Enforcing Public Morality: Satu Analisa Ke Atas Kertas Kerja Zainah Anwar. Dasar Pertama: Moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai.

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

Enforcing Public Morality. Demikianlah tajuk sebuah forum yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 April 2005 yang lalu. Forum ini, dengan ahli panel yang terdiri daripada saudari Zainah Anwar, Dr. Siti Mariah dan Dato’ Param Cumaraswamy, mengupas isu undang-undang moral yang kini agak hebat dibincang dalam negara kita daripada kalangan cerdik pandai sehinggalah kepada orang awam.

Malang sekali disebabkan kesibukan kerja, saya tidak dapat menghadiri forum tersebut. Akan tetapi kertas kerja yang dibentang oleh saudari Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif pertubuhan Sisters in Islam, dapat saya rujuk di laman web mereka: http://www.sistersinislam.org.my/zai%20speech.htm

Kertas kerja ini benar-benar menarik perhatian saya, khasnya apabila ia dimulakan dengan kata-kata: I speak from the perspective of a Muslim, a believer, a feminist and an activist who believes that Islam is just, that God is just.” Ini kerana merupakan satu kejanggalan apabila seorang muslim (a muslim) dan mukmin (a believer) menulis sebuah kertas kerja tanpa mengisinya dengan apa-apa dalil daripada Allah yang Maha Adil bagi meneracai keadilan Islam yang sebenar. Apatah lagi memandangkan kertas kerja tersebut dibentangkan kepada hadirin yang terdiri daripada kalangan pelbagai agama dan pemikiran, ia sepatutnya menjadi peluang untuk membuktikan keadilan Allah dan keadilan Islam, sekali gus menjadi sarana dakwah kepada mereka semua. Kehadiran kalangan bukan Islam tidak sepatutnya menjadikan kita segan atau rendah diri, mengingatkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud:

“Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dari menyampaikan ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu dan serulah mereka kepada jalan Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” [al-Qasas 28:78]

Semua ini menyebabkan saya – dengan segala rendah diri – merasa perlu untuk melakukan satu analisa ke atas kertas kerja saudari Zainah Anwar. Analisa ini bukanlah untuk mengukur nilai muslim atau mukmin seseorang, tetapi untuk mengukur jauh atau dekat dasar-dasar kertas kerja tersebut daripada neraca al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Semoga analisa ini dapat membantu kita sebagai orang muslim dan mukmin membahas isu undang-undang moral berdasarkan kaca mata Islam yang diturunkan oleh Allah yang Maha Adil, tidak berdasarkan kaca mata agama lain atau doktrin ciptaan manusia.

Analisa tidak dihadkan kepada dalil-dalil Ilahi sahaja (naqli), tetapi dipanjangkan kepada dalil-dalil pemikiran yang sihat lagi adil (aqli). Ringkasnya boleh dikatakan bahawa analisa akan dilakukan berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli kerana naqli yang sahih tidak akan bertentangan dengan aqli yang sihat.

Kertas kerja saudari Zainah Anwar dibahagikan kepada empat isu utama. Akan tetapi setelah menelitinya, saya mendapati hanya ada tiga dasar yang layak dianalisa:

Dasar Pertama: Moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai.

Kertas kerja tersebut menyatakan bahawa ukuran moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai (public consensus) yang diwakili oleh pihak daripada semua agama dan lapisan, tidak sekadar pihak berwajib agama Islam. Sebagai contoh, melakukan hubungan seks di hadapan khalayak ramai adalah satu tindakan yang tidak bermoral menurut kesepakatan orang ramai. Justeru tidak mengapa jika undang-undang moral dikuatkuasakan ke atas tindakan sedemikian.

Analisa:

Sesungguhnya di sisi manusia memang terdapat pelbagai cara atau jalan untuk menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Di antara jalan-jalan ini, yang mana satukah yang betul? Bagi seorang muslim dan mukmin, jalan tersebut ialah jalan Islam dan bukan jalan-jalan yang lain. Ini telah diingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” [al-An’am 6:153]

Sehubungan dengan ayat di atas, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 4142 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth, ‘Abd Allah bin Mas’ud radhiallahu ‘anh menerangkan, maksudnya:

(Pada suatu ketika) Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam menggariskan kepada kami satu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah.” Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.

Kemudian baginda membacakan ayat: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.”

Di antara jalan yang mencerai-beraikan umat Islam daripada jalan Allah ialah menggunakan jalan lain, seperti kesepakatan orang ramai, untuk menentukan moral yang baik atau buruk. Jalan ini bukan sahaja menyimpang daripada jalan Islam, tetapi juga telah dikenal pasti oleh Islam sebagai satu jalan yang tidak mampu membawa manusia ke arah kebaikan yang hakiki, malah justeru ke arah keburukan dan kerosakan.

Sebabnya, majoriti manusia (baca: kesepakatan orang ramai) menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan berdasarkan sangkaan dan hawa nafsu, bukan pengetahuan yang sebenar. Perkara ini dikhabarkan oleh Yang mencipta manusia itu sendiri, Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” [Maksud surah Yunus 10:36]

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.” [al-An’am 6:119]

Menggunakan hawa nafsu sebagai pedoman dalam menentukan yang baik atau buruk tidak akan membawa manusia ke arah destinasi kebaikan yang hakiki. Ini kerana hawa nafsu itu adalah sumber kerosakan bagi manusia dan segala yang ada:

“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu).” [Maksud surah Yusuf 12:53]

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman, maksudnya:

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada.” [al-Mukminun 23:71]

Atas sebab-sebab di ataslah Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengingatkan kita umat Islam agar tidak mengikuti jalan yang ditempuh oleh majoriti manusia. Kecenderungan majoriti manusia kepada sangkaan dan hawa nafsu akan menyesat kita daripada jalan Allah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman, bermaksud:

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.” [al-An’am 6:116]

Semua ini mengembalikan kita kepada ayat pertama yang dikemukakan di atas, iaitu firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’am 6:153] Oleh itu seorang muslim dan mukmin tidak menerima “kesepakatan orang ramai” sebagai ukuran penentu moral yang baik atau buruk. Akan tetapi ukuran yang diterima ialah apa yang ditentukan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Menggunakan ukuran “kesepakatan orang ramai” tidak sahaja ditolak berdasarkan dalil-dalil Ilahi, tetapi juga oleh pemikiran yang sihat lagi adil. Ini kerana manusia sentiasa berbeza-beza penilaian mereka dalam menentukan moral yang baik dan buruk. Lebih dari itu, seandainya manusia dapat bersepakat dalam menentukan moral yang baik dan buruk, kesepakatan tersebut tidak akan bertahan lama. Apa yang dianggap baik pada masa kini akan dianggap buruk pada masa akan datang dan demikianlah sebaliknya. Tidak sekadar itu, moral yang dianggap baik pada satu lokasi mungkin dianggap buruk di lokasi yang lain, dan demikianlah juga sebaliknya.

Semua ini menunjukkan bahawa ukuran kesepakatan orang ramai” hanyalah satu teori yang fiktif (fictitious), mustahil wujud secara realiti. Kemustahilan ini mengarah kepada kemustahilan mewujudkan satu undang-undang moral. Ini berakhir dengan negara tidak memiliki apa-apa undang-undang moral. Apabila negara tidak memiliki undang-undang moral, tingkah laku tidak bermoral, daripada perbuatan tidak senonoh yang kecil sehinggalah jenayah yang besar, akan berleluasa sehingga ke tahap yang tidak dapat digambarkan.

Tingkah laku tidak bermoral akan turut memberi kesan kepada pihak yang pada asalnya mengusulkan teori kesepakatan orang ramai”. Akan tetapi tidak ada apa-apa yang dapat mereka lakukan untuk menegah dan menghukumnya. Ini kerana tidak wujud kesepakatan orang ramai” untuk mengatakan bahawa ia adalah tingkah laku yang tidak bermoral sehingga patut ditegah dan dihukum.

Semua ini menunjukkan bahawa undang-undang moral tidak akan dapat dibentuk melalui kesepakatan orang ramai”. Sebabnya adalah mudah, manusia tidak dapat menentukan moral manusia. Hanya yang mencipta manusia dapat menentukan moral manusia, iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s