Bahas Kaedah: Ketiadaan Perbuatan Nabi saw tidak dijadikan hujah

Oleh Hafiz Firdaus

Assalamualaikum waRahmatullah,

Berikut komentar dan perbahasan saya terhadap kaedah yang dirumuskan oleh
SQ:

‘Adamul fi’li laisa bi hujjatin

Ertinya :

“Ketiadaan perbuatan Nabi s.a.w itu tidak jadi suatu hujjah.”

Dari formula ini, kumpulan A berpendapat bahawa sesuatu ibadah atau sub-ibadah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidaklah bererti ianya terlarang atau tidak boleh.

Kumpulan B pula berpendapat bahawa ketiadaan perbuatan Rasulullah dalam sesuatu urusan ibadah atau sub-ibadah bererti ianya tidak dimaksudkan sebagai ibadah, lalu ia tidak perlu dilakukan.

Kumpulan B juga melarang seseorang membuat ibadah yang tidak dibuat oleh Rasulullah kerana ibadah itu adalah hak Allah Azza waJalla sahaja dan hanya Dia yang layak menerangkan kepada para hambaNya cara-cara bagaimana Dia hendak disembahi.

Berikut adalah hujah-hujah Kumpulan B bagi menolak rumusan Kumpulan A. Saya percaya hujah-hujah Kumpulan A juga akan datang sebentar lagi, maka terbukalah kepada para netters untuk memilih mana yang lebih kuat.

Hujah Kelompok B

Ketahuilah bahawa pembuat Syari’at, yakni Allah Azza waJalla telah menyusun petunjuk-petunjuk syari’at dengan kaedah yang sangat bijaksana lagi indah sehingga sebahagian dari petunjuk itu memiliki dua atau lebih erti dalamnya.

Allah menyusun syari’at ini kepada para hambaNya yang diberi akal, iaitu manusia. Syari’at ini umumnya terbahagi kepada beberapa asas atau tiang utama:

  • Pertama: Menghubung antara manusia dengan khalidnya, iaitu Allah Subhanahu
    waTa’ala.
  • Kedua: Menghubung antara manusia sesama manusia.
  • Ketiga: Menghubung antara manusia dengan alam (haiwan, tumbuhan, benda mati dsbg)
  • Keempat: Menghubungan antara manusia dengan dirinya sendiri.

Tiang kedua hingga keempat terbuka kepada ijtihad dan pilihan manusia, syari’at Allah bertindak sebagai pemimpin, penjaga dan penyuluh manakala tiang  pertama tidak terbuka kepada manusia, ia mutlak terbuka kepada Allah sahaja.

Kerana yang dimaksudkan oleh tiang pertama adalah bagaimana seseorang manusia itu menyembah dan beribadah kepada Allah Tabaraka waTa’ala. Dalam hal ini ia adalah hak mutlak Allah kerana hanya Dia sahaja yang layak menentukan cara-cara Dia  mahu diriNya disembah.

Cara menyembah dan beribadah kepada Allah jauh dari terbuka kepada ijtihad manusia, kerana akal manusia dan nafsunya jauh sekali dari dapat mengetahui kehendak Allah.

Yang dimaksudkan dengan ibadah ini ialah solat, puasa, haji dan umrah. Lihat dalam bab Ibadah Maodhoh. Diperselisihkan samada zakat termasuk ibadah maodhoh atau ibadah muamalat, yang lebih saya cenderungi ialah zakat termasuk dalam muamalat.

Kita tidak berkata bahawa lain-lain yang dilakukan oleh manusia tidak termasuk ibadah. Ianya tetap ibadah bergantung kepada sebab dan tujuan seseorang itu melakukannya. Namun ia berbeza dengan ibadah di atas kerana yang pertama melibatkan antara manusia dan Allah manakala yang terakhir melibatkan antara manusia dgn manusia, alam sekitar dan dirinya sendiri demi mencapai keredhaan Allah dan menjauhi kemurkaanNya.

Di antara dua jenis ibadah ini terdapat garisan pemisah yang hitam putih. Sejelas mana garisan hitam putih tersebut (atau terdapat warna-warna lain antaranya) adalah relatif, ia selari dengan kandungan ilmu seseorang dan kebijaksanaan memegang ilmu tersebut.

Penjelasan saya di atas adalah ringkasan dari berbagai dalil naqli dan aqli, samada  secara zahir atau isyarat. Kajilah buku-buku yang khas dalam bab falsafah atau manhaj syari’at Islam.

Hujah Kelompok A Tertolak

Pendapat kelompok A yang mengatakan diamnya as-Sya’ri (iaitu Pembuat Syari’at) dalam sesuatu urusan ibadah maodhoh bukanlah bereti ianya terlarang adalah pendapat yang ditolak.

Jika kita mengkaji al-Qur’an, kita akan memperoleh sejumlah petunjuk yang membatalkan pendapat kelompok A di atas. Berikut diturunkan sebahagian dari
petunjuk tersebut:

  • Pertama:Maksud firman Allah:

    Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’aam 6:153]

Dalam ayat diatas Allah menyuruh kita mengikut jalanNya dan melarang kita dari mengikut jalan-jalan lain. Adakah semua jalan-jalan lain tersebut Allah terangkan, atau adakah hanya sebahagian? Sementara jalan-jalanNya telah diterangkan semuanya.

Menurut jalan Allah bererti menurut jalan yang ditunjuk dan meninggalkan JALAN YANG TIDAK DITUNJUK kerana ia adalah jalan yang salah.

Jika seseorang itu boleh mengikut jalan-jalan lain selain yang ditunjuk, maka apa perlu Allah menurunkan ayat di atas ?

  • Kedua:Maksud firman Allah:

    Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk ke jalan yang lurus, Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada dilangit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan. [asy-Syura 42:52-53]

Sekali lagi Allah menerangkan tentang jalan, kali ini jalan yang ditunjuk oleh  Rasulullah. Jika kita ingin memilih jalan yang tidak ditunjuk atau jalan yang didiamkan oleh Rasulullah, maka kenapa kita berdoa:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus.” [al-Fatiha 1:6]

  • Ketiga:Maksud firman Allah:

    Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
    [an-nur 24:51]

Inilah kaedah yang penting dalam Islam, apa yang diajak oleh al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah kita terima dengan taat dan patuh. Kita tidak berdalih:

“Ya Sunnah Rasulullah suruh buat begitu tetapi sunnah tidak melarang kita berbuat begini”.

  • Keempat:Maksud firman Allah:

    Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

    Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, Iaitu orang-orang yang MENGIKUT Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi…… [al-A’raaf 7:156-157]

Dalam dua ayat ini dan beberapa lain yang menganjurkan kita mengikut Rasulullah jelas terdapat petunjuk untuk meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah.


Kerana mengikut bukanlah bereri membuat apa yang dibuat oleh Rasulullah
TETAPI ia juga bererti TIDAK buat apa yang TIDAK dibuat oleh Rasulullah.


Sangatlah jauh dari erti mengikut jika seseorang itu membuat apa yang tidak
dibuat oleh Rasulullah.
Jika inilah kaedahnya, maka erti mengikut tersebut terpaksa kita ubah kepada:

“Tidak melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan melakukan apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah”.

Sudah tentu ini sangat tidak benar. Ayat-ayat yang saya salin di atas menyuruh kita mengikut jalan, hukum dan perbuatan Rasulullah secara umum, bererti semuanya.  Keumuman ayat-ayat ini dibataskan oleh Rasulullah dalam hal ibadah sahaja sebagaimana sabda baginda:

Sesungguhnya aku hanya manusia, apabila aku memerintahkan kalian sesuatu berkenaan agama kalian maka berpeganglah dengannya dan apabila aku memerintahkan kalian sesuatu dari pandangan persendirian maka aku hanyalah seorang manusia. [Sahih Muslim 2361]

Kalian lebih tahu mengenai urusan dunia kalian [Sahih Muslim 2363]

Oleh itu kita tidak wajib ikut cara tidur, cakap, pakaian dan tindakan-tindakan Rasulullah dalam konteks beliau sebagai manusia. Kita juga boleh membuat sesuatu yang tidak dibuat oleh Rasulullah dalam urusan duniawi, ini sepertimana yang telah diterangkan oleh Ibnu Taimiyah, seperti yang telah saya terangkan dalam posting sebelum ini.

Melainkan dalam beberapa urusan duniawi yang telah Rasulullah perintah atau larang secara tegas tentangnya, maka kita wajib mengikutnya. Seperti perintah makan dengan tangan kanan, perintah jauhi riba pinjaman dan sebagainya.

Hal ini telah banyak dijelaskan dalam kitab-kitab usul fiqh dan buku-buku yang menerangkan cara mengikut sunnah Rasulullah yang sebenar. Selain itu kita juga telah sedia maklum dengan hadis Rasulullah:

Barangsiapa yang membuat hal baru dalam urusan kami ini APA YANG TIADA DARINYA maka ia tertolak

Di mana “urusan kami” ialah:

“sesuatu urusan agama Islam yang dilaksanakan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabatnya.”


Ketahuilah bahawa Kelompok B tetap menerima rumusan yang diusulkan oleh
kelompok A, iaitu “Ketiadaan perbuatan Nabi s.a.w itu tidak jadi suatu hujjah.”
Tetapi kelompok B hanya menerima pakai rumusan tersebut dalam urusan muamalat, kemaslahatan umum dan duniawi.

Dalam sebuah hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda:

Sesuatu yang dipandang baik oleh umat Islam maka di sisi Allah ia baik juga. Hadis dari Ibnu Mas’ud ini memiliki isnad yang sahih tetapi  diperselisihkan samada ia adalah perkataan Nabi atau perkataan Ibnu Mas’ud.

Saya berkata, sekalipun jika ia adalah perkataan Rasulullah, ia tidak membawa sebarang mudarat malah ia membawa kebaikan. Kerana dalam hadis ini jelas terdapat pentunjuk bahawa ia ditujukan kepada urusan sesama manusia, iaitu pada lafaz:

Sesuatu yang dipandang baik oleh UMAT ISLAM…

Maka hadis ini menguatkan lagi rumusan “sesuatu yang tidak dibuat oleh Rasulullah tidaklah bererti ia terlarang.”

Oleh itu kelompok B tetap menerima rumusan “Ketiadaan perbuatan Nabi s.a.w itu tidak jadi suatu hujjah.” Malah kelompok B tetap bersama menegakkannya. Hanya sahaja kelompok B meletakkan rumusan tersebut dalam hal-hal selain ibadah maodhoh.

Sekian wasallam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s