Poligami Dan Hak Suami

A’kum Ustaz,
Di sini ingin saya menyuarakan beberapa soalan. Contoh di dalam satu permasalahan. A (seorang suami), menyatakan pada isterinya (B) untuk berkahwin seorang lagi (C). B amat tidak bersetuju dan menentang habis-habis atas alasan A tidak mampu. A bukanlah seorang suami yang tidak mampu, tetapi dia tidak dapat memberikan kemewahan seperti yang diminta oleh isterinya dalam persepsi orang sekarang. Dan lagi A & C mempunyai sebab yang mewajibkan mereka berdua untuk berkahwin. Kemudian secara senyap-senyap A & C berkahwin. Walaupun telah berkahwin dengan C, A tidak sekalipun mengabaikan B & anak2nya. Dan C redha gilirannya untuk bersama A hanyalah seminggu sekali memandangkan jarak tempat tinggal dan masih dalam keadaan rahsia. Walaupun secara sembunyi, A mampu melayan kedua-dua isterinya dengan baik. Namun belum sampai masa yang sepatutnya, rahsia telah terbongkar. B telah mengetahui rahsia itu. B mengamuk habis-habis dan memberi kata dua kepada A untuk memilih salah satu. Dia tidak rela di madukan. Pun begitu, B lebih mendesak supaya A menceraikan C. B memaki, menghina, menghasut anak2 supaya membenci A. B juga menggunakan kekerasaan yang melampau. A menjadi begitu tertekan. Lantas menceraikan C, sedangkan C tidak bersalah apa-apa dgnnya. Soalan saya:
1. Adakah A dianggap sebagai lelaki yang dayus? Apakah nilai lelaki dayus di sisi Allah.
2. Bagaimana pula kedudukan B, adakah dia berdosa kerana memaksa suaminya menceraikan madunya hanya atas alasan dia tidak mahu bermadu. Apakah hukumnya tindakan B ini.
3. Apakah pula yang patut dilakukan dan hak-hak C dalam hal ini.

jawapan:

Wassalam
Sebelum kita menjatuhkan hukum dayyus kpd lelaki malang itu, saya beranggapan, suami itu (Si A) berada dalam keadaan keliru kerana amalan masyarakat di setengah-tengah tempat seolah-olah memahami kuasa poligami ini berada di tangan isteri. Jika isteri tak beri tandatangan, maka poligami itu tidak sah dan menjadi batal.
Yang sebenarnya: hak poligami itu adalah hak suami. Isteri boleh menghalangnya dengan syarat ia dijadikan syarat aqad nikah, di mana isteri berhak baik secara lisan atau bertulis menghalang suaminya dari berpoligami dan jika suaminya meneruskan juga, maka jatuh talaq. Ini boleh dilakukan sebelum akad nikah dulu dan amalan ini biasa dilakukan di negara-negara teluk (Khaleej) Arab.
Dalam kes di atas, si A boleh berpoligami dan dikehendaki memenuhi syarat-syarat yg telah ditetapkan oleh pendaftar nikah. Keizinan isteri pertama itu menjadi syarat poligami bertujuan menjaga hak isteri pertama. Walaupun syara’ tidak menetapkan syarat ini, tapi ia suatu yg wajar dilakukan kerana menghormati wanita yg juga manusia dan statusnya sama di sisi Islam. Isteri pertama (si B) perlu diberitahu terlebih dahulu supaya dia diberi hak untuk menyuarakan bantahan dan diberi peluang untuk menuntut cerai jika enggan bersetuju. Inilah prosedur yg benar di sisi Islam. Maka perbuatan menikah secara rahsia dari isteri pertama adalah suatu yg tidak baik.
Kita ringkaskan: Suami ada hak penuh untuk berpoligami, tapi sebaiknya dia hendaklah memaklumkan dulu kepada isteri pertama sebagai menghormati hak isteri sebagai muslimah dan manusia yg sama taraf di sisi Allah, hak untuk dimaklumkan dan hak untuk dia menyuarakan bantahan dan memfailkan perceraian kerana tidak setuju dimadukan.
Itulah kedudukan di sisi Islam. Hak isteri pertama dijamin oleh Seksyen 23, Akta keluarga Islam Wilayah Persekutuan, di mana hakim Syari’iy hendaklah dimaklumkan terlebih dauhulu sebelum pernikahan hendaklah dilangsungkan. Hakim akan memaklumkan kepada isteri dan mendengar kes ini dalam mahkamah tertutup untuk melihat kelayakan suami dan bantahan dari pihak isteri. Apa yg dilakukan oleh suami itu adalah lazim dalam masyarakat hari ini yg keliru dengan hukum sebenar poligami dan kuasa poligami itu sebenarnya berada di tangan siapa? (Rujukan: Fiqh Islami)

al-ahkam 

Advertisements