Perkara-perkara Yang Membatalkan Syahadah

Salam
Saya ingin tahu apakah perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah seseorang Muslim dan adakah perbuatan-perbuatan itu boleh membatalkan syahadah walaupun tidak berniat atau tidak sengaja melakukannya (seperti dalam keadaan marah atau kecewa dan sebagainya)

terima kasih

jawapan:

Salam

Berikut saya lampirkan artikel Usstaz Hasrizal mengenai perkara2 yg membatalkan iman. WA.

————–

Perkara-perkara Yang Menbatalkan Iman[3]

Seseorang itu dianggap terkeluar daripada iman dan Islam apabila dia beri’tikad, berkata-kata atau melakukan perbuatan yang membatalkan ikrar dan tasdiq dua kalimah syahadah dan diwajibkan kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad (hudud) ke atasnya.

Berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah, Al-Imam At-Tahawi menyenaraikan empat perkara asas yang membatalkan iman, iaitu :

1. Mengengkari sifat Rubbubiyyah[4]

Setiap iktikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai kuasa yang mencipta alam dan sekalian makhluk, mentadbir, memberi rezeki, boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur.

Dan jika kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab : Allah!. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan. (Az-Zukhruf : 87)

2. Mengengkari sifat Uluhiyyah[5]

Setiap iktikad, kepercayaan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai ilah dengan penuh kasih, takut, dll serta tidak disekutukan ibadat selain kepadaNya dan menerima segala hukum-Nya dengan yakin dan redha.

Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. (Al-Fatihah : 5)

Inilah dasar yang memisahkan antara mukmin dan kafir kerana ramai manusia mempercayai sifat Rubbubiyyah Allah tetapi mengengkari sifat Uluhiyyah Allah.

Dan seandainya kamu bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka akan menjawab : Allah!, tetapi bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (daripada beriman kepada Allah)? (Az-Zukhruf : 87)

3. Mengengkari Asma’ Allah dan sifat-sifat-Nya

a. Kafir Nafi

Menafikan dan mengengkari mana-mana sifat Allah seperti ilmu-Nya, qudrat-Nya dll atau mentakrifkan mana-mana sifat Allah dengan takrifan yang kurang sempurna seperti menyamakan ilmu Allah dengan ilmu makhluk (terhad) dan mempertikaikan hak dan kekuasaan Allah seperti tidak merujuk kepada perintah dan larangan Allah dalam menggubal undang-undang.

b. Kafir Isbat

Menetapkan mana-mana sifat kekurangan atau mustahil bagi Allah sedangkan Al-Quran dan Hadith menafikannya seperti mengatakan Allah mempunyai anak dan isteri serta mengadakan peraturan sendiri yang bercanggah dengan yang telah ditetapkan oleh Allah.

4. Mengengkari Rasulullah dan kerasulannya.

Setiap iktikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan mencela peribadi dan kerasulan Rasulullah serta apa yang disampaikannya seperti tidak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahan, mengkafirkan sahabat dll.

LANJUTAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Kita telah memahami bagaimana seseorang itu dianggap menganut Islam dalam ertikata yang sebenarnya dan tertanam di dalam hatinya ciri-ciri iman. Ada orang dikurniakan oleh Allah SWT dengan iman yang teguh sehingga dia meninggal dunia dengan mentasdiqkan La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah dan ada pula orang yang berpaling tadah dengan sebab engkar dan durhakanya.

Orang yang ditetapkan imannya pula, ada yang dianggap sentiasa di dalam kebaikan, ada pula yang cuai dan ada pula yang menzalimi dirinya sendiri. Ada orang yang masuk syurga dengan tiada hisab, ada pula orang yang dimasukkan ke neraka kerana dosa sehinggalah Allah melepaskannya dari neraka dengan kurniaanNya.

Adapun orang yang dicabut imannya perlulah kita mengkaji kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh ulama’ berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw, di antaranya ialah apa yang ditegaskan oleh al-Imam At Tahawi rahimahullah di dalam kitabnya.

“Dan kami menamakan ahli-ahli qiblat kami orang-orang Islam dan orang-orang beriman selagi mereka mengakui apa yang dibawa oleh Nabi saw dan membenarkan apa-apa yang disabda dan diberitahu…Kami tidak mengkafirkan seseorang pun di kalangan ahli al qiblat dengan sebab melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya, dan kami tidak berkata, ‘bahawa mereka telah memberi mudharat bersama iman itu oleh dosa sesiapa yang melakukannya…Dan seorang hamba itu tidak terkeluar daripada iman melainkan dengan mengengkari hukum terhadap apa yang diceburinya.”

Penjelasan daripada kaedah itu ialah bahawa hukum syara’ telah menjelaskan bagi Iman dan Islam itu ada pintu masuk dan pintu keluarnya. Sebagaimana yang dinyatakan dahulu, sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua kalimah syahadah itu menjadi pintu masuk dan kuncinya. Maka orang itu dianggap keluar daripada iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau iktikad yang membatalkan ikrar dan tasdiq dari dua kalimah syahadah yang memberi makna mentauhidkan Allah swt pada Rubbubiyah, Asma’ dan SifatNya, dan mentauhidkan Allah pada Uluhiyyah. Dan sebahagian yang kedua daripada syahadah itu berikrar dan mentasdiqkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di samping mengakui segala sifat kenabian dan kerasulan.

Oleh itu, sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan keengkarannya terhadap ikrar syahadah itu, maka syahadahnya terbatal dan keluarlah dia daripada Islam dan diwajipkan kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad ke atasnya, bermula daripada disuruh bertaubat sehinggalah dijatuhkan hukuman bunuh kalau dia tidak mahu bertaubat dan tempatnya kekal di dalam neraka kalau dia mati di dalam keadaan begitu.

Adapun seorang mukmin itu melakukan dosa maka tidaklah batal imannya sekalipun dia belum bertaubat jika tidak ada padanya perkara-perkara yang membatalkan syahadahnya, jika Allah mengkehendaki dia mengampuninya, dan dengan kehendakNya juga dia dimasukkan ke dalam neraka, kemudian dimasukkannya pula ke syurga, kerana terlalu banyak hadith-hadith yang sahih yang menyatakan bahawa Allah swt membebaskan dari neraka orang-orang yang ada iman di hatinya walaupun sebesar zarrah dan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik denganNya dan Dia mengampuni yang lain daripada itu akan sesiapa yang dikehendaki.” (An-Nisa’ : 116)

Oleh itu, maka perkara yang menyebabkan terkeluarnya seseorang itu daripada agama Islam atau terbatal imannya ialah :

· mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya,
· mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya
· mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah
· mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya.

Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan i’tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah imannya dan keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah. Wal’iyazabillah.

Bagi menjelaskannya ialah :

1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya.

Yang pertama di dalam tauhid itu ialah mentauhidkan Allah swr pada RubbubiyahNya beri’tiqad bahawa Dialah Tuhan yang menciptakan alam, mentadbir, memilikinya, memberi rezeki, segala-galanya di bawah pengetahuan, kehendak dan kebijaksanaanNya yang tidak terhingga. Maka setiap i’tiqad, perkataan dan tindak-tanduk yang menunjukkan keingkarannya menjadi kafir dan riddah, seperti orang yang menganggap ada yang Qiddam (sedia) selain daripada Allah swt sehingga ia tidak berhajat kepada penciptanya, mengingkari bahawa makhluk itu ciptaan Allah swt, menganggap Allah tidak mengambil tahu terhadap makhluk setelah dijadikanNya, menganggap adanya rezekiyang bukan dari Allah swt, menjadi kufur orang yang menganggap sifat itu dipunyai juga oleh ynag lain daripada Allah swt seperti yang dinyatakan oleh Fir’aun :

“Akulah Tuhan kamu yang maha tinggi.” (An Naaziat: 24)

Atau mengaku dirinya berkuasa memiliki, memberi rezeki dan mentadbir selain daripada Allah swt atau bersekutu dengan Allah swt. Dan menjadi kafir juga orang-orang yang ikut atau mempercayai sesiapa yang membuat pengakuan tersebut.

2. Mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya.

Allah swt dan RasulNya saw telah mensabitkan bagiNya beberapa nama (Asma’) dan sifat, di samping menafikan beberapa sifat. Maka sesiapa yang menafikan atau mengurangkan apa yang disabitkan oleh Allah atau yang dinyatakan oleh Rasulullah , maka dia menjadi kafir. Begitu juga orang-orang yang mensabitkan bagi Allah swt apa yang dinafikan oleh oleh RasulNya saw.

Adapun mengkafirkan sifat-sifat Allah dan Asma’Nya itu dengan dua cara, iaitu kafir Nafi dan kafir Ithbat. Kafir Nafi itu ialah menidakkan atau menafikan mana-mana sifat Allah swt seperti menafikan ilmuNya, qudratNya dan lain-lain sifat yang dinyatakan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullsh saw. Juga termasuk menafikan sifat dan mentakwilkan dengan takwil yang mengurangkan atau menghadkan kesempurnaan Allah swt, seperti orang yang mengaku Allah itu bersifat ‘ilmu tetapi ‘ilmu secara ijmal, dia tidak mengetahui secara tafsil dan detail atau menyamakan sifat Allah swt dengan sifat makhluk.

Kafir Ithbat itu ialah menetapkan mana-mana sifat kekurangan atau sifat yang mustahil bagi Allah swt sedangkan Allah swt dan RasulNya menafikan sifat itu, seperti menyatakan bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri atau sekutu-sekutu, Allah swt itu mengantuk, tidur, lalai, mati dan sebagainya. Begitu juga orang-orang yang mengaku bersifat seperti Allah swt maka kafirlah orang yang berkata begitu dan kafir juga orang yang mempercayainya.

3. Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah

Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tiqad yang mengingkari bahawa Allah swt sahaja yang disembah dengan sebenarnya, yang lain daripadaNya tidak berhak disembah dan diabdikan diri kepadaNya dengan pengertian ibadat. Maka sesiapa yang berkata atau beramal atau beri’tiqad dengan cara yang bercanggah dengan UluhiyyahNya, maka kafir dan murtadlah dia. Dan kekafiran inilah yang paling banyak berlaku di kalangan manusia. Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga sekarang mengakui tauhid Rubbubiyah dengan mempercayai qudrat Allah swt, tadbirNya, rezekiNya, Dialah yang menghidupkan dn mematikan, iaitulah apa yang dimaksudkan oleh firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika kamu bertanyakan mereka, ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’. Nescaya mereka menjawab, ‘Allah’”. (Az Zukhruf : 87)

Tetapi mereka mengingkari di dalam i’tikad, perkataan dan perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah seperti beribadat kepada yang lain daripada Allah swt, mengakui hukum dan undang-undang yang lain daripada syari’at Allah dengan hati dan lidah.

4. Mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya.

Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tikad yang menafikan atau mencela kerasulan atau peribadi orang yang menjadi rasul saw dan mengingkari apa-apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw seperti tentang kebangkitan selepas mati, tentang masyhar, hisab, mizan, sirat, syurga, neraka dan lain-lain lagi daripada perkara-perkara ghaib. Begitu juga mengingkari al-Quran dengan apa cara sekalipun kerana al-Quran itu disampaikan oleh Rasulullah saw bahawa ianya dari Allah swt. Begitu juga mengingkari hukum yang sabit menurut nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw yang diketahui oleh setiap orang Islam seperti wajibnya sembahyang, puasa, zakat, haji, halal dan haram melainkan mengingkari perkara-perkara yang diketahui oleh orang-orang yang berilmu sahaja, maka dimaafkan kerana jahilnya tetapi tiada maaf lagi setelah diberitahu.

Berkata al Imam Ibn Hajar al Haitami di dalam kitabnya :

“Di antara perkara-perkara kufur dan syirik itu ialah seseorang yang berazam untuk menjadi kafir dan syirik sama ada dalam masa yang dekat atau jauh, atau mentaklidkan dengan lidahnya dan hatinya untuk menjadi kafir walaupun dengan perkara yang mustahil pada akal, maka dia menjadi kafir ketika itu juga. Atau secara ingkar dan bersenda-senda seperti beri’tikad dengan qadimnya alam, atau menafikan apa yang diwajibkan bagi Allah swt dengan ijma’ dan diketahui oleh umum umat Islam seperti menafikan ilmu Allah swt itu terbatas, ataupun mensabitkan apa yang nafi bagi Allah swt seperti menetapkan warna bagiNya.”

Dan seterusnya Ibn Hajar menghuraikan : “termasuk di dalam makna itu apabila seseorang yang menyatakan dia sebagai Islam tiba-tiba dia melakukan perkara-perkara yang menjadi ijma’ berlaku di kalangan orang kafir seperti mengunjungi gereja bersama-sama orang kafir dengan cara dan pakaian yang sama, atau orang yang membuang kertas yang mengandungi ayat-ayat Quran atau Ismullah ke dalam najis, atau meragui mana-mana nabi atau mana-mana Kitab seperti Taurah, Injil atau Zabur atau Suhuf Ibrahim, atau mana-mana ayat al-Quran. Atau menyesatkan umat yang tidak sesat, atau mengkafirkan sahabat, atau mengingkari Mekah, Kaabah, Masjid al Haram, atau sifat-sifat haji, sembahyang dan puasa, atau menghalalkan yang haram seperti mengharuskan sembahyang tanpa wudhu’ dalam perkara yang tidak uzur, menghalalkan kezaliman ke atas orang Islam atau kafir zimmi tanpa dalil syar’ie yang mengharuskan dia beri’tikad begitu, atau mengharamkan yang halal seperti mengharamkan jual beli dan nikah, atau mengatakan sesuatu yang tidak patut terhadap Rasulullah saw seperti warnanya hitam, mati sebelum berjanggut, tidak Quraisy, bukan Arab, bukan manusia, kerana berkata begitu adalah membohongi keadaan yang sebenar.

Begitu juga mengharuskan ada nabi selepas daripadanya atau melahirkan keraguannya seperti berkata : ‘Saya tidak tahu sama ada yang dibangkitkan di Mekah mati di Madinah atau orang lain.’ Atau mengatakan bahawa jadi Nabi itu boleh diusahakan, atau menyatakan wali itu lebih tinggi martabatnya daripada nabi dan malaikat, melaknatnya atau memakinya atau mempersendakannya. Kemudiannya Ibn Hajar menyatakan bahawa menjadi kafir juga orang yang meredhakan kafir seperti menasihatkan orang kafir supaya jangan masuk Islam.

Berkata al Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)

“…Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beri’tikad wajiblah berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt adalah menjadi kafir. Sesungguhnya setiap umat Islam itu mestilah memerintah dengan adil. Kadang-kadang keadilan menurut hukum mereka ialah yang dipandang oleh pembesar-pembesar mereka. Bahkan banyak sekali di kalangan orang yang mengaku Islam berhukum dengan adat yang bukannya diturunkan oleh Allah swt seperti orang Badwi di zaman dahulu di mana mereka berpendapat itulah hukum yang sayugia dilaksanakan, bukannya kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.”

P3 IKHLAS

Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :

“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap akh muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”

Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :

“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”

Dengan itu akh muslim dapat memahami slogan yang sering dilaungkan :

“Allah matlamat kami, Allah maha besar, bagi Allah segala pujian.”

Keterangan

Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang boleh dihimpunkan dalam : “ melakukan amalan bukan kerana Allah.”

Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”

Rukun Bagi Amalan Yang Diterima

Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika memenuhi dua rukun tersebut iaitu :

pertama : ikhlas

kedua : bertepatan dengan sunnah dan syara’

Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia adalah tertolak.”

Allah Taala telah menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 22 yang bermaksud :

“Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam dua keadaan dia berbuat baik, sesungguhnya dia telah berpegang pada ikatan yang teguh.”

Menyerah diri kepada Allah adalah mengikhlaskan niat dan beramal kerana-Nya. Membuat baik pula adalah mengikut sunnah Rasulullah saw. Fudhail bin ‘Iyadh berkata tentang firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :

“Supaya dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”

“Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”

Kemudian Fudhail membaca firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud :

“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Dari perkara di atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan sunnah dan syara’. Begitu juga amalan yang menepati syara’ tetapi tidak disertai dengan niat yang ikhlas kepada Allah tidak akan diterima.

Tanda-tanda Ikhlas

Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :

1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.

Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata :“Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”

Salim bin Hanzalah berkata :

“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti. Ubai berkata : ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu lakukan?’ Umar menjawab : ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.”

Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.

Al Hassan berkata :

“Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata : ‘Mengapa kamu semua mengikut aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”

Al-Hassan berkata :

“Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”

Ayyub As Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata :

“Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”

Ibnu Mas’ud berkata :

“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”

Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata :

“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”

Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah kepada masyarakat.

Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.

Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al Ghazali :

“Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”

2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :

“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.”

At Tirmizi meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :


“Aisyah, isteri Nabi saw berkata : ‘ aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al Mukminin : 60) yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”

Aisyah berkata : ‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab : ‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan.”

3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.

Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”

4. Sama sahaja di sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang bermaksud :

“Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”

Semoga Allah meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah ataupun menyesal.

5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah swt. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya dengan perkara ini. Slogannya bersama Allah swt ialah :

Semoga kamu merasai kemanisan,

sedangkan kehidupan itu penuh kepahitan,

Semoga kamu menjadi redha,

sedangkan manusia marah,

Semoga ada orang memakmurkan,

di antara aku dan kamu,

sedangkan di antara aku dan dunia ada kehancuran,

Jika benarlah kamu mempunyai perasaan kasih,

maka semuanya menjadi mudah,

dan setiap sesuatu yang berada di atas tanah

adalah tanah…

6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah swt dan agamanya, bukan kerana diri dan manfaatnya. Beliau tidak menjadi orang seperti orag-orang yang mengejar manfaat yng terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah di dalam kitabNya ( surah at Taubah : 58 ) yang bermaksud :

“Dan di antara mereka ada yang mencelamu tentng pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadaya dengan serta merta mereka menjadi marah.”

Kadang-kadang saudara dapat melihat segelintir manusia yang bekerja di dalam medan da’wah, apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggung jiwanya serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan diri dari medan jihad.

Ikhlas kepada matlamat menuntutnya agar terus berada dalam da’wahnya, tetap kekal arah tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau orang tertentu di kalangan manusia.

Da’wah Allah bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah da’wah kepada semua manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan da’wah kerana pendirian dan perbuatan-perbuatan tadi.

7. Beliau tidak bersifat malas, lembap atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemenangan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah swt dan mematuhi perintahNya.

Sesungguhnya Allah tidak bertanya manusia pada hari kiamat : “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?” tetapi Dia akan bertanya : “ Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak akan bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya kenapa mereka tidak bekerja.

8. Gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

Keperluan Ikhlas Dalam Memikul Da’wah

Sesungguhnya bekerja untuk kedaulatan Islam dan mengembalikannya untuk memimpin kehidupan dengan aqidahnya, syariat, akhlak dan tamadunnya merupakan ibadat dan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt dalam ibadat adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan berjaya. Niat yang bercampur-baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf dan menghilangkan pahala.

Kerana rahsia inilah Imam al Bukhari memulakan kitabnya ‘ Al Jami’ As Sahih’ dengan hadith yang dianggap oleh sesetengah ulama’ sebagai satu perempat Islam atau satu pertiga darinya yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulnnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada tujuan dia berhijrah.”

Diriwayatkan bahawa sebab datangnya hadith ini adalah kerana seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana seorang perempuan yang dicintainya yang bernama Ummu Qais. Maka beliau digelar sebagai ‘ penghijrah Ummu Qais’.

Akh muslim mestilah memeriksa sudut-sudut hatinya terhadap hakikat niatnya dan faktor pendorongnya. Jika ia mempunyai ruang untuk dunia dan syaitan, beliau berusaha untuk membersihkan hatinya dari perkara tadi dan mentuluskan niatnya kepada Allah swt. Beliau hendaklah memberi peringatan kepada dirinya dalam keadaan membebaskan diri dari menjadi abdi kepada yang lain sebagaimana ucapan isteri Imran (surah Ali Imran : 35) yang bermaksud :

“Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah nazarkan anak yang ada dalam kandunganku untuk memperhambakan diri kepadaMu. Kerana itu terimalah nazar itu daripadaku. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui.”

Kalimah ‘muharraran’ (memperhambakan) yang disebut oleh ibu Maryam ini menunjukkan bahawa sudah menjadi sunnah Allah, Allah tidak menerima mana-mana amalan melainkan ianya ikhlas semata-mata keranaNya, tidak bercampur dengan yang lain dan bebas dari setiap ubudiyh kepada yang lain.

Sesungguhnya kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang yang menggadaikan prinsip semata-mata mencari keuntungan duniawi dan orang-orang yang bersifay riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.

Penyakit-penyakit hati yang bercampu-baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan da’wah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.

——————————————————————————–

[3] rujuk artikel Perkara-perkara Membatalkan Syahadatain

[4] rujuk artikel Beriman Kepada Allah

[5] ibid

http://free.hostdepartment.com/h/hasrizal/article/iman.htm

Alhamdulillah. Cantik artikel diatas. Beberapa lagi point ringkas yang dapat saya tambahkan dibawah ini mengenai dengan perkara yang membatalkan syahadah. Diantaranya adalah :

1. Syirik kepada Allah swt. Sebagaimana didalam firman Allah swt :-

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” – [An-Nisaa’: 48].

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَار

“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” [Al-Maaidah : 72].

2. Pengambilan seseorang atau sesuatu sebagai perantara dalam berdo’a atau beribadah kepada Allah. Sebagaimana firman Allah swt :-

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

“Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” – [Az-Zumar : 3]

3. Tidak mengkafirkan orang-orang musyrik atau meragukan kekafiran mereka atau membenarkan agama mereka.

4. Mempercayai bahawa ada ajaran lain yang lebih benar dan sempurna dari ajaran Nabi Muhammad saw atau adanya hukum-hukum yang lebih baik dari hukum-hukum Nabi Muhammad saw seperti halnya orang-orang yang lebih menyukai hukum-hukum thaaghuut daripada hukum-hukum Nabi saw, atau menganggap hukum Islam sudah tidak sesuai lagi atau menganggap hukum Islam adalah sebab dari kemunduran kaum muslimin pada zaman ini atau menganggap agama Islam hanya sesuai untuk mengatur hubungan antara pribadi-pribadi dengan Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt :-

إِنَّا أَنْزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. ” – [Al-Maidah : 44]

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” – [Al-Maidah : 45]

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الْإِنْجِيلِ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. “- [Al-Maidah : 45,47]

5. Membenci sesuatu dari apa-apa yang diajarkan Rasulullah saw, walaupun perkara itu dikerjakan oleh orang tersebut. Sabda Nabi saw :

فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku”. (Muttafaq `Alaih)

6. Mengejek, Mencemuh, Memperli atau mencela sesuatu dari agama Islam. Sebagaimana firman Allah swt :-

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ. لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ.

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” – [Al-Taubah : 65-66]

7. Melakukan perbuatan sihir, bagi yang melakukannya atau ridha terhadapnya. Firman Allah swt :-

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”- [Al-Baqarah :102].

8. Mendukung dan membantu kaum kuffar dalam melawan, menindas dan memusuhi kaum muslimin, dan dia adalah kufur akbar. Firman Allah swt :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. ” -[Al-Maaidah : 51)

9. Sesiapa yang menyangka bahwa orang-orang boleh keluar dari syari’at Islam, maka orang itupun batal Islamnya dan menjadi orang kafir. Firman Allah swt :-

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. ” – [Al-Nisaa :60].

10. Barangsiapa yang acuh (lekeh) kepada agama Islam, tidak mempelajarinya dan tidak mengamalkannya, maka orang itu adalah orang kafir. Firman Allah swt :-

كَذَلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ مَا قَدْ سَبَقَ وَقَدْ آتَيْنَاكَ مِنْ لَدُنَّا ذِكْرًا. مَنْ أَعْرَضَ عَنْهُ فَإِنَّهُ يَحْمِلُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وِزْرًا . خَالِدِينَ فِيهِ وَسَاءَ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حِمْلًا .

“Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan. Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya dia pada hari kiamat menanggung beban (dosa) yang berat. Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat, (Iaitu) hari ditiup Sangkakala dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu” – [Al-Thaha :99-101)

WA, wassalam.

al-ahkam 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s