Dasar Kedua: Isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang

Dasar Kedua: Isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang.

Kertas kerja tersebut turut menyatakan bahawa tingkah laku moral yang baik atau buruk tidak sepatutnya dikawal oleh pihak pemerintah atau dijadikan satu kesalahan di sisi undang-undang. Secara lebih terperinci:

1.      Persoalan moral bukanlah urusan pihak pemerintah atau badan tertentu yang diberi mandat oleh pemerintah.

2.      Moral yang dipersetujui baik di sisi majoriti diserap ke dalam masyarakat melalui pendidikan dan bukannya penguatkuasaan undang-undang. Lebih dari itu moral yang baik bagi umat Islam lahir daripada sifat iman yang sememangnya tidak boleh dipaksa melalui penguatkuasaan undang-undang.

3.      Undang-undang moral yang cuba dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah dan jabatan agama memiliki banyak kelemahan seperti beberapa perbuatan yang diwartakan sebagai “kesalahan” padahal apa dan bagaimana perbuatan tersebut tidak diperincikan. Lebih dari itu negeri yang berlainan memiliki undang-undang moral yang berlainan.

4.      Undang-undang moral yang sudah sedia diwartakan tidak dikuatkuasakan. Sebagai contoh, merokok difatwakan haram di negeri Selangor dan sesiapa yang melanggar sesuatu fatwa di negeri Selangor boleh diambil tindakan undang-undang. Akan tetapi tidak kelihatan penguatkuasaan fatwa ini dilaksanakan di negeri Selangor.

5.      Undang-undang moral juga bersikap berat sebelah, iaitu ringan kepada kaum lelaki tetapi berat kepada kaum wanita.

6.      Undang-undang moral, daripada pewartaannya sehingga kepada penguatkuasaannya, hanya membazir duit para pembayar cukai (tax payers’ money).

 

Analisa:

Poin-poin yang membentuk dasar di atas akan dianalisa dalam bentuk poin juga:

Pertama:

Dalam Islam, persoalan moral sememangnya menjadi urusan dan tanggungjawab pemerintah. Persoalan moral termasuk dalam ruang lingkup Amar ma’ruf dan Nahi mungkar yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh melakukan kebaikan serta melarang daripada melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” [Maksud surah al-Hajj 22:41]

Kedua:

Dipersetujui bahawa iman adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa. Ia diterap ke dalam diri seseorang melalui pendidikan. Akan tetapi pendidikan sahaja tidak mencukupi kerana manusia dikenali mudah bersifat leka dan sering cenderung kepada bisikan syaitan dan hawa nafsunya. Oleh itu iman bukan sahaja dididik tetapi juga dikawal agar ia sentiasa tersemat kemas dalam diri orang yang memilikinya.

Perkara ini dapat diperhatikan dalam sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Salah satu daripadanya ialah kes pengharaman arak. Arak tidak diharamkan secara terus melainkan terlebih dahulu diterangkan secara hikmah kepada masyarakat bahawa ia bukanlah sesuatu yang bermanfaat. Ayat yang pertama berkenaan pengharaman arak hanya berbunyi:

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya.” [Maksud surah al-Baqarah 2:219]

Setelah turunnya ayat di atas dan umat Islam dapat menerima kesalahan meminum arak, barulah turun ayat yang mengharamkannya:

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk yang merupakan perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.” [Maksud surah al-Maidah 5:90]

Pengharaman arak tidak sekadar membacakan ayat di atas kepada orang ramai tetapi digandingi dengan perlaksanaan Amar Ma’ruf dan Nahi mungkar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad – hadis no: 5390 dan dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna‘uth, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma menerangkan bahawa ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang berjalan-jalan, baginda ternampak satu karung kulit tergantung yang berisi arak. Lantas baginda meminta sebilah pisau dan terus membelah karung tersebut (dan menumpahkan isinya). Anas bin Malik radhiallahu ‘anh juga melaporkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Shahihnya – hadis no: 1980, apabila para sahabat mengetahui tentang pengharaman arak (berdasarkan ayat 90 surah al-Maidah), mereka terus memecah dan menumpahkan bekas-bekas arak yang masih mereka miliki.

Di Malaysia, minum arak dan pelbagai keburukan moral yang lain sudah diketahui ramai. Ini kerana pendidikan tentang keburukan-keburukan moral telah diterapkan kepada semua sejak kecil. Oleh itu faktor “pendidikan” bukanlah syarat bagi perlaksanaan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar di Malaysia. Ia tetap dilaksanakan ke atas setiap individu tanpa mengambil kira samada dia mengetahui atau tidak tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Jika individu tersebut sudah mengetahuinya, maka usaha Amar ma’ruf dan Nahi mungkar tersebut menjadi peringatan kepadanya. Seandainya individu tersebut belum mengetahuinya, maka usaha Amar ma’ruf dan Nahi mungkar tersebut menjadi pengetahuan yang baru baginya.

Dakwaan bahawa moral yang baik hanya diterapkan melalui pendidikan adalah dakwaan yang tidak berpijak pada bumi yang nyata. Ini kerana moral yang baik tidak akan tercapai dengan pendidikan semata-mata. Ia tetap perlu digandingi dengan penguatkuasaan undang-undang. Sebagai contoh, para pemandu dididik terlebih dahulu dengan cara memandu yang betul lagi selari dengan peraturan jalan raya. Setelah lulus, mereka juga sering diingatkan melalui media akan kepentingan memandu dengan betul lagi selari dengan peraturan jalan raya. Akan tetapi semua ini tidak mencukupi. Penguatkuasaan oleh pihak polis adalah tetap perlu kerana hampir setiap saat kita menemui pemandu yang memandu secara bahaya dan melanggar peraturan jalan raya.

Demikianlah juga dengan tingkah laku moral. Pendidikan sahaja adalah tidak mencukupi melainkan perlu digandingi dengan penguatkuasaan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar.

Ketiga:

Diakui bahawa undang-undang moral yang diwartakan memiliki beberapa kelemahan di dalamnya. Sekalipun apa yang baik dan apa yang buruk dalam Islam telah ditentukan lebih 1400 tahun yang lalu, proses mewartakannya sebagai satu undang-undang di Malaysia masih berada di tahap yang awal, masih jauh dari tahap kematangan. Dalam suasana sebegini, boleh dijangkakan wujud beberapa kelemahan.

Berbeza dengan undang-undang sivil, ia telah mencapai tahap kematangan kerana proses mewartakannya bermula beberapa abad yang lalu di negara-negara Barat. Apabila undang-undang sivil ini pertama kali digubal dan diwartakan di negara-negara Barat, ia juga memiliki pelbagai kekurangan di dalamnya. Akan tetapi hasil usaha sama semua pihak, khasnya para peguam mereka, undang-undang tersebut dapat disempurnakan sehingga mencapai tahap kematangan yang tinggi. Apabila ia diterapkan ke atas umat Islam di Malaysia, ia hanya perlu mengalami sedikit pengubah-suaian.

Salah satu punca kelemahan dalam proses mewartakan undang-undang Islam di Malaysia ialah banyaknya orang yang menentang dan memandang rendah terhadapnya. Lebih memberatkan, yang bersikap demikian tidak sekadar orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Contoh yang terbaik ialah para tokoh aliran Islam Liberal, khasnya para peguam mereka. Para peguam ini tidak memainkan peranan untuk membantu menyempurnakan proses mewartakan undang-undang Islam, tetapi justeru bertindak aktif dalam mempersoal, mengkritik dan meremehkannya. Seandainya semua peguam Islam bekerjasama, pasti undang-undang Islam akan mencapai tahap kematangan yang tinggi melebihi undang-undang sivil.

Keempat:

Dalam Islam, penguatkuasaan undang-undang moral tidak terletak pada bahu pihak polis, tetapi pada bahu umat Islam itu sendiri. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman, maksudnya:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Taubah 9:71]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 49, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman.

Perhatikan dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meletakkan tanggungjawab mengubah, mencegah dan menghentikan kemungkaran kepada sesiapa jua yang melihat kemungkaran tersebut, tanpa dibataskan kepada pihak polis dan pemerintah sahaja.

Adapun kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang moral, ia berpunca daripada beberapa faktor, antaranya:

1.      Kurangnya kesedaran umat Islam tentang kewajipan mereka melakukan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar.

2.      Kurangnya kemampuan pihak berwajib, sama ada dari sudut kakitangan, peralatan dan mandat, untuk melaksanakan penguatkuasaan.

3.      Banyaknya kritikan daripada pihak lain seandainya dilaksanakan penguatkuasaan undang-undang moral.

Terhadap faktor ketiga di atas, terdapat dua poin menarik yang dapat ditarik:

1.      Merupakan satu keanehan apabila kita membaca kritikan tentang kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang moral. Bukankah jika undang-undang tersebut dikuatkuasakan, ia juga akan dikritik oleh yang asalnya mengkritik?

2.      Turut menjadi keanehan ialah kritikan tidak adanya penguatkuasaan fatwa haram merokok di negeri Selangor. Padahal jika dibanding pada sudut yang lain, merokok juga dilarang di stesen-stesen minyak. Malah di stesen-stesen itu juga ditampal pelekat “Dilarang merokok”, diikuti dengan amaran “Denda RM5000 atau Penjara 2 tahun”. Akan tetapi pernahkah sesiapa yang melihat pihak polis mengawasi stesen-stesen minyak?

Kelima:

Adapun anggapan undang-undang moral bersikap berat sebelah, iaitu ringan kepada kaum lelaki tetapi berat kepada kaum wanita, ia dapat diimbangi semula berdasarkan salah satu atau kedua-dua daripada pemberat berikut:

1.      Ia merupakan salah satu daripada kelemahan undang-undang moral yang perlu diperbaiki. Ini sebagaimana yang diterangkan dalam poin ketiga di atas.

2.      Ia bukan bersikap berat terhadap wanita tetapi selari dengan keperluan wanita. Ini kerana wanita adalah lebih istimewa daripada lelaki sehingga keistimewaan tersebut memerlukan perhatian yang lebih tinggi. Wanita juga memiliki peranan yang amat besar, iaitu melahirkan generasi pelapis yang bakal memelihara dan memimpin Islam, umat dan negara. Justeru wanita memerlukan keprihatinan yang lebih tinggi berbanding lelaki agar mereka dapat memainkan peranan tersebut dengan sebaik-baiknya. Selain itu wanita lebih mudah menjadi mangsa berbanding lelaki terhadap pelbagai keburukan moral yang berlaku di sekelilingnya. Justeru prioriti diberikan kepada wanita dalam rangka melindungi mereka daripada terkesan dengan keburukan di sekeliling mereka.

Apabila disebut “selari dengan keperluan wanita”, yang dimaksudkan adalah keselarian pada ukuran Islam, bukan pada ukuran Barat yang sebenarnya “menelanjangkan wanita” di atas label “memerdekakan wanita”.

Keenam:

Tidak ada yang mendakwa undang-undang moral membazir duit para pembayar cukai kecuali mereka yang berpemikiran yang amat terbantut. Ini kerana undang-undang moral menjamin kebaikan rakyat dan negara, sekali gus belanjawan duit para pembayar cukai. Paling kurang ini dapat diperhatikan daripada dua sudut:

1.      Banyak duit para pembayar cukai digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah. Kemudian duit para pembayar cukai juga digunakan untuk “menyara” penjenayah daripada perbicaraan di mahkamah sehinggalah kepada hukuman di penjara. Seorang manusia tidak berubah menjadi penjenayah secara tiba-tiba melainkan ia bermula secara bertahap-tahap. Di antara tahap yang awal ialah tingkah laku moral yang buruk. Justeru menangani tingkah laku moral yang buruk sejak dari awal lebih menjimatkan duit para pembayar cukai daripada menangani tingkah laku jenayah pada akhirnya.

2.      Sekalipun tidak semua pelaku moral yang buruk akan berakhir sebagai penjenayah, ia tetap membawa kerugian kepada duit para pembayar cukai. Ini kerana moral yang buruk selalunya sinonim dengan individu yang malas, tidak berdisiplin lagi tidak berwawasan. Semua ini akan menyebabkan negara terpaksa menggunakan duit para pembayar cukai pada jumlah yang lebih untuk mencapai sesuatu objektif.

Dalam Islam, undang-undang moral memiliki kepentingan yang sangat tinggi kepada rakyat dan negara. Kepentingan ini tidak hanya pada para pelaku moral yang buruk tetapi juga kepada orang-orang yang beristiqamah dengan moral yang baik. Kepentingan ini juga tidak hanya untuk masa kini tetapi untuk masa akan datang, khasnya dalam rangka melahirkan generasi pelapis. Ini kerana moral yang baik menjamin kebaikan kepada semua pihak sementara moral yang buruk mengakibatkan keburukan kepada semua pihak juga.

Semua kepentingan ini telah digambarkan dengan sebegitu indah oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

Perumpamaan orang yang menegakkan perintah Allah (Amar ma’ruf dan Nahi mungkar termasuk perintah Allah) dan orang yang jatuh ke dalam larangan Allah ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi pada tingkat bawah. (Ketika dalam pelayaran), apabila orang di tingkat bawah inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada orang yang berada pada tingkat atas.

Lalu mereka (yang berada di tingkat bawah) berkata: “Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.”

Jika (mereka yang berada di tingkat atas) membiarkan mereka (orang di tingkat bawah) melakukan apa yang mereka hendaki (melubangkan kapal), pasti semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka (yang berada di tingkat atas) menahan dengan tangan mereka (rancangan melubangkan kapal), pasti mereka (yang di tingkat atas) akan selamat dan akan selamat juga semuanya (termasuk di tingkat bawah). [Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 2493]

Atas dasar inilah Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan bahawa umat Islam akan menjadi “umat terbaik” apabila kita semua melaksanakan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran, serta kamu pula beriman kepada Allah.” [Maksud surah Ali Imran 3:110]

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s