Koleksi Soal Jawab Agama

Weblog Ini Adalah Weblog Khas Untuk Soal Jawab Agama

Hukum Lelaki Pakai Gelang Untuk Perubatan?

DIkirim oleh mohd masri di Disember 8, 2007

Ustaz Abdul Kadir bin Sahak

Benarkan Islam melarang berubat dengan memakai gelang? Ada sebahagian orang yang mendakwa Nabi saw melarang berubat dengan memamai gelang berdasarkan hadith riwayat Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat di pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan, Apakah bendanya ini?” Lelaki itu berkata: “Ia adalah gelang perubatan, buangkan benda itu dari diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya selama-lamanya.” (Hadith Sohih yang ke-19,885 riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

Jawapan:

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Hadith yang  saudara maksudkan diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya demikian juga Ibn Majah di dalam Sunannya. Hadith ini diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain, Lafaznya ialah:

 

أن النبي -صلى الله عليه وسلم- رأى رجلا في يده حلقة من صفر فقال: ما هذه? قال: من الواهنة، قال: انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنًا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدًا

 

Maksudnya lebih kurang: “Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “ianya daripada al-Wahinah.” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.”

 

Dalam hadith ini tidak disebut siapakah lelaki yang memakai gelang tersebut, namun di dalam al-Mustadrak al-Hakim dinyatakan lelaki tersebut ialah ‘Imran bin Husain sendiri.

 

Tentang hadith ini para ulama berbeza pendapat akan kesahihannya. Hadith ini diriwayatkan daripada al-Hasan daripada ‘Imran bin Husain. Para ulama berbeza pendapat apakah al-Hasan (الحسن) benar-benar mendengar daripada ‘Imran bin Husain (عمران بن حسين) ataupun tidak. Demikian juga di dalam hadith ini ada periwayat yang bernama Mubarak bin Fadhalah (مبارك بن فضالة), ia juga diperselisihkan di kalangan ulama hadith. Kesimpulannya para ulama tidak sepakat dalam mensahih dan mendhoiefkan hadith ini.

 

Jika kita mengambil pendapat ulama hadith yang mensahihkan hadith tersebut, tinggal kepada kita untuk benar-benar memahami maksudnya sehingga kita boleh berhukum dengannya dengan cara yang betul. Perkara ini perlu supaya kita tidak keras mengharam sesuatu yang sebenarnya tidak haram seperti yang kita sangka.

 

Al-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan  menyebut, pertanyaan Nabi saw: “Apakah bendanya ini.” Yang zahir, pertanyaan ini adalah pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran, namun dikatakan juga pertanyaan Nabi saw itu adalah untuk mengetahui tujuannya memakai gelang tersebut.

 

Manakala jawapan lelaki tersebut: “ianya daripada al-Wahinah.” Membawa maksud, aku memakainya untuk mengelakkan al-Wahinah, untuk dia melindungi aku daripadanya (yakni melindungi daripada al-Wahinah). Al-Wahinah adalah penyakit yang kena pada tangan, dinamakan di kalangan orang Arab dengan al-Wahinah, termasuk di dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka percaya gelang tersebut akan melindungi dari penyakit tersebut.

(Sila lihat di sini:

http://www.alfawzan.ws/AlFawzan/Library/tabid/90/Default.aspx?view=page&PageID=35&pageno=1&bookid=32&sectionid=2)

 

Al-Syeikh ‘Abdul Hakim (Kuliah al-Syariah Uni. Al-Imam Muhammad bin Saud) di dalam laman islamtoday berkata: Para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Wahinah, namun mereka bersepakat akan illah (sebab) larangan tersebut… Ulama telah bersepakat bahawa illah (sebab) larangan tersebut ialah kerana orang menjadikannya (al-Wahinah) seperti tangkal, yang terdapat larangan menggantungnya.

(Sila lihat:

 http://www.islamtoday.net/questions/show_question_content.cfm?id=43737)

 

Berdasarkan fatwa ini, ia menunjukkan larangan memakai al-Wahinah yang ada di dalam hadith tersebut bukanlah semata-mata kerana ianya gelang, dan bukan juga larangan dari berubat dengan gelang. Sebaliknya larangan tersebut disebabkan ia dipakai dan dianggap seperti tangkal bertujuan memelihara diri dari penyakit. Tangkal yang dianggap boleh berubat ini, yang dinamakan sebagai al-Wahinah oleh orang Arab tidak ada sebarang bukti menunjukkan ia boleh menghalang dari penyakit samaada bukti dari Nas Syara’ (al-Quran atau al-Hadith) mahupun penemuan sebab-sebab dia boleh bertindak sebagai ubatan. Kerana itu ia dilarang oleh Nabi saw. Ringkasnya larangan itu adalah disebabkan tangkal yang tidak ada bukti berperanan sebagai pengubat melainkan khayalan dan khurafat semata.

 

Maka apabila terdapat nas Syara’ atau penemuan saintifik yang dapat membuktikan sesuatu bahan seperti logam atau seumapamanya yang jika dipakai dibadan dapat melancarkan perjalanan darah atau seumpamanya, sudah tentu bahan tersebut boleh digunakan insyaallah. Ini termasuk cara perubatan yang ditemui, hasil dari kajian melalui sebab musababnya.

 

Ini kerana perubatan yang dibenarkan itu terdiri daripada:

 

  1. Perubatan dengan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith.
  2. Perubatan dengan bahan-bahan yang disebut di dalam al-Quran dan al-Hadith seperti Madu, Habbah al-Sauda dan seumpamanya.
  3. Perubatan berdasarkan kajian saintifik terhadap sebab-sebabnya, atau berdasarkan pengalaman mengunakannya.

 

 

 

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum orang lelaki memakai gelang, sebahagian mengatakan harus dan sebahagian yang lain mengatakan haram. Namun para ulama yang mengharamkan pemakaian gelang bagi lelaki, setakat penelitian saya tidak ada yang menjadikan hadith di atas sebagai dalil dalam pengharam tersebut. Sebaliknya hadith tersebut banyak digunakan ketika berbicara tentang tangkal dan azimat yang dianggap dapat melindungi dan mengubati tanpa sebarang bukti dari nas syara’ mahupun kajian saintifik. Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sunan Ibn Majah menyatakan larangan tersebut kerana ianya sama dengan al-Tama-im atau tangkal yang dilarang penggunaannya. Kadangkala tangkal itu digantung bersama dengan manik, yang dinamakan Manik al-Wahinah (خرز الواهنة)

 

Penggunaan sesuatu tangkal (terdiri dari potongan besi, tembaga, simpulan benang dan lain-lain) untuk berubat dan memelihara diri, ada perbezaan yang cukup besar dengan cara perubatan dengan sesuatu bahan hasil dari penemuan saintifik.  Kepercayaan kepada tangkal yang dapat berubat adalah suatu khayalan yang tidak diterima di dalam syara’, dan ianya tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur perubatan. Berbeza dengan penggunaan sesuatu bahan hasil dari kajian saintifik dan terbukti memberi manfaat kepada manusia.

 

Kerana itu, al-Syeikh ‘Abdul Halim di dalam fatwa yang sama (yang saya sebutkan sumbernya di atas) membenarkan penggunaan potongan besi (yang digunakan dalam perubatan moden) yang ditanam pada beberapa gigi, atau di tempat-tempat tertentu di tubuh badan yang berperanan menyerap aliran elektrik yang boleh menjadi sebab seseorang hilang ingatannya (pengsan). Beliau menyambung jika seseorang pesakit mendapat manfaat dengan cara sebegini dengan pengakuan individu berkeahlian yang dipercayai, maka ianya tidak mengapa insyaallah. Cuma beliau di dalam fatwanya mencadangkan lebih baik jika bahan seperti potongan besi itu digunakan ditempat yang tersembunyi sebagai mengelak dari buruk sangka orang ramai.

 

Demikian juga di dalam laman islam-online, al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam Syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”  

(Sila lihat soalan ke 11:

 http://www.islamonline.net/livefatwa/Arabic/Browse.asp?hGuestID=n4MV6S)

 

Seperti yang saya sebutkan di atas, para ulama berbeza pendapat tentang hukum pemakaian gelang bagi lelaki. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut di sisi mazhab al-Syafieyyah terdapat dua wajah tentang hukum perhiasan lelaki selain cincin perak seperti gelang tangan dilengan (الدملج) dan gelang (السوار) dan kalung (الطوق) dan mahkota (التاج). Pertama mengatakan haram dan kedua mengatakan harus selama mana tidak menyerupai wanita, kerana tidak thabit dalam (pengharaman) perak melainkan pengharaman untuk bekas-bekas (seperti pinggan, mangkuk dll), dan perhiasan dalam bentuk menyerupai wanita. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 18/110 bawah bab al-Huliy)

 

Darul Ifta’al-Misriyyah pula di dalam laman webnya menyebut perkataan al-Rafi’e (ulama mazhab al-Syafie) di dalam Syarh al-Wajiz yang mengatakan harus bagi lelaki memaki cincin perak berdasarkan riwayat cincin Nabi saw daripada perak dan harus juga memakai selain cincin dari perhiasan perak seperti gelang dan gelang lengan dan kalung. Demikian juga perkataan Abu Said al-Mutawali yang mengatakan apabila harus memakai cincin perak, maka tidak ada beza antara jari-jari dengan anggota lainnya, sama seperti perhiasan emas yang dihalalkan untuk wanita, maka diharuskan untuk orang lelaki memakai gelang di lengan, kalung di tengkuk dan gelang di tangan dan selainnya kerana tidak thabit pengharaman perak melainkan pengharaman kepada bekas-bekas dan pengharaman menyerupai wanita.

(Sila lihat laman rasmi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: http://www.dar-alifta.com/)

 

Kesimpulan dari jawapan di atas ialah:

 

  1. TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.   

 

  1. Larangan memakai gelang yang dinamakan al-Wahinah di dalam hadith bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal.

 

Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya.

http://al-qayyim.dtdns.net/v01/index.php?option=com_content&task=view&id=279&Itemid=2

7 Respons kepada “Hukum Lelaki Pakai Gelang Untuk Perubatan?”

  1. dr izdor berkata

    Di luar daripada hujjah Syar’i saya ingin berkongsi pandangan mengenai pemakaian gelang. Ada beberapa fakta yang boelh direnungkan:

    Pertama, biasanya lelaki yang iltizam kepada Islam jarang (hampir tidak ada) yang memakai gelang dan tidak merasa perlu untuk memakainya.

    Kedua, lazimnya lelaki yang memakai gelang dianggap lelaki “sosial”, dan yang sebagai dengannya.

    Ketiga, isu perubatan dalam pemakaian gelang seolah “escapism” dan “alasan” untuk melakukannya.

    Keempat, hujah perubatan dengan memakai gelang bukan suatu bukti saintifik yang ampuh. “Siantifik” yang didakwa itu walaupun mungkin ada tetapi agak tipis, setipis bukti yang kononnya saintifik berkaitan aura, tenaga magnetik hampagas, dsb yang lazim mengundang kontarversial. Saya berpendapat bahawa “hujah saintifik yang longgar” dan “tidak terbukti dalam tempoh masa yang panjang” TIDAK BEZA dengan “konsep tangkal” yang jika nak dihujahkan boleh juga dikatakan sebagai “saintifik”.

    Saya rasa memakai gelang tetap tidak sesuai kepada lelaki Islam. Cuba bayangkan, lelaki tidak berbaju di tengah bandar – yang barangkali secara syar’inya masih menutup aurat! Begitu juga, sistem “la riba” yang HALAL tetapi menindas (dalam keadaan tertentu). Samalah juga, lagu tidak haram (?) tetapi orang yang iltizam kepada Islam cukup tidak selesa jika anaknya menjadi penyanyi?

    Wallahu ‘Alam.

  2. ibnrajab berkata

    Saya setuju, kita sebagai umat Islam perlu memilih untuk warak, bukan beramal semata-mata..

    wallahu aklam.

    http://ibnrajab.wordpress.com/2008/01/13/lelaki-gelang-untuk-tujuan-perubatan/

  3. khalid berkata

    gelang tangan yang sering diperkatakan itu sebenarnya masih tidak mendapat kelulusan drpd persatuan kesihatan dunia.
    jika ia benar-benar boleh membantu dalam kesihatan, sudah tentu hospital-hospital menggunakannya dalam merawat pesakit…

    gelang tangan ini adalah dakyah kuffar untuk melemahkan akidah umat islam

  4. medical student berkata

    perlu di ingat, sesuatu bukti saintifik memerlukan kajian tentang kesan terhadap pesakit seperti kajian terhadap sesuatu terapi sebelum diyakini.

    contohnye: 1000 pesakit mengambil ubat A, 1000 lagi diberi pil seperti ubat A tetapi tiada bahan ubat didalamnya (sekadar rupa sahaja sama yang dipanggil placebo).

    kedua2 kumpulan ini di pantau dalam tempoh beberapa tahun untuk melihat kesannya.

    jika 20% sahaja pesakit sembuh @ pesakit yang mengambil placebo pun sembuh, maka ia tidak membuktikannya berkesan.

    beginilah cara kajian terhadap ubat dilakukan. saya tidak pernah melihat kajian yang sama terhadap gelang magnetik. tiada bukti saintifik membuktikan keberkesanannya.

  5. zainuddin berkata

    sedar tak sedar, sudah lebih 45 negara menerima magnetic therapy sebagai health improvment device. begitu juga dari segi sejarah rawatan sedunia ianya telah wujud sejak 3000BC hinggalah sekrg. tidak dlm dlm rawatan alopathy tetapi dlm rawatan alternatif/komplementary/traditional sebaris dgn acupuncture dsbnya.
    anda tak pernah lihat kajian double study utk magnet bukan bermakna tidak. yg jelasnya anda tak jumpa lagi..mungkin kajian tak dalam. sebagaimana kajian kesan qigong terhadap cancer. pernah tgk?ada double blind study?
    WHO menyatakan: magnet therapy is safe and has no known health risk. search online boleh membuktikan ini. byk perkara yg baru dikaji dlm pelbagai bidang perubatan. cthnya di China, taiwan dan hK, rawatan tradisional herba menjadi pilihan yg boleh digunakan pesakit termasuk di wad kecemasan. di Malaysia belum lagi. baru kajian. begitu juga rawatan islam utk rasukan cthnya adakah diterimapakai di hospital2? mereka belum terima dan adakah itu bukti rawatan terhadap rasukan adalah tipu?
    antara sikap yg warak juga ialah tidak cuba meneka niat sebenar pemakai dan tidak menuding itu dan ini tanpa bukti yg kukuh. itulah warak yg lebih utama dari pakaian.
    Sewaktu saidina Umar R.A. memakaikan pakaian, crown dan gelang raja kisra pada Suraqah bin Malik adalah sebgi membenarkan janji Rasulullah s.a.w. bukan utk bermegah2 padahal asal pakaian itu dibuat raja kisra utk kemegahan kerajaannya…dan kita tentu yakin tiada yg lebih warak dari para sahabat.
    sejarah awal penggunaan gelang di dunia adalah di sumeria dan ianya hanya digunakan lelaki. kemudian pahlawan2 perang menggunakannya. setelah itu baru wujud design yg berbentuk feminin yg digunakan wanita.
    Dlm kepahlawanan melayu nusatantara juga ada penggunaan sedemikian samaada dari besi mahupun leather utk melindungi dari siatan senjata lawan.
    ianay tidak menjadi fitnah sekiranya mereka yg belum pasti akan hukum tidak melompat dan melatah hingga timbul tuduh menuduh haram dan syirik. Ianya pasti membuahkan hasil kajian dan situasi yg sihat sekiranya kita mengguanakn adab dlm berhujah dan bukan memasukkan pendapat peribadi semata2 dan persangkaan yg tiada sandaran dlm hujah.

  6. zainuddin berkata

    hujah2 ustaz Abd. Kadir bin Sahak adalah lebih baik dan lebih detail serta harus kita baca dgn terbuka. kajian saintifik mengenai magnet therapy:
    1990 – University if Hawaii tested magnetic fields on patients with osteoarthritis.
    1992- Stiller et al a randomised double blind trial of wound healing in venous leg wounds.
    1999- New York Medical College tested magnetic insoles on diabetic patients.
    2001- University of Virginia tested magnetic mattress covers on patients with Fibromyalgia.
    2004- University of Exeter and Plymouth tested magnetic bracelets on patients with osteoarthritis

  7. [...] the argument of Ustaz Mohamed Kadir bin Sahak who elaborates comprehensively on the topic, with rehashes here and [...]

Tinggalkan jawapan

XHTML: Anda boleh menggunakan tag ini: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>