hadis ramalan, atau
di sisi saya: Hadis Motivasi.

MOTIVASI
BAGAIMANA YANG DIMAKSUDKAN ?

Umpamakan
sebuah syarikat di mana pihak pengurusannya mengumumkan bahawa bagi setiap tahun
akan dipilih seorang “Employer of the Year.” Employer ini akan dipilih daripada
mereka yang berdisiplin, jujur, berhikmah dan lain-lain sifat terpuji.

Atas
pengumuman ini, para pekerja syarikat akan bekerja keras supaya mereka terpilih
menjadi “Employer of the Year” tersebut. Bagi pihak pengurusan pula, tujuan
diadakan pemilihan ini adalah sebagai satu bentuk memberi motivasi dan penghargaan
kepada pekerja yang benar-benar komited. Ini akhirnya akan memberi manfaat kepada
syarikat itu sendiri. Sesiapa yang lazim membaca buku dan/atau menghadiri kursus
leadership dan management akan lebih memahami hal ini.

Demikianlah
juga bagi hadis 12 khalifah yang menjadi perbincangan kita sekarang ini. Tujuan
baginda bersabda sedemikian adalah sebagai pemberi motivasi kepada umat secara
umum dan para khalifah secara khusus supaya mereka menepati ciri-ciri 12 khalifah
yang baginda sebutkan.

Sengaja
baginda tidak menyebut nama khalifah tersebut kerana ini akan menghilangkan
nilai motivasi hadis. Sengaja baginda menyebut angka 12 supaya umat sentiasa
dimotivasi untuk memenuhi keseluruhan jumlah tersebut dari saat baginda wafat
sehingga saat Hari Kiamat.

Terdapat
beberapa hadis yang lain yang seumpama di mana baginda tidak menyebut nama atau
masa. Beberapa yang sempat saya ingat saat ini:

[1]
“Sesungguhnya Allah akan mengutus bagi umat ini pada awal
setiap 100 tahun seorang yang memperbaharui agamanya.”
[HR Abu Daud dan
disahihkan oleh al-Albani]

Perhatikan
bahawa tidak disebut nama siapakah orang tersebut.

[2]
“Masa kenabian akan berlangsung pada kalian dalam beberapa
tahun. Kemudian Allah mengangkatnya. Selepas itu datang masa kekhalifahan atas
manhaj kenabian selama beberapa masa sehingga Allah mengangkatnya.

Kemudian
datang masa kerajaan (mulk) yang buruk selama beberapa masa, selanjutnya datang
masa kerajaan diktator selama beberapa masa, hingga waktu yang ditentukan Allah.

Selepas
itu akan berulang kekhalifahan atas manhaj kenabian. Kemudian Rasulullah diam.”

[HR Ahmad dan al-Thabarani, berkata al-Haitsmani, para perawi al-Thabarani (tsiqah)
terpercaya]

Perhatikan
bahawa bila dan siapa yang akan memerintah sebagai khalifah bermanhaj kenabian
tidak disebut oleh baginda.

[3]
“Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak diketahui
apakah yang baik itu pada awalnya atau akhirnya.”
[HR al-Bukhari]

Perhatikan
tidak disebut bilakan masa kebaikan dan keburukan tersebut. Dalam hadis-hadis
di atas, sengaja baginda Nabi s.a.w. membiarkan ia “terbuka” supaya umat berusaha
memenuhinya. Ia berperanan sebagai pemberi motivasi kepada sesiapa yang mahu
mencarinya.

TAFSIRAN
PARA ULAMA AHAL AL-SUNNAH YANG TERDAHULU

Memandangkan
Rasulullah s.a.w. tidak menyebut siapakah 12 khalifah tersebut “by name”, pasti
sahaja ia akan menimbulkan tafsiran yang berbeza-beza di kalangan para ilmuan
berkenaan siapakah yang dimaksudkan. Masing-masing memberi pilihan nama yang
menurutnya adalah yang paling tepat.

Namun
di dalam perselisihan ini terdapat 2 persetujuan, iaitu:

[1]
Secara umumnya diperkatakan bahawa terdapat 4 khalifah yang “menghampiri” tujuan
atau maksud hadis. Mereka ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali, radhiallahu
‘anhum.

[2]
Namun 4 khalifah tersebut bukan mutlak dimaksudkan oleh hadis kerana “Apa yang
dibiar terbuka oleh Rasulullah tidak boleh ditutup oleh manusia.” Ini adalah
lanjutan daripada kaedah usul “Setiap nas hendaklah diambil
dalam bentuknya yang asal melainkan wujud petunjuk yang mengubah bentuk asal
tersebut.”

TAFSIRAN
SYIAH AL-RAFIDHAH

Aliran
Syiah al-Rafidhah menafsirkan hadis 12 khalifah di atas sebagai merujuk kepada
12 imam mereka, bermula daripada ‘Ali r.a. hingga ke imam 12 yang ghaib.

Ahl
al-Sunnah menolak tafsiran ini. Daripada 12 imamah Syiah al-Rafidhah, hanya
‘Ali seorang yang menepati tujuan atau maksud hadis. Lain-lain para imam Syiah
al-Rafidhah tidak termasuk sama kerana:

[1]
Mereka tidak pernah menjadi khalifah ke atas umat Islam. Bahkan dalam pelbagai
riwayat lain mereka menolak jawatan khalifah atau “imam” yang dinobatkan kepada
mereka.

[2]
Mereka tidak pernah dapat mengukuhkan kedudukan Syiah al-Rafidhah, apatah lagi
“mengatasi musuh” sebagaimana lafaz hadis yang ketiga di atas.

Oleh
itu tidak seorang jua daripada 12 imamah Syiah al-Rafidhah yang menepati tujuan
atau maksud hadis di atas kecuali ‘Ali radhiallahu ‘anh.

Sekian,
wassalam. Hafiz Firdaus.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s