doa ramadhan malaikat jibril. benarkah ia wujud?
DIkirim oleh mohd masri di September 10, 2007
Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya saya akan menerima mesej yang difowardkan melalui yahoo mesengger tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta para Sahabat. Hadis tersebut berbunyi:
Malaikat jibril Menjelang Ramadhan “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang
tuanya (jika masih ada);
* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.” Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak3 kali.
Saya sudah berusaha sedaya mampu saya mencarinya di dalam kitab-kitab hadis namun tidak saya temui. Malah kitab-kitab fiqh juga tidak membahaskan mengenai perlunya meminta maaf sebelum masuknya bulan Ramadhan bagi mengelakkan diabaikan puasa kita oleh Allah Subhana wa Ta’ala. Kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini”.
Untuk lebih memahami hal berkaitan hadis dan larangan menyebarkan hadis yang tidak sahih atau diragui kesahihannya oleh penyebar, sila rujuk tulisan saya yang bertajuk Berdusta Ke Atas Rasulullah.
Saya tidak berani meletakkan darjat hadis tersebut (samada sahih, hasan, dhaif atau palsu) kerana biarlah mereka yang lebih alim dalam bidang hadis melakukannya. Cuma yang boleh saya katakan, saya (dan beberapa orang yang turut pernah menyemaknya) tidak menemui sebarang tanda yang boleh membawa kita menilai darjatnya. Sesiapa yang menyatakan ia sahih, sila kemukakan hujah dan bukti dan sampaikan pada saya agar saya boleh mendapat manfaat ilmu itu.
قُلْ هَاتُواْ بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Katakanlah: Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.[al-Baqarah 2:111]
Adapun terdapat hadis yang mirip dengan hadis yang difowardkan itu. Hadisnya adalah seperti berikut. Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma:
أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.
Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.
Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.
Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” [Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644]
Ianya seakan-akan sama tetapi matan (isi kandungan) hadis tersebut nyata berbeza dan hadis ini sememangnya masyhur di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang Ramadhan. Namun kini nampaknya hadis yang tidak diketahui sahih ataupun tidak itu pula telah menjadi lebih terkenal. Saya menulis bukan untuk membahaskan darjat hadis tersebut di sini tetapi fokus saya adalah berharap agar pembaca dalam membetulkan sikap dalam berinteraksi dengan hadis terutama yang kita tidak tahu sumbernya.
SIKAP KITA VS SIKAP PARA SAHABAT BERINTERAKSI DENGAN HADIS
Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati. Berbeza sekali dengan kita pada hari ini, dengar sahaja “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini” terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati. Mari kita lihat satu contoh sikap berhati-hati para Sahabat apabila berinteraksi dengan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata:
Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
إذا استأذن أحدكم ثلاثاً فلم يؤذن له فليرجع
“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang”
Abu Sa’id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda sedemikian. [Sahih al-Bukhari – no: 5891]
Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. [Manna’ Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]
Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]
BERDIAM DIRI LEBIH BAIK
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. [Sahih Muslim - hadis no: 5]
Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:
[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.
[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .
[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.
Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.Ingatlah Firman Allah Subhana wa Ta’ala:
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]

razam berkata
Syukran atas penjelasan,ramadan karim,ust ana mintak izin copy sedikit artikal ust yer..marilah kita sama2 menikmati indahnya bulan ramadan ini dan warnailah ramadan kita dengan zikrullah dan amalan qiamulail..sama2 kita doakan kita mendapat berkat dari Allah S.W.T. amin ya rabb..wslm
salam,
dipersilakan utk disebar
ixora berkata
akhirnya saya jumpa juga sesuatu yg bermakna! skrg saya tidak perlu lagi ragu-ragu untuk tidak menyebarkan kembali sesuatu yang saya sendiri tak pasti spt cth tajuk entri di atas.
Lady K berkata
Salam,
Alhamdulillah syukur kerana ditemukan dgn entri saudara ini.
Minta izin untuk paste link ini di blog saya. TQ
Wasalam
aslm wbt
dipersilakan
me berkata
alhamdulillah, ade jgk org yg tertanye2 tntg hadis ni..saye awal2 trime hadis tu kat emel mmg pelik gile melampau sbb takkanla selame saye hidup ni puase saye diabaikan sbb saye takpnah mintak maaf secare terang2an before ramadhan dgn kwn2/jiran/ibubape? rasenye Islam tidak begitu.Islam itu indah.ntahla..ni pndgn saye yg kurang ilmu tp cube berfikir.tu je.hehe.wallahualam.slamat berpuase sume!
Aida Hamid berkata
assalamualaikum..
ustaz, saya nak mintak izin ustaz untuk copy article ustaz ni..
saya pun banyak terima email berkenaan..
moga2 nanti bile diorang baca email ni, tak lagik la diorang foward email yang diorang tak pasti..
aslm wbt
boleh shj sebarkan
Abd Rahim berkata
Assalamualaikum
Alhamdulillah,selepas membaca penjelasan ini hilanglah jua keraguan saya kerana sya juga menerimanya…Shukran Jazilan…
eddy kusuma berkata
terimakasih penjelasan yang menarik dan mudah difahami oleh pembace, mintak izin akan dicopy dan ditampilkan pada situs kami http://www.sriwijayanet.org tanpa merubah isinya. tq. wass
yna berkata
assalamua’alaikum.ustaz, terima kasih. alhamdulillah, akhirnya jelas apa yang menjadi kemushkilan saya kebelakangan ini. saya mintak izin copy artikel ini untuk dikongsi dengan rakan2 lain. wasalam.
aslm wbt
silakan menyebarkannya
Luqman berkata
Saya sungguh terkejut akan hal ini…Terima kasih kerana mendedahkannya..
yshcullen berkata
assalamualaikum wbt ustaz dan semua.
terima kasih saya ucapkan diatas penjelasan yang cukup terang dan mudah difahami memandangkan saya masih muda jadi dengan penjelasan2 yang diberikan tentang kemusykilan yang saya dan rakan2 islam saya hadapi diharap dapat menyedarkan dan menerangkan secara jelas dan terang kepada semua muslim. amin. sekian dari saya.:)
Ramlah Hussin berkata
Salam…
Saya juga menerima emel sedemikian. Saya menjadi ragu.. terima kasih atas penerangan dan pejelasan. Izinkan saya untuk “copy” artikel ini.
Terima kasih.
husna berkata
assalamualaikum ustaz…
saya memang cukup musykil tentang doa malaikat jibril tu dan memang ta berani untuk forward ke orang laen.. tapi skarang saya mahu mintak izin untuk copy link website ustaz ntuk teman2 lain ye.. terima kasih
nas berkata
salam
thanks atas penjelasan dlm artikel ni,nak
minta izin untuk copy,boleh….
salam
hidayat berkata
assalamualaikum ustaz..
terima kasih atas penerangan yang sangat berguna.,saya mintak izin copy bahan ni untuk disebarkan pada sahabat-sahabat lain..terima kasih..selamat berpuasa
azam al-hashimi berkata
assalamualaikum..
alhamdu lillah… terima kasih diatas penerangan yang bagi saya sangat2 berguna ini.. kerana sblum ni ramai yg saya lihat suka mengforwardkan ape jua artikel atau yg berbentuk hadis yg kita sendiri tidak yakin dan pasti kebenarannya…
saya minta izin ustaz, untk saya copy dan paste ke blog saya buat sebaran kepada rakan2..